Bab 7
"Jadi kamu nak ke Klang esok?"
"Jadi, mak. Barang-barang yang Falah pesan tu dah sampai pun dekat pelabuhan. Lagipun esok Din kata dia free. Bolehlah dia hantarkan barang-barang tu terus ke sini."
Cikgu Misrah mengangguk. Anak ini biarpun belajar tidaklah setinggi mana, tapi rajin bekerja. Lega jugalah hati dia dan Ustaz Yusuf. Biarpun Falah tidak cemerlang dalam akademik, namun anak ini pandai mengatur hidupnya sendiri.
"Kamu ni pesan barang bukan main jauh lagi. Macamlah dekat-dekat sini tak ada."
"Bukan tak ada. Tapi, mahallah sikit, mak. Kalau mahal macam tu, berapa sen sangatlah untung Falah nanti. Pelanggan pun, mestilah cari bengkel yang boleh beri harga alat ganti kereta yang lebih murah."
Memang dia biasa menempah alat-alat ganti kereta daripada pembekal dari luar negara yang dikenalinya menerusi Facebook. Harga yang diperolehinya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh kilang-kilang alat ganti yang lain di sini.
Cikgu Misrah diam. Dia bukannya tahu apa-apa pun tentang alat ganti kereta. Falah aje yang rajin duk bercerita dengannya. Ustaz Yusuf bolehlah juga menyampuk itu dan ini. Dia? Hurm...
"Dah tu, kamu balik terus atau bermalam dekat sana?"
Biasanya kalau Falah ke Klang, dia akan menumpang tidur di rumah kakak keduanya, Suhana. Suhana yang sudah berbelas tahun tinggal di Bukit Raja memang pantang kalau Falah ke sana tetapi tidak singgah di rumahnya.
"Balik terus kut, mak. Sebab nanti kalau barang-barang tu sampai dekat bengkel, tak ada siapa pula yang nak uruskan. Tengoklah dulu nanti macam mana."
"Tak boleh minta tolong Shuib ke?"
Risau pula Cikgu Misrah. Penat memandu pun belum hilang, Falah nak balik semula ke Rompin? Kalau pergi berdua tu lainlah, boleh juga bergilir-gilir memandu. Ini seorang diri. Hesy...
"Boleh. Nantilah Falah bincang dengan Shuib dulu."
Falah simpul senyum. Cikgu Misrah tetap menganggapnya seperti anak-anak kecil. Rasa risau emaknya itu tak pernah berkurangan. Aduhai mak, Falah dah nak masuk tiga puluh satu tahun, mak. Namun kata-kata itu tidak terluah. Mungkin nanti dia pun akan begitu bila sudah ada anak.
Suri rasa tidak sedap hati. Sejak keluar dari plaza tol tadi, kereta yang dipandunya seolah-olah ada yang tidak kena. Berat semacam pun ada. Dia lantas memberikan signal untuk berhenti di lorong kecemasan. Takut sebenarnya mahu berhenti di lorong kecemasan di tengah-tengah lebuh raya yang semua kenderaan dipandu laju-laju belaka.
Tapi, apa lagi pilihan yang dia ada? Mahu diteruskan perjalanan, dia bimbang, buatnya enjin kereta mati tiba-tiba, tidakkah lagi haru jadinya?
Sebaik sahaja keluar dari kereta, mata Suri terpaku. Aduhai, waktu-waktu beginilah kereta mahu buat hal pun. Asap yang keluar dari bonet membuatkan dia panik seketika.
Dia berpusing. Membuka pintu di sebelah tempat duduk pemandu. Telefon yang berada atas dashboard dicapainya. Pantas nombor Haikal dicari lalu didail.
Belum pun sempat deringan pertama, skrin telefon bertukar gelap. Mata Suri terbeliak. Ya, ampun! Dugaan apakah ini? Suri pejam mata. Peluh mula merenik atas dahi. Inilah natijahnya kalau asyik membelek telefon waktu berkursus tadi. Power bank pula tertinggal di rumah. Oh, heaven!
Suri menekup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Menarik nafas panjang-panjang sebelum dihembusnya semula. Cuba berfikir secara rasional, tindakan yang paling bijak boleh diambilnya waktu ini.
Suri menggaru-garu kepala. Sebelah tangannya lagi mengelap peluh yang mula merenik di dahi. Cuaca sudahlah panas, kereta pula buat hal. Dugaan sungguh!
Waktu sedang berfikir-fikir itulah sebuah kereta tiba-tiba berhenti di depan keretanya. Seorang lelaki keluar kemudiannya dari tempat duduk hadapan kereta yang berwarna merah itu. Suri mula rasa cuak. Janganlah lelaki itu berniat jahat.
"Kenapa ni? Kereta rosak?"
Falah bertanya. Dia yang sedang memandu tadi rasa tergerak hati pula mahu berhenti bila dari jauh melihat wanita ini berdiri seorang diri di lorong kecemasan. Tentu ada sesuatu yang berlaku, telah hatinya tadi. Lantas dia turutkan gerak hati untuk berhenti.
"Tak tahulah, encik. Tiba-tiba aje enjin kereta ni mati," jawab Suri lurus.
Dalam cuak, hatinya terasa bersyukur juga. Nampak air muka lelaki ni macam orang baik-baik. Sebenarnya, dia pun rasa seram juga berseorangan di tepi jalan. Macam-macam boleh jadi.
"Boleh saya tengok-tengokkan?" pinta Falah.
Suri laju mengangguk. Orang sudah menawar diri mahu menolong, masakan mahu ditolak pula?
Bonet kereta di bahagian depan dibuka. Berkepul-kepul asap yang pada mulanya malu-malu mahu keluar. Mata lelaki itu tekun menelek bahagian enjin kereta. Suri hanya mampu memandang. Mahu bertanya pun dia tidak tahu apa yang mahu ditanya.
Segala hal berkaitan dengan kereta memang dia langsung tidak tahu. Tahunya isi minyak, cukup tempoh hantar kereta pergi servis dan kalau tayar kurang angin minta tolong Haikal isikan. Buka bonet kereta di bahagian depan itu pun dia tidak pernah. Nampak gayanya, banyak yang dia perlu belajar selepas ini. Tambah-tambah bila Haikal tiada, pandai-pandailah dia selesaikan semuanya sendiri.
"Hurm... Radiator ada masalah ni. Air kering."
"Teruk ke?"
"Taklah teruk sangat. Boleh bergerak lagi kereta ni. Cuma kena tunggu enjin sejuk dulu sikit. Kemudian tambah air pada tangki radiator. Lepas tu, cik kena bawa kereta ni ke bengkel. Tangki radiator bocor rasanya ni."
Suri hanya mengangguk. Langsung tidak masuk kepala apa yang diberitahu Falah. Radiator tu biasa juga dia dengar, tapi bagaimana rupa radiator tu, memang langsung dia tidak tahu dan tidak pernah tengok pun.
"Tak mengapalah kalau macam tu. Saya tunggulah sampai enjin kereta ni sejuk. Errr... Boleh tunjukkan saya mana tangki radiator tu? Nanti senang saya nak tambahkan air."
"Cik ada ke airnya?"
Falah tidak menjawab soalan Suri, sebaliknya bertanya pula.
"Air teh hijau ada lebih sikit lagi dalam botol. Nanti saya ambilkan."
Hampir tersedak Falah mendengarnya.
"Eh, tak payah!" halang Falah cepat-cepat. Dahi Suri berkerut. Tadi kata nak air, orang nak ambil air, dia kata tak payah pula. Pelik lelaki ni! Hati Suri mula menilai.
"Kenapa?" soal Suri sedikit tidak puas hati.
"Tak boleh. Rosak enjin nanti. Kena guna air putih aje. Air paip pun tak apa."
"La... Macam tu ke?"
Polos soalan yang diajukan Suri.
Falah sembunyi senyum. Dia tahu yang Suri bertanya sungguh-sungguh. Bukannya mahu melawak. Tapi soalan itu terasa lucu pula pada telinganya.
"Dah tu, nak buat macam mana ni? Setitik air putih pun saya tak ada. Stesen minyak pun jauh lagi rasanya dari sini. Kalau tidak, boleh juga saya pergi beli air mineral."
Suri mengeluh. Boleh pengsan rasanya panas-panas terik begini berjemur di tepi lebuh raya. Macam tak ada tempat lain kereta ni nak ajak berkelah. Ah, masalah sungguh!
Melihat wajah Suri yang jelas nampak kecewa, buat hati Falah tambah simpati. Dia mengerling jam di tangan. Janjinya dengan Din ada berbaki lebih kurang setengah jam lagi. Ah, tak mengapalah. Din boleh tunggu aku, kalau aku tinggalkan perempuan ni di sini, kasihan pula dia. Kalau jadi apa-apa, menyesal tak sudah aku nanti, getus hati Falah.
"Cik tunggu dekat sini sekejap. Dalam kereta saya ada rasanya air kosong tu. Tunggu. Saya pergi ambil."
Belum sempat Suri menjawab, Falah sudah berpaling. Berjalan semula ke arah kereta yang terletak lima meter dari situ.
Suri hela nafas lega. Mujurlah di dalam dunia ni masih ada lagi orang yang baik-baik.
Falah kembali semula dengan membawa sebotol besar air. Namun tidak terus dituangnya ke dalam radiator yang masih berasap. Malah penutup radiator tu pun tidak dibuka Falah.
"Tunggu enjin kereta sejuk sikit. Bahaya kalau kita buka penutup radiator waktu enjin tengah panas."
Oh, begitu. Suri mengangguk. Manalah dia tahu.
"Errr... Kalau encik ada hal, tak apalah. Tinggalkan aje air dekat situ. Nanti saya tuang sendiri. Cuma saya nak tahu yang mana satu tangki radiator? Takut tersalah tuang," beritahu Suri terus terang. Kalau tak tahu, jangan nak berlagak pandai.
"Tak apa. Saya tunggu dekat sini. Enjin sejuk aje, saya tuangkan."
"Menyusahkan encik aje. Betul ni, saya tak apa-apa. Boleh aje kalau encik tinggalkan saya. Cuma itulah, tunjukkan saya tempat untuk saya tuangkan air tu nanti."
Serba salah pula Suri. Bukannya dia tidak nampak yang mata lelaki itu sekejap-sekejap mengerling jam di tangan.
"Tak menyusahkan pun. Saya lagi susah hati kalau tinggalkan cik sorang-sorang dekat tepi highway ni. Sekejap aje. Enjin sejuk, saya isikan air, kereta cik bergerak, maka kereta saya pun akan bergerak," balas Falah.
Tangannya menarik telefon yang berada di dalam poket. Mahu menelefon Din. Tidak mahu Din tertunggu-tunggu pula bayangnya yang tidak kunjung tiba.
Telinga Suri tegak berdiri. Cuba mencuri dengar perbualan Falah. Aduh, bila didengar, rasa bersalah pula hati. Memang lelaki ni ada urusan pun. Tapi, dia yang beria-ia nak menunggu. Bukannya aku yang paksa. Suri cuba menyedapkan hati sendiri.
Empat puluh lima minit kemudian, barulah kereta Suri dapat dihidupkan. Dan seperti kata Falah, Suri bergerak, maka barulah dia akan bergerak sama.
Sehingga ke bengkel, kereta Suri dituntunnya. Suri mahu menghulurkan bayaran untuk pertolongan yang diberikan Falah, namun mati-mati Falah menolak. Kata Falah, dia ikhlas menolong Suri. Berkali-kali Suri mengucapkan terima kasih. Kalaulah tiada Falah, tidak tahulah dia apa yang boleh dibuatnya seorang diri di situ.
Setelah kereta Falah berlalu pergi, Suri menepuk dahi sendiri. Hampir sejam Falah menemaninya, langsung dia tidak tergerak mahu bertanyakan nama lelaki itu. Malah, nombor telefon Falah pun tidak disimpannya. Kalau tidak, boleh juga dikirimkan hadiah sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga atas bantuan yang lelaki itu berikan. Suri, Suri. Teruk betul kau ni!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro