
Bab 10
Diandra berjaya memandu kereta Audi R8 dengan tunjuk ajar pak cik di sebelah walaupun pak cik itu nampak lemah. Yalah, masa ambil lesen naik kereta Kancil aje. Mana pernah terfikir nak bawa kereta mewah ni.
Lega Diandra semua berjalan lancar. Allah aje tau debarannya tadi. Mana dengan panik, bas di belakang dok bunyi hon tak henti-henti.
Diandra menoleh ke arah pak cik yang masih lemah memegang dadanya.
"Pak cik nampak sakit ni. Saya bawa pak cik ke hospital, ya?" Pak cik tersebut angguk.
"Bawa pak cik ke Prince Court..." Lemah nada suaranya menandakan dia sedang menahan sakit.
"Baik, pak cik." Hospital swasta tu, agaknya mesti orang berada ni. Jangan suruh Diandra bayar sudah. Mana Diandra ada duit.
Mujurlah perjalanan lancar. Tiada kesesakan. Diandra menoleh ke arah pak cik tersebut. Senyap aje. Dia dah pejam mata ke tu? Oh no...
"Pak cik! Pak cik!" panggil Diandra dengan nada tinggi sebaik saja berhenti di lampu isyarat.
Hah, sudah. Tiada sahutan.
"Pak cik!" Diandra memegang tangan pak cik tersebut untuk merasa denyutan nadi. Lega Diandra pak cik ini masih bernyawa. Mungkin pak cik ni perlu rawatan segera. Pengsan kut atau sakit jantungnya jadi punca?
Diandra segera membawa pak cik itu ke hospital yang dimintanya.
Diandra mendaftarkan maklumat pak cik itu di kaunter pendaftaran berdasarkan beg yang berada di tangannya. Tak sangka mereka kenal pak cik ni dari kad pengenalannya. Mungkin pak cik ini biasa dirawat di hospital swasta ini.
Jururawat tadi bertanya juga siapa Diandra tadi. Puas Diandra terangkan barulah mereka faham kewujudannya di sisi pak cik tersebut.
Kata jururawat, dia sudah maklumkan kepada keluarga pak cik tersebut dan mereka dalam perjalanan ke sini. Ikutkan hati nak saja Diandra pergi dari sini tapi memikirkan kunci kereta dan beg pak cik tersebut ada pada dia, dia rasa ini amanah yang harus diberikan kepada yang berhak. Mungkin anak, mungkin isteri pak cik tersebut.
Pak cik tersebut masih lagi dalam rawatan dan Diandra kini sedang menanti di luar bilik kecemasan.
Dari jauh Diandra nampak sekumpulan manusia sedang menghala ke arahnya. Diandra agak, ini keluarga pak cik tu. Yang meluru di depan sekali, perempuan agak berumur. Walaupun tua, namun masih bergaya. Agaknya isteri dia.
Perempuan tersebut menghampiri pintu kecemasan. Naik risau dia. Dia terpandang Diandra. Di belakangnya, seorang lelaki cuba menenangkannya. Diandra agak, ni anak lelaki dia. Tapi macam kenal aje. Bukan ni lelaki yang kat Mercu Holding tadi ke? Yang menempik kat Diandra tu? Diandra kenal daripada pakaiannya. Ada lagi pasangan suami isteri. Agaknya anak menantu. Eh, yang ini pun Diandra kenal. Suami isteri yang bergaduh tadi. Lah, anak-beranak rupanya. Masing-masing nampak cemas.
Diandra nak menegur tapi isteri pak cik tadi pandang Diandra tajam kemudian meluru ke arahnya.
"Hei, kau siapa? Kenapa kau ada kat sini? Macam mana beg laki aku boleh ada kat kau?" Tanpa salam, terus tanya dengan kasar sekali.
Diandra bangun. Baru saja Diandra nak hulurkan beg dan kunci kereta milik pak cik tersebut, perempuan itu tiba-tiba menampar Diandra. Terkejut Diandra tak sempat berbuat apa-apa. Terduduk Diandra di atas kerusi. Diandra pegang pipinya. Apabila perempuan tersebut nak dekat lagi dengan Diandra, anak lelakinya segera pegang dia.
"Ma, apa ni? Hospital, kan? Bukan tempat gaduh!" marah anak lelaki perempuan itu.
"Perempuan ni mesti skandal papa kau. Sekarang ni dah tertangkap, mama tak akan lepaskan perempuan ni! Hei betina jalang, berani ya kau rampas suami aku? Aku tak akan lepaskan kau!" tempiknya kuat tanpa peduli ini hospital.
Terkejutnya Diandra dikatakan perampas. Dahlah pipi yang sakit ni belum hilang lagi.
"Errr... saya... saya..." Dah datang penyakit gemuruh Diandra. Pening untuk jelaskan keadaan sebenar.
Semua mata tertumpu ke arah Diandra. Anak lelakinya lantas menegur.
"Hei perempuan. Betul ke kau perempuan simpanan papa aku? What the taste? Yulk!" Lelakinya itu memandang Diandra dengan hina.
"Mama, Mikael. Apa riuh sangat ni? Papa macam mana? Papa kat mana sekarang?" Muncul lagi seorang. Encik Malique! Dia terpandang wajah Diandra. Terkejut dia. Agaknya hairan Diandra ada di sini.
"Papa kat dalam sana. Masih dalam rawatan lagi."
Malique memegang dahi. "Ya Allah, janganlah jadi apa-apa kat papa..."
Malique kian gusar bimbangkan keadaan papanya. Yang pelik, kenapa papa keluar rumah dalam keadaan sakit?
"Sebab tulah Malique suruh mama jaga papa kat rumah. Jangan ke mana-mana. Mama takkan tak tahu yang papa tu degil dan perlu dipantau. Nak juga keluar ke ofis dalam keadaan dia macam tu. Tengoklah apa dah jadi pada papa sekarang!" Malique geram dengan sifat pentingkan diri mamanya yang akhirnya membawa masalah.
"Sakit-sakit pun tak sedar diri. Sanggup keluar menggatal dengan betina ni. Bukannya ke ofis pun. Ni skandal papa yang Malique rahsiakan dari mama, kan?" Datin Mona menunjuk ke arah Diandra.
Diandra rasa dia harus pergi. Bila dia cuba bangun, tubuhnya ditolak hingga jatuh semula ke kerusi oleh anak perempuan dia pula.
"Hei perempuan kampung! Kau jangan nak pergi, ya. Kau kena bertanggungjawab atas apa yang kau buat." Irdina mengugut Diandra pula.
Malique jadi hairan. Apasal pula gadis ini dikaitkan? Dia tak faham.
"Apa semua ni, kak? Nak kecoh pun bukan kat sini tempatnya. Papa tengah sakit tu kat dalam. Kita pun tak tahu apa cerita lagi. Apa kena-mengena cik ni dengan papa?" soal Malique semakin hairan.
Datin Mona menangis. Hancur hatinya.
"Malique jangan cuba tukar topik nak selindungkan skandal papa. Jawab dengan jujur, perempuan ni, perempuan simpanan papa, kan?"
Irdina menghampiri Diandra geram.
Pang! Sekali lagi Diandra dapat penampar. Sakit siot. Rasa bengkak mulut Diandra. Apa ni? Hilang sabar Diandra dibuatnya.
"Hei, kau ni datang dari ceruk kampung mana hah? Ni mesti kau bomohkan papa sampai tergoda dengan kau, kan? Kau dengar sini, aku tak akan lepaskan kau atas apa yang kau buat pada mama aku! Kau kena bayar atas apa kau buat! Aku paling benci perampas!" Irdina menarik tudung Diandra.
Apa, kalau nama perempuan kampung mesti dikaitkan dengan bomoh ke? Apa, perempuan kampung ni tak tau hukum-hakam ke? Apa, perempuan kampung ni tak laku sangat?
Harris menarik Irdina.
"Dina, apa ni? Cuba bawa sabar. Jangan ikut perasaan sangat," marah Harris. Dia menahan Irdina daripada terus menyerang gadis ini.
Malique cuba melindungi Diandra dengan tubuhnya demi mengawal keadaan.
"Ya Allah, akak dah melampaulah sampai tampar orang. Cuba bertenang..." Malique menegur kesemuanya.
"Selama ni mereka licik sangat menipu mama! Mama tak akan lepaskan perempuan ni. Malique jangan masuk campur. Malique sama aje macam papa. Asyik bela papa saja!" Datin Mona menangis lagi. Sedih dalam geram.
Malique memandang Diandra. Dia kasihan namun dia perlukan penjelasan Diandra. Dah serabai Diandra dibelasah mama dan Irdina. Diandra betulkan tudung. Dahlah Diandra ni selekeh, bertambah selekeh jadinya. Celah mana Diandra nak terangkan hal sebenar sedangkan Diandra diasak bertubi-tubi.
Mikael pula sudah bersandar di dinding. Dia seakan-akan malas masuk campur.
"Skandal? Papa dan perempuan ni?" Malique seakan-akan tak percaya.
Tangisan mamanya kian lebat. Sedih suami dirampas orang daripada sedih suami yang tengah sakit di dalam. Irdina memeluk mamanya.
"Tak apa, mama. Sekarang ni perempuan ni tak akan terlepas. Kita buat perhitungan dengan papa kejap lagi..."
"Akak, mama. Jangan cepat melatah. Kalau semua ni cuma salah faham macam mana?" Malique menenangkan keadaan.
Mikael tersenyum sinis. "Kau, kalau perempuan spesies kampung ni, memang kau akan bela, kan? Taste kau, kan?"
Malique nampak tak puas hati dengan kata-kata Mikael. Apa hal pula nak babitkan taste orang pula ni?
"Errr, maaf semua. Ini hospital, ya? Jangan bising-bising boleh tak? Harap dapat beri kerjasama, ya?" Jururawat datang menegur.
"Macam mana kami tak bising, nurse. Perempuan jalang yang rosakkan rumah tangga mama saya ada depan mata..." Irdina sempat lagi menolak kepala Diandra. Ini sudah lebih. Pantang atuk nenek Diandra orang tolak kepala. Diandra lantas menolak tangan Irdina bila perempuan itu sekali lagi ingin menolak kepalanya. Amboi-amboi, ingat kepala Diandra ni pintu nak tolak-tolak.
Diandra bangun dengan geram.
"Helo, saya ni dah cukup sabar kena marah, kena tampar, kena maki tak tentu pasal dari tadi. Tapi bila kena tolak kepala ni, saya dah tak tahan. Pantang tok nenek moyang saya orang tolak-tolak kepala. Sekampung saya pun, sekurang-kurangnya saya lagi beradab daripada kau orang semua, yang bandar sangat ni!" Semua mata tertumpu kepada Diandra.
Irdina berundur ke belakang. Agaknya terkejut Diandra naik angin.
Jururawat tu menenangkan Diandra
"Sabar, cik. Saya akan tolong jelaskan. Saya rasa, semua kat sini dah salah faham. Cik ni tak ada kena-mengena dengan Datuk Kamil."
Diandra terkedu. Datuk Kamil Diandra panggil pak cik? Lantaklah.
"Apa?" Serentak mereka bersuara. Diandra terus hulur beg dan kunci kereta milik Datuk Kamil tadi kepada Malique.
"Saya menunggu kat sini sebab saya nak bagi kunci kereta dan beg Datuk Kamil ni! Tak reti-reti lagi?" marah Diandra tak habis. Jururawat itu menyambung lagi.
"Cik ni yang bawa Datuk Kamil ke sini. Datuk Kamil terkena serangan jantung semasa memandu tadi dan keretanya hampir terbabas. Mujurlah cik ni cepat, bagi dia ubat dan segera bawa ke sini."
Semua saling berpandangan. Hah, padan muka! Ni muka Diandra yang kena cepuk ni, siapa nak jawab? Diandra dah mula singsingkan lengan ni.
"Dah puas hati? Hah, nak gaduh? Masuk, jangan tak masuk. Ni keturunan pahlawan Bugis tau. Pantang dicabar. Ni pipi saya dah bengkak ni, siapa nak jawab?" Geram sungguh Diandra.
"Cik... Kami semua minta maaf. Kami dah salah faham. Tulah mama, akak, Mika. Lain kali jangan cepat terburu-buru. Suka hati aje kan nak tuduh orang macam tu. Mujurlah cik ni penyabar orangnya. Patutnya kita ucapkan terima kasih pada dia, ni tak, kita pukul dia. Agak-agaklah. Anak orang ni!"
"Alah, bagi aje duit, buat upah dia bawa papa kat sini. Kalau orang lain kat tempat dia pun, mesti buat benda yang sama juga. Nah, RM500. Cukup? Tak cukup kami boleh tambah lagi." Tiada hati perut betul Mikael ni. Selamba buka dompet, bagi duit kepada Diandra.
Kecil besar aje Diandra memandang Mikael.
"Saya tak nak duit. Saya pun tak hadap ucapan terima kasih kau oranglah. Saya bantu Datuk Kamil sebagai seorang manusia, tapi tak sangka dibalas macam saya ni bukan manusia."
Mikael tersenyum sinis.
"Eleh, ya ke tak nak duit? Agaknya kalau papa aku tadi pengemis, ada ke kau nak tolong? Mesti kau fikir manfaatnya juga kan kalau tolong papa aku yang kaya tu?"
Malique naik geram dengan sikap biadab abangnya.
"Abang! Papa sakit tau kat tepi jalan. Kalau jumpa orang yang salah, silap hari bulan sekarang pun papa tak akan sampai kat sini. Hati abang ni dibuat dari apa, ya? Abang ingat semua perkara boleh settle dengan duit ke?"
"Habis tu nak aku buat apa? Timang tinggi-tinggi, perempuan low class ni? Sorry sikit ya? Kat luar sana, berlambak spesies parasit ni. Hah kau kenang sangat budi dia, kan? Kau hadaplah dia." Mikael menarik muka sombongnya.
Malique menggelengkan kepalanya. Kesal. Datin Mona membuka mulut.
"Sudah mama kata. Jangan bergaduh. Apapun alasan perempuan ni, mama tak akan percaya selagi mama tak dengar dari mulut papa sendiri. Perempuan ni boleh bagi apa saja alasan nak lepaskan diri."
Hesy, ni Diandra lagi naik angin.
"Datin, sepatutnya Datin lagi risaukan keadaan suami Datin kat dalam tu daripada dok fikir pasal skandal Datuk dengan saya. Saya tak kesahlah Datin dan anak-anak Datin tak mahu minta maaf pun dengan saya. Tapi tolonglah, ada sikit belas ihsan pada suami Datin yang sakit kat dalam tu."
"Kalau Datin masih nak tuduh saya lagi, suka hati Datinlah. Takkan tua-tua pun tak boleh nak fikir? Kalau dia nak berskandal, takkanlah nak cari perempuan macam saya ni, macam yang anak Datin cakap tadi apa ya? Perempuan low class? Kalau saya jadi Datuk, baik saya skandal dengan artis popular yang cantik-cantik tu. Berbaloilah juga."
Diandra berpeluk tubuh. Geram betul. Suami anak perempuannya menghampiri Diandra.
"Abang minta maaf bagi pihak isteri abang. Dia tak patut buat adik macam tu padahal adik baru aje nasihatkan kami yang bergaduh dalam lif tadi." Mujurlah suami dia ingat juga jasa baik Diandra tadi. Biar celik sikit mata bini dia tu.
Irdina berpaling ke arah suaminya sekilas kemudian dia amati wajah Diandra.
"Ya ke bang? Tak perasan pula Dina tadi."
Mana nak perasan dah kerja kau berperang aje tadi. Diandra tersenyum sinis.
"You, minta maaf balik dengan cik ni..." arah suaminya.
"Tapi apa dia buat kat company papa?"
"Hah, kan mama dah cakap. Dia mesti ada skandal dengan papa!"
Diandra pegang kepala. Dah sampai tahap ini buruk sangka mereka, tak boleh buat apalah.
"Dia datang interview kerja tadi. Malique pun nampak."
"Habis tu macam mana dia jumpa papa pula?" Irdina bertanya lagi.
"Saya tengah tunggu bas nak balik, masa tulah kereta Datuk terbabas ke bahu jalan. Dan saya cuba bantu apa yang saya mampu..." cerita Diandra lagi. Kalau tak faham-faham juga memang sahlah. Banyak makan semut puak-puak ni. Bengap.
"Sekarang semua dah jelas, kan?" Malique berkata lagi.
"Excuse me, kau yang tersilap masuk bilik aku tadi, kan?" Diandra terkedu sekejap. Terbayang kelakuan maksiat Mikael tadi.
"Ya."
Mikael mengangguk dan menghampiri Diandra. Takut juga Diandra. Dari cara lelaki itu memandang Diandra macam sesuatu sangat.
"Kau tak dapat kerja, kan? Baguslah. Lagipun perempuan macam kau ni tak menariklah buat cuci mata kat pejabat tu." Mikael tersenyum puas. Angkuh sekali sindirannya.
Diandra senyum saja.
"Tak apa, saya pun tak nak kerja kat company yang penuh maksiat," perli Diandra membuatkan muka Mikael berubah. Ingat dia heran sangat kerja kat tempat tu?
Doktor yang merawat Datuk Kamil keluar. Mereka semua mendapatkan doktor tersebut.
"Doktor, macam mana papa saya?" risau Malique.
"Errr, papa awak dah sedar pun. Mujurlah dia cepat dibawa ke hospital oleh cik ni. Sekarang ni Datuk tengah berehat dan bolehlah masuk melawat dia di dalam. Oh lupa pula saya, Datuk nak berjumpa dengan cik yang bawa dia ke hospital tadi..."
Diandra terkedu. Hurmmm, agaknya nak ucap terima kasihlah tu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro