Bab 8
"Kau datang sekolah naik apa? Tak nampak pun kereta kau dekat parking." Hairan Juli, kereta tak ada, tapi tuannya ada.
"Kereta aku rosak semalam. Ada dekat bengkel, dalam rawatan. Rosak dekat highway kau tahu? Rasa nak menangis aku dibuatnya."
Suri bercerita. Memang pun. Sampai di rumah, tidak semena-mena dia menangis. Sudahlah Haikal tak ada, ke Alor Setar atas tuntutan kerja. Kereta pula buat hal. Puas menangis, barulah dia menelefon Haikal. Teresak-esak dia mengadu. Panjang lebar jugalah Haikal memujuknya. Semalam memang merupakan hari yang panjang buat Suri.
"La, ya ke? Dah tu, kau datang sekolah hari ni naik apa?"
"Teksi," balas Suri sepatah.
Rasa hilang mood terus bila teringatkan kisah semalam.
"Kau keluar pergi kursus semalam, kan?"
"Ya. Balik dari kursus itulah yang rosaknya."
"Rosak apa? Boleh bergerak tak kereta tu?"
"Enjin mati terus. Asap keluar berkepul-kepul dari bonet tu. Aku ni, nak buka bonet pun tak pandai. Manalah pernah buka sebelum ni, semuanya Haikal yang buat. Atau hantar aje ke kedai. Bila jadi macam ni, dan-dan aku rasa nak belajar buka bonet, tukar tayar kereta dan yang sewaktu dengannya. Susah bila Haikal tak ada."
"Habis tu, kau panggil tow truck ke semalam?"
"Hurm... Itu lagi sadis. Bateri telefon aku habis. Power bank tertinggal dekat rumah."
Aduh, sedih betul Suri rasa waktu bercerita tentang peristiwa semalam.
"Dah tu, macam mana..."
"Ada lelaki yang dikirimkan Tuhan untuk menolong aku. Tapi aku langsung tak tahu nama dia, langsung tak tanya. Dia tolong aku sampailah kereta aku selamat ke bengkel. Aku pula, jangan kata nak minta nombor telefon dia, nama dia pun aku tak tanya."
Suri menepuk-nepuk pipinya beberapa kali. Ralat sungguh rasanya.
"Kau tu, apa aje yang kau ingat kecuali Haikal. Baru Haikal tak ada dua hari, dah nanar semacam. Macamlah tak biasa ditinggalkan."
Juli menyakat. Suri mencebikkan bibir. Memang dia rindukan Haikal, tapi tidaklah sampai seteruk itu.
Falah bernyanyi-nyanyi kecil. Walaupun kedengaran sumbang, tapi dia tidak peduli. Bukannya ada sesiapa pun yang mahu mengadili nyanyiannya. Lagipun, lagu mendiang Broery Marantika kut, hati kata tak mahu menyanyi, tapi tahu-tahu mulut dah menyebut lirik lagu dengan lancarnya.
Sambil menyanyi, dia membuang pandangan ke luar tingkap. Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa semalam. Bagaimana agaknya dengan gadis tu, ya?
Dia balik ke rumah naik apa? Rumahnya di mana? Aduhai, semalam tak mahu tanya, hari ini menderu-deru pula soalan yang tidak terlintas itu lalu-lalang dalam benaknya. Falah mengeluh. Rasa sedikit ralat kerana tidak tahu khabar gadis itu, selamatkah dia sampai hingga ke rumahnya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro