Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Hari pertama sebagai pengurus cawangan, Nizar rasa dia perlu membawa buah tangan walaupun dia hanya datang untuk bertanya khabar dan melihat-lihat keadaan cawangan yang bakal menjadi tempat kerjanya selama enam bulan berikutnya. Dia bertolak awal dan berhasrat untuk singgah membeli sesuatu untuk bakal staf yang akan ditemuinya nanti.

Sebaik tiba di pekan Tanjong Karang, Nizar membuat keputusan untuk membeli kek sahaja. Nizar berpusing-pusing sebentar di sebuah kawasan perniagaan sebelum akhirnya mendapat parkir. Bagus. Tidak jauh dari kedai kek dan pastri yang baru dilihatnya tadi.

Setelah mengunci kereta, dia menghampiri kedai tersebut. Nizar nampak seorang perempuan dengan apron menolak daun pintu dan keluar meletakkan papan hitam kecil di pinggir pintu. Papan hitam kecil itu memaparkan menu istimewa hari ini yang ditulis menggunakan kapur pelbagai warna.

Apabila perempuan itu menoleh, langkah Nizar terhenti. Pandangannya terpaku. Perempuan itu juga turut terpaku melihatnya.

Aufa!

Hari ini Ojie tiada kerana perlu membantu rakannya berniaga di Klang. Kata Ojie, rakannya itu baharu sahaja membuka kedai peralatan komputer. Jadi, dalam dua tiga hari ini, Ojie tiada di rumah. Peluang itu digunakan oleh Sufi untuk menunggang motosikal ke tempat kerja. Tiada lagi perlu menunggu untuk dijemput.

Lagipun, tanpa Ojie, panjang sikit langkahnya. Kali ini, bolehlah dia singgah ke kedai bakeri berjumpa dengan Haris.

"Awalnya acik bersiap hari ni?" tegur ibu apabila melihatnya masuk ke dapur.

"Acik tak kerja ke hari ni?"

"Kerja."

"Habis tu, kenapa tak pakai baju kerja?"

"Pakai. Sampai sana nanti acik tukarlah."

Ibu kerut dahi.

"Kenapa?"

"Saja. Acik nak singgah kedai bakeri dulu. Aida kirim beli kek keju."

"Hari jadi dia?"

"Taklah. Teringin nak makan. Beli sikit aje."

"Kenapa dia tak beli sendiri?"

Pagi-pagi ibu sudah buat soal siasat. Memanglah kalau niat itu tidak betul, ibu bagai dapat menghidu jenayahnya saja. Tujuan dia ke kedai bakeri memang sebab Haris. Kek keju yang kononnya dikirim untuk Aida itu alasan saja. Tapi tidak mengapa. Aida memang hantu kek keju.

"Saja. Acik pun teringin nak makan juga."

Ibu tidak menyoalnya lagi sebaliknya menatang bekas berisi nasi goreng ke meja makan.

Sarapan hari ini ibu buat nasi goreng. Walaupun nasi goreng itu masin kerana menurut ibu tertumpah garam, Sufi senyum sahaja. Sufi begitulah. Kalau hatinya senang, meski perkara jelek apa pun yang berlaku di hadapannya, dia tidak kesah.

"Acik, sikitnya makan? Tak nak tambah lagi?"

Sufi geleng. Dia menghabiskan kopinya.

"Acik nak gerak ni."

"Hati-hati bawa motor tu, acik." Ayah bersuara dari sebalik surat khabarnya.

"Acik taulah."

"Bawa motor jangan laju-laju. Tengok kiri kanan."

"Kalau sampai jadi apa-apa, ayah tak akan bagi acik sentuh lagi motosikal. Ingat!" kata ayah lagi. Wajahnya masih tersembunyi di balik surat khabarnya.

"Ya, acik ingat."

"Nak bawa bekal, acik?"

"Kalau ibu rajin nak bekalkan."

"Amboi, dari tadi sengih. Suka sangat pakai motor hari ni, ya?"

Sufi sengih lagi. Dia bangkit mencapai kunci motor dan juga topi keledar.

"Jangan lupa bekal ni," kata ibu.

Sufi menyambutnya lalu meletakkannya ke dalam raga motosikal bersama begnya dan menolak motosikal itu keluar laman. Dia melihat jam tangan. Dia sengaja bertolak awal.

Indahnya pagi ini. Angin pagi yang mengulit tubuhnya terasa damai sekali. Ya, inilah yang dinamakan kebebasan.

Pekan Tanjong Karang sudah dibanjiri ramai orang. Pasar basah yang beroperasi sejak dinihari dipenuhi pengunjung. Kebanyakan mereka adalah peniaga makanan yang datang untuk mendapatkan bahan basah untuk operasi perniagaan mereka. Premis-premis perniagaan yang lain juga sudah memulakan operasi mereka.

Sufi membelok dan memasuki kawasan perniagaan. Bangunan yang menempatkan kedai bakeri tempat Haris bekerja sudah tidak jauh. Pengunjung yang membeli-belah belum ramai, jadi tidak banyak kenderaan diparkir di situ. Ketika dia hendak membelok di sebuah selekoh berhampiran deretan bangunan kedai, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari arah bertentangan.

Tidak! Argh!

Dia sempat menekan brek. Kepalanya tersondol ke stereng kereta. Perlahan-lahan mata yang terpejam tadi dicelikkan. Dia memandang ke hadapan.

Tiada.

Dia membuka pintu kereta. Di hadapan keretanya, seorang gadis dan motosikalnya terbaring di atas tar. Beberapa orang yang berada berdekatan datang mendekati mereka. Salah seorang wanita cepat-cepat menghulurkan bantuan dengan memeriksa gadis tersebut.

Astaghfirullah! Apa yang aku dah buat ni?! jeritnya dalam hati.

Ketar lututnya dan dia berdiri macam orang bodoh melihat orang lain sedang sibuk membantu gadis tersebut. Apabila dia melihat yang gadis itu masih boleh menggerakkan tubuh, dia jadi amat lega. Lega yang amat sampaikan dia rasa seperti mahu mengalirkan air mata kegembiraan. Kalau sampai orang yang dilanggarnya itu patah riuk, kalau sampai orang yang dilanggarnya kehilangan nyawa...

Dia tidak dapat bayangkan bagaimana penyesalan yang bakal menghantuinya sepanjang hayatnya.

"Cik tak apa-apa?" soalnya sambil melihat-lihat tubuh perempuan tersebut jika ada kecedaraan.

"Saya minta maaf, saya tak sengaja. Saya tak tahu," katanya dalam kekalutan.

"Aduh..." Gadis itu mengerang.

"Cik, mari saya hantar ke hospital, ya?" Dia menawarkan diri.

"Adik, adik okey tak ni?" soal wanita tersebut sambil membantu memapah gadis tersebut.

Gadis itu memeriksa tangan dan kakinya. Tengok dari gayanya, kaki dan tangannya tidak patah. Lengannya hanya melecet sedikit terkena tar tetapi selain daripada itu keadaannya kelihatan tidak membimbangkan. Walaupun cedera, gadis itu tidak langsung menghiraukan dirinya. Dia lebih bimbangkan motosikalnya.

Betul ke dia kena langgar ni? Daripada jeritan dia tadi macam betul dah kena langgar tapi tengok macam sihat wal afiat aje, soal Nizar dalam hati.

"Macam mana ni, cermin motor ni dah rosak. Habislah!" kata gadis itu hampir menangis.

"Adik pergi klinik dulu, ya? Rawat dulu luka tu," pujuk wanita tersebut namun gadis itu seakan-akan tidak mendengarnya. Dia cuba menongkat kembali motosikalnya yang terbaring itu. Seorang lelaki bertopi membantunya menongkatkan motosikalnya.

"Macam mana encik bawa kereta?! Tengok apa dah jadi dengan motor saya ni!" pekik gadis itu.

Dia jadi gelabah apabila gadis itu tiba-tiba memekik dan mara ke arahnya dengan amarah.

Aku risaukan dia tapi dia boleh risaukan motor dia itu?

"Encik tak nampak ke yang ini jalan sehala?!" pekiknya lagi.

Dia memandang lorong dia masuk tadi. Dia tidak perasan pula kalau ada papan tanda jalan sehala.

"Jalan sehala? Tapi saya nampak ada kereta masuk tadi. Jadi saya ingat ini jalan dua hala," jawabnya.

"Encik tak nampak papan tanda ke dekat depan tu?"

Dia menggeleng polos. Gadis itu kelihatan tidak berpuas hati.

"Saya tahu depan tu ada papan tanda untuk jalan sehala. Encik tak nampak ke?" Gadis itu meluruskan jari telunjuk ke arah tempat dia masuk tadi.

Dia menggeleng lagi. Gadis itu memandangnya dengan pandangan geram.

"Bang, ini memang jalan sehala, bang. Abang salah masuk ikut situ," kata seorang lelaki.

"Maaf, saya memang tak sengaja. Saya betul-betul tak tahu ni jalan sehala. Saya ikut kereta depan tadi."

"Kadang-kadang memang ada pemandu yang tak prihatin main keluar masuk sesuka hati. Sebelum ni pun pernah juga orang bergesel kenderaan dekat sini," kata lelaki itu lagi.

Jadi, ini salah akukah?! Dia mengetap bibir.

"Saya minta maaf, saya memang tak tahu. Saya bukan orang sini. Pasal papan tanda tu, saya langsung tak nampak."

"Tak nampak? Takkanlah tak nampak?" celah gadis tersebut.

Gadis itu berjalan ke hadapan sedikit dan meninjau jalan tersebut. Dia memandang kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu.

"Adik, papan tanda tu dah patahlah," kata wanita tadi yang mengekorinya dari belakang. Wanita itu memeluk bahu gadis tersebut memujuknya.

"Benda nak jadi, nak buat macam mana? Nak salahkan abang tu pun, dia tak tahu. Baik kita pergi klinik dulu, rawat luka adik tu."

"Ini salah saya. Biar saya ganti rugi kerosakan motor dan juga tanggung bil rawatan," katanya.

Sufi sebenarnya hampir menangis apabila kemalangan tadi berlaku. Nasib baik dia tidak dilanggar oleh pemandu tersebut. Sebelum pertembungan antara dua kenderaan tadi berlaku, mereka berdua sama-sama brek mengejut.

Namun, oleh kerana terlalu panik, kakinya ketar dan lemah sehingga dia rebah di atas tar. Nasib baiklah kakinya tidak tersepit dihempap motosikal. Nasib baik juga dia hanya luka melecet dan tulangnya tidak patah riuk. Bila emosi dan perasaannya mula stabil, dia rasa malu juga. Rasanya, jeritannya tadi memang kuat benar hinggakan dapat menarik perhatian ramai orang.

Puaslah dia gembira hari ini, rupa-rupanya dia mahu menangis.

Dia amat risaukan motosikal Ojie. Kalau sampai Ojie dapat menghidu motosikalnya terlibat dalam kemalangan, panjanglah leterannya nanti. Malah kalau berita kemalangan ini sampai ke telinga ibu dan ayah, rasanya Sufi tidak akan dapat menunggang motosikal lagi untuk tempoh yang lama.

Sufi sakit hati betul. Dia mahu menjerit memarahi pemandu lelaki tersebut. Kalau ikutkan hati dia mahu membuat laporan polis. Namun, mengenangkan motosikal ini bukan miliknya, dia diamkan sahaja.

Walaupun pemandu tersebut cuba bercakap dengan tenang, namun Sufi dapat mengesan nada suaranya yang sedikit bergetar. Pastinya dia juga panik dan terkejut sama. Lagipun, apabila pemandu tersebut memberi tawaran untuk menyelesaikan semua ganti rugi, kemarahannya sedikit reda.

Pemandu dengan cermin mata berbingkai hitam tebal itu nampak baik walaupun tingkah lakunya agak kekok. Dia mahu menghantarnya ke klinik tetapi Sufi sudah tidak sabar untuk membetulkan motosikal tersebut.

Selagi hal motosikal ini tidak selesai, dia tidak akan ke mana-mana. Nasib baik kemalangan ini berlaku di kawasan perniagaan. Kedai membaiki motosikal dan klinik dekat sahaja. Lelaki itu sedia menemani dia sehingga motosikal itu siap dibaiki sehinggalah membawanya ke klinik kelak.

"Saya mahu cermin motor yang sama. Tak mahu yang lain, ya tauke." Sufi berkata tegas.

Nasib baik kedai itu mempunyai barang ganti yang diperlukan. Kalau tidak, pusing kepala Sufi hendak cari di tempat lain. Ketika menunggu tauke kedai itu mencari barang ganti, Sufi melirik ke arah Si Goggles itu.

Tebal betul bingkai cermin matanya. Rabun sangat kut. Sufi mengejek dalam hati.

Si Goggles sedang bercakap di telefon dengan seseorang. Butiran perbualan lelaki itu tidak jelas tetapi dia dapat menangkap perkataan 'kecemasan' dan juga ucapan maaf. Nampaknya malang hari ini dia kongsi bersama lelaki itu.

Sufi mengeluarkan telefon dan mula menaip pesanan kepada Aida memberitahu yang dia mengalami kemalangan kecil dan sedang mendapatkan rawatan di klinik. Dia juga berpesan kepada Aida yang dia akan masuk lewat dan memintanya memberitahu kepada Cik Linda.

"Macam mana?"

Sufi sedikit tersentak daripada tumpuan ke atas telefonnya. Si Goggles itu sudah berdiri di sisinya. Dia memasukkan telefon ke dalam beg silangnya.

"Tengah cari barang ganti," jawabnya.

"Sementara tu, kita pergi klinik dulu. Jangan biarkan luka awak terdedah macam ni, nanti kena jangkitan."

"Tak apa, saya nak tunggu sini."

"Klinik pun bukan jauh mana. Dekat depan tu aje, kan? Jangan risau, kos rawatan dan juga kos baiki motor ni saya tanggung."

Sufi masih ragu-ragu mahu meninggalkan motosikal Ojie.

"Motor tu tak akan lari," kata lelaki itu lagi.

Sufi angguk. Dia bangkit dan berjalan mendahului lelaki itu untuk ke klinik dan terletak tidak jauh dari bengkel motosikal tersebut. Dia mendengar lelaki tersebut berkata sesuatu kepada tauke kedai itu.

Seminit kemudian, mereka tiba di klinik. Sebaik membuka pintu klinik, kedinginan daripada pendingin hawa serta-merta menyerbu wajah. Dia segera ke kaunter, mengeluarkan kad pengenalan dan membuat pendaftaran. Lelaki tadi turut masuk lalu berdiri di sisinya. Seolah-olah dialah waris kepadanya. Waris kepada pesakit.

Apabila staf di kaunter itu menyerahkan kembali kad pengenalan kepadanya semula, Si Googles itu sempat melihat maklumat yang tertera pada kad tersebut.

"Enam bulan lagi birthday awak," katanya sambil tersenyum, bagai itulah penemuannya yang terhebat.

"Cik Sufi Adawiyah."

Sufi memandangnya jengkel. Ada masalah ke? Itu yang mahu dikatakannya tetapi dia hanya simpan dalam hati. Bimbang kalau dia sakitkan hati lelaki tersebut, nanti bagaimana dengan bil klinik dan kos membaiki motosikal Ojie yang dijanjikan? Dia diam dan mengambil tempat duduk menunggu giliran. Matanya tidak lepas memandang skrin digital yang memaparkan nombor giliran. Lelaki itu nampaknya seakan-akan sedar kecanggungan Sufi lalu memilih untuk duduk menonton televisyen yang terpasang.

Setelah mendapatkan rawatan dan menyelesaikan bil, mereka kembali semula ke bengkel motosikal tadi. Motosikal Ojie telah siap dibaiki. Sufi segera melihat-lihat motosikal tersebut sementara lelaki tadi menyelesaikan urusan pembayaran dengan tauke kedai. Motosikal itu nampak baharu. Sufi risau kalau Ojie bertanyakan tentangnya. Fikirannya ligat mencipta alasan logik kalau-kalau Ojie bertanya tentangnya.

"Saya dah selesaikan bil," kata Si Goggles itu sambil berjalan menghampirinya.

"Nah, resitnya."

Sufi menyambut resit yang dihulur oleh Si Goggles lalu terus memasukkannya ke dalam poket belakang jean tanpa menelitinya terlebih dahulu.

"Jadi, kita dah settle, ya?"

Dia mengangguk.

"Saya minta maaf sekali lagi. Saya harap benda ni tak berlaku lagi."

"Kita tak ada sebab untuk berjumpa lagi."

Sufi menyarung topi keledar dan menghidupkan enjin motosikalnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro