Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

TERJENGUL dua wajah cemas di depan Aina.

"Mak..." Aina bersuara perlahan apabila Khalidah kelihatan mara ke arahnya tetapi si ibu terus jalan melepasi dirinya dan menonong mendapatkan Elyana.

"El! El okey tak? Apa jadi tadi? Kan mama dah cakap, jangan ke mana-mana!" Gelabah Khalidah memeriksa setiap inci muka Elyana. Tangan ditarik dan dibeleknya. Bergerak-gerak tubuh Elyana.

"El okey, mama janganlah risau. Nasib baik akak ada," jawab Elyana.

"Naufal! Syamel! Apa yang kau orang dah buat?!" Nyaring suara Khalidah kedengaran. Naufal dan Syamel sekadar menundukkan kepala, takut mahu bertentang empat mata dengan majikannya itu.

Manakala Aina terpempan. Wajah Khalidah direnung sedalam-dalamnya, cuba untuk mentafsir apakah yang tersirat di sebalik wajah bengis yang dipamer. Dan ternyata, Aina tidak dapat melihat apa-apa. Kerana topeng yang dipakai Khalidah sudah begitu sebati dengannya.

Bibir Aina jadi senget. Mapan sungguh lakonan ibunya!

"Jangan salahkan Naufal dan Syamel. Kita orang yang suruh dia orang standby dari jauh. Kalau dia orang tak ada tadi, Aina rasa kita orang tak dapat larikan diri," kata Aina cuba berlagak tenang. Riak sinis cuba ditahan daripada kelihatan terang-terangan.

"Kita bayar dia orang untuk jaga El. Bukannya untuk standby aje!"

"Ida.... Dahlah..." Akhirnya Iskandar bersuara. Kasihan melihat semua orang terkulat-kulat dimarahi isterinya. Jarum pendek jam mengunjuk nombor tiga manakala jarum panjang mengunjuk nombor sebelas. Pada saat semua orang lena diulit mimpi, mereka semua berjaga untuk menyambut kedatangan Iskandar dan Khalidah. Isterinya diasak kebimbangan selepas dihubungi Aina lalu dia mendesak Iskandar untuk menaiki penerbangan terawal ke Johor Bahru.

Yakin Elyana baik-baik saja, Iskandar dekati Aina dan berdiri tepat di depannya. Mata jatuh pada buku lima Aina. Jelas warna merah di situ.

"Tangan Aina sakit? Nak papa panggilkan doktor? Papa ada kenalan kat sini. A call and he'll be here immediately." Iskandar bertanya lembut kepada si anak tiri. Gelengan diterima lalu Iskandar bertanya sekali lagi untuk dapatkan kepastian.

"Sure? Papa bersyukur Aina selalu jagakan El tapi tolonglah jangan bahayakan diri sendiri."

Tersentuh hati Aina. Apalagi bicara Iskandar ditemani pandangan redupnya. Pada sepasang mata tua itu, terbias pancaran kasih sayang seorang ayah. Lambat-lambat Aina ukir senyum dengan harapan kegundahan hati Iskandar dapat disurutkan.

EMPAT insan menikmati sarapan mereka tanpa mengeluarkan sebarang suara. Hanya bunyi pendingin hawa memenuhi ruang. Sesekali bunyi lagaan sudu garpu dan pinggan kaca kedengaran. Di luar bilik makan, Naufal dan Syamel berdiri tegak. Dalam keadaan bersiap-siaga. Hatta dalam banglo sendiri pun, mereka harus sentiasa waspada. Keberadaan Elyana di Johor sudah diketahui maka kemungkinan untuk Elyana diserang di banglo ini juga ada.

"Abang, apa rancangan kita lepas ni? Pasal El?"

Suara Khalidah memecah keheningan. Pinggan kosong sudah pun ditolak ke tepi. Napkin dicapai untuk mengesat mulut. Serentak, tiga pasang mata tertumpu kepadanya.

"Ida tak setuju kalau abang suruh El pindah lagi. Sampai bila El nak pindah-randah?" tanya Khalidah.

Elyana segera mencelah, menyokong kata-kata Khalidah.

"El pun dah tak nak pindah lagi, pa. El dah penat," kata Elyana lirih. Selera makan yang sememangnya senipis kulit bawang, terus menghilang. Sudu garpu diletak di atas pinggan sambil pandangan dipacak pada Iskandar. Peluang ini mahu dia gunakan sebaik mungkin untuk memujuk Iskandar. Sebelum orang tuanya berangkat pulang ke Kuala Lumpur dan mulakan urusan 'migrasinya', lebih baik dia nyatakan pendiriannya.

"Tapi kita tak tahu apa yang dia orang nak. Selagi kita tak tahu, selagi itulah kita tak boleh alpa. Papa sayang El dan Aina. Kalau papa kena sorokkan kau orang kat hujung dunia sekali pun, papa sanggup. Asalkan kau orang selamat," ujar Iskandar sambil memandang Elyana dan Aina bersilih ganti.

"Walaupun kita tak tahu kenapa, sekurang-kurangnya kita tahu apa yang dia orang nakkan. Nyawa El. Jadi El rasa, lebih baik kita siasat dulu apa yang dia orang nak," saran Elyana.

"Macam mana? Tanya depan-depan dan cuba negotiate? Kalau dia orang nakkan negotiation, dia orang akan gertak aje. Tapi dia orang terus serang El, maksudnya dia orang nekad nakkan nyawa El." Dalam kepayahan, Iskandar terpaksa tuturkan itu. Nyawa anaknya dikejar tanpa sebarang sebab yang pasti. Tak dapat tidak, Iskandar terus-terusan salahkan dirinya sendiri kerana tidak berupaya melindungi si anak. Lantas, jalan terbaik ialah sembunyikannya.

Mulut Aina terus menyuap makanan dengan muka tak beriak tetapi telinga tetap dipasang.

Elyana terdiam apabila akal bersetuju dengan kata-kata Iskandar. Tiada modal untuk melawan lalu mulutnya dikatup rapat.

Dagunya, Iskandar gosok-gosok perlahan. Mata bertaut dengan si isteri, berbalas kata-kata dengan cara itu. Kemudian Iskandar menarik nafasnya panjang sebelum ia dilepaskan semula. Tangan kembali mendarat di atas meja dengan tubuhnya diluruskan. Nampaknya, dia sudah membuat keputusan.

"Papa rasa... Lebih baik El kahwin."

Mata Elyana terbeliak.

Aina terngadah.

Sementara Khalidah senyum lebar.

"Papa tak nak pertaruhkan nyawa dua-dua anak papa. Bila El dah kahwin, suami El boleh jagakan El. Jadi Aina tak perlu bahayakan diri Aina untuk El."

"Pa!" Bukannya Elyana yang terjerit sebaliknya Aina.

"Aina boleh jagakan El. Aina tak nampak apa kebaikannya kalau El berkahwin. Tetap juga dua nyawa terancam. Lagipun papa sure ke suami El boleh lindungi dia?" Aina lemparkan soalannya dengan nada tak puas hati. Sungguh, dia tak memahami kira-kira Iskandar. Sesiapa pun yang mendampingi Elyana akan terheret sama dalam pemburuan nyawa ini. Bukankah lebih baik Elyana dijaga seseorang yang benar-benar ikhlas dan prihatin terhadapnya? Suami Elyana? Apa jaminan suaminya mahu pertaruhkan keselamatan sendiri demi nyawa Elyana? Dan apa pula jaminannya dia dapat melindungi Elyana?

"Bakal suami El bukannya calang-calang orang, Aina. Dia memang well-trained dalam bab pertahanan diri. Okey, memanglah dia bukannya askar atau polis tapi dia memang dah diajar martial arts. Memanah? Berenang? He knows them! Papa yakin, dia boleh lindungi El." Iskandar menjawab tegas. Tiada nama disebut selain gelaran 'bakal suami El' digunakan.

"Learning and practising are two different things. Aina tak belajar apa-apa tapi badan Aina tahu, apa patut dibuat bila berdepan bahaya. Tapi dia? Silap hari bulan, dia menggigil dan lari bila musuh El muncul!" Aina terus membidas kata-kata Iskandar. Intonasi cuba ditahan agar tidak kedengaran menengking.

"Aina tak belajar apa-apa tapi penatlah juga mama naik turun ofis sekolah, jumpa pengetua sebab Aina asyik bergaduh aje. Dengan perempuan, dengan lelaki. Dua-dua Aina kerjakan." Khalidah mencelah dengan mengungkit kejadian belasan tahun lalu. Sedari dulu, Aina tak pernah menuntut ilmu pertahanan diri namun kelahiran Aina bagaikan dianugerahi dengan bakat tersebut. Lincah dan tangkas. Spontan. Aina tahu caranya menentang si lawan.

Automatik Aina besarkan mata tetapi Khalidah pura-pura tidak melihat.

Air muka Iskandar berubah keruh apabila Aina perlekehkan calon yang telah dia pilih untuk Elyana.

"Dia lebih banyak bersemuka, berhadapan dengan musuh daripada Aina."

Sebaris ayat itu meluncur keluar dari mulut Iskandar tanpa dia sendiri sedar.

"Tapi, pa..." Aina mahu terus membantah namun suara Elyana membantutkan niatnya. Aina menoleh pada Elyana di sebelah.

"Dahlah, kak. Jangan gaduh lagi dengan papa."

"El..."

"Kalau papa yakin dia boleh jagakan El, then El setuju." Elyana nyatakan persetujuannya tanpa berfikir lama. Mata Iskandar dan Khalidah bersinar-sinar teruja tetapi Aina pula melopong. Semudah itu Elyana bersetuju?

Elyana tetapkan fokus pada Aina.

"Arranged marriage? El tahu ini lame tapi kalau kita dapat kebaikan, apa salahnya? Papa percaya dia boleh jagakan El. Lagipun apa yang papa cakap tu betul, kak. Akak tak boleh bahayakan nyawa akak untuk El selama-lamanya. Akak pun ada life akak sendiri," kata Elyana, memujuk si kakak. Daripada ekspresi wajah dan intonasi Iskandar, dia tahu Iskandar benar-benar percayakan bakal suaminya. Itu bererti Elyana juga harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya. Masakan Iskandar mahu perjudikan nyawa anak sendiri!

Enggan memberi peluang kepada Aina untuk bersuara, Elyana pandang Iskandar semula. Detik ini, aura kewanitaannya menyerlah.

"Siapa orangnya? Dia setuju?" tanyanya kepada si bapa mengenai bakal suaminya.

Iskandar mengangguk laju. Kemudian mulut dibuka, menyebut sebaris nama.

"Tengku Arhan Yuzlan."

Serta-merta air muka Aina berubah kendur. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro