Bab 7
Malique berdiri di balkoni biliknya sambil menikmati hujan lebat malam ini. Lena masih tak kunjung tiba. Dia masih memikirkan, inisiatif yang patut diambil untuk menjejaki Diandra sampai dapat. Hujan, mengingatkan Malique kepada Diandra. Kenangan lalu terimbau kembali.
Ketika itu Diandra menangis di ribaannya. Anak kecil itu baru saja kehilangan kedua-dua orang tuanya dalam kemalangan jalan raya. Dan Malique rasa bersalah kerana dia tahu siapakah yang merancang kemalangan itu. Sejak itu, dia membenci pelakunya.
"Ara jangan nangis, ya? Abang ada. Abang akan temankan Ara..." Ditepuk perlahan bahu anak kecil yang comel itu. Mata bengkaknya membuat Malique kasihan.
Sejak kematian mama dan papanya tiga hari yang lalu, Diandra hanya tahu menangis sampai tertidur. Macam-macam cara dia memujuk, namun anak kecil itu masih bersedih mahukan mama dan papanya.
"Abang jangan tinggalkan Ara. Ara dah tak ada siapa-siapa..." Anak kecil itu menangis lagi. Merangkul lengan Malique, bergantung kasih.
"Abang janji, ya?" Ditepuk-tepuk anak kecil itu, dielus rambut ikalnya demi menidurkan Diandra.
Waktu ini umur Malique baru 15 tahun manakala Diandra 9 tahun. Malique sangat menyayangi gadis comel ini. Tulus dari hati.
Dalam Malique tertidur, sedar-sedar dia rasa ada seseorang mengambil Diandra. Malique terus membuka mata.
"Mama! Mama nak bawa Ara ke mana ni?" Datin Mona terkedu. Dia bagaikan mahu cepat.
"Mama nak hantar Ara kat bibik dia. Biar bibik dia yang jaga. Ara kat sini bukannya ada orang jaga. Mama pun sibuk."
Malique berdegil. Dia cuba dapatkan semula Diandra namun Datin Mona memegang kemas Diandra yang sedang tidur pulas.
"Tapi dah malam, kan mama? Biarlah Ara tidur kat sini. Malique ada, Malique boleh jaga dia..."
"Malique kan sekolah. Takkan boleh nak jaga 24 jam. Dahlah, mama bawa dia pergi dulu. Malique naik atas bilik tidur," arah Datin Mona sambil mengendong Diandra yang enak tidur itu. Mata sembap anak kecil itu menimbulkan kasihan dari diri Malique.
"Janganlah mama, Ara tengah tidur tu. Mama! Mama!" Kesal dengan tindakan mamanya. Semalam bukan main lagi berpura-pura nak bawa balik Diandra kononnya nak jaga.
Malique cuba mengejar mamanya yang lebih pantas. Tapi Malique hairan mama serahkan Diandra kepada lelaki yang berpakaian seperti samseng. Berantai bagai.
Malique yang risau terus menghubungi Uncle Ramlee, peguam arwah Uncle Hassan memaklumkan hal ini. Dia bimbang kalau-kalau Diandra dalam bahaya. Ternyata itu kesilapan yang paling dikesalkan. Sejak itu Malique tak pernah jumpa Diandra, sampai sekarang. Uncle Ramlee pun hilang tanpa kesan selepas kejadian itu. Jejak terakhir adalah di Kuala Lipis. Kata saudaranya, Uncle Ramlee telah berhijrah ke London.
"Okey, kau bunuhlah budak tu. Aku dah ikut arahan kau. Aku tak nak suami aku yang dapat susah!" Terkedu Malique mendengar perbualan mamanya dengan seseorang. Dia yakin budak yang dimaksudkan adalah Diandra.
Sejak itu, sampailah sekarang, Malique dingin dengan Datin Mona kerana benci perbuatan mamanya itu. Dah lama dia kurang bercakap dengan mamanya. Bicara yang perlu saja. Malique berasa lega kerana mendapat khabar berita yang Diandra masih hidup. Punca mamanya berbuat demikian Malique tak tahu kerana mamanya terlalu banyak berahsia. Malique rasa tentu ada kaitan dengan skandal rasuah yang melibatkan papanya di Mercu Holding dulu.
DIANDRA menyusun resume dan sijil-sijil yang telah difotostat. Memikirkan interview esok membuatkan dia berdebar-debar.
"Assalamualaikum, selamat pagi puan. Encik... Nama saya Diandra Hassan, umur saya 24 tahun. Saya berasal dari errr... Kalau ikut sijil lahir, aku lahir di Hospital Prince Court. Hesy, pening aku macam ni. Bagi tau ajelah berasal dari Pendang Kedah. Kan aku dibesarkan di Titian Kasih..." Diandra garu kepala. Masa berlatih, boleh aje lancar. Tapi bila temu duga, terketar-ketar sehingga tenggelam suara. Nak jawab apa pun jadi tak tahu. Kronik betul sikap menggelabah dan darah gemuruhnya.
Semoga Diandra akan mendapat pekerjaan ni. Hampir 10 interview yang dijalani pada bulan ini, namun tak ada satu pun yang memanggilnya bekerja. Bahu Diandra begitu berat memikul jawatan seorang penganggur.
Diandra sudah menggosok baju kurung cotton corak polkadot. Ini pakaian yang paling cantik dia ada. Itu pun disedekah orang. Saiz pun lebih besar dari badannya. Alah, okey apa. Dia saiz S, saiz baju kurung ni XL. Tak ketat, tak ikut bentuk badan, lebih sopan. Dia kalau bab penampilan ni memang sempoi. Tak ambil kisah langsung.
"Diandra, kau ada duit tak? Aku nak pinjamlah..." Diandra memandang Liyana, rakan serumahnya. Tak habis-habis meminjam duit. Sudahlah sewa rumah pun berbulan tak bayar. Semua atas bahu Diandra.
Liyana ni bekerja sebagai pembantu tadbir. Patutnya lagi berduit daripada Diandra.
"Maaflah, aku pun tengah sesak sekarang. Aku baru aje kena buang kerja. Patutnya kau kena tolong aku." Terpaksa bagi alasan begitu. Duit pampasan yang Diandra terima harus disimpan.
"Alah, tak banyak. RM10 aje. Takkan tak ada!"
RM10 pun duit juga. Untuk orang yang sengkek macam Diandra ni, satu angka yang cukup besar.
"Maaflah, kau kerja, kan? Sepatutnya kau ada duit dari aku. Dahlah sewa rumah, bil api, bil air aku yang bayar. Dah berbulan kau asyik lepas tangan. Ni nak meminjam duit lagi. Yang lepas pun tak bayar-bayar lagi." Dah hilang sabar Diandra. Itu tak termasuk makanan di dalam rumah yang Liyana asyik bedal.
Liyana mencekak pinggang.
"Oh, kau berkira dengan aku!"
"Siapa yang berkira? Bukan kau ke? Berkira nak bayar sewa rumah, berkira nak bayar bil api air, berkira nak beli makanan. Semua nak harap aku jenuhlah. Aku ni bukannya ada kerja! Kalau begini sikap kau, siapa boleh tahan sabar?" Diandra membentak Liyana.
"Oh, kau berlagak ya dengan aku. Okey, mulai sekarang aku blah dari sini. Tak ada guna ada kawan tapi tak boleh tolong langsung. Kau mereputlah tinggal sorang!" Liyana buat degil. Memanglah hutangnya kepada Diandra sudah menimbun. Baik dia cabut lari sebelum minta dibayar. Lagipun Diandra pun dah tak sudi menolongnya lagi.
Liyana terus keluar dari bilik Diandra. Diandra rasa bersalah pula. Tapi sampai bila dia nak mengalah? Sebelum ini memanglah dia pujuk tapi akhirnya apa dia dapat? Dia diperbodohkan.
"Eh, kau nak lari mana ni? Hutang-hutang aku sebelum ni macam mana? Kau nak blah macam tu aje?" Diandra ternampak Liyana menarik begnya keluar. Melampau betul perempuan ni.
"Siapa suruh kau bodoh sangat bagi aku pinjam? Padanlah muka kau. Orang macam kau ni, tak ada manfaat langsung untuk aku. So, aku akan pindah dari sini. Aku akan tinggal dengan boyfriend aku yang kaya tu. Bye bye!" Selamba saja Liyana pergi tinggalkan Diandra yang terkulat di situ.
Seketika kemudian, deruan enjin kereta kedengaran di luar. Diandra menjenguk di tingkap. Liyana dah membawa dua buah beg dan masuk ke dalam kereta tersebut. Diandra tergamam diperlakukan begitu. Dia mengeluh panjang. Apalah nasib aku ni. Dapat housemate perangai macam ni...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro