Bab 1
PROLOG
"Jadi, Suri lebih memilih dia berbanding abang?" Suri membuang pandang ke halaman rumah. Pertanyaan Haikal dibiarkan sepi tanpa jawapan.
"Suri, tak ada siapa mampu menidakkan sayang abang pada Suri. Abang akui, apa yang berlaku antara kita, memang salah abang. Tapi, perlukah kesilapan yang cuma sekali itu sahaja yang diingati Suri? Dua tahun kita berkawan, tujuh tahun kita berkongsi ranjang, berkongsi hidup, berkongsi segala-galanya. Takkanlah tak ada walau satu pun kebaikan yang pernah abang lakukan terhadap Suri?"
Haikal merenung wanita berkulit kuning langsat yang masih beku wajahnya. Hampir setiap hari dia berulang ke rumah ini, mahu mengutip semula sisa sayang dan kepercayaan yang masih ada. Namun, Suri tetap tidak berubah. Jangan katakan mahu mendengar suara Suri, mahu membuka mulut pun tidak. Suri seolah-olah buat tidak tahu sahaja dengan kedatangannya.
"Suri memang nak buang abang dari hati Suri ke?"
Pedih. Soalan itu menghiris hatinya sendiri. Tapi dia tahu, baik dia, mahupun Suri, tidak akan mungkin melupakan antara satu sama lain. Terlalu banyak kenangan yang dikongsi antara mereka. Dia yakin yang Suri masih cintakannya, cuma mungkin hati Suri sudah terluka dan memerlukan masa untuk sembuh.
"Nama awak dah lama saya buang. Kalau boleh, saya mahu semua ingatan saya tentang awak hilang. Sebab semua ingatan yang saya ada tentang awak, semuanya menyakitkan."
Haikal terkedu. Kali pertama Suri bersuara setelah begitu lama dia menunggu. Tapi, bukan ayat ini yang diharapkannya keluar dari mulut Suri.
"Suri..."
"Saya letih dengar awak merayu. Saya bosan dengar awak memujuk. Hati saya dah mati untuk awak. Jika kita bersama semula pun, tak ada gunanya. Perasaan yang pernah hadir dulu dah pun hilang."
"Semuanya kerana lelaki tu, kan?"
Ya, Haikal tahu tentang lelaki itu. Lelaki yang muncul selepas hubungannya dengan Suri diuji. Walaupun Suri tidak pernah menyebutnya, tapi dia tahu antara Suri dengan lelaki itu ada hubungan istimewa.
Lihat sahajalah bagaimana rapatnya hubungan lelaki itu dengan Luqman. Dia yang punya hubungan darah dengan anak kecil itu pun kalah kalau mahu dibandingkan dengan lelaki yang tinggi lampai dan berwajah manis itu.
"Dia muncul waktu saya rebah. Dia pinjamkan bahunya untuk saya menangis."
"Dan kerana itu hati Suri berpaling?" soal Haikal. Bengang kerana Suri seolah-olah lebih menyanjungi lelaki yang masih tidak diketahui hati budinya. Segala kasih sayang dan cinta yang dicurahkannya buat Suri selama lebih tujuh tahun ini seolah-olah langsung tidak berbekas. Mudah benar hati Suri berubah.
"Awak boleh anggap apa saja. Tapi, jangan lupa, semua orang tahu apa yang dah berlaku sebenarnya."
"Berapa kali abang nak cakap pada Suri, yang abang kesal dengan apa yang berlaku? Ya, itu memang salah abang. Tapi abang merayu, jika tidak kasihankan abang, kasihankanlah Luqman tu."
Suri mengerling. Berdesing telinga mendengar ayat Haikal.
"Kasihankan Luqman?"
Suri senyum sinis. Entah mengapa, pipi Haikal rasa ditampar bila melihat senyuman yang tersungging di hujung bibir Suri.
"Jika Suri mahu abang cium kaki Suri pun abang sanggup. Malah, jika Suri mahu abang serahkan segala harta yang abang ada pun abang rela, asalkan kita dapat hidup seperti dulu semula. Abang cuma mahukan Suri abang yang dulu."
"Saya bukan keramat yang layak untuk dicium kakinya. Lebih baik awak cium kaki mak yang dah bersusah payah lahirkan dan besarkan awak. Saya juga tak mahu apa-apa daripada awak, simpan aje semuanya termasuk hati awak. Cuma satu yang saya minta, anggap sahaja Suri yang dulu dah mati. Benarkan Suri yang masih bernafas di depan awak ni pilih jalan hidupnya sendiri. Berhenti datang jumpa saya, berhentilah mengingati saya."
Tubuh Haikal terhenyak ke belakang. Benarkah itu yang dimahukan Suri? Kenyataan yang baru didengarnya dari mulut Suri benar-benar melukakan hatinya. Air mata yang selama ini ditahan, bergenang juga. Kenapalah Suri tidak mahu percaya yang hatinya hanya untuk Suri? Dia hanya mahukan Suri sebagai isterinya. Hanya mahu hidup mereka kembali seperti dulu sebelum munculnya 'dia'.
Haikal merenung wajah Suri sekali lagi. Kali ini lebih lama. Manalah tahu, ini mungkin renungannya yang terakhir buat Suri. Suri, hidup baik-baik, ya? Abang akan selalu doakan Suri. Nama Suri akan sentiasa berada dalam hati abang, bisik Haikal dalam hati. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Air mata yang tadinya bertakung, menitik ke atas lantai. Allah, sakitnya perpisahan ini!
BAB 1
Air mata yang bertakung di tubir mata diseka dengan hujung jari. Kecewa! Matanya sekali lagi menatap keputusan alat ujian kehamilan yang berada pada tangannya. Hari ini sudah masuk hari keempat dia lewat datang haid. Dia berharap benar yang kali ini adalah rezekinya untuk menimang anak sendiri.
Ah, mungkin masih terlalu awal. Aku perlu tunggu sehingga beberapa hari lagi agaknya. Hati Suri berdesis sendiri. Dia mengeluh. Alat ujian kehamilan itu kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah yang berada di dalam bilik air.
Dia menuju ke singki. Tangannya dibasuh dan diramas-ramas antara satu sama lain. Kemudian, air paip itu ditadahnya sebelum mukanya dibasahkan dengan air beberapa kali.
Dia merenung wajahnya menerusi imej yang terpantul pada cermin. Bibirnya digigit. Ada rasa yang sedang menggerit hati. Tangan kanannya beralih memegang perut pula. Entah bilalah dia dapat merasa ada satu nyawa yang dibawa di dalamnya? Pipinya tiba-tiba terasa panas. Ada air mata yang sedang mengalir tanpa dia sedar.
Tujuh tahun dia menanti. Tujuh tahun dia bersabar dengan segala macam kata-kata, soalan dan juga tohmahan orang. Hati yang dahulunya tabah semakin rapuh hari demi hari.
Sudah puas dia berusaha, ke sana ke mari, cara tradisional mahupun moden, semua dicubanya. Namun sehingga kini, rezeki masih belum berpihak kepadanya. Salah diakah jika tidak mampu melahirkan zuriat buat suaminya? Berdosakah seorang wanita itu jika tidak mampu hamil?
Dia teresak-esak. Perkara biasa setiap kali ujian kehamilan yang dibuat menunjukkan keputusan yang negatif.
Tiba-tiba dia terasa ada cecair panas yang mengalir menerusi pahanya. Semakin kuat tangisan yang keluar dari mulutnya. Dia tahu, cecair merah itu sebagai petanda rezekinya masih belum ada lagi bulan itu. Petanda yang kalau boleh dia tidak mahu lihat mahupun hadir untuk sekurang-kurangnya sembilan bulan.
"Mata bengkak ni kenapa? Menangis lagilah tu."
Tidak perlu tunggu jawapan daripada Suri, Haikal sendiri tidak sukar untuk menekanya.
Suri diam. Hanya langkah kakinya sahaja yang diayun lemah ke sisi katil. Punggungnya dilabuhkan di bucu katil bersaiz king itu.
"Tiap-tiap bulan menangis. Awak tak penat ke? Datang aje period, mulalah melalak. Lewat datang bulan sehari dua pun, sampai berkotak-kotak beli pregnancy test kit tu. Mengandungnya tidak juga."
Bohonglah kalau hatinya tidak terasa dengan kata-kata Haikal. Namun disebabkan sudah saban bulan mendengarnya, dia sudah lali dengan bebelan suaminya itu.
"Kali ni berapa hari lewat?"
Melihat Suri yang diam sahaja, Haikal sambung bertanya.
Suri hanya menaikkan empat anak jarinya. Malas mahu bercakap dengan suami yang seolah-olah tidak faham dengan isi hatinya. Isi hati seorang wanita yang terlalu ingin bergelar seorang ibu.
"Baru empat hari pun dah cek bukan main? Oh, lucu! Membazir, tahu? Pregnancy test kit tu bukannya murah. Abang tahu, Suri tak mungkin test sekali dua aje, kan? Kali ni berapa belas kotak yang Suri beli?"
Suri tunduk. Memandang hujung jari kaki yang sudah dipotong kukunya.
"Suri, Suri. Berapa kali dah abang pesan, kalau setakat lewat lima enam hari tu, tak payahlah berangan sangat. Lainlah kalau dua tiga bulan Suri tak datang period. Ini kalau keluar bilik air mata bengkak ni, sahlah kawan baik tu dah datang, kan? Tengok, membazir tak beli benda tu dekat farmasi? Baru lewat sehari dua, terus nak cek. Kalau nak mengandung tu, dah lama Suri mengandung. Ini dah masuk tujuh tahun, Suri. Cukup-cukuplah Suri menangis. Dengar orang tu hamil, Suri menangis. Orang tanya pasal anak, Suri menangis. Datang bulan, Suri menangis. Penat abang tengok, tahu?"
Bukannya Haikal tidak faham, tapi sesungguhnya dia sudah letih mahu menghadapi perangai Suri yang satu itu. Sekarang, kalau diajak ke majlis kenduri-kendara, mulalah pelbagai alasan yang isterinya itu reka.
Bukan Haikal tidak tahu, Suri sengaja mahu mengelak. Tapi bagi Haikal, biasalah kalau orang sekadar bertanya. Jawab sahajalah belum ada rezeki, apa yang susahnya? Orang perempuan ni memang sensitifnya lain macam!
"Setiap bulan Suri berharap yang bulan itu Suri akan hamil. Tapi..."
Air mata yang tadinya sudah kering kembali mengalir semula. Sebak mengenangkan kekurangan yang satu itu.
Haikal menarik nafas panjang. Perlahan tubuh didekatkan dengan tubuh isterinya.
"Sini," panggil Haikal.
Suri berpaling. Mengengsot tubuh merapati tubuh Haikal yang masih bersandar pada kepala katil.
Haikal merangkul bahu isterinya. Dirapatkan tubuh yang sudah berkongsi hidup selama tujuh tahun dengannya. Diciumnya dahi Suri.
"Sabar. Berapa kali abang nak pesan? Sabar, sabar, sabar. Belum ada rezeki kita, nak buat macam mana? Soal anak ni bukan kuasa kita, Suri."
"Tapi Suri tak tahan dengan kata-kata orang. Soalan mereka tu kadang-kadang sinis sangat. Suri, Suri..."
"Syhhh... Pedulikan kata-kata orang. Yang penting kita ada antara satu sama lain."
"Abang sanggup bersama Suri walaupun kita tidak dikurniakan anak sampai bila-bila?"
Haikal senyum tanpa memberikan jawapan.
"Abang, Suri tanya ni..."
Tidak puas hati dengan reaksi yang ditunjukkan Haikal. Macam ada agenda tersembunyi sahaja lagaknya.
Orang lelaki ni lain sikit, akalnya kalau pasal mahu membuka cawangan baru memang cukup banyak. Itu yang paling merisaukan Suri. Tambah-tambah lagi dalam keadaan dirinya yang masih belum mampu untuk menghadiahkan zuriat buat Haikal, walaupun seorang.
"Ya. Sekarang pun kita tetap bahagia walau tanpa anak, kan? Soal anak tu perkara remeh, Suri. Bukan kita sahaja pasangan dalam dunia ni yang berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak. Ramai lagi. Dan mereka tetap hidup bahagia hingga ke tua."
"Tapi, lelaki selalu jadikan anak itu sebagai alasan untuk berkahwin lain."
"Ramai aje lelaki yang dah ada anak berderet pun berkahwin lain, Suri," balas Haikal.
Entah bagaimana lagi dia mahu meyakinkan Suri yang dia tidak kesah pun kalau mereka langsung tidak dikurniakan cahaya mata. Semua itu kan rezeki.
"Tapi..."
"Sudah! Ada anak atau tidak, Suri tetap akan menjadi suri hati abang sampai bila-bila. Suri janganlah rasa tertekan sangat. Kita baru tujuh tahun berkahwin kut. Manalah tahu, tahun yang kesepuluh baru kita ada rezeki untuk menimang anak? Tak payahlah difikirkan sangat masalah yang bukan di bawah bidang kuasa kita tu."
Suri terdiam. Hatinya sedikit sebanyak rasa lega dan terpujuk dengan kata-kata Haikal. Memang mereka tidak pernah bergaduh pun soal anak. Malah, langsung tidak pernah timbul isu tuduh-menuduh antara mereka berdua. Masalahnya, orang luar. Orang luar yang kerap mempersoalkan perkara itu. Sering sahaja menuding jari ke arahnya. Malah, adakalanya soalan mereka melampaui batas sehinggakan hal dalam kelambu pun mahu dijadikan sebagai bahan gurauan dan kutukan.
"Janji, apa pun terjadi, kalau sampai bila-bila pun kita tak dikurniakan anak, abang akan tetap bersama Suri, setia dengan Suri seorang sahaja."
Haikal mengeluh perlahan. Malas dia mahu berjanji sebenarnya. Terasa macam kebudak-budakan saja. Namun demi mahu memuaskan hati Suri, dia mengangguk juga. Kasihan juga dia melihat Suri. Seringkali diasak dengan soalan yang mereka sendiri tiada jawapannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro