Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Malam itu, aku, Leon dan Mak Cik Sutiah yang nazak ke kampung Abang Moin. Kami tinggalkan Bagan yang kelam dan dingin.

Sepanjang jalan kami hanya berdiam. Mata Mak Cik Sutiah kembali terpejam. Leon meriba ibunya. Sesekali terdengar esakannya tergigil.

"Ajar mak mengucap," suruh Abang Moin apabila mendengar Leon menangis. Cahaya lampu dari kereta yang berselisih menyuluh muka Abang Moin.

Dalam sebak, Leon membisikkan syahadah ke telinga ibunya. Suara Leon terketar-ketar, tersekat-sekat. Hatiku ditekan sedih melihat keadaan Leon dan ibunya.

Biarpun aku tahu keadaan Mak Cik Sutiah semakin genting, aku tetap berdoa untuknya. Jika ajal Mak Cik Sutiah sudah sampai, biarlah dia pergi dengan tenang tanpa sebarang penderitaan dan kesakitan. Biarlah dia pergi tanpa berasa apa-apa. Seperti sebuah tidur yang panjang.

Di luar Bagan, hujan sudah berhenti. Malam yang sugul mengiringi perjalanan kami. Lebih kurang setengah jam berlalu, teksi Abang Moin sampai di sebuah jalan yang lengang. Jalan itu membawa kami ke sebuah jalan kampung. Aku nampak dari bulir-bulir air hujan di tingkap teksi, ada sawah padi di kiri kanan.

"Dah sampai kampung kita, Leon?" Tiba-tiba terdengar suara Mak Cik Sutiah bertanya.

Leon mengusap wajah ibunya penuh kasih.

"Dah sampai, mak." Leon berbohong dalam tangis.

Selang beberapa minit, terdengar Mak Cik Sutiah menarik satu nafas panjang. Leon memeluk ibunya. Itulah nafas terakhir Mak Cik Sutiah. Selesailah sudah segala urusannya di dunia. Abang Moin memberhentikan teksi. Dia keluar. Abang Moin meraba nadi di leher Mak Cik Sutiah.

"Innalillahiwainnailaihirojiun," ucap Abang Moin perlahan. Leon menangis tergugu. Air mataku meluru.

Aku keluar dari tempat penumpang. Tubuh Leon aku peluk. Leon masih memangku ibunya yang sudah kaku. Air matanya terasa hangat di bahuku.

Tuhan telah menghantar seorang lagi manusia mulia untuk membantu aku dan Leon malam itu. Kami tak kenal siapa dia. Kami hanya tahu namanya. Abang Moin menolong kami menguruskan jenazah Mak Cik Sutiah. Leon yang dalam kesedihan tak dapat berbuat apa-apa. Aku sendiri bingung. Apalah yang dapat kami tahu dalam hal-hal menguruskan kematian.

"Leon jangan bimbang, abang akan urus semua." Abang Moin menenangkan kami.

Rumah Abang Moin sebuah rumah lama dua tingkat yang nampak kukuh tapi kusam. Bahagian bawah dibina daripada batu dan bahagian atas daripada papan. Halamannya luas di kelilingi pokok-pokok rambutan yang rendang.

Walaupun rumah itu nampak usang dan suram daripada luar tapi keadaan di dalamnya bersih dan tersusun kemas. Abang Moin tinggal bersama ibunya yang telah uzur dan sakit. Mata ibunya juga sudah tidak terang lagi. Abang Moin ternyata belum berkahwin biarpun dia kelihatan sudah agak tua pada mataku.

Abang Moin segera menyediakan tempat untuk meletakkan jenazah Mak Cik Sutiah. Sebuah tilam tipis diambilnya dari bilik di tingkat bawah. Setelah dialas dengan cadar, kami baringkan Mak Cik Sutiah di situ.

Aku dan Leon disuruh mandi dan diberikan baju serta seluar Abang Moin. Kedinginan bermandi hujan masih menggigit. Gigiku bergemeletuk. Aku mandi sambil menggigil kerana air kolah di rumah Abang Moin tersangat sejuk.

Abang Moin menutupi Mak Cik Sutiah dengan sehelai kain batik panjang yang nampak masih baru. Kemudian dia keluar ke rumah penghulu kampung untuk dimaklumkan tentang urusan pengkebumian. Kami ditemani ibu Abang Moin.

Ketika Abang Moin pulang, penghulu bersama isterinya serta dua orang wanita separuh usia datang bersama. Wanita-wanita itu dengan tangkas menguruskan jenazah Mak Cik Sutiah tanpa banyak bicara.

Selang beberapa jam, datang lagi beberapa orang kariah masjid untuk membantu. Dua orang daripada mereka membacakan surah Yasin. Ibu Abang Moin yang kabur matanya juga turut membaca Yasin. Ternyata dia menghafal surah Yasin.

Aku lihat tiada sesiapa pun di situ yang mempersoalkan siapa Mak Cik Sutiah dan kenapa mayatnya dibawa ke rumah Abang Moin malam-malam buta begitu. Ibu Abang Moin juga tidak bertanyakan apa-apa.

Abang Moin hanya memberitahu ibunya, Sutiah adalah kawannya dan dia yatim piatu. Ibu Abang Moin yang berwajah bersih penuh keibuan itu memeluk Leon. Dia menyuruh Leon reda. Anak lelaki mesti kuat, katanya memberi semangat.

Miss Tijah, Noni, Sona muncul di rumah abang Moin dengan bertudung dan berbaju kurung. Tentu Abang Moin yang menelefon mereka. Tauke Cempaka Biru bernama Ah Meng turut datang bersama. Itulah kali pertama aku berjumpa dengan Ah Meng yang hanya aku dengar cerita tentangnya.

Hatiku lega melihat Miss Tijah dan kawan-kawannya tiba. Miss Tijah menangis ketika mencium dahi Mak Cik Sutiah. Noni dan Sona teresak-esak perlahan dengan tisu di tangan.

Jenazah dimandi dan dikafankan setelah pagi terang. Leon mencium ibunya untuk kali terakhir. Dia tidak lagi menangis. Aku pula yang jadi pilu melihatnya. Kami mengiringi jenazah Mak Cik Sutiah yang dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.

Selamat jalan, Mak Cik Sutiah. Semoga mak cik diampunkan dan diberi belas kasihan yang tiada taranya dari Tuhan. Aku berdoa dalam hati ketika keranda Mak Cik Sutiah dibawa ke tanah ke perkuburan.

Dengan bantuan Abang Moin dan ihsan orang-orang kampung, jenazah Mak Cik Sutiah sempurna dikebumikan di hujung desa, bawah pohon kemboja putih yang banyak berguguran bunga-bunganya.

Aku, Abang Moin, Miss Tijah, Noni dan Sona membiarkan Leon berada lebih lama di pusara ibunya selesai pengebumian. Kami menunggunya di tepi kawasan tanah perkuburan sambil berbual-bual.

Dari jauh aku lihat Leon menekur di pusara ibunya. Ah Meng turut ada bersama kami. Sebelum ini, aku gambarkan tauke Kelab Dangdut Cempaka Biru itu tentu sudah tua dan gendut. Tapi usia Ah Meng sekitar 30-an sahaja. Dia bertubuh kurus tinggi. Rambutnya dipotong botak. Matanya sepet tapi hidungnya mancung. Dia Cina Hakka.

"Moin, ini ada sedekah sikit dari saya. Buatkan batu nisan untuk arwah Sutiah," kata Ah Meng dengan bahasa Melayu yang fasih sembari menghulurkan satu sampul surat coklat muda kepada Abang Moin.

Rupa-rupanya Ah Meng juga mengenali Abang Moin kerana selalu menggunakan perkhidmatan teksi Abang Moin.

"Kalau apa-apa tak cukup, bagi tahu, saya tambah," sambung Ah Meng. Aku terkedu. Seorang lelaki Cina, tauke kelab dangdut, sedang memberi sumbangan untuk membeli batu nisan arwah Mak Cik Sutiah.

Aku mendapat tahu kemudian yang Ah Meng turut melindungi keselamatan Mak Cik Sutiah sepanjang dia disembunyikan di rumah Miss Tijah. Dia mengerah orang-orangnya mengawasi rumah Miss Tijah setiap masa.

Ah Meng sebenarnya sudah merancang untuk menghantar Mak Cik Sutiah dan Leon ke Johor selepas Mak Cik Sutiah sembuh. Dia menyokong keputusan Mak Cik Sutiah mahu memulakan hidup baru. Tapi rancangan itu hanya tinggal rancangan.

Di Johor, Mak Cik Sutiah dan Leon bakal ditempatkan di rumah yang telah disediakan Ah Meng untuk mereka. Ah Meng juga telah mencari kerja untuk Mak Cik Sutiah di sebuah kilang plastik milik sepupunya.

Pada mulanya Abang Moin nampak agak keberatan untuk mengambil sampul surat yang dihulurkan Ah Meng, mungkin kerana Ah Meng seorang Cina. Aku dapat membaca alur fikiran Abang Moin.

"Ambillah Moin, Ah Meng ikhlas," kata Miss Tijah. Abang Moin akhirnya menerima wang pemberian Ah Meng dengan teragak-agak.

"Aku, Noni dan Sona akan beri duit kenduri untuk arwah di masjid. Kau tolong uruskan dengan orang-orang masjid, boleh?" kata Miss Tijah pada Abang Moin. Aku diam mendengar perbualan mereka.

"Insya-Allah. Aku uruskan nanti dengan imam masjid," jawab abang Moin.

"Terima kasih, Moin atas budi baik kau uruskan jenazah Sutiah... Walaupun kau tahu dia siapa." Noni bersuara.

"Aku buat hanya kerana Allah. Tak kira siapa dia, setiap jenazah mesti disempurnakan. Itu tugas kita orang yang hidup. Apa dosanya, biar Allah saja yang menilainya, bukan kita."

"Apa yang kau buat ni besar pahalanya," sahut Sona pula sambil membetulkan belitan selendang yang dipakainya.

"Aku tak buat kerana pahala, Sona. Itu urusan Tuhan. Kewajipan kita sebagai manusia ialah melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan, itu baru konsep yang betul," ujar Abang Moin tersenyum sedikit. Dalam diam, aku bersetuju dengannya.

"Kesian Leon..." Miss Tijah mencelah lalu membuang pandang ke arah Leon yang masih berada di sisi pusara ibunya. Aku nampak Miss Tijah mengelap air mata.

"Kita semua tolong tengok-tengokkan dia. Dia yatim. Kita kena jaga anak yatim. Kena pastikan makan pakai dia cukup. Saya sanggup tanggung pelajaran dia kalau dia nak sambung belajar," sahut Ah Meng. Sekali lagi aku kagum dengan sikapnya.

Hari itu, aku dan Leon bermalam di rumah Abang Moin. Dia tak membenarkan kami pulang. Kami dibawanya ke masjid untuk solat maghrib dan isyak. Abang Moin minta Leon berdoa untuk ibunya banyak-banyak.

Selepas solat isyak, Abang Moin ajak kami sama-sama mengaji dengannya. Kami mengaji merangkak-rangkak dan lintang-pukang mengikuti bacaan Abang Moin. Ternyata suara Abang Moin sangat lunak macam qari. Aku membaca al-Quran dengan hanya menggumam kerana bacaanku tidak lancar. Bacaan yang aku tidak tahu, aku langkau.

Selepas bersarapan, kami bersedia untuk dihantar pulang. Abang Moin memberikan lipatan wang yang diikat dengan getah pada Leon.

"Ini duit sedekah orang kampung. Ada seratus tiga puluh lima ringgit semuanya. Abang dah kira. Ini untuk Leon," jelas Abang Moin. Leon terkaku.

Semasa jenazah berada di rumah Abang Moin, aku lihat orang-orang kampung yang datang menziarahi, memasukkan wang ke dalam sebuah jag kaca yang diletakkan di tepi jenazah. Aku tertanya-tanya, wang yang dihulurkan itu untuk apa? Baru kini aku tahu, wang itu adalah sedekah untuk keluarga si mati.

"Abang ambillah duit tu. Budi abang terlalu besar untuk saya dan mak saya. Gunalah untuk belanja kenduri arwah mak."

"Orang sedekah duit ni untuk Leon, ambil..." Abang Moin menyuakan wang itu kepada Leon. Leon tak berdaya menolak.

Abang Moin menghantar kami pulang ke Kampung Kilat. Dia memberikan nombor telefon bimbitnya kepada kami.

"Kalau ada apa-apa masalah, cari abang di tempat teksi. Kalau abang tak ada, tinggal pesan pada pemandu-pemandu teksi di stesen."

Sebelum pergi, aku dan Leon bersalam dan memeluk Abang Moin.

"Terima kasih, Abang Moin," ucap Leon sebak. Abang Moin memegang bahunya.

"Ingat, jangan lupa berdoa untuk mak. Hanya doa anak yang soleh saja yang sampai pada ibunya."

Leon mengangguk. Matanya mula bergerimis. Dia cepat-cepat menghapuskannya.

Tanpa mengenali hati budinya, Abang Moin nampak macam orang lugu sahaja. Dia seorang lelaki yang sememangnya tiada rupa dengan ketinggian yang sederhana. Wajahnya bulat dan hidungnya pesek. Misainya yang jarang-jarang membuatkan dia nampak lucu. Tapi, di sebalik fizikal yang tidak seberapa itu, tersimpan segumpal hati yang sangat mulia.

Aku menghantar Leon pulang ke rumah. Aku mahu dia tidur di rumahku tapi Leon menolak. Dia mahu bersendirian untuk seketika. Aku memahami perasaannya. Aku tidak pulang tapi terus pergi mencari Pitak dan Tajul.

Kami berjumpa di luar pasar tempat Pitak berkerja. Seperti biasa, Pitak memakai but hitam paras lutut. Dia berbau hanyir. Rambutnya ada sisik ikan.

"Mak Cik Sutiah dah meninggal." Aku beritahu Tajul dan Pitak. Tajul segera mengucap innalillah. Pitak ternganga seakan-akan tak percaya. Kedua-duanya tertunduk sedih.

"Bila dia meninggal?" tanya Pitak dengan mata merah menahan air mata.

"Semalam."

"Dia meninggal sebab apa?" Tajul pula bertanya.

"Sakit."

"Sakit apa?"

"Jangkitan kuman."

"Mana dia menghilang selama ni?" Tajul mahu tahu.

"Ada di rumah kawan dia. Dia tak mahu Leon tahu dia sakit. "

"Leon sempat jumpa mak dia?" Pitak memandangku.

Aku angguk.

"Kesian Leon," desis Pitak dengan muka simpati.

"Dikebumikan di mana?" Tajul tanya lagi.

"Di kampung kawan dia."

Tajul dan Pitak mahu ke rumah Leon tapi aku menahan.

"Biarkan dia dulu. Dia tak mahu diganggu. Esok malam baru pergi," kataku. Tajul dan Pitak akur.

"Aku selalu makan di rumah Mak Cik Sutiah. Selalu dia masak bagi aku makan. Tak sempat nak ucapkan terima kasih." Pitak meluahkan rasa terkilan.

"Dia orang baik," sambung Pitak.

"Kalau aku cakap, kau berdua jangan marah. Tak ada pelacur yang baik di dunia ni. Fakta tetap fakta," tegas Tajul.

"Bagi aku dia ibu yang baik." Pitak berkeras.

"Ya. Dia ibu yang baik," sahutku cepat.

"Itu aku setuju. Dia ibu yang baik tapi bukan perempuan yang baik," balas Tajul.

Aku dan Pitak beredar. Tajul membawa haluannya ke masjid. Ada gotong-royong membersihkan masjid. Tajul mengajak kami pergi bersama. Katanya, kita kena cari saham di akhirat.

Kebelakangan ini, Tajul sering menghadiri majlis ceramah agama dengan ayahnya. Selepas mendengar ceramah, dia pula berceramah kepada kami. Aku dan Pitak tetap saja culas ke masjid, tak kira berapa banyak dia bersyarah. Selalunya, ketika Tajul sedang berkhutbah, perlahan-lahan aku dan Pitak akan menggelongsor pergi dengan alasan masing-masing.

Aku pulang ke rumah dengan perasaan terhempas. Kematian ibu Leon yang penuh tragik meninggalkan kesan yang dalam. Kesedihanku masih berbekam. Aku tak dapat tidur hingga ke pagi. Aku nampak bayangan gelap Giri di dinding, di siling, di tingkap. Aku rasa dia sangat dekat.

Aku teringatkan basikal yang ditambat di tiang lampu dekat kelab Cempaka Biru. Aku bergegas ke Bagan.

Sampai di sana, yang ada cuma tiang lampu. Basikalku sudah selamat dikebas orang dengan jayanya. Rantai yang aku ikat turut disapu sama. Nampaknya, hanya setakat itu sahaja jodohku dengan basikal merah itu. Barangkali ia dicuri semula oleh kutu rayau yang menjual basikal itu padaku. Curi atas curi.

Waktu petang, aku kebosanan. Getir dalam hatiku masih belum hilang. Aku lalu ke jeti.

Aku duduk di hujung jeti menatap senja yang sedang memasuki malam. Ombak mendebur sayu dan angin berhembus perlahan. Ada bunyi kecipak air yang menghantukkan sampan-sampan di tambatan. Burung-burung berterbangan menuju ufuk. Aku dengar keriut papan jeti dipijak orang. Ada bunyi tapak-tapak kaki sedang menghampiri. Aku menoleh. Ria datang. Melihatnya, aku jadi jengkel. Entah kerana apa, aku tak tahu.

Aku halakan padangan ke laut yang terdampar tenang. Ria duduk menjulur kaki di sampingku. Kami sama-sama membisu. Aku diam menatap petang yang sedang berangkat pergi. Angin membawa bau udara yang masin. Bibirku terasa bergaram.

"Kenapa kau tak bagi tahu Mak Cik Sutiah meninggal?" Ria bersuara.

Aku buat tuli.

"Ari... Kenapa kau tak bagi tahu aku?"

"Kau dah tahu, kan? Mahu tahu apa lagi?" Aku jawab seakan-akan marah.

"Kenapa kau ni?" Ria tak puas hati.

"Kenapa apa?"

"Kenapa kau tak macam dulu?"

"Aku yang tak macam dulu atau kau yang tak macam dulu?"

"Kan aku dah kata, kau akan jadi Narong kalau kau jumpa Narong. Sekarang kau dah jadi macam Narong."

"Jangan mengarutlah!" Aku muak.

Ria marah. Dia bangun dan pergi. Aku biarkan.

Senja datang dalam paduan warna yang sangat lawa. Ria makin jauh. Aku rasa menyesal pula melayannya begitu. Aku ingin menahannya tapi egoku menahanku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro