Bab 15
"Kamu tengok tu, Suri kalau jumpa budak-budak kecil, terus lupa dunia. Pandai dia layan budak-budak. Luqman yang biasanya tak mahu dekat orang lain pun cair kalau dengan Suri." Haikal yang duduk di sebelah Hisham hanya tersenyum mendengar pujian abangnya terhadap Suri.
"Itu yang aku risau. Kalau dapat anak, terus lupa aku. Duk layan anak dia aje dua puluh empat jam. Habis tu aku ni? Jadi tunggul?"
Hisham spontan menyiku Haikal.
"Ada pula itu yang difikirnya. Penat kau tahu jaga anak ni. Kau ingat senang?"
"Tahu. Tapi aku pun tak mahulah perhatian dekat aku pun berkurang sebab ada anak. Aku ni suami. Suami yang perlu diutamakan kalau dibandingkan dengan anak. Betul tak?"
"Dasar anak bongsu! Manja tak habis-habis," kutuk Hisham tidak teragak-agak.
Haikal ketawa kecil. Meskipun nampak bergurau, tapi sungguh, dia tidak rela kalau perhatian Suri terhadapnya berkurangan kalau mereka dikurniakan rezeki untuk menimang anak sendiri suatu hari nanti.
"Kau tak mahu cuba kaedah yang ramai orang cuba sekarang untuk dapatkan anak? Kawan Kak Muna kau tu, dah lebih sepuluh tahun kahwin, tak dapat anak. Macam-macam kaedah yang dia dah cuba, tradisional dah, moden pun dah. Tapi tak berjaya. Tak ada rezeki kata orang. Awal tahun ni, dia ke klinik swasta lepas baca review dekat Internet, siap dapat anak kembar lagi tu. Kalau kau nak cuba, nanti abang minta Kak Muna kau tanya nama klinik yang dia pergi tu."
Bersungguh-sungguh Hisham bercerita. Bukannya dia menyibuk, tapi dia lebih kepada rasa kasihan terhadap Suri, adik iparnya. Haikal yang banyak berdalih bak kata Puan Faridah, emak mereka.
"Aku belum jatuh terdesak lagi kalau soal anak tu. Ada rezeki nanti, adalah," balas Haikal sambil lewa.
Dia memang kurang berminat kalau soal anak itu mula dibangkitkan di depannya.
"Dah tujuh tahun kau kahwin, Haikal. Abang ni cuma kasihankan Suri. Tahun ni umur dia dah berapa? Kau kena ingat, tahap kesuburan orang perempuan tak sama macam kita orang lelaki ni. Eloklah waktu kau tengah muda ni usaha sungguh-sungguh untuk dapatkan anak. Biar puas usaha, kalau tak ada rezeki juga lepas tu, barulah kita berserah. Berdoa tu berdoa juga, tapi usaha tetap kena ada."
"Tengoklah nanti macam mana. Aku sibuklah sekarang. Nanti bila-bila kalau aku dah sampai seru, aku call kau atau Kak Muna minta nama klinik tu."
Hisham diam. Kalau dah itu kata Haikal, apa lagi yang boleh dia kata? Takkanlah sampai mahu memaksa pula. Haikal tu bukannya anak-anak kecil. Sudah menjangkau usia tiga puluh empat tahun pun.
"Terpulanglah pada kau, Haikal. Abang cuma nak membantu. Bila-bila kau perlukan bantuan abang, beritahu ajelah."
"Jadi abang ke Tanjung Malim minggu depan?"
Haikal beralih topik. Tidak mahu isu anak membuatkan perbualan mereka jadi janggal.
"Jadi. Tak pergi rasa tak kena pula sebab tak jauh mana."
Adik angkat Muna yang sama-sama membesar di rumah anak-anak yatim bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan.
Sudah berbelas kali Muna mengingatkannya, jangan sampai tak jadi pula. Dia pun sudah berjanji. Lagipun, dia faham yang isterinya sudah lama tidak berjumpa dengan sahabat-sahabat yang sama-sama dibesarkan di rumah anak yatim itu.
"Bawa semua?"
Mata Haikal spontan mencari anak-anak Hisham, yang sulung sudah bersekolah dalam darjah tiga, yang kedua di tadika dan yang ketiga, baru masuk empat bulan.
"Bawa semualah. Mana boleh tinggal. Mahu merajuk salah seorang kalau kena tinggal."
"Mak tak ikut?"
Biasanya kalau ke mana-mana memang Hisham selalu mengajak Puan Faridah ikut bersama. Lagipun, bukan ada yang jaga makan minumnya di rumah tu sejak arwah ayah mereka meninggal dunia sembilan tahun lepas.
"Tak katanya. Ada kursus haji," beritahu Hisham.
Haikal menganggukkan kepalanya. Ada Puan Faridah bercerita, tapi dia mendengar sambil lewa sahaja. Baru dipanggil untuk kursus haji, perginya belum tentu.
Lagipun, emaknya dah pernah ke tanah suci bersama dengan arwah ayahnya dulu. Tidak mengapa kalau tidak naik nama pun untuk ke tanah suci sekali lagi.
"Aku harap aku sempat melihat anak-anak aku membesar. Sempat nak melihat anak kau lahir juga. Aku nak ajak Kak Muna kau menunaikan haji sama-sama. Banyak betul impian aku. Harap-harap sempatlah."
Haikal mengerutkan dahi. Pelik pula kata-kata Hisham didengarnya.
"Apa pula tak sempatnya? Cuma tentang anak aku tu, entahlah. Tak berani aku nak berjanji. Silap-silap kau yang menambah anak lagi, bukannya aku."
"Luqman tu baru masuk empat bulan kut. Bagilah Kak Muna kau rehat dulu. Kesian dia, tak cukup tidur, tak cukup rehat. Tapi dia memang suka sangat kalau anak ramai. Kau tahu ajelah, dia cuma sebatang kara aje dalam dunia ni. Sebab tu kalau boleh, dia nak ada keluarga yang besar. Jadi, kalau tentang nak menambah anak tu, kau jangan nak salahkan aku. Itu semua salah Kak Muna kau!"
Haikal ketawa. Dia dapat melihat betapa bahagianya hidup Hisham dan Muna yang riuh dengan suara anak-anak. Tapi, dia pun bahagia juga walau tidak punya cahaya mata.
"Kalau apa-apa terjadi pada aku, kau tolong tengok-tengokkan mak, Kak Muna dan juga anak-anak aku. Mereka dah tak ada sesiapa kecuali kau. Cuma kau aje satu-satunya adik yang aku ada."
Sekali lagi Haikal terkedu. Bicara Hisham kali ini lain sungguh. Buat hatinya rasa tidak enak. Terasa seperti Hisham mahu menyampaikan sesuatu melalui pesanannya itu.
"Kau sakit ke bang?"
Terpacul soalan itu dari mulut Haikal.
"Sakit apa pula? Mana ada. Aku baru aje buat fully medical check up. Aku disahkan sihat aje," sanggah Hisham.
"Kata-kata kau tu menakutkan aku. Macam kau ada sembunyikan sesuatu. Seolah-olah kau ada penyakit kronik yang kau tak mahu orang lain tahu."
"Aku rasa kau mesti banyak menonton drama akhir-akhir ni. Atau mungkin kau curi-curi baca novel yang dibeli Suri. Itu yang fikiran kau sebiji macam dalam plot drama dan novel."
Hisham mendengus. Bukan-bukan sahaja tekaan Haikal.
"Yalah, cakap-cakap kau tu tadi semacam!"
"Umur kita ni, kita tak tahu sampai bila dipinjamkan Allah. Aku cuma berpesan dah kebetulan aku teringat. Tapi betul ni, kalau aku dah tak ada nanti, kau kena tolong aku. Kau kena jaga mak, jaga Kak Muna dan anak-anak aku. Itu aje yang aku minta."
Haikal tarik nafas panjang. Tidak suka betul dia bila Hisham sekali lagi berpesan yang sama. Bukan tidak sanggup, tapi pesanan itu seolah-olah menyampaikan maksud yang tersirat.
"Ya, ya. Aku janji aku akan jaga mak, jaga Kak Muna, jaga anak-anak saudara aku tu. Kau janganlah risau. Mereka tu tanggungjawab aku kalau kau tak ada."
Akhirnya Haikal akur juga. Tidak mahu Hisham terus-menerus mengulang pesanan yang sama. Dia jadi takut mahu mendengarnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro