BAB 3
Datuk Kamil terduduk, menahan sakit di dada. Bibirnya bergetar-getar. Hancur luluh hati dikhianati anak kandung sendiri.
Dokumen di depan mata sebagai bukti. Tak dapat dinafikan lagi.
"Ini beberapa tuntutan palsu yang Encik Mikael buat. Semua pihak management hotel, memberitahu stok hospitaliti tak pernah cukup, sehingga mereka terpaksa kitar semula apa yang ada. Setiap bulan management hotel cukup struggle nak guna stok dalam kuantiti sedikit. Kompelin dah dibuat di HR tapi bila disemak balik, laporan audit menunjukkan setiap bulan Encik Mikael akan mengeluarkan laporan seperti yang dituntut. Tapi barang yang sampai tidak seperti yang dituntut. Kos tuntutan juga meningkat. Bila disoal, katanya kos dari supplier semakin meningkat.
Saya dah refer pada supplier, harga masih tak berubah dalam masa setahun ni dan pembekal pun memberi pengesahan yang tuntutan tak seperti yang diminta. Pihak mereka pun sedang dalam siasatan kerana ada dalang yang membuat invois palsu..."
Malique yang turut memeriksa dokumen tersebut, menghela nafas dalam-dalam. Menjana sabar.
"Selama setahun ini, management hotel berdepan dengan pelbagai masalah disebabkan pengurusan tertinggi yang tidak telus. Ia bakal melibatkan ganti rugi yang besar untuk membaik pulih dan menaikkan semula reputasi semua cawangan hotel yang bermasalah selama setahun ini. Ini disebabkan peruntukan yang diberi selama ini, dipotong oleh unit pengurusan. Keuntungan pihak pengurusan ambil tapi tidak dipulangkan semula untuk penambahbaikan. Duit tak tahu ke mana perginya!"
Malique susah hati melihat Datuk Kamil yang kian sedih itu. Datuk Kamil bukan sihat sangat jantungnya. Dia pun dalam perancangan mahu berehat dan menjalani rawatan.
"Berapa anggaran tuntutan palsu dan peruntukan yang ditangguh management?" soal Malique. Patutlah mahu tinggal berasingan, sering bertukar kereta mewah, bercuti luar negara sana sini, memewahkan perempuan yang diusungnya. Rupanya ini kerja Mikael. Apabila ditanya, katanya itu duit sendiri dari business yang diusahakan.
"Sejak setahun yang lalu, hampir keseluruhannya bernilai 5.6 juta. Itu tak termasuk kerugian yang terpaksa kita tanggung dari tuntutan palsu ni di mana hotel-hotel terpaksa menjalani proses penyelenggaraan dan baik pulih yang meningkat sekali ganda kerana kecuaian Encik Mikael selama ni. Anggarannya hampir RM10 juta juga. Setiap bulan, kira-kira RM1.2 juta juga yang lesap."
Datuk Kamil terduduk. Silap besar dia cuba untuk percaya Mikael. Padahal Malique awal-awal lagi menyuruh Datuk Kamil menyiasat perkara ini sebelum Mikael pergi lebih jauh.
"Allahuakbar." Senak dadanya. Malique yang cemas melihat papanya segera mendapatkan Datuk Kamil.
"Papa, papa okey ke? Papa duduk kat sini, biar Malique bincang dengan Encik Rosli ya?" Malique memegang tangan Datuk Kamil dan menggosok dada papanya itu dengan risau.
Datuk Kamil menggeleng. Dia kecewa sangat anak bertuahnya menikamnya dari belakang. Air matanya mengalir lesu.
Malique mengajak Encik Rosli ke ruang sofa. Mahu membincangkan secara peribadi. Malique risau Datuk Kamil nampak terganggu sangat.
"Errr, awak tinggalkan laporan di situ dan awak boleh keluar. Tapi ingat, ini rahsia sulit pihak pengurusan. Jangan sesekali bocorkan apa-apa maklumat terutama pada pengarah eksekutif, pemegang syer dan pengurus jabatan. Cukuplah hanya PA Mikael saja yang tahu hal ini. Kalau sampai ke pengetahuan mereka, saya tak akan teragak-agak ambil tindakan pada awak. Ingat?" Malique memberi peringatan kepada pengurus kanan iaitu Encik Rosli. Tapi dia percaya, Encik Rosli ini amanah orangnya.
Nada suara diperlahankan agar Datuk Kamil tidak mendengar.
"Baik Encik Malique. Encik Malique jangan risau, saya akan berpegang pada janji. Encik Malique kena cepat selesaikan masalah ini sebelum mesyuarat agung nanti. Kalau tak, benda ni akan jadi isu besar sebab dividen untuk pemegang syer pun akan menurun disebabkan masalah ni. Kalau pun tak boleh cover semua, 60 peratus kerugian pun dah cukup baik. Kalau penyata tahunan tak ada sebarang keraguan, kita boleh bagi alasan lain," maklum Encik Rosli.
"Saya akan selesaikan secepat mungkin. Jangan risau, sekarang ni bukan masalah duit. Kami masih boleh ganti kerugian tu cuma saya dan papa rasa kecewa sangat sebab Mikael tu abang saya, kan? Saya tak sangka dia sanggup pecah amanah! Saya dah lama perhati dia. Cuma itulah, papa saya nak bagi kepercayaan pada abang saya. Kami cuba bagi dia peluang, tapi tak sangka sejauh ni dia berani buat..."
"Encik Malique nak ambil tindakan ke? Kalau perkara ini dibawa ke tengah, sure share holder akan hilang percaya pada kredibiliti Datuk walaupun Datuk mampu membayar balik kerugian tu..."
"Tak. Sebab dia abang saya, kan? Kalau dia pekerja biasa, memang saya dah ambil tindakan."
"Itu yang sebaiknya, Encik Malique. Encik Malique fikirkan caranya macam mana nak sedarkan Encik Mikael supaya dia tak ulang lagi perbuatannya. Encik Malique kena siasat kat mana dia habiskan duit tu. Saya risau juga kalau-kalau dia sengaja sabotaj atau khianat bapa dia sendiri."
"Baiklah, apa-apa hal kita bincang kemudian. Papa saya pun macam tak sihat tu. Risau saya..."
"Okey, Encik Malique. Semua dokumen tu, Encik Malique simpan baik-baik. Saya dah delete semua bukti-bukti dalam komputer dan simpanan saya."
"Baiklah..." Sebaik Encik Rosli keluar, Malique segera mendapatkan Datuk Kamil yang masih melayan perasaan kecewanya.
"Papa, papa okey ke?" Malique memegang bahu Datuk Kamil.
"Kenapa Mika sanggup buat papa macam ni? Apa yang papa tak pernah bagi kat dia selama ni? Kepercayaan adalah sesuatu yang mahal harganya. Kenapa dia sanggup buang begitu saja?"
Datuk Kamil nampak terlalu sedih.
"Papa, papa jangan fikirkan sangat. Jantung papa tak berapa sihat. Biar Malique yang buat perhitungan dengan Mika. Malique akan dahulukan bahagian Malique untuk ganti balik kerugian yang Mika buat. Papa tak payahlah terjebak dalam hal ini. Malique tahu apa Malique nak buat. Malique akan suruh Mika bertanggungjawab."
Datuk Kamil menggeleng lemah. Tersentuh hati dengan kebaikan Malique yang sanggup membantu abangnya itu walaupun Datuk Kamil sedar hubungan kembar itu tak berapa baik disebabkan tak sehaluan dalam pelbagai hal. Anaknya ini satu-satunya yang sentiasa menyenangkan hati tuanya. Anaknya ini sentiasa berusaha menjadi anak yang membanggakan dia.
"Papa kecewa sangat sebab dia darah daging papa.Papa cuba percaya dia tapi dia tergamak tikam papa dari belakang. Betapa sakitnya bila dikhianati. Hancurnya hati papa, Malique..." Hal ini mengingatkan Datuk Kamil pada satu hati yang pernah dikecewakan dulu. Kini dia rasa, apa yang orang tersebut rasa. Dosa lama seakan-akan mengejar.
Malique nampak muka Datuk Kamil pucat.
"Papa, papa tak berapa sihat ni. Malique tak nak kesihatan papa terjejas. Malique hantar papa balik, ya? Malique akan suruh doktor periksa papa kat rumah. Pasal hal ni, papa jangan risau. Serahkan semuanya pada Malique. Biar Malique yang selesaikan secepat mungkin."
"Malique nak buat apa? Report SPRM? Dakwa dia? Masukkan dia dalam penjara? Hah?"
Sungguh kalau Mikael tu bukan darah daging sendiri, dah lama Datuk Kamil ambil tindakan.
"Papa..." Tak mungkin itu yang Datuk Kamil mahu Malique buat.
"Tak boleh, kan? Sebab dia anak papa. Banyak hal yang Malique kena buat untuk selesaikan onar yang Mika buat. Malique boleh ke hadap seorang? Kita terpaksa edit balik laporan tahunan dan laporan audit supaya board dan pemegang syer tak tahu ada staf pecah amanah dengan begitu banyak! Kalau mereka tahu staf tu, anak papa, mesti bertepuk tangan musuh papa nak jatuhkan papa!" Datuk Kamil fikirkan yang buruk-buruk saja. Habis reputasinya yang cemerlang selama ini.
"Papa, relaks papa. Malique janji, Malique akan selesaikan masalah ini tanpa sesiapa pun akan tahu hal ini. Papa kena percaya Malique."
"Macam mana papa nak tenang? Kenapa semua ni jadi kat papa, Malique?" Datuk Kamil nampak kecewa sangat.
Malique memujuk lagi.
"Papa sabar, pa. Bawa mengucap. Ingat Allah." Datuk Kamil menahan sedih yang kian jelas di wajahnya.
"Malique hantar papa balik, ya? Papa rehat, tenangkan fikiran."
Datuk Kamil mengangguk lemah.
USAI menyelimutkan Datuk Kamil yang baru saja makan ubat, Malique keluar dari bilik. Dia terus bertembung dengan mamanya.
"Papa macam mana?" Malique menghela nafas berat.
"Papa okey. Dia nampak tenang sikit. Mama please, jangan serabutkan papa lagi? Papa tengah banyak masalah ni..." Datin Mona merengus. Berani Malique nak bagi amaran kat dia pula.
"Malique ni suka sebelahkan papa. Suka simpan rahsia papa. Asyik-asyik papa, papa, papa. Malique lupa, mama yang lahirkan Malique! Syurga Malique pada mama! Mama ni, Malique buat macam tak wujud!"
Malique terdiam. Bagaimana mahu hormat kalau segala kejahatan mamanya ada di dalam kocek Malique? Malique lagi berat bebanan yang ditanggung kerana perempuan di depan ini mamanya. Dan dia tak mampu nak berpura-pura tiada apa-apa. Entah sampai bila dia mampu pendam semua ini.
"Itu perasaan mama aje." Malique mahu pergi namun ditahan oleh Datin Mona.
"Papa dah banyak berubah sekarang ni. Malique ada sembunyikan sesuatu dari mama ke? Betul ke papa kahwin lain? Atau papa ada skandal?" Datin Mona hairan, kenapa Datuk Kamil sudah jarang berbual dengannya? Suaminya itu banyak berahsia.
"Berubah apa, mama? Papa tu tak sihat. Dia terlalu banyak fikir sangat pasal masalah company kita."
"Huh, Malique memang takkan burukkan papa kan walaupun papa tu khianati mama?"
"Astaghfirullahalzim mama, papa seorang yang fokus pada kerja. Dia tak ada masa fikir pasal lain. Mercu Holding, keutamaan dia dalam hidup. Malique selalu dengan papa, Malique tahulah." Begitulah anak bapak, perangai hampir serupa.
"Yalah sangat tu, jangan sampai mama dapat tangkap siapa perempuan simpanan papa tu. Kalau mama dapat tahu, siap papa! Dua-dua, mama tak akan lepaskan!"
Malique menggeleng kesal. Macam tak tahu perangai mamanya, mudah sangat melatah. Agaknya inilah perangai orang perempuan, kuat sangat cemburu. Mahu menakluk lelaki saja.
"Betullah cakap papa, susah nak bercakap dengan mama ni." Malique pergi meninggalkan mamanya. Perbincangan anak-beranak itu tak pernah aman. Ada saja salah faham.
Datin Mona mengeluh. Begitulah anaknya, membeku. Tiada kemesraan antara mereka setelah sekian lama. Tak sangka perbuatannya dulu membawa kebencian kepada Malique sehingga sekarang. Hanya disebabkan seorang budak! Apa sangat hebatnya budak tu kepada Malique? Ingatkan dah berbelas tahun kejadian yang lalu Malique akan lupa. Tapi Malique masih sama.
Diam dan dingin, memang hukuman yang kejam daripada maki hamun dan kemarahan kerana dia tak pasti dalam hati Malique ada sesuatu yang bernama dendam.
"NAH!" Segelas air teh ais dan roti canai banjir diletak di atas meja Diandra. Arjuna duduk di sisi gadis itu.
"Kau ni kenapa? Monyok tak habis-habis. Ada masalah?" soal Arjuna kepada Diandra yang membesar bersamanya di rumah anak-anak yatim. Persahabatan itu kukuh hingga kini walaupun banyak berselisih faham.
"Masalahnya, duit pampasan aku makin habis. Kerja tak dapat. Housemate aku culas bayar sewa dan segala bil. Penatlah aku macam ni. Jadi baik pun susah. Jahat lagi susah." Diandra mengeluh. Arjuna tahu salah satu sikap Diandra, dia sukar mengatakan tidak jika orang meminta pertolongan. Sebab tu orang suka mengambil kesempatan kepadanya.
"Kau ni berapa kali aku nak cakap. Jangan nak baik hati sangat. Nanti orang pijak kepala. Cubalah bertegas sikit. Tak adanya nak rugi kalau hilang kawan yang suka ambil kesempatan macam tu," ujar Arjuna yang sedang berehat sambil melayan Diandra yang tiba-tiba muncul di gerai roti canainya. Hari ni jualan hampir habis. Alhamdulillah.
"Entahlah, aku pun tak tau nak buat apa. Ni dia suruh aku basuh baju-baju dia kat dobi. Suruh guna duit aku dulu. Nanti dia ganti balik. Agak-agaklah, dah banyak kali dia buat aku macam ni. Tak adanya nak bayar balik." Diandra dah makan hati dengan sikap housematenya. Sudahlah pemalas, kedekut, suka berhutang pula tu.
"Yang kau bodoh sangat ikut cakap dia, apa hal? Kau ni macam lembu kena cucuk hidung. Mengikut aje," bebel Arjuna lagi. Penat sebenarnya nasihatkan Diandra ni.
"Aku ni memang penyabar orangnya. Tapi masih ada had. Tunggulah aku hilang sabar, baru housemate aku tu tahu langit tinggi ke rendah. Huh!"
"Haah, betul juga tu. Aku masih ingat lagi masa kau mengamuk kat Ali, lelaki yang suka buli kau dulu tu. Sekali kau kejar, hantuk dia dengan kayu api, benjol dua biji atas dahi. Serik dah Ali tu!"
Diandra gelak kecil. Kenangan itu memang kelakar.
"Haah, kan. Aku rasa sabar aku akan hilang tak lama lagi. Memang kenalah Liyana tu dengan aku."
"Eh, kau apa citer dengan budak Jonah tu? Kata nak bertunang?" Topik bertukar.
"Tak jadilah..." Riak muka Arjuna berubah suram.
"Apa hal pula?"
Arjuna mengeluh.
"Hari tu aku pergi rumah dia nak hantar roti canai, sekali tengok dia baru bangun tidur. Dah tengah hari buta, rumah kotor berselerak. Muka dia pucat lesi macam langsuir. Tak terurus langsung. Terus aku rasa macam tawar hati. Rupanya dia cantik sebab mekap tebal aje. Pasal rupa tu tak kisahlah. Yang aku kisah pasal sikap malas tu."
"Aku rasa aku ni jatuh cinta kat dia sebab muka dia cantik aje. Tak guna juga cantik kalau perangai tak semenggah. Tak dapat makan juga aku kalau pemalas macam tu! Aku pun bukan suka sangat perempuan pengotor."
Terkejut Diandra. Tak sangka Jonah yang pandai bergaya, berwangi-wangian, mekap sekati di muka, rupa-rupanya seorang pemalas dan pengotor? Speechless.
"Kau ni, kata cinta sejati. Tapi sejati apa nampak kekurangan sikit kau dah tinggal? Tu belum kahwin lagi dah berubah. Patutnya kau sebagai lelaki kena bimbing dia. Perempuan ni rapuh dalam segala segi. Emosi, akal dan perangai."
"Kau kena ingat, perangai buruk boleh berubah tapi muka buruk sampai bila-bila tak boleh ubah. Sekurangnya, sedap mata kau memandang dia walaupun perangai teruk. Lama-lama dia jadi baiklah tu. Macam aku ni hah. Sampai bila-bila takkan nampak cantik punya walaupun perangai bagus," terang Diandra panjang lebar.
Terkebil-kebil mata Arjuna mendengarnya. Agaknya memikirkan kebenaran. Diandra ni terlampau rendah diri sangat.
"Biar sakit mata Ara, jangan sakit hati. Manusia ni bukan kira cantik atau tidak, tapi pada hati yang sentiasa nak belajar berubah."
"Hah, pandai pun kau. Didiklah nanti supaya berubah. Semua orang ada kelemahanlah."
Arjuna merenung sekilas wajah Diandra yang tanpa solekan itu. Jerawat kecil kelihatan di wajah kusamnya. Tak terjaga dan tak terurus. Pakai pun T-shirt lusuh dengan seluar tracksuit murah. Tudung suka hati sahaja dibelit. Berkedut. Bergaya memang jauh sekali.
"Kau ni bukan tak cantik, tapi kau tak ada duit dan kau malas nak jaga..."
Diandra berbalas pandang dengan Arjuna.
"Hah? Kau ni puji aku ke, kutuk aku?"
"Puji dan kritik untuk kebaikan kau. Kau ni selalu rasa rendah diri tau. Kau ni sebenarnya cantik. Tapi kau tu tak tahu nak tonjolkan kecantikan kau. Tengok penampilan kau, main redah aje."
Diandra menilik dirinya. Eh, eh mamat ni...
"Hei, tadi kita cakap pasal Jonah, kan? Yang melalut pasal aku, dah kenapa?"
Dijeling Arjuna yang bab mengutuk orang, serah kat dia. Sama macam Eina. Cakap main lepas sampai hati Diandra dah kebas.
"Aku cakap benda yang betul. Bila kau ni nak berubah? Dari aku kenal kau, sampai sekarang, sama aje. Muka ni, gaya ni. Tak menarik langsung. Jangan sampai tua baru nak berubah. Masa tu kecantikan kau dah habis dimamah usia..." Arjuna mengkritik pedas.
"Kalau dah tak cantik, adjust macam mana pun tak akan cantik punyalah. Kau tak payahlah nak puji aku pula. Ni aje gaya yang aku mampu, yang aku reti. Dalam fikiran aku ni, lebih fikir nak cari makan daripada nak jadi cantik. Tau?"
"Kau ni susah betul nak tegur. Kalau kau tak ubah penampilan kau, macam mana kau nak jumpa pasangan hidup? Penampilan diri ni penting tau. Aku kalau boleh nak sangat kawan aku ni kahwin. Sekurangnya aku lega juga ada yang jaga kau yang sebatang kara ni. Nak kahwin dengan kau, kau tak nak kat aku!"
"Aku debik juga kang. Tadi bebel pasal muka aku, sekarang pasal kahwin pula. Apa ni?" Diandra dah cemberut muka.
Arjuna gelak kecil. Tahu dia kepantangan Diandra. Dari zaman sekolah sampai sekarang, dia tak pernah bercinta. Semua ditolaknya.
"Susah sangat, kahwin dengan aku ajelah. Biar aku polish kau sampai cantik."
Diandra tak peduli omongan itu. Dia terus saja makan roti canai free ni. Datang sini tak pernah Arjuna ambil duit.
"Tengok tu, nak ajak kahwin pun susah. Beku betullah hati kau ni," sambung Arjuna lagi.
"Kau pergilah ajak Jonah tu!"
"Tak naklah aku!"
"Pula... Dulu tergila-gila, terkejar-kejar..."
"Kan? Rupanya jodoh depan mata aku aje..." Arjuna terbalikkan kata-kata Diandra sehingga Diandra seram sejuk. Lebih-lebih lagi sepasang mata itu mengawasi tindak-tanduknya.
Diandra tarik muka dan tak jawab apa-apa demi roti canai yang free ini. Janganlah termakan budi, terpaksa kahwin pula.
Dia rasa dia kena balik awal untuk persiapan temu duga esok. Dahlah nak kena basuh baju si mangkuk ayun tu lagi. Dia meraba poketnya. Resah. Tercari-cari mana kunci. Arjuna ikut sama resah.
"Hah, apa hal kau ni?"
Diandra dah panik.
"Ku... kunci rumah aku, weh. Mana ni? Jangan-jangan aku terlupa bawa tak? Mesti tertinggal kat dalam rumah. Macam mana aku nak masuk ni? Liyana tu dahlah balik lewat." Diandra mengeluh hampa. Kecewa dengan kecuaian sendiri.
Arjuna berpeluk tubuh sambil memandang Diandra yang dah datang penyakit nyanyuknya tak tentu pasal.
"Tu, kat tangan kau... bukan kunci?"
Diandra memandang tangan kirinya. Yang tangan kanan sibuk benor mencari kunci.
Diandra sengih. Isy, rasa macam nak tampar muka sendiri. Macam mana dia boleh tak perasan?
"Oh, kunci aku pegang rupanya... Hehe..."
Arjuna geleng kepala. Dia cukup masak dengan perangai Diandra.
"Kau ni kan, perangai tak berubah. Kalut 24 jam. Cuba cool. Jangan cepat panik. Ni esok kau interview kerja, kan? Jangan terbawa penyakit kau tu. Tak pasal-pasal kena reject!"
Diandra berdesit. Ini yang dia paling risau. Baru saja memikirkan tentang interview esok, jantung dan dup dap dup dap. Sebab tu dia harus membuat persediaan betul-betul.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro