Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Tak payahlah nak menyewa dengan kawan-kawan. Tinggal aje dengan akak. Bukannya ada orang pun di rumah ni. Cuma akak dengan Abang Haikal aje."

Suara Suri sudah teruja. Tumpang seronok kerana Intan akhirnya berjaya dalam temu duga yang dihadirinya tempoh hari. Tercapai juga cita-cita Intan untuk bergelar seorang pensyarah. Berbaloi segala susah payah dan jerih perih yang dilakukan oleh adiknya itu demi mencapai cita-citanya.

"Seganlah Intan dengan Abang Haikal tu."

Intan cuba menolak.

"Ya Allah, budak bertuah ni! Nak segankan apa? Abang Haikal tu abang ipar awak, bukannya orang lain. Akak pun bukannya baru kahwin dengan dia. Dah bertahun-tahun. Macamlah Intan tak biasa dengan Abang Haikal tu. Mengada-ada tau budak ni."

Intan tersengih mendengar bebelan Suri. Memang betul pun, jika dibandingkan antara Firdaus dengan Haikal, Intan lebih segan dengan Haikal. Malunya terasa berganda bila berhadapan dengan Haikal.

Mungkin disebabkan jarak usia antara mereka yang tidak sejauh beza umurnya dengan Firdaus. Lagipun, waktu Erma berkahwin dengan Firdaus, dia masih bersekolah menengah.

Tetapi sewaktu Suri berkahwin dengan Haikal, dia sudah pun berada dalam tahun pertama di universiti. Sudah tahu malu bila berdepan dengan lelaki yang bukan mahram. Sudah ada perasaan untuk berkasih. Tapi sehingga kini, hatinya masih lagi kosong tidak terisi.

"Abang Haikal izinkan ke kak? Takut dia rasa tak selesa pula nanti."

"Itu Intan jangan risau. Akak jamin, Abang Haikal lagi seronok kalau Intan ada di rumah tu. Boleh juga temankan akak bila Abang Haikal tak ada di rumah. Intan tahu ajelah, Abang Haikal tu selalu aje outstation. Kadang-kadang sampai lima enam hari. Dia pun tidaklah bimbang nak tinggalkan akak lama-lama kalau Intan ada. Lagipun, taklah akak sunyi sangat nanti. Ini, kalau Abang Haikal tak ada, mulalah akak kebosanan di rumah tu. Balik-balik menghadap televisyen, bercakap dengan dinding."

"Okey, kalau macam tu Intan setuju. Tapi akak tanya Abang Haikal dulu. Kalau Abang Haikal izinkan Intan tinggal dengan akak, akak balik hujung minggu nanti, Intan terus ikut akak balik. Tapi, kalau Abang Haikal rasa tak selesa jika Intan tinggal bersama dekat rumah tu, it's okay, Intan boleh aje tinggal dengan kawan-kawan Intan. Intan pun tak mahulah ganggu privacy akak dengan abang."

"Jangan nak mengada-ada! Abang Haikal tak ada bantahan punya. Akak berani jamin. Awak tu anak dara. Risau akak nak biarkan Intan tinggal sendiri dengan kawan-kawan dekat luar sana tu."

"Akak ni, Intan bukannya budak kecil lagi. Umur Intan dah masuk tiga puluh tahun pun. Tahulah Intan jaga diri Intan ni," dengus Intan.

Suri tidak habis-habis melayannya seperti anak-anak kecil. Seolah-olah tidak sedar yang dirinya sudah pun menginjak dewasa.

"Orang jahat ada di mana-mana, Intan."

"Yalah, yalah. Intan tahulah tu."

Naik rimas Intan dibuatnya dengan sikap Suri yang keterlaluan menjaganya. Macamlah dia tu kanak-kanak yang memerlukan pemerhatian dua puluh empat jam!

"Marahlah tu," usik Suri.

Tahu sangat dia dengan perangai Intan yang mudah sahaja marah dan merajuk jika tidak kena pada gayanya.

"Bukannya marah. Tapi akak tu, melebih-lebih sangat. Over protective. Intan dah besar, kak. Bukannya budak-budak sekolah. Akak tak perlulah nak risaukan Intan sangat."

Suasana tiba-tiba bertukar sepi. Langsung tidak ada balasan daripada Suri.

Hati Intan mula terasa tidak enak. Bimbang jika Suri terasa hati dengan kata-katanya sebentar tadi. Aduh! Mulut ni kadang-kadang lancang betul bila bersuara. Dia langsung tidak ada maksud mahu membuatkan hati kakaknya itu terasa. Suri itu kakak yang baik, malah terlalu baik. Cuma, itulah. Sikap Suri kadang-kadang membuatkan dia lemas.

"Kak, Intan minta maaf, ya? Intan tak sengaja."

Tidak mahu suasana terus terasa janggal dan hening, Intan laju sahaja memohon maaf. Terdengar helaan nafas Suri di hujung talian sana.

"Kakak pun minta maaf juga, Intan. Kadang-kadang akak terlupa yang adik akak ni dah dewasa. Tapi, akak nak Intan tahu, yang Intan ni sentiasa sahaja kecil di mata akak. Akak sayangkan Intan, Intan ni sahajalah satu-satunya adik akak, sebab itulah kadang-kadang akak ni nampak berlebih-lebih pula."

"Intan faham, kak. Cuma Intan minta sesekali tu, berilah peluang kepada Intan nak berdikari pula. Ini, sikit-sikit akak tolong. Sikit-sikit mak dengan abah backup. Bila masanya Intan nak belajar hidup sendiri?"

"Kalau nak hidup sendiri, cepat-cepat kahwin. Masa tu, dengan rela hati kami akan lepaskan Intan untuk hidup sendiri."

Suri ketawa kecil. Lega hati Intan mendengarnya. Mujurlah rajuk Suri tidak lama.

"Kamu nak tinggal dengan kakak kamu tu?"

Penyapu lidi yang dipegangnya disandarkan Hajah Halilah pada pokok nangka yang sedang bergayut buahnya. Belum ada yang masak, mungkin dalam seminggu dua lagi adalah yang bakal menjadi habuan mereka sekeluarga. Itupun kalau ada rezeki. Tidak mahu berharap sangat kerana sudah banyak kali juga nangka itu menjadi rezeki tupai.

"Hurm... Kak Suri yang pelawa," balas Intan bersahaja. Memang betul pun, bukan dia yang beria-ia, tapi Suri yang menyuruh.

"Boleh tu boleh. Tapi mak tak mahu kamu menumpang lama-lama di rumah kakak kamu tu. Tak manis."

"Dah kenapa pula? Bukannya Intan menumpang dekat rumah orang lain. Rumah kakak Intan juga."

"Kalau kamu tu lelaki, mak tak kesah. Tapi kamu tu perempuan. Abang Haikal kamu tu cuma abang ipar sahaja. Kalau dia tu abang kandung kamu, tak apa."

"Intan tak fahamlah mak cakap apa."

Hajah Halilah menjeling.

"Tak elok, tak manis. Kamu dengan Abang Haikal kamu tu bukan mahram. Boleh berkahwin. Kalau kakak kamu tak ada di rumah, tidak ke janggal kamu tinggal berdua aje dengan Abang Haikal kamu di rumah tu."

Intan ketawa kecil. Itu rupa-rupanya yang difikirkan oleh emaknya. Lucu!

"Mak, Abang Haikal tu dah macam abang Intan. Dia tu kan suami Kak Suri. Takkanlah Intan nak kahwin dengan dia pula? Merepek betul mak ni."

Hajah Halilah ni macam-macam sungguh! Imaginasinya memang betul-betul di luar kotak.

"Ya. Dia memanglah abang ipar kamu. Sebab itulah mak berpesan. Ingat, bila kamu berada di rumah kakak kamu tu, kamu kena jaga aurat, kena jaga kelakuan kamu."

Ah, rimas! Emak mulalah dengan siri ceramah dia tu. Intan mengeluh. Jengkel pula dia bila Hajah Halilah mula menasihatinya dengan perkara yang langsung tidak masuk dek akal.

"Ya. Intan ingat pesan mak tu."

"Nanti, tanyalah kawan-kawan kamu kalau-kalau ada yang perlukan kawan serumah. Jangan kamu lama-lama pula menumpang di rumah Kak Suri tu."

Intan menjulingkan matanya ke atas.

"Ya, mak. Intan tahulah tu. Lagipun kan Intan dah beritahu tadi, bukan Intan yang beria-ia nak tinggal dengan Kak Suri. Kak Suri yang paksa Intan. Kalau mak tak percaya, mak tanyalah Kak Suri tu sendiri."

Intan menjuihkan bibirnya. Dia pula yang terpaksa menadah telinga mendengar bermacam-macam pesanan daripada Hajah Halilah. Padahal, Suri yang beria-ia mengajaknya tinggal bersama. Tak faham betul dengan mak ni.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro