
Bab 11
"AINA Natasha."
Aina terus menoleh ke kiri apabila nama penuhnya disebut. Buku di tangan Arhan disambar kasar. Buku sekolahnya disimpan semula ke dalam beg diiringi rengusan.
"Pencopet," kata Aina sepatah, sengaja menggunakan bahasa Indonesia yang bermaksud 'pencuri'. Istilah itu baru dipelajarinya semalam daripada sinetron negara seberang yang ditayang di TV.
"Interesting. Perempuan kasar ada nama secantik tu. Aina Natasha." Arhan mengulang nama Aina seraya kepala diangguk berkali-kali. Buku sekolah itu dia curi-curi ambil sewaktu Aina membayar aiskrim kepada juruwang. Terima kasih kepada Aina, dapatlah dia basahkan tekak dengan aiskrim tersebut.
"Kenapa kau ponteng sekolah?" Arhan bertanya pula kepada Aina. Mereka berjalan beriringan, melalui barisan kedai-kedai.
"Malaslah. Aku tak minat belajar tapi mak aku sibuk suruh aku ke sekolah juga. Kalau aku ada kat sekolah pun, aku asyik bergaduh aje. Lebih baik aku ponteng," jawab Aina jujur walaupun jawapan diberi dalam nada acuh tak acuh. Soalan yang sama dipulangkan kepada Arhan.
"Kenapa kau ponteng? Betul ke tukang kebun tu bapak kau? Kenapa kau tak daftar aje kat sekolah kita orang?"
Mereka baru bertemu tetapi Aina dapat rasakan dia selesa dengan Arhan. Barangkali disebabkan mereka sama-sama kaki ponteng. Atau mungkin juga kerana Aina berperwatakan kasar dan agak kelelakian, maka mudah saja dia mencipta persahabatan dengan seorang lelaki. Kalau dengan perempuan? Mustahil. Gadis sebaya Aina lebih gemar bercakap tentang teman lelaki mereka. Satu topik itulah yang paling tidak disukai Aina.
Jawapan verbal dipinta namun Aina hanya menerima jongketan bahu Arhan. Semerta Aina mencebir.
"Umur kau berapa, Aina Natasha?"
"Enam belas."
"Aku lapan belas," beritahu Arhan walaupun Aina tidak bertanya. Daripada umur Arhan, Aina tebak lelaki itu ialah pelajar tingkatan enam. Plastik aiskrim dibuang ke dalam tong sampah. Sebaik Aina menoleh, Arhan hulurkan plastik aiskrimnya pula.
"Aina Natasha, tolong buangkan."
Herot-berot mulut Aina tetapi dia tetap akur. Kemudian Aina berdiri memandang Arhan. Kerutan di dahi melambangkan rasa tak puas hati.
"Tak payahlah sebut-sebut nama penuh aku. Rimaslah," marahnya.
"Kenapa? Cantiklah. Aina Natasha. Dia sebenarnya biasa-biasa aje tapi gabungan dua-dua tu buatkan nama kau nampak glamor." Arhan mengulas nama penuh Aina, sekali dengan pakej kening diangkat-angkat. Sekali dengar, mungkin orang akan menganggap Arhan sedang mempermainkan nama Aina tetapi itu bukanlah niatnya. Arhan benar-benar ikhlas memuji sebaris nama itu. Layaklah disandang oleh insan yang berdiri di depannya walaupun cantiknya nama itu tidak tergambar pada perwatakan Aina.
Aina tak ambil pusing pujian Arhan. Sebaliknya dia bertanya nama penuh Arhan pula.
"Apa nama penuh kau?"
"Arhan anak tukang kebun."
"Eh kau ni..." Automatik Aina ketap kedua-dua giginya. Tangan sudah mengacah penumbuk ke Arhan. Tangan Arhan refleks menutup muka. Berpura-pura takut sedangkan di mulut, dia lepaskan tawa. Seronok dapat mengenakan Aina.
Aina merengus seraya menjatuhkan tangan. Apabila dia berjalan, cepat-cepat Arhan mengejarnya.
"Aina Natasha nak ke mana? Ajaklah Arhan anak tukang kebun sekali. Kita dah jadi partner-in-crime. Dua-dua panjat tembok untuk ponteng sekolah jadi apa salahnya kita habiskan masa sama-sama? Nanti lepas waktu sekolah, kita berpecahlah balik rumah masing-masing. Jom jumpa lagi esok. Aku tunggu kau kat luar tembok sekolah. Nak tak?"
Sepanjang-panjang bicara Arhan, tiada satu pun diendahkan Aina. Dia terus menapak sambil mulut digerak-gerakkan, kononnya dia sedang menyanyi.
Arhan pamer muka cemberut apabila menyedari dia dianggap halimunan oleh Aina. Mulut dikunci namun langkah masih diatur berjalan bersebelahan gadis itu.
"Sana!"
Satu jeritan kedengaran dari belakang. Arhan terkaku di tempatnya. Di sebelahnya, Aina sudah menoleh ke belakang. Arhan tak perlu lakukan perkara sama untuk mengetahui apakah yang berlaku di belakangnya. Dia arif benar.
"Aina Natasha." Nama Aina dipanggil untuk mendapat perhatiannya. Sebaik saja Aina memandangnya, jemari Aina terus diraih dan digenggam. Mata Aina yang terbeliak tak diendahkan. Arhan hanya menyebut satu perkataan.
"Lari!!!"
ARHAN terduduk di atas katil sambil matanya terbeliak besar. Nafas tercungap-cungap bagaikan dia baru menyertai pertandingan larian. Dada naik turun melepaskan bunyi nafas kasar. Sedar dia baru terjaga daripada mimpi, Arhan raup muka dengan telapak tangan. Rambut dilurut ke belakang.
Itu... Bukan mimpi semata. Itu ialah cebisan memorinya.
Hati lelakinya mula membisikkan sesuatu lalu Arhan akur. Dia mendekati tingkap bilik, menyelak jendela dan mengarahkan anak mata ke bilik banglo hadapan. Daripada cerita Elyana, Arhan tahu itu ialah bilik tidur Aina. Elyana sengaja berikan bilik utama kepadanya memandangkan sebelum-sebelum ini, Aina hanya mendiami bilik biasa.
Sejujurnya, Arhan tak hiraukan cerita tersebut. Kerana apa yang memenuhi kepalanya hanyalah...
"Aina Natasha."
GIGI diketap kuat bilamana Khalidah menjerkah di sebelah sana. Hilang terus kantuknya dek suara nyaring Khalidah.
"Aina betul-betul dah gila! Setahu mama, keluarga mama dan arwah ayah Aina tak ada sejarah orang mental. Tapi kenapa Aina buat perangai gila?! Lawan lelaki-lelaki tu berdua aje dengan Naufal? Aina lompat naik atas kereta?!"
Telinga aman seketika apabila Khalidah hela nafasnya.
"Orang lain tengah tidur tapi papa tengah kalut contact semua kenalan dia untuk block cerita Aina daripada released! Papa cuma mampu stop yang official dan established ajelah. YouTube? Facebook? Instagram? Macam mana papa nak halang video Aina daripada tersebar?!"
Seperti biasa, Iskandar gunakan pengaruh dan kenalannya untuk mengekang kisah mereka daripada tersebar pada umum. Untuk lelaki seperti Iskandar, semuanya semudah petik jari. Polis dan syarikat media bagaikan 'rakan baik' Iskandar. Lantaran itulah kisah Elyana diburu musuh tidak diketahui ramai. Namun sehebat mana pun seseorang, tetap tak mampu kalahkan kuasa netizen Malaysia.
Terus tangan Aina mengurut dahinya. Inilah masalahnya apabila hidup pada zaman moden. Aktiviti rakam dan muat naik di laman sosial menjadi satu norma. Tunggulah beberapa minit, pasti ia akan tular.
Aina menyengih sinis pula. Mengejek. Mereka hanya berani merakam dan berganding bahu menyebarkannya di alam maya. Sedangkan di alam realiti, mereka tak berani langsung berganding bahu, menghulurkan bantuan kepada Aina dan Naufal. Dan sekarang video mereka menentang penyerang-penyerang sedang hangat diperkatakan. Mujurlah hari sudah gelap dan lampu jalan samar-samar saja, maka wajah mereka tidak kelihatan jelas. Apalagi tukang-tukang perakam merakam dari jarak jauh, bererti peluang untuk muka Aina dan Naufal dapat dicam ialah sangat tipis.
"Dahlah, mak. Aina okey ajelah. Orang-orang suruhan mak takkan biarkan Aina mati. Pandai dia orang hantar repot kat Arhan, jadi cun-cun aje Arhan sampai fetch Aina dan Naufal. Mungkin lepas ni mak dan Arhan boleh arahkan satu filem action-thriller kut. Gabungan idea kau orang memang gempak," kata Aina dalam nada bersahaja namun berbaur sindiran.
Entah kenapalah Khalidah terlebih emosi sebegini. Dia ialah pengarahnya, semestinya Khalidah sudah menjangka apa yang akan berlaku, apa yang boleh dikawal dan apa yang tidak!
"Aina merepek apa? Ini bukan orang-orang mamalah."
Keras suara Khalidah kedengaran. Aina terkesima.
"Mama tak plan apa-apa dengan Hans. Kalau ini rancangan mama, mestilah mama dah arahkan dia orang culik Aina dulu atau mama sendiri akan distract Aina. Nasib baiklah Hans muncul, selamatkan Aina. Mama tak boleh bayangkan apa akan jadi kalau Hans tak ada!" Suara naik sejulat di hujung bicara, mengusung keresahan dan rasa bersyukur bersamanya.
"Aina... Mama dah tak tahu macam mana nak pujuk Aina tapi tolonglah. Tolong jangan bahayakan diri sendiri lagi."
Rayuan si ibu dengan mudahnya menyentuh hati Aina. Di sebalik seorang Khalidah yang bijak berlakon dan memanipulasi orang lain untuk mencapai misinya, ada seorang ibu. Sekurang-kurangnya rasa kasih Khalidah kepada Aina benar-benar telus. Khalidah tak henti-henti risaukan keselamatan dirinya.
Kerana Khalidah, air mata Aina mulai tumpah ke pipi.
"Aina minta maaf, mak..." Sudahnya, hanya itu yang mampu dia luahkan. Aina tak mampu berikan sebarang janji tapi setidaknya, Aina bisa tawarkan kata maaf.
Ternyata ungkapan maaf itu berjaya melegakan sedikit hati Khalidah. Suara Khalidah beransur kendur.
"Aina rehatlah. Papa dah panggil-panggil mama. Mesti dia pelik kenapa mama tak ada dalam bilik. Nanti mama cuba bincang dengan papa. Kalau El dan Hans tak dikahwinkan dalam masa terdekat, mungkin kau orang kena pindah lagi," kata Khalidah sedikit lemah.
Aina mengangguk-angguk walaupun Khalidah tak mungkin dapat melihat. Kata maaf diucap sekali lagi sebelum talian diputuskan. Tiada lagi suara insan lain kedengaran. Aina kembali diselubungi kesepian. Sepantas itulah babak Arhan mencengkam pergelangan musuh muncul di layar mata. Dan apabila babak Arhan memeluknya pula bermain...
Tiba-tiba Aina rasakan oksigen di dalam bilik tidak mencukupi.
Terkocoh-kocoh dia berjalan mendekati pintu gelangsar lalu ditolak. Aina menapak ke balkoni. Angin malam disedut sedalam-dalamnya untuk bekalkan molekul O2 ke otaknya sambil mata dipejam. Yakin dirinya sudah kembali normal, Aina celikkan mata semula.
Meleset sekali lagi. Pada saat anak matanya tertancap pada Arhan, nafas bagaikan tersekat dengan sendirinya. Lelaki itu sedang berdiri di balkoninya, memandang tepat ke arah Aina.
"Arhan..." Bibir Aina menyeru nama lelaki itu perlahan.
Arhan masih statik. Berdiri berpeluk tubuh sambil memandangnya, tak beralih walau sesaat. Dari tempat Aina berdiri, dia dapat lihat mata layu Arhan. Barulah Aina sedar sekarang. Mata Arhan memancarkan perasaannya.
Dahulu sewaktu Arhan gembira, cahaya jelas memancar.
Sekiranya Arhan marah, ketara api di matanya.
Dan sekiranya Arhan sedih...
Aina gigit-gigit dinding bibirnya. Detik ini, dia sedar Arhan sedang menyembunyikan kesedihannya. Tetapi apakah puncanya? Kenapa Arhan tidak meluahkan saja?
Tidak berganjak dari tempatnya, Aina terus berbalas renungan dengan Arhan. Malam ini... Dia mahu menemani Arhan dari jauh. Dan hati kecil Aina berharap, moga-moga kesedihan Arhan dapat dipadam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro