Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Lengan Yasmin yang berbalut dipandang Falah. Sesekali matanya melirik memandang emaknya yang duduk bersebelahan dengan ayahnya. Petang ini, antara mahu dengan tidak, emaknya dikerah juga supaya turut sama melawat Yasmin.

Walaupun muncung Cikgu Misrah sudah hampir mencecah lantai, dalam kereta pun emaknya langsung tidak bersuara dek tidak bersetuju dipaksa ikut sama.

Namun, pandai pula emaknya mengawal emosi dan riak muka di rumah Haji Hud. Boleh tersenyum dan bertanya khabar seolah-olah emaknya pula yang beria-ia mengajak mereka datang melawat.

"Berjahit tak luka tu, Yasmin? Tempat-tempat lain ada lagi yang cedera?"

Yasmin meraba-raba dahi dan pipinya yang masih bertampal. Sakit pula rasa hati. Dia tidak kesah kalau luka itu di bahagian tubuh yang lain, tapi mengapa harus muka pun kena?

Tidak pasal-pasal muka aku berparut nanti. Ini semua Wafiy punya salah. Lubang besar macam tu pun boleh tak nampak? Mata letak dekat lutut agaknya.

"Jahit lima jahitan dekat dahi, ustaz. Cuma tangan ni aje yang patah. Yang lain-lain luka-luka kecil aje."

Masih tidak mampu untuk membuang pangkal nama ustaz walaupun sudah bertahun-tahun Ustaz Yusuf tidak lagi menjadi gurunya. Malah, bila disuruh memanggil pak cik pun, Yasmin masih lagi terasa kekok.

Dia memandang Falah. Sejak dari tadi lelaki itu diam sahaja. Hanya sesekali berbual dengan ayah dan ibunya. Khabar yang empunya diri langsung tidak ditanya, sedangkan katanya datang semata-mata mahu melawat dia.

Yasmin menjeling dalam diam. Geram dia dengan Falah yang beku hatinya. Nama aje bertunang. Tapi, hurm...

Tiba-tiba Falah menoleh. Turut sama memandang ke arah Yasmin. Yasmin yang hanya mengenakan selendang cepat-cepat membetulkan rambut yang terjurai keluar. Nanti tidak pasal-pasal dapatlah mesej tentang cara-cara menutup aurat dengan sempurna.

Hai Falah, awak tu mekanik aje kut, bukannya bekas pemenang Program Imam Muda. Meluat juga Yasmin dengan perangai Falah yang alim tidak kena tempat.

"Dah alang-alang kami ada di sini, apa kata kalau kita bincangkan terus tentang majlis perkahwinan budak-budak berdua ni."

Ustaz Yusuf tiba-tiba bersuara. Serentak mata Falah dan Cikgu Misrah berkalih memandang ketua keluarga mereka. Falah dengan mata yang terkebil-kebil, Cikgu Misrah dengan mata yang terjegil mahu keluar. Hesy, orang tua ni. Tadi kata nak datang melawat aje, alih-alih nak berbincang soal perkahwinan pula?

Memang nampak nak cari pasal sungguh. Hati

Cikgu Misrah rasa panas semacam, namun di bibirnya tetap terukir senyuman. Matanya mengerling sekilas ke arah Falah. Cepat-cepat Falah angkat bahu. Bukan mak, bukan! Ini bukan pakatan. Falah pun tak tahu apa-apa.

Falah cuba menghantar pesanan lewat pandangan mata. Dia tahu yang bila sampai di rumah nanti, siap sedialah dia dan Ustaz Yusuf dengan segala perisai yang ada. Ayah pun, berpakatlah dulu dengan emak kalau ya pun tak sabar nak buat majlis. Falah tahulah ayah teruja nak dapat menantu.

"Maksud ustaz..."

Haji Hud membetulkan duduk. Berdebar pula hatinya. Manalah tahu, datangnya keluarga Falah membawa hajat untuk memutuskan ikatan antara keduanya.

Yasmin jatuh motor dengan lelaki lain. Membonceng motor dengan budak lelaki yang memang sudah terkenal dengan perangai kacang hantunya itu satu hal, jatuh pula di kampung sendiri, pun satu hal.

Bukan satu cerita kecil, malah mukanya rasa tebal mahu keluar rumah walaupun untuk ke surau. Terasa macam semua orang sedang menempelak dan mengutuk dirinya.

Tapi Yasmin itu sudah dewasa, bukannya boleh ditambat kakinya. Dan kerana bimbang dan sayangkan anak perempuannya itulah dia buang segala rasa malu, dia sendiri yang melamar Falah buat Yasmin. Dia yakin yang Falah mampu untuk membentuk Yasmin. Dia sebagai ayah memang sudah angkat tangan, Yasmin langsung tidak makan dek ajar.

"Yalah. Kalau mengikut perkiraan, majlis budak-budak ni bakal berlangsung dalam tiga bulan lagi. Jadi, rasanya eloklah kita berbincang dan mulakan segala persiapan dari sekarang. Banyak juga kerjanya tu."

"Saya nak tangguhkan majlis tu."

Semua yang berada di ruang tamu kaget mendengar suara Yasmin yang tiba-tiba mencelah.

"Min! Apa yang kamu merepek ni?!" jerkah Haji Hud. Malu sungguh dia dibuatnya dengan tindakan Yasmin. Orang tua sedang sibuk berbincang, pandai-pandai pula dia buat keputusan.

"Saya tak mahu naik pelamin dalam keadaan tangan saya masih bersimen dan dahi yang berparut. Saya minta supaya majlis tu ditangguhkan dulu. Tunggu sampai tangan saya sembuh dan parut pada dahi dan pipi saya ni hilang," tegas sahaja suara Yasmin.

Memang dia tidak sanggup. Itu kan hari istimewanya, tak mahulah dia bersanding dengan muka bopeng dan berparut sana sini. Tangan pula bersimen. Hah, cantik sangatlah tu!

"Saya tak kesah pun, Yasmin. Lagipun kan parut tu boleh ditutup dengan solekan."

Suara Falah kedengaran seakan-akan memujuk.

"Awak memanglah tak kesah sebab bukan muka awak! Saya tak peduli. Saya nak tangguhkan majlis tu."

Cikgu Misrah ketap gigi. Jika diikutkan hati, mahu saja ditamparnya muka Yasmin. Langsung tidak nampak hormatkan Falah.

Kalau sebelum kahwin dah boleh menengking Falah di depan orang tuanya, bila dah kahwin, mahu hidung Falah tu dicucuknya dengan tali.

"Yasmin!"

Suara Hajah Jana mula meninggi. Malu sungguh dia dengan perangai yang ditunjukkan Yasmin. Bukan dia tidak nampak air muka Cikgu Misrah yang sudah berubah. Yalah, emak mana yang tidak terasa hati bila anaknya ditengking di depan bakal mentua.

"Beginilah, kalau dah begitu kata tuan yang empunya diri, kita ikutkan sahajalah. Bila-bila dia dah bersedia, baru kita bincangkan tentang majlis tu."

Cikgu Misrah cepat-cepat ambil peluang. Baguslah kalau Yasmin mahu tangguhkan majlis. Harap-harap terus tak jadi, bisik Cikgu Misrah.

Tidak berkenan sungguh dia dengan perangai Yasmin. Langsung tak matang. Nak kata muda lagi, dah masuk umur dua puluh enam tahun. Lainlah kalau Yasmin tu baru berusia enam belas tahun.

"Kamu bagaimana, Falah? Setuju kalau kita tangguhkan dulu majlis tu?"

Falah diam sejenak. Jika diikutkan, dia lagi mahu majlis perkahwinan itu dipercepatkan. Sudah naik muak dia disajikan dengan pelbagai cerita tentang Yasmin.

Selagi Yasmin tidak sah menjadi isterinya, selagi itulah dia tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya mampu mendengar dan mendengar segala macam aduan dan kecaman yang dilempar orang terhadap tunangannya.

Falah tarik nafas panjang. Memandang satu per satu mereka yang berada di situ.

"Saya ikut aje, pak cik. Kalau dah itu keputusan yang terbaik, kita tangguhkan dulu majlis tu."

Yasmin tersenyum puas. Dirinya terasa sebagai pemenang. Cikgu Misrah tarik nafas lega. Haji Hud pula mengeluh hampa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro