Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Ayah sedang membaca surat khabar apabila Sufi turun ke dapur pagi itu. Rutin pagi ayah hampir setiap hari ialah membeli surat khabar di kedai, sarapan, baca surat khabar dan buat ulasan.

Ulasan ayah kadangkala macam pengkritik dalam rancangan bual bicara tapi selalunya macam DJ radio yang hanya melaporkan berita yang dibacanya. Ibu pula akan menjadi pendengar setia ayah. Jarang sekali ibu keluar pendapat tapi sesekali kalau ibu bersuara, mengah juga ayah hendak membalas.

"Kenapa ekonomi Malaysia sekarang jadi macam ni? Nilai mata wang makin susut. Apalah nasib jadi rakyat biasa."

Sufi menarik kerusi dan duduk. Dia tidak menghiraukan segmen pagi ulasan ayah. Ada bihun yang masih berasap sudah tersedia di atas meja. Ibu pula sedang menuang secawan kopi untuknya.

"Ibu dah makan?"

"Dah. Acik, dah pukul berapa ni? Nanti lambat pula buka kedai."

"Selalu acik yang awal. Lagipun kerja lebih masa pun bukan dapat gaji lebih." Sufi menyenduk bihun ke atas pinggan.

Ibu meletakkan cawan kopi ke sisi pinggan Sufi.

"Acik, tak baik cakap macam tu. Kerja acik sekarang kan sumber rezeki acik." Ibu menegur.

Sufi diam menghirup kopinya.

"Budak zaman sekarang ni tak tahu macam mana susahnya cari duit. Kerja sikit tapi banyak merungut." Ayah sudah mula membuka segmen kuliah paginya.

"Kerja acik sekarang ni kira setaraflah dengan pendidikan acik. Kita sekarang ni tak boleh memilih kerja."

"Ayah, acik rasa nak cari kerja lainlah. Acik ada diploma tapi acik kerja dengan gaji SPM."

"Tak payah pandai-pandai berhenti kerja. Kerja lain belum tentu dapat lagi. Sekarang ni ekonomi tengah merudum. Orang yang dibuang kerja lebih ramai daripada orang yang dapat kerja. Kalau betul dapat kerja yang elok, tak apalah kalau nak berhenti."

"Tapi..."

"Jangan jadi macam along tu. Bila ada kerja, baru kerja. Tak ada kerja menganggur. Kalau macam tu, tak kahwin pun tak apa. Nak tanggung anak perempuan orang lain macam mana kalau diri sendiri pun tak terjaga. Angah tu, sekalipun kalau dia gaduh dengan bini dia dan kerapkali balik sini, ayah tak kesah. Janji kerja dia stabil, boleh tanggung bini dia. Ada rumah sendiri."

"Ayah ni, kenapa babitkan hal along pula?" soal Sufi kurang senang. Kalau ayah sudah buka mulut, kadang-kadang boleh makan hati ulam jantung juga. Sufi tidak suka kalau ayah sudah masuk bab membandingkan anak-anaknya.

"Acu pula, walaupun tengah belajar lagi tapi dia pandai berdikari. Pandai cari duit sendiri. Rajin pergi sana sini buat part time. Tak mengharapkan duit poket daripada ayah aje."

Acu buat part time sebab duit poket yang ayah beri setiap bulan tak cukup untuk gaya hidup metropolitan dia tu, desis hatinya. Mana tidaknya, barangan penjagaan kulitnya saja mengalahkan orang perempuan. Mengalahkan Sufi yang memang tidak ambil peduli tentang produk kecantikan.

"Ayah nak anak-anak ayah tahu. Nak hidup ni bukan senang. Nak hidup kena berusaha. Tak usaha macam mana nak dapat ganjarannya? Macam orang tua kata, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya."

Sufi menghabiskan kopinya. Bihun yang telah disenduk ke atas pinggan tadi tidak sempat dijamah. Dia sudah putus selera. Sufi mengambil sebuah bekas makanan dan membungkusnya sebagai bekal ke tempat kerja.

Ketika Sufi keluar menyarung kasut, dia lihat Ojie sedang berjalan ke arah motornya. Kunci di tangannya. Sufi hela nafas panjang. Pasti Ojie dengar kata-kata ayah tadi. Sufi amat mengerti situasi Ojie tapi sesuatu yang sudah berlaku bagaimana boleh diundur kembali. Bukan Ojie tidak berusaha.

"Along!"

Ojie menoleh.

"Oh, siap dah?"

Sufi senyum. Dia pura-pura tidak tahu punca yang menyebabkan riak ceria Ojie hilang dari wajahnya.

"Acik tak nak pakai helmet semalam. Nanti tak pasal-pasal pengsan satu kedai bau kepala busuk acik."

Ojie tertawa.

"Pakai helmet lainlah. Helmet basah tu along dah jemur." Ojie menunjuk topi keledar yang dijemur di atas pasu kosong di tengah laman.

"Petang nanti keringlah tu. Dahlah. Jom along hantar, nanti lambat pula."

Sufi baru sahaja masuk ke dalam kedai apabila dia bertembung dengan Cik Linda berdekatan dengan kaunter. Sufi tayang sengih sambil kalut punch card. Tepat pukul 9.55 pagi.

"Fuh! Safe!" ujarnya.

"Sufi, lain kali cubalah datang awal sikit. Tak ada masalahnya kalau datang lebih awal. Jangan berkira sangat."

Sufi tidak menjawab tetapi dalam hatinya merungut. Kalau beberapa minit awal itu tetap dikira dalam gaji, dia rela. Lagipun, Cik Linda selalu juga lewat namun dia diamkan saja.

"Semua dah ada, ya?" soal Cik Linda. Matanya menyeluruhi staf-staf yang berkumpul di hadapannya.

"Sebelum buka kedai, saya nak bagi tahu satu pengumuman. Saya bakal melangsungkan perkahwinan dua bulan lagi."

Semua staf bertepuk tangan dan mengucap tahniah.

"Tapi saya akan berhenti kerja mulai hujung bulan ni. Saya nak buat persiapan untuk majlis saya nanti."

"Cik Linda tak nak kerja lagi?" soal Eton.

"Bakal suami saya akan bertukar tempat kerja di Pahang. Lepas kahwin, saya akan ikut dia ke sana," kata Cik Linda sambil senyum malu.

"Tapi, awalnya Cik Linda berhenti? Ada sebulan lagi, kan?"

"Semua preparation tak buat lagi. Kursus kahwin pun tak daftar lagi. Banyak benda tak selesai. Jadi, saya ingat saya nak selesaikan dalam masa sebulan tu sebelum majlis saya nanti."

"Jadi, ada lebih kurang seminggu lagi sebelum Cik Linda berhenti sebelum hujung bulan ni?"

"Ya. HQ maklumkan pada saya yang mereka akan hantar manager baharu nanti. Saya tak tahu dia nak datang hari apa."

"Manager tu lelaki ke perempuan?" Ijan menyoal dengan sengih.

"Lelaki."

Ijan kelihatan kecewa dengan jawapan Cik Linda.

"Bujang lagi ke?" soal Eton pula.

"Mana saya tau. Kau orang ni banyak tanyalah. Dah, buka kedai sekarang." Sebaik sahaja mengucapkannya, telefonnya berbunyi. Sebaik menatapnya dia tersenyum lebar sebelum menjawabnya.

"Helo, sayang..." Cik Linda dengan wajah ceria berlalu ke pejabatnya.

"Tengok tu, 24 jam berkepit dengan telefon dia. Semakin dia nak kahwin ni, semakin kurang kerja dia. Macam dia seorang aje yang nak kahwin." Sufi mencuit Aida di sebelahnya.

"Entah. Dia ingat kita tak tahu yang dia tu selalu curi-curi telefon tunang dia. Dengan kita bukan main kuat dia sound kalau kita guna telefon masa kerja. Yang dia tu dua kali lima."

Sufi tertawa. Tuduhan Aida itu ada benarnya sebab bukan Sufi sendiri yang melihat Cik Linda bergayut lama ketika waktu bekerja, tetapi semua staf pun tahu. Aida pernah tertangkap dengan Cik Linda sedang menelefon Azad ketika waktu bekerja. Sebab itulah dia selalu tidak berpuas hati.

"Biarlah dia. Kau tak payahlah nak tunjuk muka jealous kau tu dekat aku. Buruk tau," kata Sufi.

"Kurang asam jawa." Aida mencebir bibir.

"Tapi kan, kalau manager baharu nanti masih bujang dan kacak macam Fattah Amin, aku nak cucuk jarumlah."

"Amboi, tengok muka pun tak lagi. Entah-entah dah tua."

"Hei, kau ni... Aku baru nak berangan."

"Jangan nak beranganlah. Habis tu, Azad yang konon cinta hati awak tu nak campak mana, Cik Aida?"

"Azad tu Azadlah. Fattah Amin lain." Aida tergelak-gelak.

"Gatal!"

"Eleh, kau tu jangan nak mengata akulah. Kau dengan Midi tu apa?"

Sufi kerut dahi.

"Kenapa dengan Midi?"

"Aku tengok Midi tu selalu ambil berat dekat kau. Takkan kau tak rasa apa-apa?"

"Kau pun tahu aku dengan Midi macam mana. Dia tu cuma kawan sekolah aku."

Aida sudah tersengih-sengih.

"Kawan sekolah aje? Tapi kawan sekolah kau yang lagi satu tu lain pula statusnya?"

Sufi menyungging sengih.

"Sudahlah kau. Banyak cakap pula."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro