Bab 12
Aku mahu ke bukit hantu pagi itu seperti biasa bila si kutu rayau datang. Aku sedang menuntun basikal keluar dari lorong kecil di depan rumah.
"Woit... Tunggu... Tunggu!" jeritnya.
Dia datang tergesa-gesa. Aku berhenti. Nafasnya termengah-mengah. Mukanya berpeluh.
"Aku ada pesan untuk kau," katanya serius. Macam agen rahsia.
"Pesan apa?" tanyaku antara percaya dan tidak.
"Kita barter," katanya.
"Barter apa?"
"Tukar-tukar keperluan," balasnya. Aku buat-buat tak faham.
"Hulur dulu baru aku bagi tahu," lanjutnya tersengih. Giginya kuning dan ompong sebatang.
"Hulur apa?"
Aku buat-buat tak faham lagi.
"Duit rokok," jelasnya.
"Pesan dari siapa?"
Aku segera terfikirkan Narong.
"Nak tahu, hulur," tegasnya, tak mahu mengalah.
Aku malas mahu bersoal banyak. Poket jean aku seluk, korek duit syiling. Aku beri mana yang ada. Dia tak gembira dengan imbalan yang kuberi.
"Banyak ni saja? Tak cukup rokok sebatang, nasi sebungkus." Dia menolak.
Aku geram dan seluk poket lagi, ambil sepuluh ringgit. Hulur. Dia puas hati. Aku pula yang tak puas hati.
"Miss Tijah suruh kau pergi Cempaka Biru malam ni. Pukul sepuluh. Jangan tak datang."
Aku berdebar. Pesan daripada Miss Tijah segera mencengkamku.
"Macam mana kau kenal Miss Tijah?" Aku inginkan kepastian.
"Apa tak kenal? Selalu dia bagi aku duit," balasnya tersenyum.
"Dia baik. Kadang-kadang dia belikan aku nasi. Aku selalu tidur kat kaki lima Cempaka Biru."
Aku rasa kutu rayau itu tidak menipu. Aku hulur seringgit lagi sebagai penghargaan.
"Terima kasih, kapten," ucapnya memberikan aku tabik hormat.
Aku tak sedap hati. Aku takut sesuatu terjadi kepada Mak Cik Sutiah. Aku tidak jadi ke bukit hantu hari itu.
Menjelang malam, cuaca bertukar muram. Guruh berdentam-dentum. Ketika aku keluar dari rumah, langit terbentang gelemat. Aku jangka malam itu hujan akan turun lebat.
Sambil mengayuh basikal menuju Bagan, aku berfikir macam-macam. Tentang Mak Cik Sutiah, tentang Leon, tentang Giri, tentang Miss Tijah.
Ketika aku sampai di luar Cempaka Biru, renyai hujan mula menimpa halus ke mukaku. Aku tambat basikal tepi tiang lampu berhampiran Cempaka Biru. Aku kunci dan rantai sekali.
Bunyi muzik dangdut kedengaran berdentum-dentam dari dalam. Ada tiga orang lelaki Indonesia sedang merokok di kaki lima. Seorang daripadanya duduk menjongkok tepi longkang. Bau rokok keretek bertebaran.
Aku terus masuk ke dalam Cempaka Biru mencari Miss Tijah. Ruang tari dilatari lampu-lampu yang malap. Ada lampu bulat yang berputar-putar membiaskan cahaya warna-warni mengikut gerak muzik. Macam disko tahun 80-an.
Pengunjung dan penari Cempaka Biru sedang asyik berdansa. Tubuh mereka terlentuk-lentuk. Ada yang tergelek-gelek. Ada yang menari seperti sedang berenang. Seorang lelaki menari terketar-ketar seperti terkena sawan. Lagu Rhoma Irama sedang dimainkan.
Mataku melilau mencari Miss Tijah. Aku nampak Noni sedang menari dengan seorang lelaki. Aku juga nampak Sona yang menari dengan seorang lelaki gemuk pendek macam penguin. Lelaki itu sengaja mengodek-ngodek perutnya supaya dapat digeselkan pada tubuh Sona. Sona kulihat dengan bijak menjarakkan dirinya sambil menari. Kegatalan penguin tua itu membuatkan aku loya. Aku rasa seperti mahu pergi terajang punggungnya. Pandanganku kemudian dihalang oleh satu pasangan yang sedang bergoyang-goyang macam batang kayu hanyut. Aku bengang.
Bahuku tiba-tiba ditepuk dari belakang. Aku terperanjat. Dalam remang, aku nampak wajah Miss Tijah seperti dibebani sesuatu. Dadaku bergoncang. Miss Tijah memberikan isyarat tangan agar aku mengikutnya ke belakang. Aku patuh. Tak guna kalau kami bercakap di situ kerana muzik yang kuat.
Aku dan Miss Tijah keluar ikut pintu belakang. Kami berada di lorong gelap belakang Cempaka Biru.
"Ari..." Miss Tijah bersuara tapi kemudian terdiam. Dalam samar, aku tak nampak jelas riak wajahnya tapi aku tahu dia sedang melawan kesedihan.
"Sutiah dah nazak..." Mendengar kata-kata Miss Tijah itu, aku jadi gementar. Pada mataku terbayang wajah Mak Cik Sutiah, juga wajah Leon. Aku teringat tiga kuntum bunga daisi di ruang tamu rumah Leon yang menunggu kepulangan Mak Cik Sutiah. Hatiku remuk.
"Rasanya, dia dah tak lama. Dia asyik panggil nama Leon semalam. Dia nak pulang," sambung Miss Tijah menahan esakan. Aku rasa air mataku juga mahu keluar.
"Kita bawa dia pergi hospital. Mungkin dia masih boleh diselamatkan," ujarku dengan dada berdebar.
"Bawa dia pulang," pintas Miss Tijah.
"Kakak dah panggil teksi. Ari tolong bawa dia pulang."
"Macam mana dengan Narong?" Aku tiba-tiba teringatkan Narong.
"Itu Ari jangan bimbang. Hal Narong biar kakak yang tanggung. Kalau jadi apa-apa pada kakak, Noni dan Sonia akan uruskan."
Sekali lagi aku terkelu dengan keberanian seorang perempuan penari kelab dangdut. Aku sebu.
Teksi kawan Miss Tijah yang bernama Abang Moin sampai. Teksi diletakkan di kawasan samar-samar di hujung Cempaka Biru. Miss Tijah minta Abang Moin menunggu di dalam teksi. Aku tak nampak wajah Abang Moin dengan jelas. Miss Tijah memang tidak berkerja hari itu kerana mahu menguruskan Mak Cik Sutiah untuk dibawa pulang.
Aku dan Miss Tijah menapak naik ke tingkat atas Cempaka Biru, ke rumah sewa Miss Tijah. Hatiku sekali lagi disayat pilu sebaik saja aku melihat keadaan Mak Cik Sutiah. Tubuhnya sudah kurus benar kerana mengalami masalah penghadaman akibat kecederaan dalaman yang teruk.
Mak Cik Sutiah bukan lagi Mak Cik Sutiah yang aku kenal dengan senyumannya yang menawan. Aku lihat Mak Cik Sutiah dalam keadaan separuh sedar. Dia meracau-racau. Matanya terbuka separuh dan sesekali memandang ke atas. Memang dia sedang nazak. Air mataku terasa mahu menitik.
Miss Tijah minta aku bantu memapah Mak Cik Sutiah yang sudah tak dapat berdiri. Kami bawa Mak Cik Sutiah turun. Tubuhnya terasa lampung lalu terus aku cempung kerana kakinya kaku dan tak dapat menuruni tangga.
Kami sampai di kaki lima. Aku bawa Mak Cik Sutiah ke teksi yang sedang menunggu. Hujan sudah turun di luar. Nafas Mak Cik Sutiah terasa panas di dadaku.
"Ari..." Miss Tijah memanggilku.
"Semalam Sutiah ada beritahu kakak yang dia mahu balik kampung. Dia mahu dikuburkan di sana. Kakak tanya di mana kampungnya tapi dia sudah tak ingat di mana. Ari tahu di mana kampung Sutiah?"
"Tak tahu, kak. Leon tak pernah pun bagi tahu saya dia ada kampung," jawabku.
"Suruh Leon bawa mak dia balik kampung. Minta Abang Moin terus bawa ke sana. Duit teksi semua kakak dah bayar. Ari tolong Leon bawa Sutiah ke kampungnya saja." Suara Miss Tijah terlontar sedih.
Aku mengangguk lemah. Noni dan Sona sudah menunggu dengan payung masing-masing. Mereka bertiga mengiringi aku dan Mak Cik Sutiah ke teksi Abang Moin. Mak Cik Sutiah aku baringkan di tempat duduk belakang dengan bantuan Abang Moin. Belakangku basah ditimpa hujan. Abang Moin buka jaketnya untuk dijadikan alas kepala Mak Cik Sutiah.
Dengan cahaya lampu dalam teksi, aku nampak nafas Mak Cik Sutiah tersentak-sentak. Dadanya macam sudah tak bergerak. Aku panik. Segera kuperiksa nadi di pergelangan tangannya. Denyutan Mak Cik Sutiah masih ada tapi sangat lemah. Aku lega.
Sebelum pergi, aku berjumpa Miss Tijah, Sona dan Noni. Sona kedengaran teresak perlahan. Noni diam tanpa bicara. Cahaya suram lampu jalan mengaburi wajah wanita-wanita itu.
"Kami bawa Sutiah ke klinik semalam. Doktor kata, ususnya sudah teruk. Hatinya bengkak, ginjalnya rosak. Doktor minta kami bawa Sutiah ke hospital. Tapi Sutiah nak pulang. Dia nak pulang dan peluk Leon, katanya. Dia nak mati di kampung halamannya," cerita Miss Tijah dalam suara yang sebak. Air mataku turun bercampur tempias hujan. Aku tak tahu bagaimana aku harus berdepan dengan Leon. Aku tak sanggup membayangkan kesedihan Leon.
Teksi Abang Moin dengan enjin bergetar-getar menuju ke Kampung Kilat dari Bagan. Jarak Kampung Kilat dengan Bagan dekat saja, lebih kurang 20 minit. Mujur jalan tak sibuk dan perjalanan kami lancar.
Aku minta Abang Moin tunggu di luar Kampung Kilat. Jalan ke rumah Leon agak sukar dilalui kereta kerana sempit dan berlekuk-lekuk. Aku berlari di dalam hujan menuju ke rumah Leon. Kakiku terasa tidak menjejak tanah.
Pintu rumah Leon kuketuk keras. Leon buka pintu dengan muka cemas. Dia baru lepas mandi. Rambutnya basah.
"Ikut aku cepat!" arahku. Aku sudah lokos dalam hujan.
"Pergi mana?" Leon terpinga-pinga.
"Ikut aku!" desakku. Leon masih tercegat depan pintu.
"Cepat!" sergahku bila lihat Leon masih tak bergerak. Leon segera ke biliknya. Dia keluar menyarung baju T sekolah kami. Aku bergerak dulu. Leon menutup dan mengunci pintu.
Ketika sampai di luar jalan Kampung Kilat, aku berhenti menunggu Leon di dalam hujan. Leon mengikuti aku dari belakang. Jantungku memukul laju. Air hujan memedihkan mataku.
"Leon," panggilku ketika dia sampai. Hujan tiba-tiba jadi reda. Hanya rintik-tintik kasar masih gugur menimpa kami. Malam bermuram durja.
"Dalam teksi tu..." Suaraku tersangkut. Leon menunggu kata-kataku. Aku tak dapat meneruskannya. Hujan kembali lebat.
"Dalam teksi tu apa?" tanya Leon kian cemas. Wajahnya dikaburi air hujan.
"Mak kau ada dalam teksi tu..." kataku menahan tangis. Mendengar sahaja aku menyebut ibunya, Leon terus berlari ke arah teksi. Pintu teksi dibuka.
"Maaakkk!"
Aku dengar Leon berteriak. Perlahan-lahan aku merapati teksi. Abang Moin menyalakan lampu di dalam teksi. Aku lihat Leon sedang memangku kepala Mak Cik Sutiah.
"Maaakkk!" Leon meraung. Mak Cik Sutiah tidak bergerak. Leon memeluk ibunya. Mataku hangat dengan air mata.
"Mak... Mak... Buka mata... Buka mata tengok Leon. Leon ada dengan mak..."
Mata Mak Cik Sutiah tetap terpejam. Leon mengusap lembut rambut ibunya. Air matanya menitik di atas muka kurus ibunya.
"Mak... Leon dah kemas rumah kita bersih-bersih. Leon belikan bunga daisi kuning yang mak suka. Leon cari kerja. Mak tak payah kerja lagi. Kita pergi jauh dari sini. Orang tak boleh hina-hina mak lagi..." Leon mencium dahi ibunya.
"Kalau mak tak mahu balik rumah, Leon nak bakar rumah kita. Apa guna Leon balik kalau mak dah tak ada?" rintih Leon. Perasaanku terhiris. Abang Moin kulihat mengesat air mata dengan sapu tangannya yang renyuk.
"Mak..." Leon pegang pipi ibunya. Mak Cik Sutiah buka mata perlahan-lahan. Wajah Leon ditenungnya lama. Bibirnya yang pucat tersenyum getir. Hujan mencurah semula.
"Leon..." Terdengar suara Mak Cik Sutiah perlahan dan lelah.
"Leon..." panggilnya lagi sambil menatap wajah anaknya. Tangan Mak Cik Sutiah terangkat separuh. Dia mahu menyentuh pipi Leon tapi tenaganya tidak ada. Tangannya terkulai lemah.
Leon ambil tangan ibunya lalu dilekapkan ke pipinya. Mak cik Sutiah tersenyum dalam kepedihan. Tangannya meraba-raba pipi Leon yang basah.
"Bawa mak balik kampung kita. Mak nak mati di sana," pinta Mak Cik Sutiah dengan suara lemah. Tangisan Leon meninggi.
"Mana kita ada kampung. Mak anak yatim... Mak tinggal di rumah anak yatim. Kita tak ada siapa-siapa." Leon tersedu-sedan.
"Kita ada kampung, Leon. Kita ada ramai saudara-mara. Dia orang semua tengah tunggu mak balik. Dia orang suruh mak balik." Suara Mak Cik Sutiah terdengar bahagia dan seakan-akan kembali bertenaga.
Abang Moin keluar dari teksi. Dia datang padaku.
"Kita bawa saja Sutiah ke kampung abang," kata Abang Moin hampir berbisik.
"Kampung abang di mana?" tanyaku menyapu air mata dan hujan yang bersatu di wajahku.
"Tak jauh dari sini..."
Abang Moin lalu bergerak ke tempat pemandu. Aku menurut tanpa banyak cakap. Kami tembusi hujan dalam gerigis duka.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro