BAB 1
Restoran Haslam.
"So macam mana? Ada apa-apa maklumat?" Malique bertanya kepada Razif, lelaki yang diupahnya untuk menjayakan misinya.
Razif mengangguk. Arahan bos diturut patuh.
"Ada, bos. Maklumat terakhir yang saya dapat, Diandra binti Hassan ni dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Titian Kasih selama ini. Saya dapat maklumat ni dari bapa saudaranya, Encik Ramlee," maklum Razif yakin.
Malique mendengar dengan khusyuk. Tak sangka, rupa-rupanya Encik Ramlee menyembunyikan Diandra di Rumah Titian Kasih, Pendang Kedah. Ingatkan dia bawa lari Diandra ke London. Malique menarik nafas lega. Diandra masih hidup.
"Hurmmm, bagus. So awak dah pergi Rumah Titian Kasih tu, kan? Mesti ada maklumat terkini pasal dia..."
"Dah, bos. Tapi saya tak dapat apa-apa. Puas juga saya cungkil maklumat terkini tentang Diandra. Pengetua di situ tak mahu berikan kerjasama dan beri macam-macam alasan. Katanya tak ingatlah, tak tahulah, penghuni lamalah..."
"Mesti ada rekod. Takkan mereka lost contact dengan semua anak-anak yatim yang pernah mereka jaga? Tak mungkinlah. Awak syak, pengetua tu sengaja rahsiakan ke?"
"Mungkin juga, bos. Tapi bos saya berjaya dapat sedikit maklumat dari tukang masak Rumah Titian Kasih. Dia masih kenal dan ingat Diandra Hassan. Diandra keluar dari Rumah Titian Kasih, kira-kira 5 tahun yang lalu. Dia berjaya sambung pelajaran dalam bidang perniagaan di UiTM. Saya juga dah cari Diandra sekitar Kedah tapi dia tak bekerja di sana. Saya dapat maklumat, dia berada di KL. Ada juga yang beritahu dia berada di Gombak. Tiada maklumat yang tepat, bos."
Malique mengangguk kepala. Good info!
"Okey, teruskan cari maklumat pasal Diandra sampai dapat. Jangan berlengah lagi! Kali ni aku serius cari dia..." Razif mengangguk patuh.
"Baik, bos. Saya pun ada menjejaki Diandra ni di Facebook, IG, tapi tak jumpa akaun dia. Saya syak dia tak gunakan nama sebenar. Alumni UiTM mungkin boleh bagi maklumat pada kita..."
"Teruskan cari sampai dapat!"
"Baik, bos!" Razif menghabiskan minumannya dan bangun meninggalkan Malique.
Tinggal Malique di situ memikirkan kaedah terbaik untuk menjejaki Diandra binti Hassan. Rasanya dia perlu ke Rumah Titian Kasih, mencari seberapa banyak maklumat tentang Diandra.
Dia membuka dompetnya melihat gambar Diandra yang ketika itu berumur 7 tahun. Comel budak kecik ni. Bagaimana agaknya rupa dia sekarang?
DIANDRA baru tiba di Restoran Haslam. Dia memegang dada. Jantung terlebih bersenam. Inilah kali pertama dia blind date.
Lelaki yang bakal Diandra jumpa ni, namanya Mat Jonet. Entahlah nama sebenar atau nama timang-timangan. Eina yang kenalkan Mat Jonet melalui kekasih dia, Zarul.
Mereka tak pernah berjumpa. Kenal melalui suara saja. Itu pun jarang Diandra layan. Mat Jonet ni selalu hubunginya melalui telefon Eina dan Eina pula memaksa dia bercakap dengan Mat Jonet. Sekarang ni, paksa berjumpa pula dan Eina menyuruh dia mencuba pula. Mana tau ada jodoh, kan?
Eina mengangkat ibu jari dari jauh sambil tersengih. Dia bagi Diandra pinjam baju dan tudung bawal ni. Nak solekkan Diandra, tapi Diandra tak nak. Biarlah muka dia macam ni. Bukannya boleh ubah bagi cantik pun dengan solekan tu. Terima sajalah seadanya.
"Bismillahirrahmanirrahim..." ucap Diandra sambil mengawal darah gemuruhnya yang kronik. Kaki dah terketar-ketar. Peluh merenik di dahi.
Dia melangkah masuk. Tiba-tiba, bukkk! Dahinya melanggar dinding kaca hingga dia tertolak ke belakang.
"Aduh..." Diandra memegang dahinya yang sakit terhantuk kuat di dinding kaca. Sakitnya, bertelur dahilah jawabnya.
Macam mana dia boleh tak nampak ni? Yalah, dinding kaca kan... Tak perasan. Gemuruh punya pasal, semua diredah saja. Janganlah ada siapa-siapa nampak tadi. Malunya.
Tiba-tiba baru Diandra perasan. Di sebalik cermin yang dilanggar, ada seorang lelaki memakai baju kemeja berwarna putih. Lelaki itu memandangnya sambil tersenyum-senyum. Alamak, dahi dia terhantuk betul-betul di depan lelaki itu tadi. Mana nak letak muka ni? Diandra berlagak tenang.
Dari luar, Diandra tercari-cari Mat Jonet. Agaknya lelaki itu dah sampai. Mat Jonet kata nak pakai baju berwarna putih. Agaknya lelaki ni kut? Kalau tengok dari sipi, mak ai... Handsomenya. Aku bermimpi ke ni?
Diandra menghembus nafas. Menjana keberanian. Selagi aku tak usaha, selagi tu aku tak akan kenal apa itu bercinta. Aku kena yakin, cinta sejati mesti ada. Cinta sejati yang tak pentingkan paras rupa.
Relaks, Diandra. Buat macam biasa. Cool babeh. Diandra membetulkan baju dan tudungnya. Malangnya dia tak sedar, dia bukan membetulkan tapi dia menyengetkan tudungnya kerana sifat kalutnya. Pin tudung bawal yang terletak di bawah dagu kini berada di telinga. Cuba bayangkan serabainya dia ketika ini.
Blaus berwarna biru saiz XL ini dipinjam daripada Eina yang agak berisi daripada dia yang hanya saiz S. Terpaksa. Dia bukannya ada baju warna biru sebab Mat Jonet yang suruh pakai warna ni untuk pengecaman. Argh, lantaklah. Dia tak kisah pun pasal penampilan. Baginya, dah okey belaka. Orang bagi pinjam pun dah cukup baik kerana dia bukannya ada baju cantik.
MALIQUE yang sedang menghirup minuman hampir tersedak apabila dinding cermin di sebelahnya dilanggar sesuatu yang keras dari luar. Rupa-rupanya orang yang melanggar. Rabun ke minah ni? Tengok tu, kalut semacam.
Malique memerhatikan tingkah perempuan itu dalam gelak yang cuba ditahan. Terhibur sekejap hati.
Diandra masuk dan menghampiri lelaki yang dianggap Mat Jonet tu. Hai nama, tak glamor langsung. Tengok rupa, kalah terus nama tu. Ada apa dengan rupa, kan? Dia jadi malu pula nak tengok muka lelaki itu. Dia tunduk sajalah.
"Ass... ass... sss... assalamualaikum," ucap Diandra tersekat-sekat kerana terlalu takut. Kalau dia tahu macam ni perasaan blind date, sumpah dia tak akan datang. Takut gila siot. Rasa nak terkencing, terberak, semua ada.
Malique hairan gadis itu datang kepadanya. Mereka kenal ke? Rasanya dia tak ada kenalan perempuan yang rupa macam ni. Hai, perempuan zaman sekarang ni macam-macam fesyen tudung. Pin tudung diletak tepi telinga pula. Pelik-pelik.
"Waalaikumussalam," Jawapan itu seolah-olah menendang jantung Diandra keluar. Kakinya dah macam kena Parkinson ni.
Diandra berani mengangkat muka sekejap, cepat-cepat dia tunduk. Kecut perut.
"Errr... Ini Mat Jonet ke?" Dia bertanya dalam nada terketar-ketar.
Malique kurang dengar kerana suara gadis itu tersekat-sekat.
"Hah? Apa... Mat Jenin?"
"Bu... bukan. Mat Jonet."
Malique rasa nak gelak tapi ditahan. Cari Mat Jonet rupa-rupanya. Apa punya namalah tu.
"Salah orang kut. Saya bukan Mat Jonet. Tapi kalau Mat Jenin tu memang sayalah orangnya..."
Diandra terkedu. Bukan? Alamak, dia salah oranglah. Macam tak percaya pula mamat ni nama Mat Jenin. Betul ke?
"Errr, maaf. Maaf... Saya salah orang Encik Mat Jenin..." Diandra kelam-kabut mengundur diri. Belakangnya terlanggar meja. Adoi, sakitnya pinggang. Berkerut dahi menahan sakit.
"Cik okey ke?" Malique bertanya kepada gadis yang dah kelam kelibut ini.
"Oh... Okey..." Diandra mengangguk kalut sambil mencari meja kosong. Hanya meja di sebelah lelaki itu saja yang kosong. Terpaksalah duduk di situ. Diandra dah tak pandang lelaki tadi. Malu disebabkan tersalah orang dan terlanggar cermin di depan lelaki itu. Pinggang yang sakit dipegang.
Diandra menanti Mat Jonet. Mana dia, ya? Lelaki meja sebelah itu bangun. Agaknya dah balik kut? Legalah kalau dah balik.
Diandra pura-pura tak melihatnya. Malu kes tadi tak habis lagi.
"Excuse me, Diandra?"
Diandra mengangkat muka.
"Mat Mat Ma... Mat Jonet?"
Dua-dua tergamam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro