
Bab 8
MATA dipejam sewaktu kakinya berlari-lari di atas treadmill. Tangan turut bergerak-gerak. Earphone yang disumbat ke telinga membuatkan Aina larut dalam dunianya sendiri.
Tiba-tiba Aina merasa tak sedap hati. Kelopak mata dibuka dan kepala pantas menoleh ke treadmill lagi satu di kirinya.
"Mak!!!"
Hilang keseimbangan badan dek terkejut. Running area masih bergerak sewaktu Aina berdiri kaku, secara tidak langsung membuatkan tubuh Aina berundur ke belakang di luar kerelaan. Dalam pada rasa terkejut menguasai diri, Aina cuba panjangkan tangan untuk berpaut pada pemegang tetapi gagal.
Di luar jangkaan Aina, lengannya ditarik kuat sehinggakan dia turun menjauhi treadmill. Ada sesuatu mencengkam lengan kanan bilamana tubuhnya ditarik ke arah sesuatu. Mata Aina membulat. Dipandangnya treadmill yang sudah pun berhenti beroperasi sebelum Aina dongakkan kepala.
Gulp. Gulp lagi. Terkujat seluruh tubuh Aina selepas menyedari dia berdiri tepat-tepat di hadapan Arhan. Bahu kiri Aina bagaikan melekat pada dada lelaki itu.
"Arhan. Errr, Hans. Errr, Tengku Arhan." Bingung pula Aina jadinya, tak tahu gelaran mana yang harus dia gunakan. Apabila Arhan lepaskan cengkamannya, cepat-cepat Aina jarakkan diri. Dilihatnya Arhan berdiri semula di atas treadmill. Selepas diaktifkan dan memilih tahap kelajuan yang dikehendaki, Arhan mula berlari di atasnya.
Aina cerunkan mata. Selepas rasa kaget beransur pergi, lincah saja akal mencipta seribu satu soalan. Dia berdiri semula di atas treadmillnya tadi. Tidak dihidupkan tetapi tubuh Aina berdiri menghadap Arhan.
"Tengku Arhan buat apa kat sini? Ini rumah El, bukannya rumah Tengku. Macam mana Tengku masuk? Siapa bagi Tengku keizinan untuk gunakan gim kat sini?" Spontan soalan-soalan itu dilempar kepada Arhan.
Mata masih tertumpu ke depan tetapi mulut dibuka untuk memberi jawapan kepada Aina.
"Saya beritahu El, saya nak cari gim kat kawasan sekitar sini tapi dia suruh saya datang sini aje sebab El sendiri pun tak tahu nak suggest gim mana. Kau orang baru pindah Johor juga, kan?" jawab Arhan.
"Okey, disebabkan El yang ajak Tengku ke sini, saya tak bolehlah nak kata apa. Ini rumah El. Tapi kut ya pun, Tengku tegurlah saya. Jangan muncul tiba-tiba kat sebelah. Mestilah saya terkejut sebab dari dulu sampai sekarang, memang saya sorang aje yang guna gim," kata Aina, sempat menempelak Arhan yang muncul tiba-tiba bagaikan hantu.
"Awak ingat, musuh-musuh El akan announce kemunculan dia orang ke?" Sedas sindiran diberi kepada Aina.
"Aunty Ida kata awak hebat so I had high expectation on you but apparently, awak tak adalah hebat mana. Dah lama saya ada kat sini, guna macam-macam equipment tapi awak tak sedar langsung. Bila saya muncul kat sebelah, awak terus menjerit terkejut dan tak dapat kawal diri," ujar Arhan lagi, sengaja mempertikaikan ketangkasan Aina. Jauh berbeza daripada apa yang disogok Khalidah ke telinganya.
Sedikit malu apabila ditempelak sebegitu tetapi Aina cuba tebalkan muka. Dia akui, dia leka dan lalai gara-gara menghayati muzik yang dia dengar.
Muzik! Barulah Aina teringatkan iPodnya. Mata pantas terarah pada iPod yang terdampar di atas treadmill. Aina capai dan membelek-beleknya. Earphone dicucuk semula ke telinga untuk memainkan lagu. Nafas kelegaan dilepaskan apabila item itu masih berfungsi dengan baik.
"Okey lagi?" soal Arhan.
"Okey."
"Awak dengar lagu apa?" Arhan bertanya lagi. Panasaran.
"Muzik aje."
"Muzik apa?"
"Baroque. Eh Tengku tak payah ambil tahu pasal sayalah. Lari ajelah guna kaki, mulut tak payah bergerak sekali," omel Aina sedikit geram apabila Arhan masih mahu meneruskan perbualan di antara mereka. Mood untuk beriadah di pagi hari sudah lesap dek kemunculan Arhan lalu Aina capai tuala di pemegang treadmill.
"Saya naik bilik dululah, Tengku." Aina pamit diri. Niatnya mahu beredar ke bilik tetapi suara keras Arhan ibarat merantai langkahnya.
"Stop calling me Tengku. I hate it."
"Nak panggil apa? Hans?" Ringan mulut Aina bertanya semula seraya memetik nama yang digunakan Elyana untuk Arhan. Gelengan kepala Arhan mengundang kerutan dahi Aina. Dilihatnya Arhan menekan butang merah. Larian Arhan mulai perlahan dan seterusnya dia berjalan di atas running area. Beberapa saat kemudian, Arhan turun daripada situ dan bergerak ke satu arah. Kaki berhenti menapak bilamana Arhan berdiri di depan Aina.
Terpaksalah Aina mendongak tinggi. Setinggi-tinggi dia, tinggi lagi si pemegang nama Tengku Arhan Yuzlan itu. Aina hanyalah paras telinganya!
Sama seperti semalam di Subway, Arhan tunjukkan muka seriusnya. Mata ditala tepat ke sepasang mata Aina.
"Panggil saya Arhan."
Itu ialah jawapan yang dipinta Aina tetapi Aina dapat rasakan, ia lebih berupa arahan. Ya, seorang Arhan sedang memberi arahan kepadanya untuk menggelarnya 'Arhan', bukan 'Hans'.
Bebola mata Aina cuba digerakkan. Gagal. Tetap juga ia mahu berbalas renungan dengan Arhan.
Sabungan mata mereka hanya terputus apabila Arhan membuang pandang ke tempat lain. Arhan berjalan menuju ke pintu dan terus menghilang. Maka tinggallah Aina di tempatnya dengan sebuah hembusan nafas yang sangat panjang.
MENGGUNAKAN peralatan gim di sini? Aina terima dengan senang hati walaupun sejujurnya, dia rasakan ruang personalnya telah dicerobohi. Tetapi menikmati sarapan dan makan tengah hari di sini? Tak dapat Aina tahan dirinya daripada mencemik.
"Tengku tengok apa?" Naufal menegur Aina. Mereka berdua menanti di luar ruang makan, membiarkan Elyana dan Arhan menikmati santapan tengah hari berdua-duaan.
"Kalau Tengku lapar, joinlah sekali," tambah Naufal. Aneh juga dia apabila Aina menolak ajakan Elyana. Kebiasaannya, Ainalah yang akan menemani Elyana tetapi lain pula ceritanya hari ini.
Aina gerakkan tubuh untuk berdiri bertentangan Naufal. Mata dicerun pada Naufal sambil mimik muka cuba ditegangkan.
"Mak tak ada kat sini, jadi awak tak payahlah bertengku-tengku dengan saya," kata Aina serius.
"Tak naklah. Saya takut terbiasa sangat, nanti terlepas cakap depan Puan Khalidah. Mak Munah tak apalah, dia jarang-jarang jumpa Puan Khalidah. Saya pula selalu ikut Tengku El dan Tengku berjumpa Tengku Is dan Puan Khalidah," jawab Naufal sambil tangannya digerak-gerakkan menyatakan keengganannya.
Tiba-tiba Aina mengeluh. Sebenarnya, dia sengaja mahu menguji auranya. Kalau Arhan mampu membuatkan lidahnya kelu dengan renungan dan nada kerasnya, kenapalah Aina tak mampu lakukan itu pada orang lain? Jampi apa yang digunakan Arhan hinggakan auranya tidak dapat ditepis sama sekali?
"Tengku?"
Panggilan Naufal memecahkan lamunan Aina. Sebuah jelingan dilepaskan Aina.
"Berani berlawan dengan semua orang tapi awak takut dengan mak saya. Pekakkan ajelah telinga."
"Bab berlawan, lain. Bab dibebel, lain. Tengku tak boleh samakan. Saya melawan atas kerelaan sendiri dan itu memang kepakaran saya. Tapi saya tak rela dibebel. Saya tak dilatih untuk itu. Mungkin sebab ibu saya bisu, jadi telinga saya tak boleh tahan kalau orang membebel kut," ujar Naufal membela dirinya. Jika dia terpaksa memilih di antara bertarung dengan sepuluh orang atau pun dibebel selama sepuluh minit, Naufal lebih rela memilih pilihan pertama.
Tiada idea untuk membidas lalu Aina putuskan untuk berdiam saja. Apabila mereka dihampiri Syamel, dua pasang mata tertumpu ke arahnya.
"Tengku, kerja kita orang dah selesai." Syamel melapor kepada Aina.
Tercengang Aina mendengarkan perkataan 'kerja'. Kerja apa? Dia tak keluarkan sebarang arahan kepada mereka melainkan mengawasi Elyana. Aina pandang Syamel dengan riak lugu, meminta penjelasan. Pada saat Naufal bersuara, Aina pandang Naufal semula.
"Hans pindah ke banglo depan, Tengku. Pagi tadi barang-barang dia sampai jadi Puan Khalidah minta kita orang uruskan. Tapi disebabkan saya jaga Tengku El, Syamellah yang kena buat. Puan Khalidah pesan kat Mak Munah juga, masak lebih mulai sekarang sebab Hans akan makan kat sini setiap hari," beritahu Naufal.
"Seriuslah?" Terpacul keluar soalan itu daripada mulut Aina. Kedua-dua pengawal peribadi itu mengangguk serentak. Aina arahkan anak mata untuk memandang Arhan di dalam sana dan ternyata ia bukanlah satu keputusan bagus.
Pandangan mata mereka bertaut dan dari jarak sejauh ini, Aina bagaikan dapat melihat api di mata Arhan. Sesaat kemudian, Arhan menjelingnya dan memandang Elyana semula.
Erk. Aina termangu.
TEMPOH hari, niat mereka ke Pasar Karat terpaksa dibatalkan dek serangan yang diatur Khalidah. Malam ini, permintaan Elyana dilunaskan Arhan. Lelaki itu sendiri yang memberi idea untuk mereka berlima ke sana. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Elyana bersetuju. Ceria benar muka Elyana. Berseri-seri!
Pasangan sejoli itu berjalan di hadapan manakala Aina jalan beriringan dengan Naufal dan Syamel. Mereka menyusuri barisan-barisan gerai yang menjual pelbagai barangan. Daripada anak tudung hinggalah ke kasut, semuanya ada dijual. Barangan tiruan? Mudah saja didapati di sini. Barang mainan kanak-kanak? Ada. Makanan kudap-kudapan? Ada juga!
"Kenapa awak nak sangat ke sini?" Soalan ditanya Arhan kepada Elyana dapat didengari Aina dengan jelas. Telinga cuba ditajamkan lagi, mahu 'menyedut' segala butir perbualan mereka.
"Saja. Saya tak pernah pergi tempat-tempat macam ni jadi saya rasa excited. Awak pernah datang tempat macam ni, Hans?"
"Berkali-kali jugalah," jawab Arhan pendek.
"Wow! Rupa-rupanya Pasar Karat ni dibuka sampai dua tiga pagi, Tengku. Meriah sangat! Tengoklah tu, ada badut pula kat tengah-tengah," ujar Syamel sekali gus menarik perhatian Aina dan Naufal kepadanya. Konsentrasi Syamel pula tertumpu pada telefon pintarnya. Dia sedang membaca sebuah Blog yang bercerita tentang pasar karat ini.
"Kadang-kadang orang panggil Bazar Karat. Ada juga jual barang bundle dan barang mekap kat sini. Eh kau orang tahu tak, kita sekarang ada kat Jalan Segget? Katanya, nama asal untuk Segget ialah 'Seagate' tapi biasalah, orang Melayu, kan? Lari terus bunyinya, jadi Segget. Sama macam 'go astern' jadi 'gostan'." Syamel terus kongsikan fakta menarik yang dibacanya kepada kedua-dua insan itu.
Diiringi gelengan, Aina tarik telefon pintar Syamel. Bagaikan mereka sudah merancang, Naufal terus hulurkan tangan kepada Aina. Tahu-tahu saja telefon pintar Syamel selamat mendiami poket jean Naufal. Mulalah Syamel pamer riak tak puas hati.
"Maaflah, Syamel. Kalau awak nak menelaah sejarah, buatlah nanti. Saya dan Naufal tak ada mood nak dengar."
"Betul." Dalam kadar terpantas, Naufal menyokong Aina.
Syamel tarik muka masam. Jika itu dikatakan Aina, terpaksalah dia akur. Namun rasa hampa itu hanya bertahan untuk sesaat apabila sesuatu menarik perhatiannya.
"Tengku El! Tunggu sekejap!" Syamel melaung kepada Elyana. Apabila Elyana dan Arhan menoleh ke arahnya, Syamel berlari masuk ke dalam sebuah gerai. Keempat-empat insan itu menanti di luar. Beberapa saat kemudian, Syamel keluar bersama beberapa helai baju lalu disua kepada Aina. Si jurujual mengekori Syamel dengan senyuman mesra.
"Buat apa?" tanya Aina polos. Dipandangnya blaus wanita pelbagai warna sebelum dia tetapkan fokus pada Syamel semula.
"Tengku asyik pakai baju dan jeans hitam aje. Saya berani bet, sebenarnya wardrobe Tengku penuh dengan hitam semata-mata. Nak kata Tengku buta warna, tak juga. Elok aje drive. Dalam dunia ni ada macam-macam warna, rugi kalau Tengku sia-siakan." Tak dipinta, Syamel memberi syarahan ringkas kepada Aina tentang warna.
"Saya suka hitam sebab senang, tak payah nak gosok. Lagipun saya nampak slim sikit kalau pakai warna hitam." Sementara Aina memberi alasan, Elyana masuk ke dalam gerai itu dan dia muncul semula dengan sehelai dress kuning pastel.
"Kalau akak pakai dress ni, mesti nampak cantik!" kata Elyana teruja apabila membayangkan dress itu disarung ke tubuh Aina.
Tahu-tahu saja sehelai kardigan kimono disua kepada Aina.
"Kalau Tengku gayakan baju hitam dengan kardigan bercorak abstrak ni... Serius cun!" Tidak mahu ketinggalan, Naufal pula memberi saranannya.
Aina pandang Syamel, Elyana dan Naufal bersilih ganti. Mereka bertiga berbaris di hadapannya bersama pilihan pakaian masing-masing.
"Tak payahlah, jangan membazir..."
Ingin berbicara lanjut tetapi Elyana sudah menyerahkan dress kepada si jurujual. Dengan hanya perkataan 'bagi', Naufal dan Syamel juga serahkan pakaian pilihan mereka kepada si jurujual. Tak sempat Aina menghalang, mereka bertiga menghilang ke dalam gerai. Beberapa minit kemudian, wajah ketiga-tiga insan itu kembali kelihatan. Di tangan Naufal dan Syamel, ada beberapa buah plastik dijinjit.
"El! El beli semua ke?!" Terjerit Aina dengan mata bulatnya.
Elyana menyengih sambil mengangkat keningnya sekali, memberi jawapan dengan cara itu. Dia berjalan melepasi Aina dan berdiri di sisi Arhan.
"Akak takkan pakai pun..."
Sekali lagi bicara Aina tergantung bilamana Elyana tiba-tiba palingkan tubuh.
"Ada busking ke kat sini?" soal Elyana teruja.
"Ada, Tengku." Syamel menjawab pantas. Fakta itu ada dinyatakan di dalam Blog tadi.
"Jom!" kata Elyana yang sudahpun menapak mencari arah nyanyian. Arhan segera mengejar Elyana untuk jalan sebelah-menyebelah.
Demi melihatkan itu, Aina mencemik. Sementara orang lain sibuk memilih baju untuknya, Arhan pula sekadar membeku. Mulut bagaikan menyorokkan emas. Tangan dan kaki bagaikan dirantai. Tiada langsung cadangan diberi kepadanya. Tetapi hanya dengan perkataan 'jom', besar saja langkahnya membuntuti Elyana.
"Saya baru perasan something. Kita orang tak pernah bawakan apa-apa untuk Tengku. Selama ni, Tengku memang tak pernah shopping eh? Cuma Tengku El aje?" tanya Naufal. Soalan diaju kepada Aina tetapi Syamel yang menjawab.
"Haah, betullah."
"Pernahlah. Kau orang dah lupa kut."
"Tak apa, hari ni kita orang bawakan untuk Tengku. At your service, my lady," kata Syamel lagi.
"Saya tengok kau orang kecil besar kecil besar aje," omel Aina sambil mata dicerunkan. Sekejap pada Syamel, sekejap pada Naufal. Aina masih tak puas hati dengan sikap selamba mereka berdua memilih blaus dan dress untuknya. Kedua-dua lelaki itu tergelak dengan reaksi Aina. Langkah mereka mati apabila tiba di kerumunan manusia. Ternyata mereka semua menonton persembahan kumpulan busker itu dengan khusyuk. Begitu menghayati.
"Lagu kau," kata Naufal kepada Syamel. Bersungguh-sungguh Syamel mengangguk, kononnya mengiakan.
"Perasan," kata Aina yang berdiri di antara mereka. Fokus kembali tertumpu kepada penyanyi wanita dan penyanyi lelaki itu. Mereka sedang menyanyikan lagu 'Aku Cinta', dendangan Syamel dan Ernie Zakri. Di luar sedar, hati Aina turut terbuai dengan bait-bait lirik lagu tersebut.
Andai Aina tidak silap menafsir, lagu itu berkisarkan tentang seseorang yang mencintai dalam diam. Dengan cara begitu, dia dapat mencintai semahu hatinya dan insan itu menjadi miliknya seorang. Secara zahirnya, tiada apa-apa diungkap atau diluahkan tetapi dalam hati, ayat 'Aku Cinta' asyik diulang-ulang.
Di luar sedar, bibir Aina menguntum senyum. Hati wanitanya tersentuh tiba-tiba.
Wujud lagikah insan sebegitu di dunia ini? Atau lebih tepat lagi... Wujudkah seseorang yang mencintainya sepenuh jiwa raga dalam diam?
Aina senyum sinis, khas untuk dirinya sendiri. Diri ditempelak kerana mengangankan kisah dongeng sebegitu. Aina alihkan pandangan daripada duo itu dan tiba-tiba saja pandangan bersabung dengan seseorang. Arhan. Apabila lelaki itu menjelingnya, Aina mencebir. Tangan mengepal penumbuk, membayangkan betapa puasnya hati andai ia dapat dilayang ke muka beku Arhan. Aina buang pandang ke tempat lain dan kali ini, mata Aina membuntang luas.
Di sebelah sana, ada beberapa orang lelaki sedang merenung Elyana. Aina bagaikan dapat membaca mesej di mata mereka lalu Aina menoleh ke belakang.
Sah. Musuh Elyana ada di sini!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro