Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

5. Bukan Khayalan

USAI salam diberi, tangan kanan bergerak menyapu wajah dan berhenti di bibir. Tidak lama, meletus tangisan sayu memecah sunyi dinihari. Rasa bersalah meraja di dalam hati. Sudah 2 hari berehat di rumah Jae, rasanya aku sudah boleh berfikir dgn waras.

Mungkin betul kata Jae, aku terlalu tertekan dengan perkara yg menimpa. Tapi aku yakin. Aku hilang pertimbangan kerana pegangan aku pada Tuhan itu tidak utuh. Aku masih tidak menyerahkan seluruh kepercayaan padaNya. Aku tewas saat ada manusia lain yang lebih teruji dari aku.

Beg baju yang aku bawa bercuti tempohari aku tarik merapat ke pangkuan. Tidak ada barang yang hilang. Namun, entah bagaimana borang yang diisi oleh Eli sebelum aku tidak sedarkan diri itu, turut ada di dalam beg itu. Entah kerana Tuhan nak tunjukkan sesuatu, nak buat aku berfikir dan mengusahakan penyelesaian.

Mata melorot ke bahagian ruangan mengisi nama pada borang itu. Ada ngilu terbit di hati. Jelas sekali, Eli menulis nama di situ, Nur Alina bt Zahar. Bukan Nur Elyana.

Mana mungkin aku tidak terkejut separuh mati. Hampir-hampir hilang akal. Itu nama kakak kembarnya, Alin.

Di mana ya Eli sekarang? Sedang buat apa dia? Sedang menangis ke? Sudah makan ke dia? Pasti Eli terluka dengan apa yg aku lakukan di hospital tempoh hari.

Ya Allah, apa yg aku dah buat ni...

Pintu terkuak dari luar. Jae muncul dengan wajah tenang. Segelas air disua dan aku menyambut sambil membetulkan sila. Sejadah aku tolak ke tepi. Jae duduk di atas kerusi, memandang aku yg menghirup air sejuk itu dengan enak.

"Pagi-pagi buta kau bagi aku air sejuk?" Aku memerli.

"Supaya hati kau cepat sejuk."

Aku pandang Jae. Lain macam nadanya. "Kau dah rimas ke aku duduk kat sini?"

"Sikit pun tak. Yang aku rimas bila tengok kau macam ni. Rasanya kalau aku tak halau, sampai ke tualah kau hidup mereput kat sini."

Aku sengih tengok muka Jae. Tenang tapi nada suara dia, adeii... pedih. Air aku teguk sampai habis.

"Jangan risau. Aku dah waras. Lepas sarapan nanti aku balik rumah cari Eli. Rasa bersalah sangat tinggalkan dia macam tu. Kalau aku pun tertekan, apalagi dia. Hadap semua tu seorang diri. Jahatnya aku.."

"Sedar pulak yg kau tu tak waras. Sesedap rasa tendang aku hari tu. Dendam lama ke apa." Jae mengangkat kening. Aku ketawa, hambar.

"Buat pulak kat Eli macam tu, kalau bukan sebab kot putih yang aku pakai, memang melayang dah kau aku campak luar tingkap. Tengok bini macam nampak hantu. Kau dulu buat perangai hantu, elok je dia diam."

"Hah?" Aku pandang Jae, tak faham. Wajahnya nampak tegang.

"Pasal kau dengan perempuan lain. Aku tak tahulah perempuan mana kau kaut. Eli tahu. Dia nampak tapi sedikit pun dia tak cakap apa. Dengan isteri aku pun ada sekali. Apa benda yang korang mesrakan sangat dalam kereta tu. Tapi, dia minta isteri aku diam. Jangan beritahu kau. Hancur hati dia tu aku tak boleh bayang. Dia steady gelak terbahak-bahak depan kau lagi. Aku yang lelaki pun rasa hangin je. Kalau bukan sebab Eli sayang sangat kat kau, memang teruk dah kau aku 'basuh'. Lepas tu, bila dah jadi macam ni, kau boleh halau dia sesuka hati kau. Biar dia sakit, ketakutan seorang. Kau sememangnya tak pernah waras!"

Terkulat-kulat aku menelan api kemarahan Jae. Dia adalah kawan yg sentiasa tenang, ceria. Ini kali pertama aku tengok dia marah betul. Lebih parah bila mendengar setiap perkataannya tadi. Menambah-nambah rasa bersalah dan berdosa yg membusung di dada.

Eli...

Rasa macam basah balik kelopak mata ni. Aku bingkas berdiri.

"Nak ke mana?" soal Jae. Lagikan nak tanya?

"Cari Eli."

"Tenang. Duduk dulu. Aku tak habis cakap lagi," ujar Jae. Aku duduk di birai katil.

"Sekarang, kau habiskan wirid ke, munajat ke dan apa-apalah. Kejap lagi, kita sarapan dulu. Kemudian, aku drive, kita pergi balai polis. Okey?"

"Balai polis?" Kening aku bertaut.

"Ya." Jae diam seketika. Memandang lantai agak lama sebelum menarik nafas sedalamnya. Matanya bergerak memandang tepat pada aku. "Eli... dia hilang..."

"APA?" Terlompat aku dari katil.

"Pihak kompleks beli belah di bandar buat report. Melalui CCTV, diorang nampak Eli mungkin kena culik kat tempat parkir kereta. Nombor pendaftaran kereta palsu. Tak dapat dijejaki. Gerakan mencari dan siasatan sedang dibuat."

Aku cuba hadam satu persatu perkataan yg lahir dari mulut Jae. Kusut!

"Jangan stress sangat, Radh. Tenang."

"Tenang kepala hotak kau!" Aku membentak.

"Yalah! Waktu ni memang tak ada siapa boleh bantu kau. Allah je! Kalau kau nak kusut serabut sangat, macamlah benda tu boleh ubah balik apa yg dah berlaku! Belajarlah untuk tak mudah melatah macam ni."

Aku mengeluh berat. Terduduk kembali sambil meraut wajah.

"Istighfar, Radh. Mintak betul-betul kat Allah. Niat untuk berubah." Jae menghampiri dan menepuk bahu aku. Sebak.

"Aku... aku tak tahu..." Suara aku mengendur. Terasa mendung di langit kehidupan.

"Radh, baiki semula apa yg dah berlaku. Ada hikmahnya. Jangan sampai Tuhan ambil dia dari kau."

Aku hilang bicara.

———

"ELI... bangun..." Bisikan itu datang menyapu telinga. Eli membuka matanya perlahan-lahan. Kepala terasa berat. Bau busuk dan terkepam menyucuk hidung. Beberapa kali dia cuba membuka mata yg terasa payah.

Beberapa saat kemudian, baru tersedar dia berada di satu tempat yang asing. Tangannya terikat pada tali yang bersambung pada palang di siling bilik gelap itu.

Kaget.

Kakinya turut terikat dengan tali kasar. Belum sempat dia menstabilkan diri, rasa takut kembali mencengkam. Hendak menjerit, takut penculiknya mendengar. Matanya meliar ke segenap bilik. Cuba mencari peluang utk melarikan diri namun rasa cemas terasa menyekat akalnya untuk berfikir.

Hampir sejam selepas sedarkan diri, tiada sesiapa yang muncul. Entah sudah jam berapa. Hanya cahaya mentol suram membantu dia memandang sekitar bilik itu. Bersepah penuh kertas namun lantai dan sekitarnya bersih dari sebarang sampah.

Eli buntu. Cuba mencari punca kenapa dia diculik begini. Dia bukanlah kaya mana. Apalagi mama. Radhi? Lagilah tak kaya raya. Atau ada orang yang berdendam padanya?

Eli tersedu perlahan. Dia tahu dia tak boleh berputus harap. Dia yakin, dia tidak berseorangan menghadapi semua ini. Sesiapa pun yang membuat perkara ini padanya mesti atas izin Allah. Seboleh-boleh dia bertahan. Terus berbicara dari hati yang paling dalam.

Semakin lama, dia semakin sedar bilik itu semakin terang. Walaupun tidaklah sejelas mana namun berbanding beberapa jam tadi, ianya lebih terang. Rasanya sinaran matahari yg bersisa, menembusi kain yang menutupi tingkap.

Mata Eli tertancap pada dinding di sudut bilik. Penuh tampalan di situ. Sedaya upaya dia mengengsot, merapat ke situ. Matanya dikecilkan, cuba melihat dgn lebih jelas apa yg terpampang di hadapannya. Serentak nafasnya menjadi laju.

Dinding itu penuh dengan gambarnya! Gambar yg dia muatnaik di laman sosial, semuanya dicetak elok dan ditampal kemas. Lebih menakutkan, gambar dia yang diambil dari jauh. Lama dia memandang gambar yang paling hujung itu. Gambar dia dan Radhi sedang menikmati buah potong di gerai tepi pantai waktu bercuti baru-baru ini.

Nampaknya apa yang dirasakan selama ini bukanlah sekadar fantasi. Bukan khayalan. Bukan tersalah melihat.

Memang ada seseorang yang mengekorinya! Diekori oleh makhluk bernama manusia lebih menakutkan berbanding dengan makhluk yang tidak nampak dek mata kasar baginya.

Tiba-tiba terdengar suara seseorang terbatuk kasar di sebalik pintu. Eli mengengsot merapat ke dinding. Cemas. Tidak tahu apa yang patut dilakukan saat pintu itu terbuka.

Sesusuk tubuh tegap muncul dengan senyuman. Eli terkesima. Senyuman itu, nampak ikhlas. Tiada sinis, tiada kengerian namun di tangan kiri itu terpegang kemas pisau yang bersarung kulit haiwan.

————

BEG tangan Eli dipandang lama sebelum Jae menepuk belakang tubuh, menyedarkan aku dari lamunan panjang. Buntu. Rakaman CCTV menambah sesak di dada. Jelas seorang lelaki mengekori Eli sepanjang dia berada di dalam kompleks membeli belah itu. Hinggalah ketika Eli berlari keluar dari surau, meninggalkan beg tangannya. Mujur remaja yang menegurnya itu membawa beg itu ke kaunter informasi.

Rakaman dari sisi lain menampakkan Eli ketakutan di tangga kecemasan dan lelaki yang mengekorinya itu turun dari tingkat atas sambil membawa kayu panjang yang dihentak ke lantai tangga. Namun, hairan. Eli seakan ketakutan untuk menuruni tangga seakan mengelak sesuatu di hujungnya.

Di bahagian parkir pula, lelaki itu menyeret Eli dan memasukkannya ke dalam bonet kereta kemudian menghilang terus dari rakaman CCTV.

Tanpa bercakap apa-apa, aku bangun dan keluar dari bilik siasatan itu. Terus hingga keluar balai. Jae mengejar dari belakang dan duduk di tepi aku yang mencangkung menghadap longkang. Lama kami diam, membiarkan terik mentari membakar ubun-ubun.

"Berapa lama dia menanggung sendiri, rasa takut sendirian, mana aku nak cari dia..." Bukanlah aku mengeluh, lebih kepada mengadu sebenarnya.

"Tenang. Bumi ni ada tuannya. Kita minta kat Dia untuk share location Eli. InshaAllah dapat punya."

Aku jeling Jae. Muka serius dia buat aku rasa nak tapak je halkum dia tu.

"Apa jeling? Betullah aku cakap. Yang penting, kau kena tenang. Baru dapat detect 'GPS', signal kena kuat, betul. 'Data' kat dada kena banyak. 'Memori' tu kena clear dari catche perangai buruk, virus dosa, megabyte yg tak perlu. Buang je. Barulah cepat, mudah nak dpt location."

Eeii... Doktor Jae ni dah tukar profession ke apa. Dah macam Imam Muda, Pencetus Ummah. Jae jeling aku balik. Perasan dengan muka 'ye ye je kau ni' kat muka aku.

"Apa? Ustaz-ustaz, penceramah, tok bilal, pak imam je hamba Allah? Yang boleh sebut tentang Tuhan, malaikat, iman?"

Amboii. Macam tahu saja apa yg aku fikir. "Yang aku ni, kena sebut pasal kalsium je?" sambungnya.

"Kalsium!" Tergelak aku. Bongoklah Jae. Bahunya aku tumbuk kasar hingga terduduk dia di atas tar panas.

"Ujian bukannya mesti ubah kita jadi orang yang bermuram durja. Ujian tu, untuk buatkan sejauh mana kau makin rapat dengan Allah."

Aku pandang raut wajah Jae. Ada riak suram di situ. Ada sesuatu ke yang berlaku padanya?

Namun belum sempat aku bertanya, seorang pegawai polis memanggil kami untuk masuk semula ke dalam balai. Kami melangkah beriringan mengikut pegawai itu.

———

LELAKI itu mendekat. Eli merapat ke dinding. Sebolehnya dia mahu lenyap biar meresap masuk ke dalam batu konkrit itu. Matanya dipejam rapat. Bagai terhenti nafas apabila terasa sehelai kain lembut menutup sebahagian tubuhnya.

"Maaf, aku lupa nak bagi selimut utk kau malam tadi. Sejuk, kan?" Lunak suara garau itu berbicara. Menggigil tubuh Eli menahan rasa takut. Sungguh dia tidak mengerti dengan bahasa tubuh lelaki asing itu. Bahkan sebolehnya dia tidak mahu mereka bertentang mata.

"Janganlah takut, Eli."

Perlahan-lahan Eli membuka matanya. Sungguh dia sangat terkejut mendengar lelaki itu menyebut namanya dgn begitu mesra. Anak mata mereka bertembung sebelum Eli pantas memalingkan wajahnya. Terasa jantungnya hampir meletup melihat anak mata coklat lelaki itu.

"Aku Hans." Lelaki itu memperkenalkan diri. Dia bangkit dan mengemaskan kertas yg bertaburan di lantai. Langsir diselak sedikit, memberi laluan kepada udara segar menerobos masuk mengganti udara kepam semalaman ditinggalkan. Langit kosong biru terbentang di luar sana. Eli menelan air liur. Seakan berada di satu tempat yg tinggi.

"Kau lupa aku?" Hans menyoal, memandang Eli.

Eli mengetap bibir. Dia tidak mahu bersuara langsung. Dia tidak mahu tahu, tidak mahu terus terjerat. Dia hanya mahu keluar dari situ. Dia mahukan Radhi.

"Tapi aku tak lupa kau, Eli."

Seruan nama itu memaksa Eli mengangkat wajah, memandang Hans. Kali ini wajahnya nampak jelas disinari cahaya mentari yg lembut menyinari bumi. Langsir berolak perlahan dihembus angin. Eli mengecilkan mata. Seakan pernah melihat wajah itu. Entah di mana...

"Makanlah." Hans mengeluarkan tin biskut. Peket minuman segera, digunting dan dituang ke dalam mug. Pemanas air ditekan, mengeluarkan air mencurah ke dalam mug putih itu. Meja Jepun kecil diletak di hadapan Eli. Eli memandang sahaja. Teliti dan cermat Hans melakukannya. Air berasap nipis membawa aroma yg menggetarkan selera. Eli memang sedang kelaparan dari semalam.

"Dengar sini, Eli. Aku akan buka ikatan kau. Aku tak suka tengok kau kena ikat macam binatang. Tapi... kau mesti ingat." Hans menekan nada suaranya. Matanya mencerlung tajam tanda dia tidak bermain-main. "Apa sahaja usaha untuk kau keluar dari sini, kau takkan berjaya. Kalau kau cuba melawan aku, samada kau mati atau aku mati tapi kau tetap takkan boleh keluar dari sini. Jangan, paksa, aku." Nada itu penuh amaran yang berat. Eli hanya diam membatu. Nak buat apa pun dia masih tidak pasti.

Hans duduk di atas kerusi berkaki tinggi yg terletak di tepi tingkap berjeriji itu. Memandang ke luar sambil tangannya mengusap perlahan pisau bersarung di tangannya itu.

Sedikit rasa percaya hadir tanpa disedari. Eli menggosok pergelangan tangan yg terasa pedih kemudian mug di hadapannya dicapai. Tekaknya terasa kering. Perlahan dia menghirup, aroma Nescafe menenangkan sedikit mindanya. Ketika mug itu diteguk hampir habis, matanya terlihat ke dasar cawan itu. Ada cetakan nama di situ.

A-L-I-N

Berdentang mug itu tercampak ke atas lantai. Hans menoleh pantas. Melihat wajah pucat Eli. Sisa air yg terpercik di lantai dipandang sebelum dia mengambil kain basah dan mengelapnya. Mug itu dikutip sebelum kakinya terhenti apabila melihat nama ALIN di dasar mug. Pasti Eli terkejut melihat nama itu.

"Aku sayang Alin. Aku betul-betul sayang dia..." ujar Hans. Personalitinya nampak berubah, amat menakutkan.

Tangan sasa itu menggenggam kuat kain lap di tangan. Eli menahan nafas. Nada suara dan pandangan mata Hans kelihatan lain. Dia yakin sekarang, apa yang berlaku pasti berkait rapat dengan Alin, kakak kembarnya. Otaknya ligat memikirkan apa yg perlu dia buat jika Hans bertindak di luar jangkaan. Walaupun tubuhnya seakan mengeras namun anak mata bergerak-gerak ke setiap sudut bilik itu. Mencari benda untuk mempertahankan diri.

"Kau menyebabkan aku hilang Alin." Hans mengangkat pandangan, mencerlung ke arah Eli. "Tapi, kau boleh pulangkan balik Alin pada aku. Terima kasih, Eli... sebab wujud kat dunia ni."

—————

Mei 2017

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro