Bab 10
RAMBUT basah dikeringkan menggunakan pengering rambut. Mata merenung cermin tetapi fikiran menerawang jauh. Aina ligat memutar memori kejar-mengejar tadi.
"Kenapa dia orang patah balik?" Aina bertanya perlahan, mempersoalkan mengapa Syamel, Elyana dan Arhan berpatah balik untuk menjemputnya dan Naufal. Seharusnya mereka terus pulang ke rumah, kembali ke tempat selamat Elyana.
"Hans suruh kita orang patah balik. Dia kata, kita orang tak sepatutnya tinggalkan Tengku dan Naufal." Jawapan Syamel terngiang-ngiang di telinga Aina.
Aina letakkan semula pengering rambut di atas meja solek. Dahi berkerut.
"Weird. Macam mana dia tahu masa yang sesuai untuk patah balik? Cun-cun aje dia sampai waktu kita orang dah habis berlawan."
Akal mula mempertikaikan kebetulan itu. Tidak dipinta, beberapa ayat kembali kedengaran.
"Mama sarankan Tengku Arhan Yuzlan jadi menantu dia."
"Aunty Ida cakap awak hebat."
"Pagi tadi barang-barang dia sampai jadi Puan Khalidah minta kita orang uruskan."
Mata Aina membuntang bilamana nama Khalidah dikaitkan dengan Arhan. Lantas, punggung diangkat dari kerusi sebelum Aina meluru keluar. Destinasinya?
Ke rumah jiran hadapan. Ke rumah Arhan.
BERTALU-TALU Aina mengetuk pintu utama rumah Arhan. Panas hatinya apabila tuan rumah tidak membuka pintu.
"Tengku Arhan Yuzlan!" Nama penuh itu diseru lantang, memecahkan keheningan malam. Pintu diketuk sekali lagi.
"Tengku Arhan Yuzlan!" Aina menyeru untuk kesekian kalinya. Dan ternyata, baru sekarang panggilannya bersahut. Daun pintu dikuak dari dalam. Arhan berpeluk tubuh, memandang Aina dari atas ke bawah. Aina tidak dipelawa masuk tetapi itulah yang dia lakukan. Aina berhenti menapak di ruang tamu.
"Tutup pintu. We need to talk," arah Aina.
Arhan sekadar menurut. Pintu ditutup lalu Arhan berjalan ke ruang tamu. Dia duduk di atas sofa, kaki kanan direhatkan ke atas kaki kiri. Tangan pula bersilang di depan dada. Dibiarkan saja si tetamu berdiri, tidak menjemputnya duduk sama sekali.
"Talk," kata Arhan.
Dan-danlah Aina berjalan ke arah Arhan dan berdiri di depannya. Soalan demi soalan dihamburkan kepada Arhan dan setiap satu itu diungkap dengan rasa curiga dan syak wasangka.
"Siapa awak sebenarnya, Tengku Arhan Yuzlan? Kenapa awak setuju kahwin dengan El? Apa niat awak? Apa yang mak saya janjikan kat awak? Apa lagi rancangan kau orang lepas ni?"
"Maksud awak?" Tenang Arhan membalas soalan-soalan Aina dengan dua patah perkataan.
"Jangan berlagak nak jadi penyelamat El sedangkan awaklah yang rancang semuanya. Mula-mula awak janji dengan El untuk jaga dia, takkan biarkan hujung rambut dia disentuh musuh sama sekali. Lepas tu awak dan mak upah orang untuk serang kita orang, jadi awak nampak hebat depan El. Awak selamatkan El tapi bila saya pula terancam, awak patah balik untuk selamatkan saya.
Sekejap. Bukannya patah balik untuk selamatkan. Tapi patah balik untuk 'kutip' saya. Mesti 'Minions' awak hantar laporan, beritahu kita orang dah habis berlawan jadi sebab tu, awak patah balik tepat pada masanya! Kalau betullah apa yang saya fikirkan... Biar saya beritahu awak sesuatu. Awak tak payah kahwin dengan El, bagi alasan kononnya nak cuba lindung dia. Saya boleh buat. El tak perlukan orang macam awak."
Panjang lebar Aina berkata-kata, tak sekali pun dia beri peluang kepada Arhan. Segala apa yang menghuni fikirannya diluahkan saja.
Ya, Aina yakin kini. Khalidah dan Arhan punya agenda mereka sendiri. Mereka berkomplot! Aina tak mahu tahu apa rancangan asal mereka atau berapa habuan dijanjikan tetapi dia mahu letakkan noktah. Rancangan Khalidah dan Arhan harus dihentikan di sini.
"Saya tak tahu apa masalah awak dengan Aunty Ida dan saya tak nak tahu. But, you questioning my sincerity? Then what about you? Awak dan El cuma adik-beradik tiri, tak ada pertalian darah langsung jadi kenapa awak sanggup bahayakan diri untuk El?"
"Saya terhutang budi dengan dia. Selama tiga belas tahun saya hidup dalam keluarga dia, saya dilayan dengan baik. Terlalu baik. Saya tak harapkan apa-apa tapi saya terpaksa mengaku, saya mula dihormati dan dipandang tinggi lepas saya diangkat taraf jadi anak Tengku Iskandar. El pula... Dia betul-betul sayangkan saya dan terima saya dalam hidup dia. Jadi apa salahnya kalau saya bahayakan diri untuk lindung dia? Setahun ni masih belum cukup untuk gantikan tiga belas tahun tu. Diserang musuh-musuh El berkali-kali masih belum cukup untuk balas semua kebaikan dan kasih sayang dia orang pada saya!"
Lancar Aina memberi jawapannya kepada Arhan. Sesekali jari mengunjuk diri sendiri dan pintu, bagaikan dia sedang mengunjuk pada Elyana dan Iskandar.
"Awak memang patut terhutang budi pada keluarga dia. Kalau tak kerana Uncle Iskandar, nama awak dah terpahat kat batu nisan sejak tiga belas tahun lepas," komen Arhan dalam intonasi senada. Tiada sebarang perubahan emosi walaupun dia sedang membayangkan kematian Aina.
Aina tahu Arhan sengaja mengungkit kebaikan Iskandar yang telah memberi makan dan tempat tinggal kepadanya. Tak perlu Arhan ingatkan, dia sudah semat di dalam otak. Sedar amarah dalam hati kian melahar, Aina cuba kawal emosinya. Bimbang diturutkan rasa itu, ruang tamu Arhan akan menjadi gelanggang sebuah pertarungan.
Pertarungan antara Aina Natasha dan Tengku Arhan Yuzlan.
"Beritahu saya, Tengku Arhan Yuzlan. Apa niat sebenar awak?" Aina bertanya keras.
Di tempatnya, Arhan menjongket bahu.
"Kenapa saya sanggup bahayakan diri sendiri untuk El? Saya sendiri tak ada jawapan tapi rasanya itu memang personaliti saya. Sebelum ni pun, saya lepaskan kebebasan dan pendirian saya untuk seseorang. So, if you're asking for a specific answer... Sorry, I don't have it."
Hujung bibir Aina senget ke atas. Tiada jawapan spesifik? Itu hanyalah personalitinya semata-mata? Aina mengulang dalam hati. Seketika kemudian, Aina angkat tangan kanannya tinggi.
"You know what? Just forget it," kata Aina tiba-tiba sekaligus menghentikan perbalahan mereka. Arhan takkan berlaku jujur maka tak ada gunanya Aina terus mendesak. Ringan kakinya berjalan menuju ke pintu utama. Derapan langkah Arhan kedengaran di belakang. Fikir Aina, Arhan sedang menghantar pemergiannya sepertimana seorang tuan rumah mengiring si tetamu ke pintu.
Pada saat Aina menguak pintu, ia tertutup semula dek tolakan Arhan. Sekaligus memangkah fikirannya tadi. Aina angkat kepala bilamana hembusan nafas Arhan kedengaran begitu dekat. Lelaki tinggi itu sedang menunduk ke arahnya. Perlahan, satu pesanan diberi kepada Aina, tepat-tepat di telinganya.
"Jangan tengok apa yang awak nak tengok aje. Dunia ni luas. Kadang-kadang ada benda tak tercapai dek akal dan awak tak boleh duga, Aina Natasha."
"Berhenti panggil nama penuh saya, Tengku Arhan Yuzlan!" Tiba-tiba Aina menempik. Pesanan Arhan tidak dipedulikan. Kedua-dua tangan refleks menolak Arhan ke belakang hinggakan Arhan tersandar ke dinding. Aina kembali menyinga. Sungguh, Aina tak betah membiarkan nama penuhnya meniti di bibir Arhan.
Mata memanah api kepada Arhan. Pada mulanya Aina dapat kesan perubahan emosi pada wajah Arhan tetapi ia lesap semerta sedetik lalu.
Tiga kali. Selepas Arhan menyelamatkannya, Arhan menyebut nama penuhnya sebanyak tiga kali. Dan itu saja sudah memadai untuk meyakinkan Aina tentang sesuatu.
"Awak... Bukan lagi Arhan anak tukang kebun yang saya kenal dulu. Jadi berhenti panggil nama penuh saya," kata Aina berintonasi tegas. Arahan dan amaran diselitkan bersama. Pintu dikuak semula lalu Aina hempas semahu hati.
Arhan tergamam. Jika tadi dia cuba sorokkan kekeruhan wajah, kini Arhan biarkan saja. Dia menelan liur payah. Pintu direnung sesaat dua sebelum Arhan lambat-lambat mengatur kaki mendekati tingkap rumah. Jendela disingkap.
Dua insan sedang berdiri di banglo bertentangannya. Mulut Aina menceceh, barangkali melampiaskan segala rasa sebal kepada Naufal. Apabila pandangan Naufal bertaut dengan Arhan, lekas-lekas Naufal menarik Aina masuk ke dalam rumah. Sekilap, figura mereka hilang dari pandangan Arhan.
Arhan gigit bibir bawahnya. Di luar sedar, jemari menggenggam jendela sekuat hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro