Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

"Okey tak bilik ni?" Suri melabuhkan punggung di atas katil. Memandang Intan yang sedang sibuk mengeluarkan pakaian dari dalam beg.

"Lebih daripada okey. Akak ni, bukannya Intan nak menumpang tinggal lama pun. Tak payahlah beria-ia sangat kemaskan bilik ni."

Bukannya dia tidak biasa tinggal di bilik itu. Bilik yang sama dihuninya setiap kali datang bertandang ke rumah Suri. Biasanya dia datang bersama kedua-dua ibu bapa mereka, tapi kali ini Haji Idris dan Hajah Halilah hanya datang menghantarnya lalu ditinggalkan dia di sini.

"Eh, tak lama pun, takkanlah akak nak biarkan cadar tak bersalin, langsir tak berganti. Biarlah Intan rasa selesa selama tinggal di rumah akak ni."

"Abang Haikal okey ke kak, Intan datang tumpang tinggal dekat sini?"

Walaupun berkali-kali Suri katakan yang Haikal tidak kesah, tapi hatinya tetap rasa tidak seronok. Apatah lagi sudah naik tebal telinganya mendengar ceramah Hajah Halilah. Suruh jaga kelakuanlah, jaga auratlah dan bermacam-macam lagi siri pesanan yang buatkan kepalanya serabut.

Kalaulah dia tahu sampai begitu sekali Hajah Halilah susah hati, memang tak akan dikhabarkan kepada Suri tentang tawaran kerja yang diperolehinya. Selesai urusan mencari rumah ataupun bilik sewa barulah dia akan wara-warakan kepada semua. Mahu ditolak pelawaan Suri, bimbang kakaknya kecil hati. Bila diterima, Hajah Halilah pula yang tidak senang hati. Aduh, susah betul jadi anak bongsu ni!

"Dia lagi suka, Intan. Ada juga kawan akak dekat rumah ni. Abang Haikal tu tahu ajelah, sekejap-sekejap ke Pulau Pinang, sekejap-sekejap ke Kota Bharu, meratalah dia tu outstation dalam sebulan. Akak ni kebosanan duduk sorang-sorang dekat rumah. Kalau siang tu taklah terasa sangat. Tapi bila malam, dahlah bosan, takut pun satu hal juga," cerita Suri.

Memang itu yang dia rasa setiap kali Haikal terpaksa bekerja di luar daerah. Biarpun itu bukanlah perkara baru, tapi rasa takut itu tetap ada. Bimbang apa-apa berlaku sepanjang ketiadaan Haikal. Sebab itulah hatinya rasa lega bila Intan bersetuju untuk tinggal di rumah ini. Biarpun sementara, sekurang-kurangnya dia ada teman.

"Nak takut apa akak ni? Kiri kanan, belakang depan, semuanya rumah orang. Berpenghuni. Bukannya rumah tinggal." Intan menempelak.

Duduk di bandar kut, yang suasananya sibuk selalu, apa jugalah yang nak ditakutkan Suri? Hantu? Okey, ini kelakar. Intan mahu ketawa, tapi ditahannya. Bimbang terasa hati pula Suri nanti.

"Eh, buatnya orang pecah masuk rumah, akak duduk sorang-sorang, siapa pun tak sedar. Kau ingat orang dekat sini peduli ke dengan orang lain? Tu, jiran depan rumah akak ni, langsung tak pernah berbual tau. Bertegur sapa pun tidak. Nama dia pun akak tak tahu."

"Akak ni, ingat dekat sini macam dekat kampung agaknya. Tapi Intan lagi suka tinggal dekat bandar yang macam ni. Tak ada yang nak menyibuk hal kita. Semua orang buat hal masing-masing."

Ya, memang sejak dari dulu dia menyimpan angan mahu bekerja di bandar besar. Suasana di kampung tidak sesuai untuk dirinya. Dia rimas bila orang terlalu mengambil tahu akan hal dirinya. Menyibuk!

"Intan kemaslah dulu barang-barang Intan. Akak nak turun ke bawah. Malas nak kacau Intan mengemas."

Suri angkat punggung. Leka berbual, jadi tergendala pula kerja Intan. Esok adiknya akan melaporkan diri di salah sebuah kolej swasta yang terkenal di ibu kota. Harap-harap, serasilah Intan dengan kerja yang baru ni.

"Jadi ke adik Suri tu tumpang rumah kamu?" tanya Puan Faridah.

Diletakkan teko air kopi berserta jemput-jemput pisang yang baru diangkat dari kuali. Rezeki Haikal. Tergerak pula hatinya mahu membuat jemput-jemput pisang sementelah pisang emas yang dibelinya di pasar tani kelmarin sudah nampak masak benar.

"Jadi. Hari ni sampailah katanya. Esok dah kena lapor diri dekat kolej tu."

"Lama dia tinggal di rumah kamu tu?"

Haikal kerut dahi lantas membetulkan duduk. Lain macam pula soalan emaknya. Selalunya emak langsung tak ambil kesah ataupun masuk campur dalam hal-hal yang melibatkan keluarga mentuanya.

"Kenapa mak tanya macam tu?" Hajah Faridah tarik nafas. Mujurlah Suri tidak ikut sama. Kalau tidak, tak mungkin akan ditanyanya soalan tadi kepada Haikal. Mahu kecil hati pula Suri kalau mendengarnya.

"Adik ipar kamu tu perempuan. Dah dewasa. Kamu tu pula lelaki."

Habis tu, apa masalahnya? Haikal jadi semakin tidak faham.

"Betullah tu, Intan tu perempuan, saya ni lelaki."

Pap! Paha Haikal ditepuk kuat. Geram pula Puan Faridah dengan jawapan Haikal.

"Kamu ni, takkanlah ayat mak yang mudah macam tu pun kamu tak faham?"

Matanya dijegilkan. Ayat mudah macam tu pun Haikal tak boleh nak hadam? Membazir aje belajar tinggi-tinggi.

"Sungguh mak, Haikal tak faham. Haikal cuma ya kan aje ayat mak tadi tu. Itu pun salah ke?"

"Maksud mak, tak manis kamu dan dia tinggal serumah."

"La, Suri kan ada. Bukannya kami tinggal berdua aje di dalam rumah tu," balas Haikal selamba.

Orang tua-tua ni kadang-kadang fikirannya jauh betul melencong. Emaknya pun tidak berkecuali. Suka benar berfikir yang bukan-bukan.

"Huh, kamu ni tak faham! Kalau adik Suri tu lelaki, mak langsung tak kesah. Tapi sebab dia perempuan, anak dara pula tu, mak rasa kurang seronok bila dia tumpang tinggal dekat rumah kamu."

Puan Faridah mendengus. Berbelit atau bermadah pujangga benarkah ayatnya sehinggakan Haikal tidak faham? Kiasan mudah aje kut.

"Intan tu dah macam adik saya sendiri, mak. Kalau mak dah mula nak fikir yang bukan-bukan, hentikanlah, mak. Tak ada niat, tak pernah terlintas pun. Suri tu dah lebih dari cukup buat saya," balas Haikal terus terang.

Dia kurang senang bila emaknya seolah-olah menyimpan prasangka terhadapnya. Intan kan adik Suri. Gila agaknya dia kalau terfikir nak buat bukan-bukan terhadap Intan.

"Mak tak kata yang kamu tu berniat jahat. Cuma mak nak pesan, hati-hatilah. Syaitan ni asal ada peluang, tunggu masa aje nak menggoda umat manusia."

"Hesy, mak ni. Kalau dengar dek Suri, mahu kecil hati dia."

"Sebab itulah mak tak bercakap depan dia. Mak bercakap depan kamu. Kalau Suri tahu, tak ada orang lain yang beritahu kecuali kamu."

Satu jelingan tajam dihadiahkan Puan Faridah. Orang nasihat tak mahu dengar. Kata kita ni nak berprasangka pula, omelnya dalam hati.

Tapi sungguh, dia memang rasa tidak sedap hati bila tahu yang Intan mahu menumpang tinggal di rumah anak menantunya.

Mungkin betul juga kata Haikal tadi, dia yang terlebih risau. Lepas tu mulalah berfikir yang bukan-bukan. Tapi hati orang tua agaknya, memang suka berfikir jauh ke hadapan. Harap-harap cepatlah adik Suri tu dapat rumah sewa, doa Puan Faridah dalam hati. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro