BAB 4
Johanna tak puas hati memandang Malique yang asyik benar menghadap telefon bimbitnya. Dirinya bagaikan tak wujud di depan Malique. Sudahlah nak ajak dating pun punyalah seksa. Sibuk sangat dengan kerja tak kira masa. Kalau tak dia tak terhegeh-hegeh tunjuk muka, hubungan mereka akan tersadai terus.
Mereka berjumpa ni pun kebetulan terserempak.Itu pun puas dipujuk Malique agar sudi temankan dia minum.
Jus tembikai dihirup untuk melegakan rasa. Sabar cuba dibaja. Mujurlah Malique ni lelaki yang 'mahal' dan eksklusif... Kalau tak, tak adanya dia nak jadi perigi cari timba.
"You, sudah-sudahlah tu. I ada hal penting nak cakap ni. Buat apa jumpa kalau masing-masing buat hal sendiri?" Johanna menegur geram.
Malique mengangkat muka. Dia terlalu sibuk memperincikan kerugian yang Mikael buat pada syarikat. Masalah ini yang memeningkan kepalanya sekarang. Kalau boleh, apabila papa sihat dan masuk kerja semula, masalah ini akan selesai. Malique tak mahu bebankan fikiran papa.
"Cakaplah, I dengar." Malique fokus kepada Johanna. Gadis ini ialah rakannya semasa belajar di universiti. Sejak dulu menagih cinta tanpa jemu dan dia tak mampu memberi cintanya.
Johanna mengeluh. Renungan mata Malique sentiasa mendebarkan dirinya. Lelaki tampan ini sering menjadi igauannya kerana karismanya yang tersendiri. Kebaikannya yang menyenangkan hati. Pendek kata sempurna.
"Sampai bila hubungan kita ni? Bila kita nak kahwin, Malique? I dah puas menunggu you. I dah penat terkejar you. You bukan muda lagi, kan? Dah 3 series. So apa you tunggu lagi? You bukannya ada perempuan lain selain I..."
Malique menghentikan jarinya di skrin telefon. Dah lama tak dengar Johanna mengungkit soal hati dan perasaan. Ingatkan perempuan ini sudah lupa dan faham.
"I tak pernah berjanji apa-apa pun dengan you, Johanna. I anggap you antara kawan yang paling rapat dengan I. You tahu kan, I pernah cakap kat you, I pernah sayang seseorang dan I masih tunggu dia..."
Johanna bergetar bibir. Menahan sebak. Ini bukan pertama kali dia dilayan bagai tiada harga. Penantiannya sia-sia. Perasannya digantung tak bertali.
Johanna ingatkan itu cuma alasan Malique untuk mengelak dari dirinya. Rupa-rupanya Malique masih memberi alasan yang sama. Dia menipu ke? Jangan-jangan lelaki ini gay? Hesy, kacak macam ni gay? Ruginya.
"Mana dia? Kalau betul dia wujud, last you jumpa dia masa dia kecil, kan? Sekarang ni you sendiri tak tau macam mana rupa dia dan kat mana nak cari dia. Kalau jumpa, entah-entah bukan taste you. I lagi cantik dari perempuan tu. Kalau dia dah mati macam mana? Tak ke sia-sia you membujang tunggu dia?" Johanna cuba menyedarkan Malique agar berpijak di bumi yang nyata.
"Dia ada, cuma I perlu sikit masa lagi mencari dia. I tak kisahlah macam mana pun rupa dia. I terikat sesuatu dengan dia yang membuatkan I harus tunggu dia. You tak akan faham kerana ini melibatkan hal keluarga I," terang Malique lagi.
Johanna tersenyum sinis.
"So, you nak kahwin dengan perempuan tu tanpa kenal dulu siapa dia, hati budi dia? Kerja sia-sia tau..." Kelakar alasan Malique. Entah wujud ke tidak perempuan tu. Sengaja aje bagi alasan.
"Itu hal peribadi I. You adalah seseorang yang jauh. So, tak payahlah masuk campur. You pun bukannya faham keadaan I. You asyik memaksa I padahal dari dulu lagi I cuma boleh anggap you kawan aje," balas Malique selamba. Kemudian dia menghirup mocha coffee untuk mendamaikan perasaan.
"Apa kurangnya I sampai you sanggup reject I semata-mata perempuan yang entah bila akan muncul tu?" Johanna inginkan jawapan yang lojik. Dia cintakan Malique, dia yakin dia mampu bahagiakan lelaki itu.
Malique menarik nafas dalam-dalam. Sebab itulah dia malas terjebak dengan perempuan lebih-lebih yang suka mendesak begini. Yang degil dan tak faham bahasa.
"You memang cantik, idaman semua lelaki. Tapi you bukan untuk I. I bukan masa depan you dan you pun bukan masa depan I. I tak pernah janji apa-apa dengan you, kan? So you tak berhak nak persoal keputusan I! I tak minta you tunggu I. Itu kerja sia-sia. Kalau ada lelaki lain yang cintakan you, teruskan aje..." Malique menjelaskan lagi agar gadis ini mengerti. Dalam hidupnya, bukan cinta yang dikejar tapi matlamat hidup.
"Sampai hati you, Malique. You tahukan I cintakan you, tunggu you..." Mata Johanna sudah berkaca-kaca. Nampaknya, impiannya hancur berkecai.
"I dah lama suruh you lupakan perasaan you pada I! Bila you masih lagi simpan, kenapa nak salahkan I?" Sakit hati Johanna ditolak mentah-mentah.
Habis saja bicara, watermelon juice dicurah terus ke muka Malique. Habis basah mengalir ke baju. Malique terpaku dibuat begitu.
"I dah penat menunggu you tapi you langsung tak hargai I. Baik, kalau ini yang you nak, I takkan kejar you dan tunggu you lagi. You ingat ya, jangan cari I semula untuk tagih balik cinta I. You sendiri yang dah musnahkan kesemuanya!" Puas hati Johanna melampias segala lantas berlalu dari situ dengan sakit hati.
Malique menarik nafas dalam-dalam. Hai perempuan ni, habis basah baju aku! Kemejanya yang berwarna putih telah bercampur warna merah. Penangan jus tembikai.
MALIQUE berdesit memerhatikan kemejanya yang melekit. Kotor. Nak balik salin baju mana sempat. Dia ada meeting dengan klien sekejap lagi. Malique menilik jam Rolex di tangannya.
Malique ternampak ada kedai dobi layan diri. Ni aje cara paling mudah untuk selesaikan masalah sementelah di sini, tiada kedai pakaian yang sesuai untuknya. Kakinya segera menapak ke arah kedai dobi berkenaan.
Tak ramai orang. Hanya ada seorang gadis. Gadis itu sedang memasukkan baju ke dalam mesin basuh.
Diandra terkalih ke arah lelaki yang baru saja masuk ke kedai dobi. Lelaki tersebut menghampiri lantas berdiri di hadapan mesin basuh di sebelahnya.
Malique terkial-kial menanggalkan kemejanya yang melekit. Tersekat sebab lupa membuka butang.
Diandra terbuntang mata melihat lelaki di sebelahnya mahu membuka baju tiba-tiba. Dia nak buat apa? Dahlah tak ada orang di dalam dobi ni?
Diandra menggelabah ketakutan.
"En... encik nak buat apa buka baju ni?" Dari gementar jadi berdebar pula melihat jari-jemari itu membuka butang kemejanya satu per satu beralaskan tubuh macho idaman setiap gadis.
Diandra mengerdipkan mata. Tak boleh jadi ni. Dia mula hilang arah. Dipandangnya Malique. Panik. Senyum dan lirikan mata Malique membuatkan Diandra terpaku. Alahai, manisnya senyuman mamat ni.
Sebaik saja butang kemeja habis dibuka, kemeja pula ditanggalkan. Diandra menjerit perlahan sambil menutup mata. Seram.
Ilai tawa kecil buat Diandra membuka mata semula. Terkedu melihat lelaki itu berbaju Pagoda di dalam kemeja tersebut. Fuhhh, lega. Ingatkan dia nak tayang badan sado dia. Hehehe... Mana tau zaman GST ni ramai sakit jiwa bayar cukai.
Entah kenapa seronok pula Malique mengusik perempuan ini. Padahal selama ni dia seorang yang tak berminat bergurau dengan perempuan. Di pejabat pun, staf mengenalinya dengan majikan yang kedekut senyum.
"Hai, cik basuh baju ke?" tegur Malique yang sedikit buntu nak mula dari mana. Yalah, mana dia biasa cuci sendiri di dobi.
Diandra menyeringai tawar. Terkena dia tadi.
"Errr, dah tu nak buat menda apa kat sini? Dikir barat?" Malique gelak dengan jawapan selamba Diandra.
"Sorry. Yalah, saya tanya soalan bodoh, kan? Errr, cik. Macam mana nak basuh dan keringkan baju ni? Saya first time datang sini. Baju saya kotor dan saya nak kena pakai sekarang juga..."
Terkejut Diandra. Ada juga orang macam ni? Sekarang nak basuh, sekarang juga nak pakai. Tak menyempat-nyempat.
"Errr, takkan nak basuh sehelai aje encik? Rugilah. Baik encik pergi kedai, beli baju baru. Tak pun balik rumah salin baju baru. Ke encik ni miskin sampai ada sehelai baju aje?" Mana tahu lelaki ini senasib dengan Diandra. Tak banyak baju kerana kemiskinan.
"Saya nak basuh sekarang sebab saya nak pakai juga baju ni. Takkan nak ke hulu ke hilir pakai Pagoda ni? Lagipun saya ada hal penting kejap lagi. Tak sempatlah nak cari kedai, nak balik tukar..."
"Berkedutlah nanti."
"Baju ni jenis tak kedut."
"Hurmmm, yalah. Nak saya tolong apa?"
"Tolong basuhkan untuk saya?" Malique menghulurkan kemejanya. Wangi bebenorlah. Perfume cap apalah ni. Aromanya menyenangkan.
"Yalah. Sekejap nak settle baju ni dulu!" Diandra tumpukan pada baju-baju yang sedang disumbat masuk. Diandra sedar diri diperhatikan. Dia menoleh ke arah lelaki itu.
Lelaki itu tersengih.
"Kenapa sengih macam tu? Ketawakan muka saya?"
"Bukan... Errr, tuuu... Sotong kering dengan ketupat awak, jatuh..."
Berkerut dahi Diandra memikirkannya.
"Hah? Sotong kering? Ketupat? Apa tu?"
"Tuuu..." Diandra pandang arah yang ditunjukkan. Masya-Allah, bra dan seluar dalam Liyana tercicirlah. Kurang asam jawa. Malu gila, beb.
Diandra pantas mengutip dengan kalut. Dalam dia menyambar bra dan seluar dalam Liyana di atas lantai untuk dimasukkan ke dalam mesin basuh, boleh pula melayang ke bahu Malique. Aduhai... Ada sayap ke bra perempuan ni?
"Sorry, tak sengaja!" Kalut menarik tersangkut pula tali bra di bahu Malique.
Malique rasa nak gelak dengan aksi kalut Diandra.
"Relakslah, awak ni. Sabar..." Malique tanggalkannya.
Diandra dah tak tahu mana nak sorok muka. Memang pemalas betullah Liyana ni sampai baju dan seluar dalam pun nak suruh dobi.
"Errr maaflah, saya tak sengaja. Ni bukan saya punya tau. Semua ni baju kawan saya punya. Dia suruh saya tolong basuhkan. Tak percaya awak call tanya dia! Nama dia Liyana. Housemate saya." Bersungguh Diandra menutup malu.
Malique senyum saja. Hai, manisnya dia.
"It's okay. Cukuplah saya kenal dengan roomate si Liyana yang rajin tolong basuhkan baju dia..." Terkebil-kebil mata Diandra memikirkan maksud kata itu. Aku ke yang mamat ni maksudkan? Hiks...
Diandra mencapai kemeja Malique lalu dimasukkan ke dalam mesin basuh di sebelahnya. Nak campur sekali, ambil masa lama pula. Hai, ruginya. Dahlah sehelai aje.
Malique menghulurkan duit RM20. Teragak-agak Diandra menyambut.
"Saya belanja yang awak sekali..."
"Eh, tak payah..."
"Kan awak dah tolong saya, saya tolong ringankan beban awak pula." Tanpa berfikir, Diandra setuju sajalah. Lagipun takkan dia nak tolong percuma pula. Dia pun bukannya ada duit sangat.
"Okeylah kalau macam tu. Tak adalah awak rasa terhutang budi pula nanti." Rezeki Diandra, kan. Nak mengharap Liyana belum tentu dia nak bayar balik nanti.
Diandra pergi menukar token. Mesin basuh mula berfungsi setelah token dimasukkan. Dia menekan butang Start.
"Okey dah... Nak berapa lama basuh ni? Boleh set timer."
"10 minit cukuplah..."
"Okey..." Setelah Diandra setkan masa, dia duduk di kerusi menunggu yang disediakan. Tiba-tiba lelaki tadi datang duduk di sebelahnya. Diandra jadi tak tentu arah.
Diandra sibukkan diri membelek telefon bimbit kalau-kalau ada yang WhatsApp masuk. Takkan nak tegur mesra lelaki ni pula? Lagipun lelaki ni handsome sangatlah. Nak pandang ke perempuan sememeh macam dia?
"Awak orang sini ke?" soal Malique sambil memerhati gadis tersebut. Ni bukan gadis yang sama dia jumpa kat restoran tempoh hari ke? Yang blind date tu?
Terkejut Diandra. Yalah sebelum ini kebanyakan lelaki akan pandang dia sebelah mata saja. Mungkin lelaki ni dah termakan budi kut jadi terpaksalah bersembang dengan dia.
"Tak. Saya tinggal area sini aje," jawab Diandra tak berapa mesra.
"Oh, kerja kat mana?"
"Errr, cleaner kat hospital," balas Diandra. Biar terus jatuh standard dia. Yalah, manusia kan suka pandang kebendaan, pangkat dan darjat. Padahal di mata Allah hinanya manusia itu kerana dosanya. Mulianya manusia kerana hati dan amalnya.
"Wah, bagus. Tak memilih kerja. Saya respek awak."
Diandra tergamam sekejap menerima pujian itu. Ingatkan nak pandang hina. Kenapalah budi bahasa lelaki ini menyenangkannya?
"Zaman sekarang bukan boleh pilih kerja. Kalau memilih, alamatnya menganggurlah," terang Diandra sambil menatap skrin telefon.
Malique angguk faham. Dia cuba mengajak gadis pemalu itu berbual lagi. Agaknya sebab itu dia blind date kut hari tu.
"Awak dah kahwin ke?" Malique cuba bergurau.
"Kenapa tanya soalan personal pula ni?"
Malique gelak lagi. Hai, manisnya senyuman lelaki ini membuatkan Diandra bertambah segan.
Entah kenapa Malique selesa nak berbual dan ingin kenal dengan gadis ini. Gadis ini lain. Sifat malu, sopan, hormat dan merendah diri membuatkan dia tertarik. Dari tadi matanya pun gadis itu tak berani tenung. Sekali pandang, terus dilarikan anak matanya. Kalau perempuan lain, menggedik dan terbeliak mata memandang wajahnya. Tak ada thrill langsung perempuan jenis macam tu.
"Sajalah, mana tahu saya tengah bercakap dengan isteri orang. Buatnya muncul suami awak nanti, terus disembelih saya." Diandra tersenyum nipis. Suami? Pakwe pun dia tak ada. Hesy!
"Saya tak ada siapa-siapa pun nak marah..."
Baru Malique nak bertanya lagi kepada Diandra, tiba-tiba ada dua orang gadis masuk. Riuh-rendah dengan gelak tawa. Cantik tapi tak ada sifat sopan langsung kalau dah mengekek macam hantu.
Salah seorang terkesima melihat Malique di situ. Dicuit-cuit kawannya.
"Weh, abang tu handsomenya..." bisiknya namun masih dapat didengar Malique dan Diandra. Kawannya yang lagi satu turut sama melihat dan turut tergamam.
"Yalah, handsome gila..." Mereka tergedik di situ sambil mata tak lepas memandang Malique sambil tersengih gatal.
Diandra memandang Malique. Malique buat tak kisah langsung. Jual mahal juga dia ni padahal awek cun yang tegur dia tu. Cuci muka 10 kali pun tak dapat lagi muka Diandra ni. Itu perbandingannya.
"Hai abang..." Salah seorang menegur dan mencuba nasib. Malique hanya tersenyum.
Apa lagi, bertambah menjadilah. Menggeletis. Tiba-tiba gadis yang lagi seorang itu menegur kawannya. Nada berbisik.
"Weh, nak ngorat pun tengoklah dulu. Jangan-jangan perempuan kat sebelah abang handsome tu awek dia ke, bini dia ke. Jenuh kena humban dalam mesin basuh karang."
Gadis yang seorang lagi gelak mengejek.
"Kau ni agak-agaklah perempuan tu awek abang tu. Muka tak lawa langsung. Pakai pun selekeh. Jauh panggang dari api. Tak sepadanlah. Tak mungkin abang tu pilih perempuan tak semenggah macam tu. Buat malu aje..."
Diandra dengar mereka mengutuk dirinya. Biarlah, bukannya dia tak biasa orang hina. Buat bodoh sudahlah.
"Aku rasa perempuan tu pun terhegeh-hegeh tegur abang handsome tu. Abang handsome tu terpaksalah melayan. Tak sedar diri betul, kan. Muka pun tak seberapa..." Mereka ketawakan Diandra.
Sebaik saja gadis yang mengutuk itu mahu mendekati Malique, terus Malique merapatkan diri pada Diandra. Terkejut Diandra tiba-tiba Malique memeluk bahunya. Apa ni?
"Sayang dah makan ke belum ni? Pucat aje muka sayang macam tak cukup makan." Malique pura-pura tanya. Dia menghadiahkan senyuman yang cukup manis hingga membadai perasaan Diandra.
Diandra tergamam. Apa yang kau merepek ni, syaiton? Tapi tak adalah cakap depan-depan Malique. Dalam hati aje.
Mata Malique merenung Diandra penuh pengertian. Nak suruh berlakon sekali, tapi bekulah pula perempuan ni. Tak sedar ke, Malique sedang cuba membela dia daripada dipandang hina orang sesuka hati?
"Sayang demam ke?" Terus lelaki itu meletakkan belakang tangannya ke dahi Diandra. Diandra terkedu diberi perhatian begitu.
Mereka yang menghina tadi kembang kuncup lubang hidung menahan kecewa. Tak sangka, perempuan buruk tu awek abang handsome tu. Rasa macam tak percaya. Frust.
Terus saja kawannya tarik tangan gadis yang mengutuk itu ke kerusi yang berdekatan. Mereka kecewa dan rasa malu.
"Kau ni aku dah cakap, kan. Tu mungkin awek dia. Malu gila weh. Kalau awek dia tu mengamuk kita kacau balak dia, jenuhlah kita..." Salah seorang membuat kesimpulan.
"Aku tak puas hatilah. Kenapa dia boleh dapat pakwe handsome? Aku lagi lawa kut. Apa yang balak tu pandang sangat perempuan tu?" Ada bunyi lagi tu tak berpuas hati.
"Entahlah, aku pun pelik. Mesti perempuan ni guna bomoh, kan? Kalau tak, tak mungkin dia dapat abang handsome tu! Muka kampung, mesti percaya benda-benda khurafat ni." Mereka sambung lagi bagai sukar menerima kenyataan.
Malique memandang ke arah gadis-gadis itu. Yang seorang tu dah cuit-cuit kawannya. Bukannya rasa bersalah, tapi rasa nak menggatal.
"Abang tu pandang kitalah," bisiknya tergedik. "Yalah, agaknya terpikat tengok muka kita kut? Maklumlah, awek dia tak cantik macam kita." Mereka teruja. Kemudian sambung menegur.
"Hai abang... Marilah sini, kita sembang-sembang, kita kenal-kenal," ucap salah seorang gadis itu penuh gaya menggodanya. Sengaja melentikkan badan.
Malique memandang Diandra yang selamba saja membelek telefonnya. Dia ni tak ada hati dan perasaan ke? Orang dah hina macam-macam. Malique rasa bersalah pula.Disebabkan Malique di sisi Diandra, Diandra dihina. Malique buat tak peduli gadis-gadis itu sebaliknya lengan Diandra diraih.
Diandra terpinga-pinga disentuh begitu. Mengalir satu rasa yang dia tak pernah rasa selama ini.
Apa lagi, ternganga gadis-gadis itu.
"Sayang, jangan ambil hati tau. Yang penting, di mata abang, sayanglah perempuan yang paling cantik..." Terkedu Diandra mendengar bait kata itu sampai menusuk terus ke hati. Ya Allah, janganlah aku berperasaan begini. Kasihan aku. Lelaki ni cuma berlakon aje. Tak mungkin dalam realiti dia akan jadi begini.
Mesin basuh yang mencuci baju Malique terhenti. Diandra terus saja bangun dan membantu Malique mengeringkan baju. Malique hanya memerhati dalam senyuman.
Gadis yang mengutuk itu sudah murung muka. Tak puas hati.
"Malunya weh kena reject. Geram pula aku tengok perempuan ni. Buruk macam tu pun, ada orang sudi panggil sayang. Aku ni perabis duit nak jaga muka, solek tebal-tebal bagi nampak cantik... Tak berbaloi langsung kalau mengurat lelaki handsome pun tak dapat-dapat!"
Diandra set masa 10 minit. Dia menunggu di depan mesin pengering. Tak selesa menghadap lelaki itu. Goyang jiwa bekunya.
Malique membelek telefonnya sekejap. PA mengingatkan pertemuan dengan klien pada pukul 3.00 petang di Hotel JW Marriot. Lagi 15 minit dia harus sampai ke sana.
"Sayang, buat apa tunggu kat situ? Marilah sini!" Nada romantis itu menggetarkan semua di situ. Makan hati gadis-gadis kaki kutuk itu.
Diandra teragak-agak nak membalas. Tapi kasihan pula lelaki ni beria-ia benar mengenakan gadis berlagak itu.
"Sekejaplah, baju awak nak kering dah ni..."
Gadis-gadis itu mencebik.
"Kau tengoklah tu, lelaki tu bukan main panggil sayang. Tapi dia layan hendak tak hendak aje. Kalau aku." kutuk gadis itu perlahan tapi masih dapat didengar. Diandra buat tak kisah. Dia manusia yang malas melayan hal remeh dan tak suka bergaduh dengan orang.
Seketika kemudian kemeja Malique kering. "Dah siap!" Malique segera bangun menghampiri Diandra.
Diandra menghulurkan kemeja tersebut. Malique terus memakainya.
"Sayang, butangkan untuk abang."
Berganda terkejut Diandra. Melampau dah ni. Kut ya pun nak berlakon, agak-agaklah.
"Dah besar panjangkan, bubuhlah sendiri. Jangan nak mengada sangat." Diandra sedikit kasar. Malique tahu dia semakin melampau. Tentulah gadis ini segan.
"Hurmmm, tengok. Isteri saya dah merajuk. Ingat saya tak dengar ke dari mula kau orang masuk, kau orang asyik kutuk isteri saya. Ya, di mata kau orang mungkin dia tak sepadan dengan saya. Tapi di mata saya, dialah wanita yang tercantik yang pernah saya jumpa. Cantik dia bukan di mata, tapi cantiknya di hati. Memang saya tak bagi dia bergaya dan bersolek, sebab saya tak nak lelaki lain lihat kecantikan dia. Biar saya seorang, faham?"
Muka gadis-gadis tersebut sudah pucat.
"Tak baik menghina orang. Muka cantik pun tak guna kalau tak reti nak hormat orang lain, kalau tak ada adab!" Malique membela Diandra membuatkan Diandra rasa begitu berharga. Baiknya lelaki ini walaupun mereka tak pernah kenal. Cuma Diandra tak berapa berkenan caranya saja. Tangan Malique yang memegang Diandra dipandang.
Gadis-gadis itu terus pucat, bangun dan berlari keluar. Kena setepek ke muka, malu gila.
Malique memandang Diandra semula. Dia tersenyum menang. Diandra pula tak puas hati terus tangan lelaki itu ditepis.
"Apa ni sampai pegang orang. Awak siapa?" marah Diandra tak puas hati.
"Sorrylah. Tindakan refleks. Saya tak akan biarkan orang dihina depan mata saya. Saya cuma nak bela awak." Malique memujuk lembut. Takut juga melihat gadis ini marah.
"Lah, biarlah diorang nak cakap apapun. Peduli apa? Buat apa sampai nak berlakon macam tu? Awak nak buktikan apa? Dah memang betul pun apa perempuan tadi cakap pasal saya. Kalau awak layan mereka elok-elok, tak adanya mereka nak kutuk-kutuk saya! Awak puncanya tau."
Malique merenung dalam-dalam wajah Diandra. Mata bening ini seakan-akan mengingatkan dia kepada seseorang. Rasa macam pernah mengenali gadis ini sebelum ini.
Diandra bertembung pandang dengan Malique. Apasal dia ni tenung aku pula? Aku tengah marah ni, terus cair seperti ais.
"Helo!" Jari dipetik lantas mengejutkan Malique. Tak sanggup menentang pandang lama-lama. Matanya setajam helang mengubah angin marah yang melandanya sekarang ini.
"Janganlah marah. Saya cuma nak tolong awak aje. Awak kan dah tolong saya basuh baju ni. Macam mana pun rupa awak, budak tadi tu tak ada hak nak hina kejadian Allah..."
Sedikit sejuk hati dibela sebegitu. Tetapi tak ada maknanya pun. Hakikat tetap hakikat.
"Ya, saya tahu awak cuba tolong saya. Tapi tu bukan masalah besar pun. Biasalah tu mulut orang, kita bukan boleh tutup. Tak payahlah awak sampai melebih-lebih pula. Itu kan lakonan aje. Kenapa perlu pegang saya, peluk bahu saya, suruh saya butangkan kemeja awak?"
"Saya kena hina, saya dapat pahala tau. Tapi nak membela saya, jangan sampai kita dapat dosa. Kita tak ada hak nak bersentuh macam ni. Memang muka saya tak seberapa, tapi maruah saya tak semurah muka saya." Diandra menerangkan baik-baik sehingga menyentuh hati Malique.
Pengakuan yang begitu jujur. Entah kenapa timbul satu perasaan lain dalam diri Malique. Gadis ini begitu dekat dengan Malique dari bicaranya.
Malique kembali duduk di sebelah Diandra.
"Saya minta maaf ya? Please, janganlah marah saya buat macam tu. Sebab saya tak suka awak dihina. Lagipun, apa dihina tu bukannya betul pun. Awak cantiklah..."
Benci betullah Diandra dengan ayat manis. Semua ini racun. Dia takkan percaya sama sekali.
"Tak payah nak ambil hati saya. Ni kemeja awak dah siap, kan? Tunggu apa lagi? Kata nak cepat tadi!" Diandra terus tukar topik.
Entah kenapa, Malique rasa berat nak tinggalkan gadis ini. Apa yang mengikat emosinya, ya? Dia seolah-olah tertinggal sesuatu jika dia pergi.
"Errr, kita tak berkenalan lagi. Boleh bagi nombor phone awak?" Sambil menilik jam tangannya, Malique sempat meminta.
Diandra terkejut. Tak sangka mamat handsome ni minta nombor telefon. Mustahil-mustahil. Agaknya sekadar nak jaga hati kut. Lepas dapat, dia akan campak saja dalam longkang.
"Maaf, talian saya kena block sebab tak bayar bil." Beku jawapan itu. Itu sebaiknya daripada syok sendiri. Hati sendiri tak pedih.
Malique tak putus asa. Dia keluarkan sesuatu dari dompetnya.
"Ni kad saya. Call saya tau. Tak pun miss called aje, saya akan call balik... Ya? Jangan lupa tau. Saya tunggu call awak." Malique meninggalkan pesan sebelum berlalu.
Diandra memandang lelaki itu hingga hilang dari pandangan. Hairan. Kad lelaki itu langsung tak dibaca malah disorok. Biarlah dia terus bermimpi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro