Bab 14
"Suri..." Mendengar namanya dipanggil, Suri cepat-cepat membasuh tangan. Berjalan laju-laju ke pintu depan.
"Awal abang balik hari ni?"
Haikal tersenyum. Dia menghulurkan beg yang dibawanya kepada Suri. Suri menyambutnya sambil tangan Haikal diraih. Diciumnya tangan itu dengan penuh takzim. Haikal menarik tubuh Suri rapat kepadanya. Dia mahu memeluk Suri buat seketika. Rindu kerana minggu ini dia asyik sibuk ke sana dan ke mari. Berbual dengan Suri pun sudah boleh dibilang berapa kali sahaja.
"Abang ni, Intan nampak nanti. Malu," tegah Suri. Namun pelukan Haikal tetap dibalasnya.
"Abang rindu. Dah tiga hari abang balik waktu Suri dah masuk tidur. Nak berbual pun tak sempat."
Suri menjeling. Haikal ada-ada sahaja. Macamlah mereka tidak biasa. Tugas Haikal sebagai senior auditor memang agak sibuk. Kadang-kadang berhari-hari ke luar daerah kalau tugasannya itu melibatkan syarikat yang berada di luar Kuala Lumpur. Tambah-tambah lagi, kebanyakan dokumen syarikat yang diaudit oleh Haikal itu berstatus sulit dan tidak boleh dibawa keluar. Maka, berhari-harilah Haikal berkampung di syarikat yang mendapatkan perkhidmatan firma audit tempatnya bekerja.
"Abang ada belikan popia basah yang Suri suka tu."
Sebaik melepaskan pelukan, Haikal mengunjukkan plastik di tangannya. Suri tersenyum lebar. Sesibuk mana pun suaminya, namun tidak pernah melupakan makanan yang menjadi kesukaan isteri tersayang.
"Terima kasih, abang."
"Sama-sama kasih, Suri." Sempat Haikal mengusik. Suri ketawa kecil.
"Abang nak naik ke atas dulu ke? Salin baju ke mandi? Suri nak ke dapur, siapkan minuman petang untuk abang, kemudian kita minum sama-sama."
"Malaslah nak naik ke atas. Abang tunggu dekat sini aje."
"Okey. Suri ke dapur sekejap, ya?"
Suri berpaling, mengatur langkah sambil membawa beg plastik yang berisi popia tadi.
"Suri!" Haikal memanggil. Suri menoleh.
"Jangan lama-lama di dapur tu. Nanti abang rindu."
Suri menunjukkan penumbuknya kepada Haikal yang sudah ketawa.
Intan kaku di atas tangga. Mula berbelah bahagi sama ada dia patut turun atau tidak. Jika turun ke bawah, dia terasa seolah-olah dia bakal mengganggu suasana romantik yang dicipta oleh suami isteri itu. Jika tidak turun, bosan pula berkurung di dalam bilik. Tambahan pula, perutnya sudah lapar semacam.
Dalam pada berkira-kira itu, tidak sedar kakinya sudah mula melangkah ke anak tangga yang seterusnya. Dia terus menuju ke dapur. Segan pula mahu bertegur sapa dengan abang iparnya yang berada di ruang tamu ketika itu.
"Ada apa-apa yang nak Intan tolong ke, kak?"
Suri memandang adiknya. Senyuman kecil terukir pada bibir.
"Akak baru nak panggil Intan, nak ajak minum petang sama-sama. Tak ada apa pun yang nak ditolong. Tapi, kalau Intan nak tolong juga, tolong bawakan dulang ni ke depan. Air kopi ni nanti, biar akak yang bawa," suruh Suri.
Intan tidak menjawab tetapi langsung sahaja mencapai dulang yang berisi cawan dan piring berserta popia basah yang sudah cantik terletak di atas pinggan.
Berhati-hati Intan menatang dulang itu sehingga ke ruang tamu. Dicari-carinya kelibat Haikal, namun tiada.
"Bawa dekat luar, Intan. Petang-petang macam ni, biasanya Abang Haikal tu suka minum di luar!" Suara Suri melaung dari belakang. Intan menarik nafas. Pula dah! Tadi elok aje duduk di ruang tamu. Sekelip mata dah ada dekat luar pula?
Haikal yang sedang ralit menguis skrin telefon bimbitnya tersentak dengan kehadiran Intan. Namun sempat dia mengukir senyuman.
"Aik, cawan kosong aje? Airnya Intan dah minum ke?"
Intan tersipu-sipu mendengar usikan Haikal.
"Mana ada. Nanti Kak Suri yang hantarkan air tu. Tangan Intan mana muat nak bawa semua," balas Intan. Lurus. Haikal ketawa kecil.
"Apa yang seronok sangat tu?" tegur Suri dari belakang. Dengan berhati-hati dia meletakkan teko yang berisi air teh O panas itu di atas meja batu yang sering menjadi tempat dia dan Haikal menghabiskan waktu petang bersama.
"Abang ingat Intan dah minum air teh ni tadi. Itu yang dia bawa cawan kosong aje untuk abang," beritahu Haikal sambil mengengsotkan tubuhnya ke tepi. Mahu memberi ruang untuk Suri duduk di sebelahnya.
"Duduk, Intan. Yang berdiri tercegat aje tu kenapa? Abanglah ni, suka sangat menyakat Intan, sampai naik malu dah budak ni." Haikal ketawa lagi. Dielusnya bahu Suri yang sudah mengambil tempat di sebelahnya.
Intan terus duduk lalu mencapai teko. Dituangnya ketiga-tiga cawan yang berada di atas dulang, sebelum disorongkan kepada kakak dan abang iparnya. Dulang yang sudah kosong diletakkan di sebelah.
"Rasalah popia ni, Intan. Sedap sangat sampai orang tu mengigau dek teringat-ingat kesedapannya."
Suri menyiku perut suaminya. Tak habis-habis mahu mengusik.
"Tak betul ke apa yang abang kata? Dulu hari-hari Suri ajak abang pergi beli popia ni, kan? Cuma lately jarang-jarang kita dapat keluar sebab abang sibuk sangat. Maafkan abang, ya? Nanti bila dah siap kerja, abang janji, abang akan bawa Suri pergi bercuti."
"Suri tak kesahlah, bang. Asalkan abang selalu ada depan mata Suri pun dah cukup. Terima kasih sekali lagi sebab belikan popia kesukaan Suri ni."
Haikal merenung mata bening isterinya. Sejuk terasa hati mendengar kata-kata yang dilafazkan Suri tadi.
Intan memerhatikan kedua-duanya dalam diam. Sungguh! Dia rasa admire semacam dengan cara Haikal melayan Suri. Sayang, tapi tidak pula dilihat berlebihan.
Malam itu, Suri dan Haikal keluar membeli barang-barang dapur. Intan pula menolak bila diajak dengan alasan ada kerja yang perlu disiapkan. Sedangkan dia sengaja mahu memberi peluang kepada kedua-duanya untuk menghabiskan masa bersama-sama. Tidak mahu kacau daun kata orang.
Bosan duduk berseorangan di dalam bilik, Intan keluar untuk menonton televisyen di ruang tamu. Bosan menonton, dia mencari-cari bahan untuk dibaca. Dibukanya laci kabinet televisyen. Terpandang pula album gambar yang berada di situ. Ditariknya lalu dibeleknya satu persatu.
"Kacak rupa-rupanya Abang Haikal ni. Kenapalah dari dulu aku tak perasan?"
Intan mengomel sendiri. Ralit pula dia melihat satu per satu gambar-gambar lama Haikal dan juga Suri. Sesekali dia terbayang dan teringat sikap romantik yang sering ditunjukkan Haikal. Kadang-kadang mengirimkan bunga untuk Suri. Adakalanya curi-curi mencium pipi Suri tatkala disangkanya tiada orang yang melihat. Semuanya itu diperhatikan oleh Intan sepanjang sebulan dia berada di rumah ini.
"Untungnya Kak Suri dapat suami macam Abang Haikal tu. Aku ni entah bilalah dapat merasa itu semua." Terpacul keluhan tanpa sedar dari kedua ulas bibirnya.
Bila berada di rumah itu, tinggal bersama-sama, baru dia tahu, betapa bahagia dan beruntungnya Suri. Tiada anak, tapi ada suami yang sangat mencintainya. Tiba-tiba dia pun terasa mahu dicintai seseorang seperti mana Suri. Moga-moga masih ada lelaki seperti Haikal di luar sana dan dijodohkan lelaki seperti itu buat dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro