Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Bunyi enjin kereta yang berhenti di depan rumah langsung tidak menarik perhatian Intan. Sudah kenal dan hafal benar dengan bunyi enjin yang kadang-kadang datang semputnya.

Entahlah, abahnya bukan tidak berduit. Tapi tetap juga kereta buruk itulah yang diusungnya ke sana ke mari. Jengkel sungguh hati Intan.

Puas dipujuk supaya Haji Idris menukar kereta yang baru, tapi Haji Idris tetap begitu. Berjimat tidak kena tempat. Tetaplah setia dengan kereta Proton Wira yang sudah beberapa kali bertukar warnanya. Macamlah bila ditukar warna kereta tu orang tak tahu yang kereta tu kereta zaman Tok Kaduk!

"Kamu balik naik apa tadi?"

Intan yang sedang berbaring di atas lantai yang beralaskan karpet itu langsung tidak menoleh. Matanya tetap ralit menghadap skrin televisyen yang menyala.

Dia dapat mengagak, sekejap lagi, tentu bengkak telinganya dileter Hajah Halilah. Mustahil yang mak usu dan mak anjangnya tidak mengadu. Dan tidak lama lagi, kecohlah dalam WhatsApp grup keluarga, mulut Intan lancang, sebab itulah sampai sekarang tidak berlaki!

"Tumpang Kak Erma."

Matanya masih terarah kepada skrin televisyen yang menayang siar ulangan drama yang sudah boleh dihafal dialognya. Tapi disebabkan dia minat sungguh dengan hero drama tersebut, ulang siar lebih sepuluh kali pun Intan rela.

"Langsung sepatah pun kamu tak beritahu mak, ya? Tahu-tahu aje dah hilang. Mujurlah Kak Bibah kamu beritahu yang dia nampak kamu naik kereta Erma. Kamu ni tahu tak yang mak dengan abah ni nanar mencari kamu dekat kenduri tu tadi?"

"Intan dah besar, mak. Setakat Rawang yang tak sebesar mana ni, tak adanya Intan nak sesat. Masa belajar dekat KL bertahun-tahun pun, elok aje Intan hidup. Tak pernah pula Intan sesat dekat dalam bandar sebesar tu."

Angkuh sahaja jawapan Intan. Hajah Halilah ketap gigi. Anak ini kalau menjawab, memang boleh buat darahnya naik tidak pasal-pasal.

"Tadi kamu bergaduh apa dengan mak usu dan mak anjang kamu? Jumpa saudara-mara sesekali pun, langsung kamu tak boleh nak ambil hati mereka? Itu mak-mak saudara kamu tahu? Bukannya kawan-kawan kamu. Mulut tu main cakap lepas aje. Cubalah kamu kawal sikit percakapan kamu tu."

Dah, betul tak? Aku dah kata... desis Intan dalam hati.

"Dia orang dah mengadulah, ya? Mak janganlah bersikap berat sebelah. Mak cuma dengar dari sebelah pihak aje. Balik-balik terus mak nak marah Intan. Mak langsung tak mahu tanya Intan apa yang dah jadi sebenarnya? Adil ke tu pada Intan?"

Intan sudah menegakkan badan. Wajahnya dipalingkan menghadap emaknya yang sedang duduk di atas sofa.

"Biar apa pun yang mereka kata, mereka tetap orang tua, Intan. Tak boleh ke kamu bersabar sikit? Anggap sahaja apa yang mereka cakap tu umpama angin lalu. Tak payahlah kamu ambil hati sangat. Bukannya boleh mati dengan kata-kata mereka tu."

Bukan Hajah Halilah tidak tahu perangai kakak dan adik suaminya tu. Tapi sudah dipesannya berkali-kali kepada Intan dan anak-anaknya yang lain, usah dihiraukan sangat kata-kata mereka tu.

Manusia ini kan pelbagai sikapnya. Mungkin Allah mahu menguji, lalu dihantarnya emak-emak saudara yang lancang mulutnya ke dalam keluarga mereka. Bersabarlah, pasti akan ada ganjarannya.

"Mak kata bukannya boleh bawa mati dengan kata-kata mereka tu? Intan ni mujurlah hati kuat tau, mak. Kalaulah Intan ni hati tisu, tak mustahil, mak sampai di rumah tadi, tengok-tengok Intan dah gantung diri dekat kipas tu."

Hajah Halilah ketap bibir. Menahan hati dengan kata-kata Intan. Minta dijauhkanlah perkara macam itu berlaku dalam keluarganya.

"Kamu ni... Ada pula cakap macam tu. Orang lain nak mati dalam iman, kamu pula nak mati dalam keadaan kufur? Isy, minta dijauhkan anak-anak mak ada yang mati dalam keadaan jasad tak diterima Tuhan!" marah Hajah Halilah.

Dia tahu yang Intan sedang marah, tapi tidak perlulah disebut benda-benda yang macam tu. Buat hatinya gerun semacam aje.

"Intan cakap aje, mak. Jangan risau, iman Intan ni masih kuat lagi. Tak adanya Intan nak buat kerja-kerja bodoh macam tu. Lagipun, Intan rasa baiklah Intan menjawab daripada Intan memendam dalam hati. Lepas tu, kemurungan. Tak berbaloi Intan nak menangis, nak susah hati disebabkan mulut mereka tu. Masing-masing umur aje tua. Tapi mulut mengalahkan mulut orang muda. Bila kita menjawab, mulalah dikatanya kita ni kurang ajar. Mereka yang tak tahu jaga mulut, tak pula salah? Main cakap aje. Langsung tak fikir perasaan orang," dengus Intan.

Drama yang ditayangkan di kaca televisyen sudah tidak menarik perhatiannya lagi. Kembali membuak-buak pula rasa marahnya yang sudah sedikit reda terhadap kedua-dua mak saudaranya.

"Mereka cakap apa yang Intan marah sangat ni?"

Lembut Hajah Halilah bertanya.

"Topik apa lagi mak yang boleh ditanya, boleh disindir kalau orang jumpa Intan? Pasal jodohlah, apa lagi? Siap dibandingkan Intan dengan orang lain. Kononnya semua orang yang sebaya Intan, dah pun bersuami dan beranak-pinak. Intan ni ajelah anak dara tak laku. Apa jugalah yang nak dihairankan? Dah masing-masing tak pandai belajar, apa lagi yang boleh dibuat selain dari kahwin? Intan ni lambat kahwin sebab sibuk belajar. Dia orang tu, lepas SPM aje sibuk cari calon suami. Tak fikir masa depan. Bila suami tu buat hal, mulalah merayu minta bantuan sana sini."

"Intan! Mak tak suka Intan cakap macam tu. Sudah rezeki Intan dapat sambung belajar sampai dapat Master, tapi mak tak suka Intan perlekehkan orang. Sepatutnya Intan bersyukur dapat peluang sambung belajar, bukannya nak mendabik dada. Dah ditentukan yang jodoh mereka sampai setakat itu sahaja. Intan tak payah nak masuk campur hal orang. Bukannya mereka tu minta bantuan dari Intan pun."

"Habis tu, dia orang yang duk bandingkan Intan dengan anak masing-masing tu tak apa pula? Intan bukan Kak Suri, yang tersenyum aje bila orang mengata. Intan tak akan biar orang pijak kepala Intan."

Dia bingkas bangun. Tiada gunanya bercakap dengan emak yang tidak pernah faham isi hatinya. Balik-balik, dia juga yang disalahkan. Dia juga yang perlu merendahkan diri. Huh, minta maaflah Intan nak mengalah kalau tidak buat salah!

"Kau bergaduh apa dengan mak anjang sampai teruk mak kena basuh dekat kenduri tadi?"

Suri yang baru tiba, masuk menjenguk adik bongsunya di dalam bilik. Dia tiba agak lewat di majlis kenduri perkahwinan Zura tadi, ada program di sekolah yang perlu dia hadiri.

"Mak kena basuh? Cis, nak kena orang tua tu dengan aku ni! Tak serik-serik lagi rupa-rupanya. Padanlah mak marah semacam lepas balik dari majlis Si Zura tu."

Intan yang tadinya meniarap di atas katil sambil membaca novel bingkas duduk. Panas hatinya tiba-tiba. Rupa-rupanya ada cerita di sebalik marah-marah emak tadi.

"Sudah! Tak payah panjangkan cerita. Macamlah kau tak tahu mak anjang tu mulutnya macam mana? Tetap juga kau nak melayan," marah Suri.

Tidak pasal-pasal pula emaknya dibahasakan di majlis orang. Intan pula senang-senang lari balik menumpang Erma. Bak kata pepatah, orang lain yang buang air, orang lain pula yang kena cuci najisnya. Eh, betul ke pepatah yang aku guna ni? Sempat pula otak Suri berfikir.

"Dia dengan mak usu tu sama aje. Nak kahwin, kahwin ajelah. Konon-konon nak tolong carikan jodoh untuk aku. Macamlah orang tak tahu yang dia tu dah lama kemaruk nak berlaki baru."

"Siapa nak kahwin? Mak usu? Dengan siapa?"

Suri mula teruja. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah Intan. Mahu mengorek rahsia yang dia sendiri tidak tahu.

Rugi pula Erma tidak ada bersama. Ke rumah mentuanya yang terletak selang sebuah kampung dari kampung mereka. Untunglah, dapat kahwin dengan orang dekat-dekat. Raya tak payah nak bergaduh nak beraya di rumah siapa dulu.

"Entah," balas Intan sambil lewa.

"Kau ni, akak dah bukan main teruja lagi. Kau pula potong angin. Cepatlah cerita. Macam mana timbul cerita yang mak usu tu nak kahwin?"

Suri sudah mula bersila. Mak usunya nak berkahwin lagi? Wah, hebat orang tua tu!

"Ceritanya macam ni, kau tahulah soalan popular setiap kali orang jumpa aku. Aku ni dah habis sabar tau, kak! Aku senyum, jawab dengan sebaik dan selembut mungkin. Tapi bila..."

"Bila apa?"

Suri dah jadi semakin tidak sabar. Cara Intan bercerita membuatkan hatinya melonjak-lonjak tidak sabar mahu tahu cerita seterusnya.

"Kau kalau pasal gosip, laju aje kan?" sindir Intan.

Beza umurnya yang hanya tiga tahun dengan Suri membuatkan dirinya lebih rapat dengan kakak keduanya itu kalau hendak dibandingkan dengan Erma. Suri lebih lembut dan bertimbang rasa orangnya. Erma pula, garang!

"Gosip, siapa tak mahu tahu?" balas Suri sambil mengekeh ketawa. Intan mencebik.

"Eh, cepatlah sambung cerita kau tu tadi!" suruh Suri bila melihat Intan diam sahaja,

"Hurm, dah dikatanya aku macam-macam, boleh pula mak anjang tu nak carikan jodoh untuk aku ."

"Eh, baguslah tu! Ada juga inisiatif dia nak tolong percepatkan jodoh kau. Maknanya dia tu bukanlah tahu nak menyindir aje. Kau ni pun, orang nak tolong carikan jodoh untuk kau pun, kau tetap nak marah-marah," bidas Suri.

Intan mencebik. Bolehlah Suri cakap macam tu sekarang, Suri belum tahu lagi calon yang cuba disogokkan mak alang kepadanya. Kalau tahu, agaknya Suri pun tak ingin!

"Kau apa tahu, kak? Dia nak jodohkan aku dengan duda dekat belakang rumah dia. Duda kematian isteri, ada anak tiga orang. Hesy, dia tu ingat aku ni apa agaknya? Macam aku ni terdesak sangat nak berlaki! Tak pasal-pasal nak suruh aku jaga anak orang tu kenapa? Aku ni anak dara, aku pun nak cari laki yang baru keluar kilang juga, bukannya barang second-hand!"

Suri tersedak. Intan ni macam-macam betul. Ayatnya selalu aje boleh buat orang yang mendengar terkebil-kebil biji mata.

"Kau ni, ada pula barang baru, barang second-hand. Lelaki, berkahwin tiga empat kali pun, bukannya luak. Lainlah kalau perempuan. Kau tak tahu, saham duda bukan main tinggi lagi sekarang ni. Kalah anak teruna."

"Hesy, tak mahulah aku! Aku ni anak dara, sekurang-kurangnya aku naklah kahwin dengan lelaki bujang, masih bergelar teruna. Kau dengan Kak Erma pun bukannya dapat suami yang second-hand. Apa hal pula aku ni nak dikahwinkan dengan bekas orang?"

Mulut Intan menjuih panjang. Menyampah betul bila Suri pun macam seronok aje kalau dia dikahwinkan dengan lelaki yang bergelar duda. Isy, minta dijauhkan!

"Jangan cakap macam tu, kalau dah itu jodoh kita, reda sahajalah. Tak ada salahnya pun jadi duda tu. Yang penting dia baik, boleh jaga kita, boleh terima keluarga kita macam keluarga dia sendiri."

"Hurm... Aku tetap tak mahu bekas orang. Ada anak tiga pula tu! Tak kuasalah aku nak tolong menjaga anak orang. Silap-silap dia tu nak kahwin sebab nak cari orang untuk jaga anak-anak dia. Tak pasal-pasal isteri baru dia tu nanti jadi bibik tak bergaji. Lagipun, lelaki tu dah ada anak tiga, kak. Aku dapat bayang perutnya tu macam mana. Harus membukit ke depan."

"Perut kut. Sahlah membukit ke depan. Mana ada perut buncitnya di belakang. Hurm, soal jodoh kau ni, akak pun tak mahu memandai. Suka hati kaulah! Dah tu, sebab itu ajelah yang kau marah sangat dengan mak anjang?"

"Tak. Aku marah sebab mak usu tu pun bukan main jadi batu api. Tersengih-sengih duk menggiat aku. Kenalah dengan aku tadi. Terdiam terus orang tua tu. Bila aku diam, bukan main galak lagi dia dengan mak anjang tu. Tahu pula mulut tu ternganga bila aku menyembur."

"Kau cakap apa?"

Suri memperkemaskan sila. Lenguh pula lama-lama duduk begitu di atas katil Intan.

"Mak usu, kalau mak usu dah nak kahwin sangat, mak usu kahwin ajelah dengan duda yang mak anjang cakap tu. Mak usu tu dah pernah berkahwin. Tentu tak tahan hidup bersendirian lama-lama, kan? Jadi, apa kata mak usu minta mak anjang kenenkan duda dekat belakang rumah mak anjang tu pada mak usu? Mak anjang pun tak payahlah nak sibuk sangat. Anak-anak mak anjang pun ada lagi yang belum berkahwin. Lebih baik mak anjang fikirkan jodoh untuk anak-anak mak anjang daripada sibukkan hal orang."

Intan mengajuk semula nada dia bercakap dengan kedua-dua emak saudaranya siang tadi.

Suri menekup mulut. Terkekeh-kekeh dia ketawa. Jangan dibuat main dengan Intan kalau sudah marah. Bukannya dia kira siapa.

"Kau cakap macam tu? Padanlah panas semacam orang tua tu! Kau ni pun..."

"Habis tu, kau nak aku tersengih-sengih macam budak dungu dekat situ? Eh, tolonglah! Ini Intan, ya? Pantang diusik. Kau pun kak, tolonglah jangan lembut sangat. Orang cakap apa pun kau diam aje. Boleh lagi kau tersenyum-senyum macam bahagia sangat dengar orang mengata yang kau ni mandul! Kalau akulah yang duduk di tempat kau kak, dah lama mulut orang tu makan penampar aku."

Rasanya mahu sahaja dia menyampaikan apa yang dikata mak anjangnya tadi tentang Suri. Tapi dia terfikir, jika itu hanya akan membuatkan hati kakaknya sedih, buat apalah dia mahu memanjangkan cerita.

"Intan, akak ni lain. Maruah suami, maruah mentua, maruah mak dan abah kita, kena fikir juga. Lagipun tak luak apa pun dengan kata-kata orang ni."

Intan dah agak. Memang itulah jawapan standard Suri.

"Tapi bila balik rumah, kau melalak, kan?" sindir Intan.

Berbuku geram hatinya bila terdengar suara-suara sinis yang menyindir Suri. Mandullah, keturunan tidak suburlah, tidak pandai buat anaklah. Apa lagi tuduhan yang tidak dilemparkan ke atas Suri? Seolah-olah rumah tangga Suri yang tidak dikurniakan cahaya mata sehingga sekarang, puncanya adalah Suri. Macamlah untuk mendapatkan anak itu usaha Suri seorang sahaja?

"Sekarang akak dah kalis. Masuk tahun ketujuh dah, Intan. Malas dah akak nak fikir kata-kata orang ni. Boleh buat hati dan telinga akak ni berdarah. Asalkan Abang Haikal kamu sayangkan akak, sudahlah. Kami pun tak pernah lagi bergaduh soal anak ni. Harap-harapnya kekallah macam ni sampai bila-bila. Tapi, kalau Abang Haikal nak tinggalkan akak atau nak berkahwin lain sebab akak tak mampu berikan zuriat untuk dia, apa yang akak boleh buat? Reda sahajalah. Selebihnya berserah," balas Suri separuh mengeluh.

Rasa bersalah pula hati Intan kerana menimbulkan soal itu.

"Umur tiga puluh tahun ni dikira tua ke kak?" tanya Intan tiba-tiba.

"Kenapa?"

"Yalah. Makin kerap orang menimbulkan soal jodoh pada aku. Sampai aku ni dah malas nak pergi majlis kenduri-kendara, nak menziarah baik saudara-mara atau sesiapa ajelah. Sibuk nak tahu aku ni dah kahwin ke belum? Bila jawab belum kahwin, sibuk nak tahu kenapa? Itu belum tiba raya lagi tu. Kalau boleh, waktu raya tu aku nak beraya jauh-jauh. Lepas raya seminggu baru aku balik. Serabut aku dengan orang yang datang beraya ni. Nak beraya, beraya ajelah. Sibuk bandingkan aku yang tak kahwin-kahwin lagi ni, kenapa? Salah ke kalau jodoh aku belum sampai lagi? Siap ada yang suruh aku pergi mandi bunga bawah jambatan. Gila!"

Suara Intan keras semacam. Marah betul dia bila ada yang mencadangkan perkara yang bukan-bukan. Punyalah besar bilik air yang Haji Idris buat, bawah jambatan juga yang disuruhnya aku mandi. Intan mengomel dalam hati.

"Kau nak beraya dekat mana? Scotland? Banyak duit kau."

"Tunggulah bila aku dah dapat kerja yang setaraf dengan kelulusan aku nanti. Lepas aku dah ada duit, tahulah aku nak buat macam mana. Asal raya aje, orang akan tanya, mana Intan? New Zealand. Tahun seterusnya. Mana Intan? Osaka."

Intan ketawa berdekah-dekah. Memang dia berharap benar, semoga ada rezekinya untuk memegang jawatan yang setara dengan kelulusannya. Moga-moga temu duga yang dihadirinya minggu lepas membuahkan hasil yang diharap-harapkan.

"Beranganlah kau. Entah-entah baru sehari beraya dekat negara orang, dah melalak minta mak poskan rendang, hantarkan ketupat. Lepas tu buat ucapan syahdu dekat televisyen malam-malam raya tu," ejek Suri.

Intan mencebik. Eh, muka aku ni nak menangis? Tolonglah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro