Bab 5
Falah melihat sahaja wajah emaknya yang tegang semacam. Mahu menegur, sumpah dia tidak berani. Cikgu Misrah kalau sedang marah, jangan dibuat bergurau. Sesekali Falah mengerling ke arah ayahnya, Ustaz Yusuf. Pun sama sepertinya, buat-buat tidak tahu.
Cikgu Misrah menghulurkan pinggan yang berisi nasi goreng kepada Falah. Cepat-cepat Falah menyambutnya. Tidak mahu disebabkan dia lambat menyambut huluran emaknya itu, maka pinggan itu pula yang bakal menjadi asbab kepada meletusnya kemarahan Cikgu Misrah.
Bukan dia tidak tahu, Cikgu Misrah sedang menunggu masa sahaja untuk meletup. Renungan mata Cikgu Misrah yang semacam itu pun sudah dia dapat mengagak. Tunggulah sekejap lagi, kalau tidak ribut, mungkin akan ada taufan berlaku di dapur rumah mereka.
"Kamu dengan Yasmin tu macam mana?"
Kan dah kata. Tapi, memang Yasmin ke yang menjadi punca kemarahan emaknya pagi ni?
"Macam biasa ajelah," balas Falah laju.
Ya, dah memang itu pun hakikatnya. Hubungannya dengan Yasmin macam biasa sahaja. Tidak terlebih, tidak terkurang.
"Macam biasa! Itu ajelah jawapan kamu bila mak tanya. Tak pernah ada jawapan lain. Skema jawapan kamu tu dah boleh mak hafal."
Ustaz Yusuf menjeling melalui hujung mata. Tidak setuju dengan tindakan isterinya yang suka benar bawa macam-macam isu untuk dibahaskan di meja makan.
Sudah serupa drama Melayu. Asal bergaduh, dekat meja makan. Asal bincang projek juta-juta, waktu tengah makan. Mengarang ayat cinta pun di meja makan. Hesy, macam dah tak ada tempat lain!
"Awak ni, tak boleh ke tunggu kami ni habis makan, barulah tanya apa yang awak nak tahu tu? Ini waktu orang nak makan itulah dia nak tanya macam-macam! Nak menyuap nasi pun rasa terlekat dekat tekak."
Cikgu Misrah menjeling. Siap senget-senget mulutnya, tidak bersetuju bila ditegur suaminya di depan Falah.
"Kalau rasa terlekat, tu ada dua jenis air yang saya dah bancuh. Teh panas ada, kopi O panas pun ada. Kalau tak cukup, tu, satu jag air masak dah saya siapkan. Dalam peti sejuk tu pun, berjenis-jenis air ada. Air oren ada, air batu pun ada. Ke awak nak air mutlak, air mustakmal atau air musyammas? Boleh saya ambilkan."
"Dah, dah. Saya rasa awak yang kena pergi ambil air sembahyang ni. Bagi sejuk hati awak tu sikit."
Ustaz Yusuf cepat-cepat memotong. Jika dibiarkan, mungkin isterinya bakal membuka kelas ceramah tentang jenis-jenis air dalam dunia ni khas buat dia dan Falah.
Tajam jelingan dihadiahkan Cikgu Misrah buat suaminya. Hati tengah panas, boleh pula Ustaz Yusuf ajak bergurau.
"Mari makan dulu. Lepas makan, perut pun dah kenyang, baru selesa kita nak bercakap," ajak Ustaz Yusuf.
Manalah tahu, bila perut dah kenyang, maka akan redalah sedikit emosi Cikgu Misrah yang nampak kurang stabil.
"Lepas makan, lepas makan punya cerita. Ini isu waktu makan. Kalau awak tak mahu masuk campur, awak jangan cakap apa-apa. Anggap sahaja ini antara saya dengan anak bertuah ni."
Mata Cikgu Misrah beralih pula kepada Falah yang sopan menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Seolah-olah langsung tidak terganggu dengan pertelingkahan kecil antara dia dan Ustaz Yusuf tadi.
"Saya, mak?"
Jari telunjuk Falah menuding ke dadanya sendiri. Cikgu Misrah mengetap bibir. Geramnya mula berlapis-lapis.
"Ada kamu nampak anak-anak mak yang lain dekat meja makan ni ke, Ahmad Falah?"
Falah menyeringai.
"Kamu dengan Yasmin ni, macam mana sebetulnya? Teman tapi mesra atau rela dalam paksa?"
Falah tersengih. Lucu pula mendengar terma yang digunakan oleh emaknya.
"Mak, kan kami dah bertunang. Hubungan tu, dah tentulah dia tunang saya, saya tunang dia. Nak cakap hubungan yang macam mana lagi?"
Ustaz Yusuf tergelak. Dia dah agak, Falah bukan orang yang mudah melatah. Kalau setakat marah Cikgu Misrah tu, tidak akan ke mana kalau dengan Falah. Dalam ramai-ramai anaknya, hanya Falah yang tahu cara untuk melayan angin isterinya itu.
"Tapi itu bukan apa yang mak nampak. Kamu dengan dia tak macam orang yang sedang bertunang pun. Kamu ke barat, dia ke timur. Langsung tak nampak macam orang yang bakal nak bergelar pengantin."
"Habis tu, mak nak suruh kami berkepit dua puluh empat jam ke? Mata mak juga yang sakit nanti. Mulut mak juga yang senget-benget berleter. Lagipun, saya ni bekerja. Dia pun sama. Manalah ada masa nak berjumpa selalu. Lagipun tak eloklah, mak. Baru bertunang, haram tetap haram. Kalau tak ada keperluan, buat apalah kami nak berjumpa?"
"Kamu aje yang fikir macam tu. Dia berjumpa, berkepit dengan orang lain tak apa pula? Patutnya dialah yang lebih menjaga kelakuan dia tu. Dah bertunang, buatlah cara orang dah bertunang. Ini merata mengikut jantan yang entah datang dari mana."
Mencerlung tajam mata Cikgu Misrah. Geram melihat Falah yang tenang-tenang sahaja. Tapi tak ada apa yang nak dihairankan sebenarnya, memang sejak dari dulu pun perangai Falah dah sedia begitu.
"Dia berjumpa dengan siapa? Awak ada nampak ke? Kalau tak nampak jangan pula kita sebarkan cerita. Boleh jatuh fitnah kalau tak betul ceritanya tu."
Ustaz Yusuf pula menyampuk. Walaupun dia ada juga mendengar cerita-cerita yang kurang enak tentang bakal menantunya itu, namun dia malas ambil pusing. Kata-kata orang ni, adakalanya banyak yang ditokok tambah. Lebih banyak auta daripada yang benarnya.
"Abang haji sayang, dah banyak kali orang beritahu saya. Tapi saya aje yang sengaja buat-buat tak tahu. Buat-buat pekak konon-kononnya. Tapi hari ni, cuba awak atau anak awak ni cakap dengan saya, bila kakak ipar saya, maknanya, kakak kandung awak, mak ngah kamu ya Falah, yang beritahu mak, dia sendiri yang nampak tunang kamu tu dengan lelaki lain. Siap bertenggek atas motosikal budak tu. Peluk pinggang lagi kamu tahu? Cuba kamu duduk di tempat mak ni, boleh ke mak nak abaikan aje? Kali pertama atau kedua orang sampaikan, bolehlah kita kata itu pelanduk dua serupa, tapi kalau dah lebih sepuluh kali, itu bukan pelanduk dah, mungkin anak gajah dua serupa!"
Geram sahaja nada suara Cikgu Misrah. Sakit hati dengan anak dan suami yang acuh tak acuh sahaja mendengar ceritanya.
Falah tetap tenang seperti tadi. Tetap menyuap nasi dengan berselera walaupun diasak dengan pelbagai pertanyaan yang menyesakkan dada oleh emaknya.
"Dulu berialah datang meminang anak orang. Takut sangat anak kita ni terlepas ke tangan anak dara lain. Bila dah dapat, macam ni pula balasan yang diberikan."
Cerita lama mula diungkit Cikgu Misrah. Sempat matanya menjeling tajam. Baik anak, baik bapaknya, dua-dua diam tidak berkutik.
"Sudah. Tak payahlah disebut benda-benda yang dah lepas tu."
Ustaz Yusuf berdeham sekali. Dia sudah dapat mengagak, setiap kali Yasmin buat hal, pasti itulah modal yang digunakan Cikgu Misrah.
"Tak betul ke apa saya cakap? Dulu pun, siapa yang datang meminang siapa? Haji Hud tu yang datang meminang Si Falah ni tau! Beria-ia mahukan Si Falah ni jadi menantu dia. Tahulah anak kita ni baik, tapi kalau dia dah tahu yang anaknya tu perangai tak semenggah, nasihatlah. Didiklah elok-elok. Ini dibiarkan aje. Manalah budak tu tak naik tocang!"
"Mana awak tahu yang Haji Hud tu tak nasihatkan anak dia? Entah-entah dah berbuih mulut Haji Hud tu nasihatkan. Lagipun, budak Yasmin tu bukannya jahat, cuma lincah aje sikit orangnya."
"Cuma lincah sikit aje awak kata? Kalau dah menonggeng atas motosikal lelaki lain ke hulur ke hilir, itu bukan lagi kita panggil lincah, itu kita panggil menggeletis! Mak tak kira, Falah. Kamu kena nasihatkan tunang kamu tu sikit. Kalau dia tak mahu jaga air muka mak dan ayah dia, itu terpulanglah. Ini, air muka bakal mentua dia, itu pun kalau jadi kamu berdua berkahwin nanti, tolonglah minta dia fikirkan sama. Tebal muka mak ni bila cikgu-cikgu dekat sekolah tu bercerita. Sampai ke Kuantan kamu tahu orang jumpa dia dengan budak lelaki tu!"
"Budak lelaki yang mana pula ni?"
Berlapis tiga dahi Ustaz Yusuf dibuatnya. Laju betul berita sampai ke telinga isterinya.
"Ala, kekasih dia waktu sekolah dululah. Awak pun kenal rasanya. Bukannya orang lain, bekas anak murid awak juga."
Ustaz Yusuf sudah berkerut keningnya. Memang dulu Yasmin bersekolah di sekolah tempat dia mengajar. Sehingga Yasmin tamat tingkatan lima, dia masih berada di sekolah itu.
Cuma tiga tahun sebelum pencen, dia dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke sekolah yang agak jauh sedikit. Sekarang, sudah lebih dua tahun dia bersara dan lebih banyak terlibat dengan program yang dianjurkan oleh kariah masjid di kampung mereka.
"Bekas anak murid saya tu ramai. Bukannya seorang dua. Manalah saya nak ingat semuanya."
"Ala, Si Wafiy tu. Kacang hantu sejak dari zaman sekolah lagi. Tayar kereta cikgu habis dipancitkannya, disembur pula badan kereta cikgu tu dengan cat, kes peras ugut murid lain, minta wang perlindungan waktu sekolah dulu, awak lupa ke? Budak yang ayahnya datang serang cikgu dekat sekolah sampai terpaksa panggil polis untuk leraikan."
Terhenti tangan Ustaz Yusuf yang sedang rancak menggaul nasi.
"Oh, Wafiy tu."
Masakan dia boleh lupa. Ribut bilik guru dibuatnya bila ayah Si Wafiy muncul dengan memegang helmet. Mahu dihempuknya kepala guru kelas yang menghantar surat amaran ke rumah. Surat amaran yang Wafiy bakal diberhentikan sekolah kerana tidak hadir ke sekolah berminggu-minggu lamanya.
"Ya, Wafiy yang itulah. Wafiy Chamber gelarannya."
Falah terbatuk.
"Dah kenapa kamu ni? Kamu kenal ke Wafiy tu?"
Falah menggeleng. Namanya pun, inilah kali pertama Falah mendengarnya. Manalah dia hiraukan sangat tentang hal orang. Waktu bersekolah dulu, tamat sahaja UPSR, dia sudah masuk ke sekolah berasrama penuh.
Habis sahaja SPM, dia terus sambung pelajaran ke institut kemahiran sehinggalah berjaya memperolehi diploma. Kemudian, terus cari pengalaman bekerja di beberapa buah bengkel sebelum buat keputusan untuk kembali ke kampung dan membuka bengkel keretanya sendiri.
Tak sempat pun dia nak berkenalan dengan anak-anak murid ayahnya.
Yasmin itu pun jarang-jarang dia jumpa. Cuma sesekali terserempak sebab tinggal sekampung. Manalah dia tahu, dalam diam, Haji Hud, ayah Si Yasmin tu berkenan pula mahu jadikan dia sebagai menantu. Dan dia pun malas mahu fikir panjang-panjang kerana pada firasatnya, Haji Hud itu baik, warak orangnya, tentu anak Haji Hud pun tidak lari jauh dari acuannya. Rupa-rupanya, bukan sahaja lari dari acuan, malah adunannya pun tak sama!
Dia sendiri terkejut sewaktu berjumpa Yasmin selepas beberapa hari mereka bergelar tunangan secara rasmi. Dengan baju sendatnya, rambut yang diwarnakan perang, dan seluar singkat yang dipakai Yasmin betul-betul buat matanya rasa berbulu. Tapi dia malas mahu kecoh-kecoh. Lagipun, buruk-buruk Si Yasmin, itulah tunangnya. Tahulah dia mendidik Yasmin nanti setelah mereka sah bergelar suami isteri.
"Bila-bila kalau kamu jumpa Si Yasmin tu, jangan lupa sampaikan salam mak. Beritahu dia supaya pandai jaga maruah dia, maruah keluarga, keluarga kita dan maruah kamu juga. Kalau dia tak mahukan kamu dan mahukan budak Wafiy tu, suruh dia beritahu kamu terus terang. Pinggan tak retak, nasi tak dinginlah!"
Hah, sudah! Terkeluar habis segala pepatah untuk menggambarkan betapa marahnya Cikgu Misrah sekarang.
Falah mengerling lagi ke arah ayahnya. Ustaz Yusuf menggelengkan kepalanya beberapa kali. Isyarat supaya jangan bersuara apa-apa. Nanti makin melarat pula Cikgu Misrah. Mahu dua tiga hari pun masih tidak reda marahnya nanti.
"Ha, dah kenapa awak dua beranak main-main mata ni? Pakatan apa pula yang awak ajak Falah buat kali ni?"
Falah cepat-cepat menyisip air dalam cawan. Tidak mahu terlibat dalam perang kali ini. Cepat dia minum, cepat dia bersarapan, maka cepatlah dia dapat beredar meninggalkan meja makan.
"Awak ni... Pakatan apa pula? Berdosa Misrah oi, menuduh orang yang tak bersalah."
Ustaz Yusuf tenang-tenang sahaja. Berpuluh tahun dia hidup bersama dengan Cikgu Misrah, sudah faham benar cara untuk mengawal angin isterinya.
"Macamlah saya tak tahu perangai awak tu. Tak mengaku konon!"
Mulut Cikgu Misrah sudah terjuih-juih geram. Pecah ketawa Ustaz Yusuf dibuatnya. Laju tangan Cikgu Misrah menepuk paha suaminya yang sudah terhinggut-hinggut bahu menahan tawa.
Falah menggeleng. Manis betul cinta orang tua-tua ni. Bersemut!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro