Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

"Falah, kalau aku cakap ni, kau jangan marah pula tau!"

Muka Shuib nampak ketara serba salahnya. Dia tidaklah mahu dikatakan membawa mulut ataupun suka menjaga tepi kain orang. Kalau tidak dikenangkan yang Falah itu kawannya sejak kecil lagi, tidak kuasa dia mahu mencampuri urusan Falah.

"Apa dia? Kau belum cakap lagi, mana nak tahu benda tu boleh buat aku marah atau tidak?"

Muka Falah kelihatan selamba sahaja. Entahlah. Memang begitulah muka Falah sejak dari dulu. Marah ke, gembira ke, macam itu jugalah riak mukanya.

"Ini, pasal Yasmin. Tunang kau tu."

"Yalah. Yasmin tu memanglah nama tunang aku. Kenapa?"

Kali ini barulah Falah memberi perhatian terhadap apa yang mahu dikatakan Shuib. Hatinya dapat mengagak, tapi dia tetap berharap yang agakannya itu tidak benar.

"Macam mana aku nak cakap, ya?"

"Cakap ajelah macam yang biasa kau cakap. Bukannya aku suruh kau bercakap guna bahasa sastera, bergurindam ataupun bersyair," tempelak Falah.

Payah benar mahu bercerita sedangkan tadi Shuib juga yang dulu-dulu membuka mulut tentang Yasmin.

"Hesy, kau ni! Masalahnya sebab cerita ni cerita yang tak seronok didengar. Aku pun serba salah nak bercerita dengan kau."

"Kau jangan nak buat cerita sekerat-sekerat. Baik kau cerita aje terus. Apa pula halnya dengan Si Yasmin tu kali ni?"

Falah masih berlagak tenang. Namun getaran dalam hatinya, Tuhan sahaja yang tahu. Kalau Shuib pun begini payah mahu bercerita, sudah pasti ia bukanlah satu cerita yang boleh buat bibirnya tersenyum lebar. Yasmin, Yasmin, apa lagilah kontroversi yang awak buat kali ni? Hati Falah tertanya sendiri.

"Semalam. Dia jatuh motosikal."

Mulut Falah sudah terbuka sedikit. Terkejut dek berita yang tidak disangkanya. Kenapa pula dia tidak tahu tentang musibah yang menimpa tunangannya itu? Kenapa pula Haji Hud tak beritahu dia?

"Jatuh motor dekat mana?"

"Tak jauh. Depan simpang masjid tu aje. Kebetulan jemaah baru keluar lepas solat asar. Ramailah yang berkerumun dekat tempat kejadian tu."

"Betul ke? Kenapa pula Haji Hud tak beritahu aku?"

"Nak beritahu kau macam mana? Dia pun serba salah agaknya. Kalau boleh disorok, aku rasa lagi dia nak sorok. Yasmin jatuh tertonggeng dengan budak kacang hantu tu. Budak tu pula, bila jatuh, nampak jemaah berpusu-pusu datang nak menolong, cepat-cepat dia angkat motor, lari tinggalkan Yasmin yang dah tergolek masuk ke dalam longkang."

Oh, rupa-rupanya cerita Shuib masih ada sambungannya lagi. Sambungan yang buat hati Falah gelisah sendiri. Satu, hatinya sakit kerana Yasmin masih tidak berubah.

Kedua, takut mahu berhadapan dengan Cikgu Misrah bila pulang ke rumah nanti. Alamatnya berlubanglah telinga mendengar bebelan Cikgu Misrah. Cerita ini sudah pasti akan sampai ke pengetahuan emaknya. Kampung mereka bukannya sebesar mana. Silap-silap, cerita ini dah pun sampai ke tiga atau empat buah kampung yang berdekatan.

"Hurm..."

Sudahnya hanya itu reaksi yang mampu dia beri untuk cerita Shuib yang beria-ia tadi.

"Itu aje yang boleh kau cakap?"

"Habis tu, takkanlah aku nak bertepuk tangan dengar tunang sendiri jatuh motor? Kau ni pun, agak-agaklah."

"Aku tak suruh kau bertepuk tangan. Aku ni kalau boleh nak suruh kau pergi sekeh kepala Si Yasmin dan tumbuk muka budak yang selalu Yasmin bonceng motosikalnya tu. Hesy, dah jadi tunang orang tu, pandai-pandailah jaga kelakuan. Ini tidak, merata ikut budak kepala separuh masak tu merambu," bebel Shuib tidak puas hati.

Dia memang sudah lama menahan perasaan dengan Falah sebenarnya. Sakit hati pula dia dengan perangai Falah yang tenang dan seolah-olah tidak kesah dengan apa yang dilakukan oleh tunangnya itu. Kalaulah Yasmin tu tunangnya, tahulah dia mengajar Yasmin tu.

"Anak orang tu, Shuib. Belum jadi isteri aku, aku tak ada hak nak buat apa-apa. Dia masih di bawah tanggungjawab Haji Hud."

"Haji Hud tu pun dah tak boleh buat apa. Sebab itulah dia bersungguh benar nak jadikan kau ni menantu dia. Aku memang akuilah yang Haji Hud tu baik orangnya. Tapi, iman ni bukannya boleh diwarisi, Falah. Dan Yasmin tu, cukuplah aku katakan, tak sesuai dengan kau."

"Mungkin sebab itu aku ni Allah pilih untuk jadi imam dia, supaya aku boleh didik dia. Manusia ni, jahat hari ni, belum tentu jahat untuk selama-lamanya. Yasmin tu masih boleh dididik, masih boleh dibentuk," balas Falah seolah-olah cerita yang Shuib sampaikan tadi langsung tidak memberikan kesan.

"Hati kau ni aku rasa diperbuat daripada kayu agaknya!" dengus Shuib.

"Habis tu, kau nak aku buat apa lagi?"

"Perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik. Itu aje yang aku nak cakap dengan kau!"

Shuib menjongketkan hujung bibirnya lantas berlalu meninggalkan Falah yang masih terpinga-pinga di situ.

"La, dengan aku-aku sekali kau nak marah, Shuib?"

Falah menggelengkan kepalanya. Dia tahu yang Shuib tidak puas hati dengan caranya menangani sikap Yasmin yang adakalanya keterlaluan. Dia bukanlah penyabar seperti mana anggapan semua orang. Bukan juga lelaki dungu yang sanggup diperbodohkan hanya kerana mahu berkahwin dengan gadis sepopular Yasmin.

Pernah terlintas dalam fikirannya untuk memutuskan pertunangannya, tetapi sebaik itu juga, terlintas wajah Haji Hud di depan mata. Kasihan pula bila dia kenangkan Haji Hud yang baik budinya itu.

Yasmin pun pada pendapatnya bukanlah jahat, cuma gadis itu memang lincah orangnya. Insya-Allah masih boleh dibentuk dan dididik kalau kena dengan gayanya.

"Kamu tak pergi melawat tunang kamu tu, Falah?"

Falah senyap. Tahu yang hati emaknya sedang panas. Kalaulah hati itu boleh dilihat, mungkin dah mengeluarkan asap agaknya.

"Kenapa? Mak nak pergi ke?"

Manalah tahu, kalau-kalau Cikgu Misrah memang berniat mahu melawat Yasmin.

"Huh! Kamu main-mainkan mak ke, Falah?"

"Ya Allah, manalah berani Falah nak main-mainkan syurga Falah ni. Falah tanya sungguh-sungguhlah dekat mak. Kalau mak nak pergi, marilah Falah bawakan. Falah nak pergi melawat, macam tak manis pula pergi seorang diri. Segan."

"Kamu tak payah pergi! Kalau kemalangan tu berlaku waktu dia ada dengan kamu, padanlah juga kalau kita nak pergi melawat. Ini dengan jantan lain. Mak dah kata dah, kamu dengan ayah kamu tak mahu percaya cakap mak," bidas Cikgu Misrah.

Sakit hati, tapi rasa malu itu lebih lagi bila kerani di sekolah sibuk bercerita. Seolah-olah lupa yang Yasmin itu bakal menantunya.

"Mungkin lelaki tu sekadar tumpangkan dia balik ke rumah. Mungkin dia tertinggal bas, mak. Mungkin juga keretanya rosak."

Cikgu Misrah ketap gigi. Geram pula dia dengan Falah. Nak kata lurus, tak juga. Nak kata mata Falah tu buta kerana cintakan Yasmin, tak ada pula dia nampak Falah beria-ia bercinta.

Jarang benar dia lihat anak itu bergayut di telefon, keluar dengan tunangannya, bercerita tentang Yasmin jauh sekali. Kalau Falah buat semua tu di belakangnya, tidak tahulah pula Cikgu Misrah, tapi dia yakin yang anaknya ini bukan lelaki yang sebegitu.

"Kamu tetap nak teruskan pertunangan ni, Falah? Mak sebenarnya geram dengan kamu ni. Tunang perangai serupa hantu pun, kamu boleh tersenyum-senyum lagi. Boleh lagi kamu duk tayang muka tenang kamu tu. Kalau kamu jadi kahwin nanti, Yasmin tu akan jadi isteri kamu, tahu? Kamu nak isteri yang perangai macam tu? Kamu ni memang betul-betul gilakan dia agaknya sampai apa pun yang dia buat kamu diamkan aje."

Falah meraup rambutnya. Entahlah, dia pun tidak tahu perasaannya terhadap Yasmin itu bagaimana untuk dia huraikan. Cinta? Entah, manalah dia tahu sebab dia bukannya pernah bercinta.

Kata Shuib, kalau cintakan seseorang, kita akan rasa rindu. Rindu nak lihat wajah dia, rindu nak dengar suara dia, rindu segala-galanya tentang dia. Bahkan kalau tak nampak wajahnya pun tak mengapa, dapat tengok tangga rumahnya pun jadilah.

Tapi, pernah ke dia rindukan Yasmin? Macam tak aje. Berminggu-minggu tak jumpa pun dia tak rasa apa-apa.

Tak dengar suara Yasmin berhari-hari pun tak menjejaskan kehidupannya. Lalu, apakah betul telahan emaknya yang dia gilakan Yasmin sehingga dibiarkan sahaja semua perbuatan Yasmin itu? Entah celah mana emaknya kutip bukti yang dia gilakan Yasmin pun, tidaklah Falah tahu.

"Bukan sebab gilakan dia, mak. Tapi saya ni fikir panjang."

"Amboi, jawapan!"

Cikgu Misrah menjeling tajam. Sebab fikir panjanglah dia mahu Falah teliti semula apa perlunya ikatan pertunangan itu diteruskan?

Jika Yasmin sukakan lelaki lain, biarkanlah! Mungkin jodoh Falah dengan perempuan yang lebih sesuai, siapa tahu? Jodoh kan rahsia Allah.

"Mak, nak putuskan pertunangan tu bukannya susah. Tapi, kalaulah saya buat macam tu, rasa-rasa mak, terjejas tak hubungan mak dan ayah dengan Haji Hud dan Hajah Jana tu? Selesa tak kalau lepas ni mak bertembung dengan bakal besan tak jadi tu di mana-mana? Lagipun mak, orang yang tersilap langkah ni, kita kena bimbing, bukannya tinggalkan dia. Mak kan cikgu, kalau pelajar mak nakal, ada tak mak abaikan aje dan buat-buat tak tahu? Tak, kan? Mungkin kita ni Allah hantar untuk bimbing Yasmin tu, mak. Dia bukannya jahat, mungkin sedikit tersasar aje. Falah yakin, kalau kena gayanya, Yasmin tu boleh dibentuk lagi."

Aduh, insaf pula Cikgu Misrah mendengar ayat Falah. Terus terdiam dia dibuatnya.

"Hurm... Yalah. Belalah dia. Dia tu kan bakal makmum kamu. Tapi ingat Falah, mak cakap macam tu bukan sebab mak bencikan Yasmin. Mak cuma mahukan yang terbaik untuk kamu sebab mak tahu yang anak mak ni anak yang baik. Mak mahu kamu dapat isteri yang baik-baik."

Falah senyum. Dirangkulnya bahu Cikgu Misrah lalu dilentokkan kepalanya di situ.

"Falah sebenarnya nak cari isteri yang macam mak. Mak Falah yang paling baik, paling cantik, paling pandai memasak dan pandai pula berpidato. Ayah pun angkat bendera putih bila mak dah mulakan mukadimah."

Dia terkekeh-kekeh ketawa bila tangan Cikgu Misrah sudah menepuk bahunya.

"Kamu menyindir mak, ya?"

"Mana ada. Itu kan puji-pujian. Ikhlas daripada hati Falah untuk mak."

Cikgu Misrah ketawa kecil. Falah memang pandai mengusik. Sebab itulah marahnya tidak pernah lama. Namun begitu, hatinya tetap bimbang bila teringatkan Yasmin. Harap-harapnya, kemalangan yang berlaku dapat mengubah sikap Yasmin selepas ini, doa Cikgu Misrah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro