Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Intan bila lagi?" Intan mengemam bibir. Ini yang dia malas mahu ke mana-mana majlis. Asal bertemu aje, tidak ada soalan lain yang ditanya, bila nak kahwin? Bila nak berdua? Dan yang paling menyakitkan hati, ada pula yang menuduh dia anak dara tidak laku dan memilih orangnya.

"Hurm... Belum ada jodoh, mak anjang."

Intan cuba untuk memaniskan muka walaupun soalan itu benci sungguh mahu dijawabnya.

"Eh, Zura ni muda dari Intan, kan? Baru dua puluh tiga tahun umurnya kalau mak anjang tak salah. Cepat pula dia kahwin."

Intan masih tersenyum walaupun tidak ikhlas. Dia dapat mengagak, apa ayat seterusnya yang bakal keluar dari mulut mak saudaranya itu.

"Dah sampai jodoh Zura, mak anjang."

"Yalah, Zura tu memang berebut orang nak buat menantu. Rajin mengemas, pandai memasak, cantik orangnya. Budi bahasa pun baik. Itulah, mak anjang dah pesan pada anak-anak perempuan mak anjang, masuk aje kolej, cepat-cepat cari teman lelaki. Takut bila dah habis belajar, umur pun dah lanjut. Sibuk bekerja, langsung tak ada masa nak bercinta, nak bersuami. Tahu-tahu dah jadi anak dara tua. Orang lelaki tak mengapalah, umur makin banyak, makin tinggi sahamnya. Kita orang perempuan ni, makin lewat kahwin, makin jatuh hantarannya. Siapa nak bagi hantaran tinggi-tinggi pada anak dara tua, kan? Dahlah tu, kalau kahwin usia lewat, nak dapat anak pun payah! Tengok ajelah Kak Suri kamu tu. Dah bertahun kahwin, seorang anak pun tak ada. Saudara-mara lain yang kahwin lewat dari dia pun dah beranak-pinak. Hairan juga mak anjang. Belah-belah kita ni, mana ada yang mandul! Entah berjangkit mandul tu dengan siapa jugalah kakak kamu tu."

Intan tarik nafas dalam-dalam. Bimbang kalau dia terjawab, ayat pedas pula yang dikeluarkan oleh kakak ayahnya itu. Memanglah dia sedia tahu yang mulut Mak Anjang Faezahnya memang sejak azali lagi sudah begitu, tetapi tidak bolehkah kalau difikirkan perasaan orang sebelum bercakap? Ini tidak, asal boleh bercakap, main pakai sebut aje.

"Intan tak ada teman lelaki lagi ke?"

Mak Usu Habsahnya pula menyampuk. Intan tersengih. Aduhai, malang betul rasa nasibnya hari ini. Perut yang baru diisi dengan nasi minyak terus sebu jadinya. Sudah dikhabarkan kepada mak dan abah awal-awal lagi yang dia mahu terus pulang ke rumah setelah selesai menunjuk muka.

Emaklah yang beria-ia memujuknya supaya duduk sekejap. Bersalam dan bertegur sapa dengan saudara-mara yang jarang-jarang bertemu muka. Maklumlah, masing-masing tinggal jauh, harapkan kenduri-kendara yang sesekali ini barulah masing-masing dapat menghadirkan diri. Masalahnya, bila berkumpul ramai-ramai aje, tak ada soalan lain dan tak ada cerita lain.

Kahwin, kahwin dan kahwin. Lepas itu tak habis-habis mahu mengata orang itu dan orang ini. Semua orang serba tak kena. Keluarga masing-masinglah keluarga yang paling sempurna. Keluarga contoh konon-kononnya.

Intan lebih rela mendengar cerita tentang koleksi pinggan mangkuk masing-masing, koleksi Tupperware yang sudah bertimbun di rumah atau cerita tentang duit masing-masing yang berkepuk dalam bank.

Seksa rasanya menadah telinga dan membiarkan dirinya menjadi mangsa sindiran disebabkan jodohnya yang masih tidak tahu sesat entah ke mana. Paling dia sakit hati, bila nama Suri turut dikaitkan sekali. Salah diakah kalau jodohnya belum sampai? Dan berdosakah Suri kerana masih belum hamil walaupun sudah lebih tujuh tahun berkahwin?

"Mak usu bertanya ni Intan, mahukan jawapan. Bukannya nak tengok kamu tersengih aje. Kamu dah ada teman lelaki ke belum?"

Mak Usu Habsah mengulang semula pertanyaan. Selagi dia tidak mendapat jawapan, memang dia akan terus bertanya. Sudah perangainya begitu, macamlah Intan tak tahu.

"Belum, mak usu. Intan sibuk belajar, lepas tu sibuk dengan kerja. Tak sempat nak fikir tentang hal teman lelaki. Berilah Intan peluang bantu mak abah dulu, bila ekonomi Intan pun dah stabil, insya-Allah, baru Intan fikirkan."

Intan beralasan. Habis tu, takkanlah mahu diakui yang sehingga kini dirinya masih belum dihampiri oleh mana-mana lelaki yang berminat untuk menjalinkan hubungan dengan lebih serius? Mahunya dia ditempelak sebagai anak dara tidak laku pula nanti.

"Nak tunggu ekonomi kamu stabil tu bila, Intan? Entah-entah masa tu kamu dah masuk umur nak menopaus agaknya? Kalau alasan kamu nak bantu mak dan abah tu, kalau dah kahwin pun boleh bantu. Anak-anak mak anjang yang dah kahwin, tak pernah lupa hulurkan wang belanja untuk mak anjang setiap bulan."

Mak Anjang Faezah membidas. Sudahnya Intan hanya mampu diam, tidak menjawab. Hanya matanya sahaja yang kosong merenung pelamin yang berhias indah.

Intan mengerling jam di tangan, kira-kira lima belas minit lagi kalau mengikut masa yang tertera dalam kad undangan, tibalah pasangan pengantin untuk upacara bersanding. Dia mula berkira-kira, mahu menunggu atau tidak? Situasi yang walaupun sudah dijangkanya sejak awal-awal lagi benar-benar membuatkan dirinya rimas.

"Mak anjang ada kenal seorang lelaki kalau kamu mahu. Baik orangnya. Kerja pun bagus. Ekonomi pun stabil. Rumah dah ada, kereta pun dah habis bayar dengar-dengarnya. Kalau kamu dengan dia, memang senang hidup kamu. Kamu tak kerja pun tak apa, dia lebih dari mampu nak tanggung makan pakai kamu tu."

Intan memejamkan mata. Tidak habis-habis lagi rupa-rupanya mak saudara yang seorang ini.

"Tak apalah, mak anjang. Intan masih belum terdesak nak berumah tangga. Lagipun Intan tak pernah terfikir pun nak berhenti kerja walaupun dah kahwin."

"Belum terdesak kata kamu? Umur kamu dah berapa? Dah nak masuk tiga puluh tahun, kan? Eh, umur macam kamu ni sepatutnya dah ada dua orang anak paling kurang. Betul tak apa yang mak anjang kata tadi? Kamu ni memilih sangat! Mak anjang bukan apa, kamu ni anak buah mak anjang juga. Mak anjang tak seronok asyik-asyik tengok orang lain aje yang naik pelamin. Kamu pula yang duduk tercanguk-canguk macam kera sumbang seorang diri di bawah ni. Sudahlah kakak kamu tu sampai sekarang tak beranak, kamu pula tak kahwin-kahwin. Kamu fikir mak abah kamu tak susah hati ke?!"

Marah benar nampaknya Mak Anjang Faezah dengan penolakan halus Intan.

Intan menjeling. Tidak suka benar bila nama kakaknya pula yang dipetik Mak Anjang Faezah. Dia ingat, jodoh dan anak tu boleh beli dekat pasar raya agaknya? Umur aje dah tua, tapi macam tak percaya pada qadak dan qadar pula.

"Ala, akak ni. Intan takkanlah nak kata yang dia mahu, mestilah dia pun malu juga, kak... Akak ni, macamlah tak pernah muda."

Baru sahaja Intan mahu membuka mulut, mak usunya pula bersuara sambil mengerling ke arahnya. Intan buat-buat memandang ke arah siling. Langsung tidak bersetuju dengan kata-kata mak usunya itu. Memang dia tak mahupun. Titik! Tidak ada kena-mengena langsung dengan frasa malu tapi mahu.

"La... Nak dimalukan apa? Dalam soal jodoh ni, kita tak boleh malu tau! Kalau diikutkan malu, sampai ke tualah kamu tak berlaki. Apa kamu ingat, jodoh tu akan datang bergolek?" bidas mak anjangnya lagi.

Intan sudah menggenggam tangan di bawah meja. Bimbang akan rasa marah yang sudah membukit bakal terhambur keluar.

"Siapa lelaki yang akak nak kenalkan dengan Intan tu?"

Makin galak nampaknya Mak Usu Habsah. Macam dia pula yang mahu dikenenkan oleh Mak Anjang Faezah. Tapi apa salahnya? Mak Usu Habsah kan sudah lama menjadi balu? Sudah masuk tiga tahun pak usu meninggal selepas rebah sewaktu bermain badminton.

Kata doktor, pak usu mati kerana diserang sakit jantung. Macam orang gila mak usu menangis waktu itu. Yalah, umur pak usu baru masuk tiga puluh lapan tahun waktu itu dan langsung tidak ada menunjukkan tanda-tanda sakit jantung.

Siapalah yang menyangka yang dalam usia semuda itu arwah meninggal kerana penyakit yang selalu disalah anggap sebagai penyakit yang menyerang orang-orang kaya sahaja?

"Ala, Cikgu Hasnizam dekat rumah akak tu. Kan dia dah kematian isteri tahun sudah. Ada anak tiga orang. Umur pun muda lagi. Belum pun empat puluh tahun."

"Dudalah, ya?"

Mak usu pura-pura bertanya. Intan mencebikkan bibir. Dah tu, kalau lelaki yang kematian isteri kalau tidak digelar duda mahu digelar apa? Janda? Anak dara sunti? Huh!

"Haah. Duda kematian isteri. Baik orangnya. Rajin bertegur sapa dengan akak kalau sesekali terserempak. Senang hidup Intan kalau kahwin dengan dia. Rumah ada, kereta ada, anak-anak dah ada, cuti pun banyak, cikgulah katakan. Ringan tulang pula orangnya tu. Selalu aje nampak mukanya kalau ada gotong-royong atau kenduri-kendara dekat kampung tu. Eh, ramailah orang-orang kampung yang berkenan dengan dia."

"Hah, Intan! Tunggu apa lagi? Mak anjang dah ada calon untuk Intan tu. Rugi kalau Intan tolak. Kahwin ni best tau, Intan."

Mak Usu Habsah mula menggiat. Bersambung pula dengan ketawa terkekeh-kekeh tidak semena-mena. Dia tidak sedar yang hati Intan sudah panas semacam. Tunggu masa sahaja mahu meletup.

"Mak usu, kalau mak usu berminat, mak usu ajelah yang kahwin dengan duda tu. Mak usu pun dah lama tak bersuami. Orang dah biasa bersuami dengan orang yang tak pernah bersuami, rasanya yang lebih memerlukan suami tu, tentulah mak usu, kan?"

Mati terus ketawa yang baru bermula. Berubah terus air muka Mak Usu Habsah dibuatnya. Namun langsung tidak dipedulikan Intan. Tidak sedikit pun hatinya gentar melihat mata tajam mak usu yang seolah-olah mahu menelannya.

"Dan mak anjang pula, tak perlulah sibuk-sibuk carikan Intan calon suami. Anak dara mak anjang pun ada tiga orang lagi yang belum bernikah, kan? Baik mak anjang fikirkan calon untuk anak-anak mak anjang daripada mak anjang sibukkan anak orang lain. Kena cari jodoh yang betul-betul ya, mak anjang. Anak-anak mak anjang tu semuanya tak belajar tinggi-tinggi. Dahlah tak bekerja. Masing-masing bila dah kahwin, bergantung harap sepenuhnya kepada suami. Lepas tu bila suami kahwin lain, abaikan tanggungjawab mulalah nak menyusahkan mak ayah. Macam Kak Salina tu. Anak dahlah ramai, bila bercerai, mulalah menggagau cari duit nak besarkan anak-anak. Sebab itulah orang suruh belajar betul-betul dulu. Bukannya waktu orang sibuk belajar nak ambil SPM, dia pula sibuk nak berlaki. Bila dah ditinggalkan suami mulalah menangis tak berlagu. Eh, Kak Salina tu anak mak anjang, kan? Maaflah, Intan lupa. Ramai sangat sepupu. Manalah nak ingat."

Kali ini dada Mak Anjang Faezah pula berombak kencang dek tembakan kata-kata Intan. Intan tersenyum sinis. Rasakan!

"Dahlah! Intan nak balik. Duduk sini pun buat orang panas hati aje. Nanti Intan juga yang dicop anak dara mulut jahat. Orang tua-tua ni kan, walau mulut sendiri yang tak ada insurans, tapi tetaplah orang-orang muda ni yang disalahkan. Tak apa, Intan faham. Orang nak menopaus kan, memang macam tu."

Intan terus angkat punggung. Berjalan ke pintu keluar tanpa menoleh lagi. Langsung tidak ada hati untuk melihat Zura dan suaminya bersanding.

Bersandinglah Zura, aku tak ada pun, langsung tak mencacatkan majlis kau! Intan mengomel dalam hati. Marahnya masih belum surut. Namun, dalam masa yang sama, bimbang juga kalau mak anjang dan mak usunya bakal mengadu dengan emak atau abahnya.

Alamatnya, nipislah kulit telinga mendengar bebelan Hajah Halilah nanti. Itulah, siapa suruh cari pasal dengan Intan? Intan bukannya Erma atau Suri yang sabarnya bertingkat-tingkat. Maaflah ya, sabar seorang gadis yang bernama Intan ni hanyalah setebal kulit bawang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro