Bab 7
Nizar memasukkan barang-barangnya ke dalam sebuah kotak kertas A4. Barang-barangnya tidak banyak. Kotak kecil itu muat untuk meletakkan harta bendanya yang ada di atas meja dan juga di dalam laci mejanya. Sebarang fail dan dokumen yang berkaitan dengan kerja-kerjanya telah pun diserahkan kepada Razi.
"Kenapa aku rasa tak sedap hati tengok kau kemas meja kau?" soal Razi.
"Macam aku berhenti kerja, kan?" ujar Nizar.
"Tak. Aku tengok macam kau diberhentikan kerja." Razi separuh berseloroh.
"Kau ni, ada pula cakap macam tu?"
Nizar hela nafas.
"Mana-mana pun nampak sama. Berhenti dan diberhentikan."
"Relakslah. Kau bukan diberhentikan. Cuma bertukar lapangan kerja aje. Tapi kita masih di bawah syarikat yang sama."
"Terima kasihlah ingatkan aku," ujar Nizar sinis.
"Bro, pastikan kau improve cawangan Tanjong Karang tu cepat sikit supaya kita boleh duduk satu bumbung lagi."
"Aku target enam bulan. Kau doakanlah, ya." Nizar berkata yakin.
"Okey. Aku tunggu enam bulan lagi."
"Aku dengar akan ada budak praktikal masuk nanti."
"Yup. Dia akan support department kita nanti. Aku yang akan jadi mentor dia. Aku ingat nak bagi dia duduk dekat meja kau aje," kata Razi.
"Pastikan kau ajar dia elok-elok. Lagi satu, jangan bagi dia conteng meja aku, aku akan claim balik meja ni bila aku balik semula ke sini."
"Kau ni sentimental betul."
"Mestilah. Aku tak pernah bertukar meja tau sejak aku masuk kerja sini."
"Yalah, Nizar. Aku akan jaga meja kau baik-baik, okey?"
"Memandangkan hari ni last day Nizar, kita minta Nizar belanja kita dinner, nak tak?"
"Setuju."
"Malam ni kita pergi makan dekat tempat yang best sikit."
"Okey. Malam ni, aku belanja kau orang semua," kata Nizar.
"Kau biar betul?"
"Betullah. Anggaplah ini sebagai tanda ucapan terima kasih aku untuk kau orang semua. Okey, pilih tempat. Nak makan apa?"
"Kambing bakar."
"Shell out."
Nizar senyum sendiri melihat rakan-rakan sekerjanya teruja sesama sendiri sebaik mendengar mereka akan mendapat makan percuma.
Majlis perpisahan itu tamat dengan jayanya. Semua orang rasa puas hati dengan makanan yang disajikan. Mereka membuat keputusan untuk mengikut kata majoriti untuk makan steamboat. Semua rakan sekerja saling mengucapkan selamat berjaya kepada Nizar ketika di Tanjong Karang nanti.
"Kau okey ke?" soal Razi setelah semua rakan sekerja mereka pulang. Mereka berdua sedang menuju ke kawasan parkir.
"Okey." Nizar menjawab pendek. Dia menyeluk kedua-dua tangan ke saku jean.
"Ya ke? Tengok muka kau tak nampak macam okey pun."
"Betullah. Aku cuma letih sikit aje."
"Aku kenal kau lama tau. Kau jangan nak kelentong aku. Dengan budak ofis lain bolehlah."
"Eh, kau ni bomoh ke boleh tengok orang tu okey tak okey?"
Razi mengekor Nizar hingga ke keretanya.
"Kau nak ikut aku balik rumah ke?" soal Nizar.
Razi sengih.
"Bro, cakaplah dengan aku. Aku tak sedap hatilah nak berpisah dengan kau bila tengok kau macam ni."
"Kau jangan macam-macam dengan aku," ujar Nizar nakal.
"Gila kau! Kau tu yang fikir entah apa-apa." Razi bersandar pada kereta Nizar.
"Aku tanya ni kau jangan marah. Kau ada masalah dengan Rozlyn, kan? Kau sekarang tengah ada major crisis, kan?"
Nizar membulatkan mata.
"Kau ni memang bomoh, ya?"
Razi tergelak.
"Bukan bomoh tapi dari segi pemerhatian aku. Dah tiga hari aku tengok kau asyik tenung telefon kau. Dan sekejap-sekejap kau mesej dan telefon tapi lepas tu aku tengok kau stress out. Tak lain tak bukan mesti sebab Rozlyn, kan? Maklumlah, stres orang nak kahwin ni lain macam sikit."
Nizar hela nafas panjang.
"Ketara sangat ke?"
"Ya. Ketara sangat."
Nizar hela nafas panjang lagi. Dia turut menyandar tubuh.
"Kau ingat lagi tak masa kau tanya aku, macam mana kalau Rozlyn kahwin dengan orang lain?"
"Ingat. Kenapa?"
Nizar senyum pahit sebelum melepas keluh.
Spontan Razi menjatuhkan rahang.
"Maksud kau..."
Nizar angguk. Mengeyakan apa saja yang difikirkan oleh Razi kerana ia memang benar.
"Tragedi..." Razi geleng kepala. Riak wajahnya menunjukkan dia sendiri tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
"Sah kau ni ada talent jadi bomoh. Macam mana kau boleh tanya aku soalan macam tu? At the end, benda tu betul-betul berlaku pula tu."
"Logiklah aku tanya soalan tu dekat kau sebab kau kata pihak keluarga Rozlyn nak kau orang kahwin cepat tapi kau yang drag masa. Ada kemungkinan benda macam tu akan berlaku. Tapi timing aku kebetulan pula mengena." Razi menepuk-nepuk bahu Nizar.
"Aku bersimpati."
Nizar memeluk tubuh.
"Betul apa yang aku cakap dekat kau masa tu."
"Is it possible for love to overcome money?" Razi mengingat.
Nizar angguk.
"Ya, yang itu. Kali ni pun sama. Dah dua kali aku kena, Razi. Memang betul. Love is never enough. I've learned my lessons."
"Hoh? Kali ni lelaki yang jadi pesaing kau tu kerja apa pula?"
"Doktor."
"Doktor apa?"
"Entahlah."
"Wah, kau ni memang kena jumpa bomoh kut. Pergi mandi bungalah." Razi separuh bergurau.
Nizar mengusutkan rambutnya.
"Aku boleh jadi gilalah macam ni, Razi. Dekat sini..." Nizar mengusap dadanya.
"Rasa paling sakit."
Razi hela nafas.
"Aku rasa bersalah pula tanya kau soalan macam ni. Aku tak tau pula masalah kau semakin besar macam ni. Kena pindah kerja tu satu hal, Rozlyn lagi satu hal," kata Razi dengan nada kesal.
"Entahlah. Aku tak tau nak fikir macam mana lagi. Dahlah jatuh, ditimpa tangga pula."
"Janganlah cakap macam tu. Setiap yang berlaku tu mesti ada hikmahnya. Tuhan tu kan Maha Adil."
Nizar hanya mampu mengangguk.
"Okey. Buat masa ni, kau fikirkan dulu apa yang kau rasa nak buat. Kadang-kadang kalau kita terlalu fokus kepada laluan di depan kita, kita tak nampak benda-benda lain yang ada di sekitar laluan tu. Sekali-sekala kalau kita berhenti sekejap dan ambil masa perhati benda-benda di sekitar kau, kau mungkin akan nampak laluan yang lebih baik daripada laluan pilihan kau tadi. Kau mungkin akan ambil masa sikit untuk sampai ke destinasi kau tapi kalau berbaloi, apa salahnya?"
"Kau tengah merepek apa ni, Razi? Kau jangan cakap jiwang karat dengan aku boleh, tak?"
"Taklah. Aku tengah turunkan falsafah hidup aku ni dekat kau."
Nizar masih kerut dahi.
"Just keep calm and chill out." Razi menampar belakang Nizar kuat.
"What's the rush?"
Karut! Tak benar!
Orang yang mengatakan bahawa cinta boleh mengatasi segalanya memang ada masalah litar pintas di dalam otak mereka. Inilah kesimpulannya setelah lama dia berfikir dan menghitung-hitung. Hendak memberi dan menerima cinta itu memang mudah tetapi cinta sahaja tidak pernah cukup. Faktor lain macam keluarga, duit dan persekitaran selalu saja jadi perintang.
Mungkin dia patut jadikan ayat 'love is never enough' itu sebagai atur cara antivirus dalam sistem hati dan memorinya. Biar virus paling berbahaya ILOVEU dapat dibuang dengan segera. Atau buat saja debugging program supaya semua ralat dalam sistem dapat dibetulkan.
Tapi hati dan memorinya bukan sistem yang boleh diubah suai atur caranya. Marah, geram, sakit, pedih, sedih dan kecewa bukan hanya sekadar pepijat picisan yang dengan mudah dapat dinyahkan.
Usai berpisah dengan Razi tadi, dia memandu seketika untuk menghilangkan resah hatinya tapi entah bagaimana dia tiba di kawasan perumahan Rozlyn. Dia membuat pusingan untuk keluar dari kawasan perumahan tersebut tetapi apabila tiba di hadapan rumah Rozlyn, spontan kakinya menekan brek. Dari luar, rumah Rozlyn masih diterangi dengan cahaya lampu yang kelihatan dari jendela yang ditabiri langsir.
Nizar keluar dari perut kereta untuk mengambil angin. Dia bersandar pada pintu kereta sambil menyeluk tangan ke dalam saku seluar. Tangannya meraba telefon di dalam saku. Dia sedang berkira-kira hendak menghubungi Rozlyn.
"Saya ada di luar rumah awak ni. Boleh saya jumpa awak lima minit?"
Dia merenung telefonnya. Entah kenapa mudah sangat jarinya menekan speed dial 1.
Tidak lama kemudian, Rozlyn keluar dengan tubuh bersarung dengan kardigan labuh.
"Awak buat apa dekat sini?"
Nizar mengeluarkan tangan dari poket seluar lalu menyilang tangan.
"Apa khabar awak hari ni?"
Rozlyn kerut dahi dengan pertanyaan Nizar itu.
"Saya sihat. Kenapa?"
"Saya rasa agak pelik hari ni. Saya masih tak percaya yang saya biarkan awak bawa haluan awak sendiri."
"Saya faham yang awak perlukan masa tapi awak kena terima juga yang kita ni tak ada jodoh."
Nizar meraup wajahnya sebelum kembali menyembunyikan tangan ke dalam poket seluar. Dia hela nafas panjang.
"Pagi tadi masa saya bangun, saya teringat yang kita dah berpisah. Tiba-tiba saya rasa kosong. Saya teringat semula semua benda remeh yang kita pernah buat sama-sama. Macam kongsi makan sekotak pop corn masa tengok wayang, bagi makan ikan dekat tasik dengan cebisan roti, perbalahan kita semasa nak pilih menu dekat restoran..." Nizar mati kata-kata.
"Terima kasih atas semua kenangan tu," kata Rozlyn.
"Mulai sekarang, saya cuma nak ingat kenangan manis aje. Awak pun patut buat macam tu. Mulakan hidup baru dan juga hubungan yang baru."
Maksudnya sudah dua kali aku gagal, fikir Nizar.
Nizar hela nafas panjang.
"Awak dah betul-betul nekad dengan keputusan awak tu?"
"Ya."
Seketika hening memugar ruang.
"Lyn, lepas ni saya kena bertukar ke cawangan Tanjong Karang."
"Kenapa tiba-tiba awak kena bertukar?"
"Saya buat hal dekat HQ."
"Huh? Apa yang awak dah buat?"
"Tak ada apa-apalah."
Rozlyn memandangnya dengan riak bimbang.
"Sebab saya ke? Awak sengaja bertukar tempat kerja sebab awak tak nak jumpa saya lagi?"
"Tak adalah. Kan saya kata sebab saya buat hal. Sebab itulah bos saya hantar saya dekat ceruk kampung tu."
"Kalau macam tu, anggaplah pertukaran ni sebagai cara awak mulakan hidup baharu."
Nizar tertawa. Sebenarnya lebih kepada ketawakan diri sendiri.
"Lucu ke apa yang saya cakap ni?"
"Taklah. Sebenarnya saya agak impress dengan cara awak cakap. Macam senang aje nak mulakan hidup baharu tu."
Rozlyn mula membuat muka jengkel. Dia menyilang tangan.
"Okey." Nizar mengangkat kedua-dua tangannya bagai menyerah kalah.
"Saya datang sini bukan sebab nak cari gaduh dengan awak tapi saya cuma nak cari kesimpulan."
"Kesimpulan?"
"Ya. Kesimpulan tentang kesudahan kita. Saya pilih untuk reda dengan pilihan awak."
Rozlyn memandangnya lama.
"Okey, saya rasa dah tamat tempoh lima minit tadi." Nizar membuka pintu keretanya tetapi dia tidak terus masuk ke dalam perut kereta.
"Kalau awak kahwin nanti, awak akan bagi kad jemputan dekat saya, kan?"
"Tak." Sepatah saja kata Rozlyn tapi tegas.
"Saya nak bagi awak peluang kali terakhir ni. Kalau awak tak jadi kahwin dengan doktor tu, awak boleh cari saya."
"Saya akan kahwin dengan doktor tu." Nadanya masih tegas.
Nizar tidak dapat berkata apa-apa lagi. Rozlyn sudah cukup bulat dengan keputusannya.
"Saya doakan awak bahagia." Akhirnya, kata-kata klise itu juga yang terluah dari mulutnya.
Ah! Bilakah pepijat dalam hatinya ini dapat dinyahkan sepenuhnya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro