Bab 7
DI meja makan, Elyana dan Arhan rancak berbual. Ada saja isu yang mereka bincangkan namun di satu tempat, Aina diam membeku. Mulutnya sedang mengunyah nasi tetapi entah kenapa, Aina rasakan pasir melalui kerongkongnya. Punggung asyik merasa hangat, seolah-olah ada api marak menyala di bawahnya.
Sekali dua dia curi pandang Arhan. Terdetik dalam hati Aina, adakah dia tersalah orang? Benarkah Arhan dan Tengku Arhan Yuzlan ialah orang yang sama? Ya, Aina yakin firasatnya tepat. Tetapi kenapa Arhan bagaikan tidak mengenalinya? Lupakah Arhan padanya? Mungkin juga. Sudah berbelas tahun berlalu, tak mustahil kalau Arhan melupakannya. Tetapi bagaimana seorang anak tukang kebun boleh menjadi seorang Tengku pula? Arhan menipu? Identiti mana yang dia tipu?
"Akak..." panggil Elyana. Kalut Aina arahkan fokus kepadanya bilamana buih-buih soalan lenyap. Mata terkelip-kelip. Elyana muncungkan bibir pada iPhone X Aina di atas meja. Barulah Aina sedar ada panggilan daripada Khalidah.
Tubuh Aina berdiri lurus. Senyuman cuba dipamer agar kelihatan manis namun hakikatnya, Aina tahu senyuman itu kelihatan jelik sekali.
"Akak dah kenyang. Kau orang makanlah. Akak nak rehat sekejap dalam bilik," pamit Aina. Tanpa menunggu jawapan Elyana atau Arhan, Aina buka langkah seribu menuju ke biliknya. Isyarat mata sempat diberi kepada Syamel dan Naufal agar sentiasa berwaspada.
Sampai di bilik, barulah Aina menjawab panggilan Khalidah.
"Aina! Kenapa lambat sangat jawab call?!" Nyaring suara itu menyapa telinga Aina.
"Aina makan tadi. Tak perasan," jawab Aina acuh tak acuh. Sebenarnya, dia melamun dek memikirkan perihal Arhan namun Aina tahu, dia tak perlu laporkan perihal itu kepada Khalidah.
"Okey tak? El suka dia? Aina rasa dia orang sesuai tak?" Soalan-soalan diaju dalam nada perlahan tetapi penuh minat dan panasaran. Dapat Aina bayangkan muka kepoh Khalidah di sebelah sana.
"Okey. Suka kut. Hmmm, sesuai," jawab Aina pendek-pendek.
Aina tidak menipu bila dia katakan Elyana dan Arhan sesuai. Sekufu dari segi paras rupa dan latar belakang keluarga. Diukur dari tahap intelek, tetap juga mereka sepadan. Lihat saja betapa senangnya mereka mengulas isu perniagaan dan isu semasa.
"Hmmm, bagus. Berjalan lancar juga rancangan mama."
Tiba-tiba Khalidah bertutur dalam nada serius. Dapat Aina tangkap ada maksud tersirat di sebalik ayat itu. Rancangan berjalan lancar? Rancangan apa?
"Apa maksud mak?" Aina terus bertanya. Bayangan Elyana dan Arhan sudah ditendang keluar. Dup-dap dup-dap jantungnya menanti jawapan si ibu. Dan seterusnya mata Aina membuntang bagaikan mahu terkeluar dari soketnya!
"Kejadian kat Danga Bay tu... Mama yang rancang. Mama sengaja jadikan kes tu sebagai trigger untuk bangkitkan hal kahwin. Nasib baik Iskandar dengar cakap mama, setuju aje bila mama sarankan Tengku Arhan Yuzlan jadi menantu dia. Baguslah kalau El berkenan. Cepat dia orang berkahwin, cepatlah Aina terlepas daripada tanggungjawab untuk jaga dia." Bersahaja Khalidah tuturkan setiap patah perkataan, langsung tiada sebarang emosi diselitkan.
Aina terkedu. Kalau betullah apa yang dihadam akalnya...
"Mak... Upah orang... Maksudnya selama ni..." Tergagap-gagap Aina mahu menyusun bicara.
"Tak, bukan mama yang rancang kes-kes sebelum ni. Itu memang kerja orang lain. Kejadian kat Danga Bay aje kerja mama. Mama saja ambil kesempatan, upah orang untuk pura-pura culik El," beritahu Khalidah tentang rancangannya.
Istilah 'copycat' barangkali sesuai untuk menggambarkan tindakan Khalidah. Dia meniru idea musuh Elyana demi manfaat dirinya sendiri. Apa kebaikan yang Khalidah dapat? Dia dapat jauhkan Aina dari ancaman musuh-musuh Elyana!
Jantung Aina serasa dihentak kuat mendengarkan itu. Dan-danlah air mata bergenang.
"Mak sanggup bahayakan nyawa El semata-mata nak dijadikan alasan untuk kahwinkan El? Semata-mata untuk jauhkan Aina dari dia?"
Aina bertanya tentang Elyana tetapi Khalidah menjadikan Aina sebagai subjek perbualan.
"Mama dah berkali-kali beritahu Aina, jangan buat apa-apa. Just stay still! Malam tu mama call Aina untuk distract Aina tapi Aina degil juga. Aina tetap bahayakan diri sendiri untuk selamatkan El!" Cepat-cepat kesalahan diletak di atas bahu Aina. Katakanlah Aina mendengar kata dan awal-awal lagi butakan mata dan pekakkan telinga pada semua masalah Elyana, Khalidah takkan bertindak gila seperti ini.
"Kalau Aina tak selamatkan dia daripada orang suruhan mak... Apa yang dia orang akan buat kat El malam tu?" Entah kenapa, Aina ingin tahu apakah rancangan asal Khalidah sekiranya dia tidak campur tangan. Kiraan degupan jantung kian meningkat dek rasa panasaran berselang-seli dengan rasa takut.
"Tak ada buat apa. Sekadar culik, kurung dia sehari dua. Bila El dah dilepaskan, mama akan tetap cucuk fikiran Iskandar untuk kahwinkan anak dia. Aina tak payahlah risau pasal orang suruhan mama. Mama dah bagi upah banyak untuk rawatan jadi dia orang akan tutup mulut sampai hujung nyawa."
Pipi Aina serasa basah dek rembesan air mata. Pengakuan Khalidah ibarat menyiat hati kecilnya. Tak, dia bukannya terharu dengan kesanggupan Khalidah memikirkannya sehingga merancang plot jahat itu. Sebaliknya Aina rasa kecewa. Sesal.
"Jangan cuba ambil alih tugas malaikat dalam dunia penuh syaitan!"
Pesanan Khalidah tempoh hari kembali bergema. Sememangnya Aina tidak mengharapkan Khalidah berperwatakan seperti malaikat tetapi haruskah Khalidah mengambil alih tugas syaitan?
"Sekejap lagi papa balik, mama nak desak dia untuk cepatkan majlis kahwin dia orang. El sepatutnya berterima kasih dengan mama. Walaupun mama tak suka dia, mama tak aniaya dia. Mama jodohkan dia dengan lelaki sempurna serba-serbi!"
Dan seterusnya, bicara Khalidah tak lagi didengari Aina. IPhone X sudah dijauhkan dari telinga. Aina tak betah membiarkan telinganya menerima kata-kata nista dan plot hitam dirancang Khalidah. Sungguh, hatinya serasa dirobek-robek.
"AKAK termenung apa?"
Aina menengadah. Kelihatan Elyana sedang berdiri tegak di depannya. Aina mengerling pintu biliknya yang terbuka sebelum dia pandang Elyana semula.
"El dah ketuk pintu banyak kali tapi akak tak jawab. El masuk ajelah. Ingatkan akak dah tidur atau ada kat dalam toilet tapi rupa-rupanya akak termenung. Menungkan apa?"
Payah Aina menelan liur. Menatap seraut wajah Elyana membawa ingatannya kepada kata-kata Khalidah siang tadi.
Akak minta maaf, El. Akak janji nak jagakan El tapi mak akak sengaja bahayakan El demi keselamatan akak. Ingin saja Aina luahkan itu namun dia tidak mampu. Lalu ia dibungkus dan ditanam sedalam-dalamnya dalam hati. Seteruk apa pun hubungan dia dan Khalidah, Aina tak sanggup membiarkan sisi busuk ibunya ketahuan orang.
"Akak rasa Hans okey tak?" Elyana bertanya selepas dia duduk di sebelah Aina di atas katil. Tubuh disandar.
"Hans? Hans Isaac?" Aina bertanya semula kepada Elyana. Bingung seketika mendengarkan nama aneh itu.
"Hans Isaac? Bukanlah! El tanya pasal Tengku Arhanlah! Dia suruh El panggil dia Hans aje. Semua orang pun panggil dia Hans," kata Elyana seraya melepaskan tepukan di atas bahu Aina. Kepala sudah menggeleng-geleng. Elyana lunjurkan kaki lalu digerak-gerakkan. Walaupun mata tertumpu pada sepasang kakinya, kata-kata yang keluar dari mulut dituju kepada Aina.
"El rasa dia okey. Tak adalah sampai tahap El suka dia but I could feel the connection between us. Sekurang-kurangnya kita orang boleh communicate with each other dan El rasa itulah benda penting dalam hubungan, kan? Manalah tahu akan datang nanti, kita orang mula sayangkan antara satu sama lain." Tanpa dipinta, Elyana sudah pun berkongsi pendapatnya tentang Arhan.
"El betul-betul okey kahwin dengan dia? El dah ready?" Aina mengambil kesempatan ini untuk bertanya. Sejujurnya, Aina berbelah bahagi. Separuh hatinya enggan membiarkan Elyana berkahwin dengan Arhan. Akan bahagiakah perkahwinan yang dicipta hasil kelicikan Khalidah ini? Separuh hati lagi pula seakan-akan bersetuju. Jika Elyana memang menerima Arhan, siapalah Aina untuk menghalang? Sesungguhnya Aina sentiasa mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup Elyana kerana gadis sebaik itu layak memilikinya.
"Kalau ini jalan terbaik untuk kita semua, apa salahnya?"
Terjongket kening kanan Aina. Elyana sambung lagi bicaranya.
"El ada tanya Hans, dia tahu tak keluarga kita orang nak jodohkan kita orang? Hans jawab, dia tahu. El tanyalah lagi, dia tahu tak El tengah dikejar orang? Marrying me means putting his life on the line..."
"Dia jawab apa?" Aina memotong, tak sabar-sabar mahu tahu jawapan Arhan. Ada segarit senyuman di bibir Elyana. Detik itu, Aina dapat lihat ada kilauan di matanya.
"Dia janji, dia cuba jaga El. Dia cuba halang dia orang sentuh walaupun hujung rambut El." Elyana berhenti seketika. Senyuman di bibir kian melebar. Di matanya, dia seakan-akan melihat Arhan.
"El tak tahu kenapa. Kita orang baru aje berjumpa sekali tapi deep in my heart, El dah mula berharap moga-moga dialah orangnya untuk El. Ada sesuatu pasal Hans yang buatkan El rasa nak kenal dia dengan lebih mendalam. Mata dia tu... El rasa macam nak pandang selalu."
Aina ketap bibir. Dia tidak boleh menafikan itu. Arhan ada satu daya tarikan padanya yang membuatkan seseorang sukar membuang pandang ke tempat lain. Sekali pandang, terasa bagaikan mata mahu terus melekat padanya. Aina sendiri terasa mahu melompat masuk ke dalam mata Arhan, terus mencungkil segala rahsianya.
Aina Natasha... Itu Tengku Arhan Yuzlan, bakal suami Elyana. Bukan bakal suami kau.
Tiba-tiba ada satu suara berbisik kepadanya, memberi peringatan kepada Aina. Semerta Aina gelengkan kepala untuk menendang segala fikiran tentang Arhan.
"Mesti akak rasa El gedik, kan? Nak acah-acah buat drama pula, love at the first sight. Pantang nampak lelaki handsome, dan-danlah rasa dah jumpa si pemilik tulang rusuk," kata Elyana sambil menyengih. Sesekali dia garu dahi. Tiada jawapan daripada Aina melainkan senyuman tipis di bibir.
Helaan nafas Elyana kedengaran. Sengihan di bibir beransur pudar bilamana Elyana panjangkan tangan untuk memeluk Aina. Kepala dilentok ke atas bahu Aina. Sekali lagi Elyana hembuskan nafasnya berat.
Aina sekadar mematung. Sedikit terkejut dengan perbuatan Elyana tetapi tak pula dia menepis atau menolak.
"Kak..." Elyana menyeru si kakak walaupun dia ada di depan mata.
"El harap Hans boleh bawa El keluar dari masalah ni. El harap Hans boleh letakkan noktah pada semuanya," kata Elyana, mengusung sejuta harapan. Pelukan dieratkan lagi seraya mata dipejam. Malam ini, dia mahu meminjam sedikit kecekalan Aina.
Di sebelahnya, Aina menggigit bibir. Hati berlibang-libu. Fikiran kembali berserabut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro