Bab 6
Lepas rehat, suasana di dalam bilik guru itu riuh sahaja. Suri yang baru habis kelas terpinga-pinga. Ada keraian apa di dalam bilik guru hari ini?
"Ada apa yang riuh semacam ni?"
Suri bertanya kepada Cikgu Hasnah yang baru sahaja kembali ke tempatnya, depan meja Suri.
"Damia nak kahwin dua minggu lagi. Diam-diam aje dia. Langsung tak dengar berita bertunang ke apa ke. Tahu-tahu dah nak bernikah. Pandai budak tu simpan rahsia."
"Oh..."
Suri mengangguk-anggukkan kepalanya. Patutlah. Malas dia mahu menyertai keriuhan di dalam bilik guru itu, sementelah jadualnya agak padat hari ini.
Nantilah, sebelum balik, dia akan berjumpa dengan Damia untuk mengucapkan tahniah atas perkahwinan yang bakal berlangsung.
"Kak Suri, jangan lupa datang tau!"
Baru Suri mahu membuka penutup bekas air masak yang dibawanya dari rumah, tubuh Damia tiba-tiba sahaja sudah berdiri di tepi mejanya sambil mengunjukkan sekeping kad yang berada di dalam sampul berwarna merah jambu.
"Wah, diam-diam aje dia, ya? Tahniah ya, Damia."
Suri mengusik. Wajah Damia jelas kelihatan berseri-seri. Seri bakal pengantin agaknya.
"Tak adalah diam mana pun kak, cuma tak kecoh aje."
Damia sudah terkekeh-kekeh ketawa.
"Insya-Allah, kalau tak ada aral, akak akan sampai nanti. Orang mana bakal suami Damia ni?"
"Orang Perak, kak... Kawan masa sama-sama sekolah menengah dulu."
"Oh, dah lamalah ni berkawan. Baguslah, syukur jodoh Damia dengan dia. Tak adalah rasa rugi berkawan lama-lama."
Damia ketawa lagi. Orang sedang bahagia, maka senyum tawa sahajalah yang terukir pada wajahnya.
"Alhamdulillah, kak. Ada juga jodoh kami. Tapi itulah, lepas gaduh, putus. Sambung semula, gaduh lagi. Putus, berbaik semula," cerita Damia tanpa diminta.
"Baguslah, Damia. Rezeki Damia, jodoh sampai awal. Senang kahwin muda-muda ni, lepas kahwin, terus beranak. Nanti bila usia dah makin meningkat, kesuburan pun mulalah menurun. Mulalah payah nak dapat anak. Tengok Cikgu Suri ni, bertahun kahwin tapi tak dapat anak. Bila dah mula masuk angka tiga puluhan, lagilah payah! Dah tak subur. Kita ni bukannya sama macam lelaki. Mereka kahwin umur lima puluhan pun masih mampu berikan isteri tu anak."
Cikgu Hasnah tiba-tiba menyampuk. Tidak tahu entah dari mana datangnya, tahu-tahu sudah berdiri di sebelah Damia.
Wajah Suri serta-merta berubah. Pedihnya kata-kata Cikgu Hasnah sehingga tembus ke dasar hati.
"Kak Hasnah..."
Serba salah pula Damia bila melihat raut wajah Suri yang sudah bertukar mendung.
"Akak cuma berkongsi fakta yang pernah akak baca aje. Bukannya ada niat apa-apa pun. Nak kahwin ni Damia, kenalah juga belajar tip-tip daripada orang yang dah ada pengalaman. Bukannya main redah aje. Kadang-kadang, teknik di dalam bilik tidur pun tak betul, itu yang payah nak lekat tu."
Mulut Cikgu Hasnah masih belum puas menaburkan duri pada hati Suri yang sudah sedia terluka.
"Macam mana teknik yang betul tu, Kak Has? Kongsilah atau cuba Kak Has buat demonstrasi depan kami ni. Nak jugalah belajar. Ilmu juga tu, kan? Hebat Kak Has ni, Damia. Jangan tak tahu, Kak Has ni juara di sekolah ni. Tiap-tiap tahun dia beranak. Tiap-tiap tahun kami ni kena relief kelas Kak Has. Sampai doktor pun nasihat suruh ikat peranakan tu sebab produktif sangat. Betul tak, Kak Has?"
Suri segera menoleh ke sisi. Rasa mahu dipeluknya tubuh Juli kuat-kuat!
"Akak cuma cakap yang betul aje."
Cikgu Hasnah cuba membela diri.
"La... Saya tak pula kata apa yang akak cakap tu salah. Saya cuma minta share aje ilmu akak yang hebat tu. Ada anak akak yang lahir dalam tahun yang sama, kan? Seorang awal tahun, seorang lagi akhir tahun. Ada tiga atau empat orang anak akak yang akak hantar ke kampung untuk mak akak jaga, kan? Sebab akak tak larat nak jaga anak ramai-ramai. Tiap hari akak mengeluh, anak ramai belanja besarlah, makan banyaklah, sampai nak menyimpan pun tak boleh. Tapi kan kak, macam yang akak pernah kata, anak tu rezeki, mana boleh akak mengeluh. Putus rezeki akak tu nanti. Errr... Sepuluh ke sebelas orang anak akak, ya? Saya pun dah ingat-ingat lupa. Ramai sangat!"
Perlahan tangan Suri merayap. Mencubit paha Juli yang berlapik baju kurung bertanah biru dan berbunga merah jambu.
"Eh, dah kau kenapa cubit-cubit aku ni? Aku nak sedut ilmu dengan Kak Has ni. Kau jangan nak dengki pula, ya? Aku ni dah enam tahun kahwin, anak baru tiga orang. Kau tu langsung tak ada anak, dah masuk tujuh tahun kahwin. Manalah tahu, lepas Kak Has turunkan ilmu, berdesup lekat, mahu beranak tak berhenti-henti kau lepas tu. Langsung senyap mulut-mulut orang yang kata kau ni mandul."
Wajah Cikgu Hasnah terus berubah. Tanpa pamitan, terus dia bergegas mencapai buku rekod mengajar langsung laju-laju meninggalkan bilik guru yang mula berbahang.
"Kau ni..."
"Aku ni dah lama pendam, Suri. Tunggu kau bersuara? Huh! Telinga aku sendiri pernah dengar mulut dia menceceh hal kau dekat kantin tau! Kata kau ni tak subur. Kalau kau ni betul-betul subur, dah lama kau beranak. Apa lagi yang dia kata, ya? Ha, kau ni tak pandai atas katil, sebab tu payah lekat. Badan kau tak cukup zat, sebab tu ovum kau tak boleh bersenyawa dengan sperma. Ewah, ewah, ewah! Dia tu mengalahkan pakar sakit puan. Nasib baik dia cepat-cepat keluar, kalau tak, banyak lagi aku nak basuh ni."
Damia terkelip-kelip. Langsung dia tidak sangka yang Juli tu kalau sudah marah, boleh bertukar menjadi seekor raksasa yang sangat menakutkan.
"Sudah... Kau tengok muka Damia ni. Dah pucat lesi, terkejut tengok kau tiba-tiba naik hantu."
Suri ketawa kecil. Geli hati melihat muka Damia yang sudah melongo.
"Maaflah, Damia terpaksa tengok pula adegan yang tak seronok ditonton tu. Nak tunggu Kak Suri kau ni bersuara, hurm... Kirim salam! Sabar tu biarlah berpada-pada. Kadang-kadang kita kena juga lepaskan."
"Saya kagum pula tengok akak tadi. Macam pahlawan membela Kak Suri. Tapi sebenarnya, betul juga kata Kak Juli ni, Kak Suri. Saya pun selalu dengar Kak Has bercerita tentang hal cikgu-cikgu lain. Nak menyampuk, tak berani. Nak menegur, lagilah saya takut. Tambah-tambah saya ni cikgu baru dekat sini."
"Damia hati-hatilah. Bukan semua orang boleh dibuat kawan. Kadang-kadang orang yang kita lihat baik tu, tak semestinya baik juga hatinya. Akak ni sebab dah berkawan lama dengan Suri ni, tahu cerita yang sebenar. Kalau tidak, tak kuasa akak nak membela dia."
Suri menepuk paha Juli. Kuat. Bukan main lagi Juli mengata dia, depan-depan pula tu.
"Muka tak ceria aje ni, kenapa? Banyak kerja dekat sekolah?" Malam itu Haikal bertanya. Sejak dari tadi dia perhatikan, Suri lebih banyak diam dari bersuara. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang berat.
"Tak. Bukan masalah kerja."
"Habis tu, masalah apa?"
Haikal sudah berkalih tempat duduk. Tubuhnya dihadapkan ke arah Suri yang duduk di sebelah. Biar senang dia melihat air muka Suri, biar mudah dia mengesan jika ada sesuatu yang mengusik hati isterinya.
"Bang, boleh tak kalau Suri nak minta sesuatu daripada abang?"
"Apa dia, Suri?"
"Kita buat IVF, bang. Kita cubalah walau sekali, manalah tahu. Percent untuk dapat anak melalui IVF ni lebih tinggi kalau nak dibandingkan dengan kaedah IUI yang pernah kawan abang cuba dulu. Boleh tak, bang?"
Haikal terdiam. Kalaulah dia tahu itu yang membuatkan muka isterinya rusuh, sumpah dia tidak akan bertanya. Lebih baik dia buat tidak tahu dan duduk diam-diam sambil menonton perlawanan bola.
"Bang..."
Suara Suri sudah separuh merayu. Berharap benar yang Haikal tidak akan menolak kali ini.
"Nantilah. Abang akan fikirkan dulu."
Haikal kembali menyandarkan tubuh. Matanya kembali fokus kepada skrin televisyen yang sedia terpasang. Namun, hati dan fikirannya sudah tiada di situ.
Bukan dia kejam, bukan dia tidak memahami perasaan Suri yang terlalu inginkan anak. Tapi, sungguh! Dia malas mahu melalui proses demi proses yang disebut Suri tadi. Bukannya cukup dengan sekali dua mereka berulang-alik ke hospital.
Mendengar Zamira di pejabat yang sudah dua kali mencuba kaedah IUI namun gagal, buat dia pula yang rasa lelah. Itu baru yang mendengar. Belum lagi dia sendiri yang mencubanya. Sekarang Zamira sibuk berulang-alik ke hospital swasta pula, mahu cuba kaedah yang disebut Suri tadi agaknya.
Haikal tahu, dia bukanlah seperti suami Zamira. Sanggup menghadap muka doktor berkali-kali. Melakukan ujian itu dan ini. Dia hanyalah lelaki yang dipenuhi rasa malu, mungkin juga ego.
Bersetuju dengan cadangan yang diajukan Suri bermakna dia mengakui yang dirinya tidak cukup sempurna sebagai seorang lelaki. Mahu mendapatkan anak pun perlu melalui cara lain, tidak seperti lelaki-lelaki normal dan sempurna di luar sana. Malu! Sudahnya Haikal hanya mahu berserah sahaja. Ada rezeki, adalah, tiada pun baginya tidak mengapa. Asalkan jangan dipaksa dia untuk mencuba kaedah perubatan moden demi untuk mendapatkan anak.
Melihat Haikal yang seolah-olah tidak berminat untuk meneruskan perbualan, Suri langsung faham. Sudah lama dia kenal dengan Haikal, dua tahun mereka berkawan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Kini, sudah masuk tahun ketujuh mereka melayari alam rumah tangga. Suri akui yang mereka bahagia, namun dia tetap rasa ada kekurangan dalam perkahwinan mereka. Anak!
Ya, selagi dia tidak dapat melahirkan zuriat buat Haikal, selagi itulah dia berasa yang dirinya tidak sempurna sebagai seorang wanita. Dia tidak minta banyak, cukuplah walau hanya seorang sahaja anak yang dikurniakan buat mereka. Tapi hingga kini, hajat yang satu itu masih lagi belum termakbul.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro