Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

Agaknya alamat buruk semalam sudah efektif hari ini.

Sudah hari keempat.

Nizar masih belum berjaya menghubungi Rozlyn. Hatinya sudah bertambah-tambah resah. Berkali-kali ganda resahnya dari semalam. Dia sudah kebuntuan. Dia menunggu Rozlyn di tempat kerjanya tetapi sampai ke petang kelibat Rozlyn tidak kelihatan. Nizar kemudian datang ke rumah sewa Rozlyn tetapi kawan serumahnya memberitahu Rozlyn balik bercuti ke kampung.

Ini bukan berita baik. Rozlyn tidak pernah merajuk dengannya lebih dari tiga hari. Ada sesuatu yang tidak kena. Adakah Rozlyn betul-betul maksudkan yang dia mahu berpisah?

Petang itu, akhirnya penantiannya berakhir. Waktu itu, Nizar baru sahaja pulang dari kerja dan mahu menukar pakaian. Tergeliat tangannya ketika sedang menyarung baju T di kepala kerana terkejut apabila nama Rozlyn tertera di skrin telefonnya.

"Helo. Lyn, awak dekat mana? Awak tak apa-apa ke? Kenapa awak tak jawab panggilan saya?" Bertubi-tubi soalan yang dilontarkannya.

"Nizar, boleh saya jumpa awak sekarang?"

"Sekarang? Okey. Awak dekat mana? Saya datang sekarang."

Rozlyn pernah bertanya, apa yang ada pada dirinya sehinggakan Nizar jatuh hati dengannya. Dan jawapan yang Nizar beri;

"Jodoh. Kita tak boleh memilih dengan siapa kita jatuh hati."

Kemudian, Rozlyn bertanya lagi. Kalau kita tak boleh memilih dengan siapa kita jatuh hati, kita pun tak boleh hendak memilih kalau dah bukan jodoh, betul tak?

Nizar masih ingat. Ketika mendengar kesimpulan Rozlyn itu, dia hanya ketawa. Dia fikir kesimpulan Rozlyn itu hanya kata-kata kosong untuk memenuhi perbualan mereka semata-mata. Macam kata-kata di angin lalu. Dia sudah melupakannya.

Tapi sekarang, dia ingat betul bait-bait yang diujarkannya kepada Rozlyn. Malah kata-kata Rozlyn itu terngiang-ngiang kembali di telinganya bagai semalam dia baru mendengarnya. Dia rasa kata-katanya pada masa lepas itu datang menghantuinya semula. Mengejek dan mentertawakannya. Nizar memejam mata. Dia cuba mengawal kocakan di dalam dadanya.

Cuaca petang ini cerah benar. Angin berpuput perlahan. Taman rekreasi itu seperti biasa dipenuhi pengunjung yang datang beriadah. Dia lihat kanak-kanak berlari keriangan bersama keluarga mereka. Dia selalu menggambarkan pemandangan ini dalam rancangan masa depannya bersama Rozlyn.

Dua tahun lalu, ketika hatinya sedang perit menanggung perpisahan dengan Aufa, Nizar berkenalan dengan Rozlyn di taman rekreasi itu. Pada waktu petang, dia selalu nampak Rozlyn duduk di atas bangku rehat sambil membaca novel. Mulanya mereka bertukar pandang, kemudian bertukar senyuman dan tidak lama kemudian mereka saling bertukar bicara.

Dua bulan kemudian mereka bertukar nombor telefon. Disebabkan Rozlyn, dia mula dapat melupakan Aufa. Sejak itu, dia mula berfikir yang pertemuannya dengan Rozlyn adalah peluang kedua baginya untuk memulakan kehidupan baharu. Setiap kali mereka bertemu di bangku itu dan melihat kanak-kanak berlari keriangan bersama keluarga mereka, Nizar sudah pasti masa depan yang bagaimana yang dia mahukan.

Nizar membuka mata semula. Kocakan di dalam dadanya masih belum surut tapi dia masih waras untuk mengekalkan ketenangannya. Tidak ada faedahnya jika dia menghamburkan apa yang ada di dalam dadanya.

"Siapa lelaki tu?"

"Anak kenalan ayah."

"Dia kerja apa?"

"Doktor."

"Hospital mana?"

"Awak tak perlu tahu."

"Gaji dia mesti lebih banyak daripada saya."

Rozlyn diam.

"Dia ada rumah, ada kereta?"

"Dia ada rumah dan kereta." Mendatar saja kenyataan Rozlyn.

"Macam mana dengan rupa dia?"

"Kenapa awak tanya macam-macam ni?"

"Mestilah saya nak tahu siapa pesaing saya."

"Fine. Dia 10 kali lebih baik daripada awak. Bukan 10 tapi 100 kali lebih baik daripada awak. Rupa, latar belakang, pelajaran, keluarga, kerjaya semuanya lebih baik daripada awak. Malah, dia layan saya macam saya seorang puteri."

Nizar terkedu. Sepasang suami isteri warga tua yang sedang berlalu melihat ke arah mereka. Mereka diam seketika, memberi ruang kepada pasangan itu berlalu.

Nizar berdehem.

"Jadi, dia calon yang sempurna. Profil dia jauh lebih baik daripada saya dan menepati kehendak emak ayah awak." Kesimpulan itu memang pahit ketika dia utarakan. Pesaingnya terlalu kuat. Macam mana dia hendak lawan orang seperti ini?

"Bagi awak, dia memang tak ada cacat cela langsung ke?" soalnya kemudian.

Rozlyn angguk.

"Cuma awak lebih tinggi daripada dia."

"What a nice way to say it," kata Nizar, sinis.

"But still you win him over that."

"Saya tak pasti awak tengah puji saya atau tengah perli saya."

Rozlyn langsung tidak tersenyum.

"Jadi, apa jawapan awak?" soal Nizar kemudian.

Rozlyn hembus nafas.

"Emak dan ayah saya suruh saya terima. In fact, keluarga dia dah datang merisik dan kalau tak ada apa-apa, kami akan bertunang bulan depan."

Nizar tunduk memanggung kepala dengan kedua-dua belah tangannya sambil menghela nafas panjang. Dia meraup wajah sekali. Buntu.

"Emak dan ayah awak tak nak bagi peluang dekat saya ke?"

Rozlyn menggigit bibir.

"Okey, itu emak dan ayah awak. Tapi awak sendiri? Awak tak nak bagi peluang dekat saya ke?"

"Saya dah bagi awak banyak peluang. Saya tunggu awak selama ni. Tapi..." Rozlyn tunduk melihat jari-jemarinya.

"Awak tak nak tunggu saya lagi?" Nizar menyoal sedikit lirih.

Rozlyn masih tunduk.

"Okey. Sebelum doktor tu datang meminang awak, saya akan datang meminang awak dulu. Saya tau saya banyak kekurangan tapi berilah peluang pada saya juga. Kalau awak atau keluarga awak nak cepat, saya boleh telefon saudara saya..."

"Nizar..." Rozlyn memotong kata-kata Nizar.

"Saya akan terima lamaran dia."

Sekali lagi Nizar terkedu.

"Apa?"

"Saya minta maaf. Saya rasa dah sampai masanya kita bawa haluan masing-masing."

"Awak cakap apa ni? Biar saya cakap dengan emak dan ayah awak. Saya jumpa dia orang dulu dan cuba pujuk mereka..."

Rozlyn menggeleng.

"Awak tau tak kenapa saya buat keputusan macam ni? Sebenarnya, jauh dalam sudut hati saya, saya rasa tak aman dengan awak. Saya selalu tertanya-tanya kalau awak sebenarnya betul-betul serius dengan saya. Saya tak tahu kalau awak betul-betul sayangkan saya sebab awak tak pernah cakap betul-betul dengan saya. Semua yang awak katakan pada saya seolah-olah cuma hendak menyedapkan hati saya aje. Saya mula ragu dengan masa depan saya. Saya rasa awak tak berusaha betul-betul untuk jadikan saya sebagai isteri awak."

"Lyn..."

"Awak tahu tak benda yang paling saya tak suka ialah menunggu? Tapi benda yang saya tak suka itulah yang awak suruh saya buat."

"Saya ingat kita dah sepakat tentang penangguhan..."

"Awak faham tak apa yang cuba saya cakapkan ni? Isu kita sebenarnya berpunca daripada awak. Awak nak saya faham dan kenal awak tapi awak tak berusaha untuk cuba faham dan kenal saya. Kenapa dalam hubungan kita ni, saya yang selalu kena faham awak? Kenapa saya yang selalu kena mengalah?"

Nizar memandang Rozlyn lama. Cuba mencerna kata-kata Rozlyn. Selama ini hubungan mereka memang beginikah?

"Saya minta maaf, Nizar. Saya tak dapat tunggu awak lagi." Rozlyn bangkit.

"Awak rasa awak boleh bahagia dengan dia?" Nizar turut bangkit, menghadap wajah Rozlyn.

"Saya selesa dengan dia."

Nizar tidak mengerti dengan jawapan Rozlyn itu. Selesa itu maksudnya bahagiakah?

Dua tahun lalu ketika kali pertama mereka berkenalan di taman rekreasi ini, cuaca juga cerah seperti hari ini. Angin pun berpuput perlahan dan menyamankan. Hari yang indah untuk mencipta kenangan baharu. Tapi sungguh dia tidak menyangka, di tempat yang sama jugalah dia perlu mengucapkan selamat tinggal.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro