Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

"Suri dah pergi klinik yang mak cadangkan tu?" Suri yang sedang mencuci pinggan menoleh.

Malam ini mereka bermalam di rumah mentuanya. Memang selalunya begitulah, mereka akan bergilir-gilir bermalam di rumah Puan Faridah pada setiap hujung minggu. Kalau minggu ini jatuh giliran dia dan Haikal, maka minggu depan giliran abang iparnya Hisham dan birasnya, Kak Muna pula yang akan tidur di sini.

Bimbang sebenarnya mahu meninggalkan wanita itu tinggal bersendirian, tapi bila diajak tinggal bersama mereka, Puan Faridah mati-mati tidak mahu. Katanya tidak mahu menyusahkan anak-anak, tapi yang sebenarnya mereka tahu, Puan Faridah sayang untuk meninggalkan rumah yang sudah berpuluh tahun didiaminya itu.

"Abang Haikal kata nanti dulu, mak."

Tulus sahaja jawapan Suri.

Ya, dia ada memberitahu Haikal. Tapi, kata Haikal, nanti-nantilah. Sudah beberapa kali diajukan cadangan itu, tetapi Haikal seolah-olah mahu mengelak.

"La, dah kenapa pula nak bertangguh lagi? Dah tujuh tahun kamu berdua berkahwin, memang dah patut sangat kamu berdua ikhtiar secara serius sekarang ni."

Suri diam. Tidak tahu mahu membalas apa. Bimbang jika dia menjawab, Haikal pula bakal dileter Puan Faridah nanti.

"Suri, air Nescafe abang mana? Kering tekak abang tunggu sejak dari tadi."

Suri yang baru selesai mencuci pinggan terkocoh-kocoh mencapai muk. Lupa pula dia mahu membancuh minuman buat Haikal. Sedangkan dia tahu, selepas makan, Haikal wajib mahu disediakan Nescafe suam buatnya.

"Sekejap ya, bang. Maaf, Suri terlupa tadi."

Haikal menarik kerusi lalu duduk. Sempat ditangkapnya mata Puan Faridah yang merenungnya tajam. Ah, sudah! Salah apa pula yang dah dibuatnya kali ini? Haikal mula resah. Sekilas pandangan emaknya itu, dia sudah tahu, ada perkara yang emaknya tidak puas hati.

"Mak, dari tadi mak renung saya macam nak telan. Ada apa-apa salah ke yang saya dah buat?" Haikal bertanya.

Suri pula sudah berdebar semacam. Kenapalah dia boleh terlepas cakap tadi? Aduhai...

"Kenapa kamu tak mahu ke klinik?"

Tidak bertangguh lagi Puan Faridah terus bertanya.

"Dah tak sakit, nak pergi klinik buat apa? Mak ni pun..."

Haikal yang masih belum dapat menangkap maksud soalan emaknya, jujur menjawab. Puan Faridah duduk di hadapan Haikal. Memandang geram kepada anak keduanya.

"Klinik sakit puanlah! Suri ajak kamu, kenapa kamu tak mahu?"

"Bukan tak mahu, sekarang ni tengah sibuklah, mak. Tunggulah bila-bila lapang nanti kami pergilah."

Matanya mengerling ke arah Suri. Sedikit pun dia tidak terasa marah kalau betul pun Suri yang mengadu. Dia pun tahu, emaknya kalau sudah menyoal, bukan senang mahu terlepas. Sah-sah Suri pun terperangkap agaknya.

"Nak tunggu kamu tak sibuk tu bila? Cuba kamu beritahu mak. Nak anak kena usaha, Haikal. Bukannya duduk menunggu aje. Ada orang rezekinya mudah. Kahwin bulan ni, bulan ni juga lekat benihnya. Ada orang Tuhan uji payah nak dapat, kena ikhtiar macam-macam untuk dapatkan anak. Yang penting, kita kena usaha."

"Saya pun berusaha, mak. Siapa kata tak usaha? Tanyalah Suri tu, setiap malam pun kami berusaha nak dapatkan anak. Kan, sayang?"

Suri ketap gigi. Sakit hati pula mendengar jawapan Haikal. Ada pula perkara itu dibuat bergurau dengan Puan Faridah. Hesy, muka tak malu betul!

"Kamu jangan main-mainlah! Mak cakap sungguh-sungguh ni, Haikal. Pergilah buat pemeriksaan. Tanya doktor yang pakar dalam bidang ni, apa kaedah yang terbaik untuk kamu dapatkan zuriat. Dapat seorang pun jadilah. Ada juga kamu waris nanti. Kamu tak kasihankan Suri ke?"

Sebak pula Suri mendengar suara mak mentuanya memujuk Haikal. Entahlah, tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Haikal. Sehingga kini, Haikal sering mengelak dan memberi pelbagai alasan kalau diajak untuk melakukan pemeriksaan kesuburan. Ada sahaja dalihnya.

"Insya-Allah, mak. Kami akan pergi juga nanti. Cuma sekarang ni, saya tak rasa yang kami ni terdesak mahukan anak. Biarlah. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada pun, saya dah cukup bahagia hidup berdua dengan Suri."

Puan Faridah tarik nafas panjang. Memang payah bercakap dengan Haikal. Sejak dari dulu perangai Haikal memang begini. Jika katanya tidak mahu, memang tidaklah jawabnya. Paksalah setara mana pun, Haikal payah mahu berganjak dari keputusan yang sudah dibuatnya.

"Maafkan Suri ya, bang?"

Tangan suaminya dicapai lalu dibawanya ke bibir. Haikal memaut tubuh Suri rapat kepadanya. Tahu, atas sebab apa isterinya meminta maaf.

"Tak ada apa-apalah. Abang tak marah pun."

"Suri terlepas cakap tadi. Tak sempat nak berfikir dulu," akui Suri ikhlas.

"Mak tu, bukannya kita tak kenal. Mengalahkan detektif kalau sudah mula menyoal. Dahlah. Tak ada apa-apa pun. Perkara kecil aje."

Suri tersenyum kecil. Lega kerana Haikal tidak marah.

"Tidurlah dulu. Abang nak sambung membaca sikit lagi," suruh Haikal.

Suri akur lalu merebahkan badannya di sebelah Haikal yang masih bersandar pada kepala katil. Haikal mengerling menerusi hujung mata.

Dia mengeluh. Perlahan. Bukan dia tidak mahukan anak. Tetapi dia tidak sanggup untuk ke klinik mahupun hospital untuk melakukan ujian kesuburan. Takut? Ya, memang dia takut.

Bagaimana kalau selepas ujian dilakukan dan didapati dia yang tidak subur? Atau perkataan lainnya, dia yang mandul? Di mana dia mahu meletakkan mukanya. Dia pasti dia tidak akan mampu untuk berhadapan dengan Suri lagi selepas itu.

Egonya sebagai lelaki juga seolah-olah menyekat dirinya. Tentu malu kalau kawan-kawannya dapat tahu dia menggunakan kaedah perubatan moden untuk mendapatkan anak. IUI, IVF atau kaedah ICSI, semuanya dia tahu dan dia sendiri ada mencari maklumat tentangnya. Tapi, jantankah dia kalau tidak mampu untuk mendapatkan anak secara semula jadi?

Aduh, tentu dia diketawakan orang kalau ada yang dapat tahu anaknya itu merupakan bayi tabung uji. Tidak! Buat masa sekarang, masih belum terbuka hatinya untuk mengikut saranan emaknya. Biarlah kalau dia terpaksa hidup berdua dengan Suri hingga ke akhir hayat sekalipun, Haikal rela.

"Abang, Suri lupa nak beritahu abang. Dan Suri juga nak minta maaf sebab pandai-pandai buat keputusan tanpa berbincang dengan abang dulu."

"Ada apa, Suri?"

"Intan dah dapat kerja. Jadi, sementara dia dapat rumah sewa, Suri ajak dia tinggal bersama dengan kita."

Teragak-agak Suri mahu memberitahu. Bukannya dia takut Haikal tidak benarkan, tetapi lebih kepada rasa bersalah kerana membelakangkan Haikal dalam perkara ini.

"Oh... Tak mengapalah, Suri. Lagipun abang kan selalu outstation. Boleh juga Intan temankan Suri. Taklah Suri sunyi sangat di rumah tu."

Lega hati Suri mendengarnya. Dia tahu, Haikal tidak pernah berkira kalau melibatkan soal keluarga. Memang tidak salah dia memilih Haikal sebagai suaminya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro