Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Apa dah jadi dengan awak ni, Nizar?!"

Nizar tersentak. Dia cepat-cepat bangkit dari kerusi yang didudukinya. Tuan Kamil tiba-tiba muncul di hadapannya dengan riak marah.

"Ya, Tuan Kamil. Ada apa?" soalnya polos.

"Awak tanya saya ada apa? Ini..." Tuan Kamil mengunjuk sejumlah helaian kertas betul-betul di hadapan wajah Nizar.

"Apa semua ni?"

"Saya tak faham..."

Belum sempat Nizar menyudahkan pertanyaannya, Tuan Kamil mencampakkan kertas-kertas tersebut ke wajah Nizar. Kertas-kertas itu melayang di atas meja dan juga bertaburan di atas lantai. Nizar tergamam menerima serangan Tuan Kamil itu. Pekerja yang lain juga turut terkejut dan tergamam. Masing-masing diam menikus memerhatikan drama petang itu.

Apalah nasibnya minggu ini? Kena simbah jus tembikai, kena hambur dengan kertas. Entah-entah esok lusa ada orang baling telur busuk pula.

Lambat-lambat Nizar membongkok mengutip kertas-kertas yang bertaburan di atas lantai dan meja. Dia meneliti sekali imbas.

"Ini maklumat item-item yang diagihkan ke setiap cawangan," kata Nizar.

"Kenapa dengan item-item ni?"

Tuan Kamil menarik nafas kasar.

"Awak tanya saya kenapa? Awak tak tau apa salah awak?"

Nizar masih terpinga-pinga. Dia meneliti kembali tulisan dan nombor yang tertera pada kertas-kertas tersebut. Ada sesuatu yang tidak kena. Nombor-nombor yang tertera di bawah kolum kuantiti kelihatan ganjil dan tidak sesuai dengan item yang diwakilinya. Nizar menelan air liur.

"Tuan Kamil, saya..."

"Keluar! Saya tak nak tengok muka awak dekat ofis ni!" Tuan Kamil berteriak macam Hitler sedang mengamuk di meja bulat.

Nizar terpinga-pinga apabila tiba-tiba disuruh keluar ketika waktu bekerja. Dia memandang Tuan Kamil dan rakan-rakan sekerjanya satu per satu. Tuan Kamil bercekak pinggang dan membelakanginya.

Rakan sekerja yang lain saling berpandangan antara satu sama lain. Mereka juga terpinga-pinga melihat situasi tersebut. Perlahan-lahan Nizar menyusun kertas-kertas tadi di atas meja sebelum menarik beg sandangnya dari bawah meja, ingin beredar.

Tuan Kamil mengeluh berat. Dia memandang Nizar semula. Wajahnya sudah tidak menyinga seperti Hitler lagi.

"Nizar, letak balik beg awak tu." Suara Tuan Kamil sudah bertukar kendur.

"Masuk bilik saya sekejap."

Tuan Kamil kembali semula ke biliknya. Berdegar-degar bunyi tapak kasutnya. Nizar garu kepala. Dia tidak tahu sama ada dia telah dipecat serta-merta atau bakal menerima hukuman berat. Dia meletakkan begnya kembali.

Razi, rakan sekerja yang duduk di meja sebelah menghampirinya lalu mengambil kertas-kertas yang diambil oleh Nizar tadi. Dia ternganga.

"Wow, apa yang kau dah buat ni, Nizar? Kau salah key in kuantiti item. Mahu mengamuk orang dekat semua cawangan ni."

Nizar mengeluh. Nasi sudah menjadi bubur.

"Kau pergilah minta maaf dengan Tuan Kamil tu elok-elok supaya dia tak pecat kau," kata Razi sambil menepuk bahunya.

Nizar mengeluh lagi.

Nizar mengetuk pintu dengan tanda nama Tuan Kamil bin Ramli - Pengurus Besar. Terdengar arahan menyuruhnya masuk. Nizar memulas tombol pintu. Dilihatnya Tuan Kamil sedang berdiri membelakanginya sambil memandang ke luar jendela.

Nizar menghampiri meja bosnya itu dan berdiri menunggu hukumannya. Setelah beberapa minit berlalu, Tuan Kamil masih juga dengan pemandangan di luar jendela. Nizar seolah-olah telah menjadi halimunan.

Nizar berdehem.

"Tuan Kamil, saya..."

Tuan Kamil berkalih memandangnya.

"Saya tahu awak bukan seorang yang mudah buat silap macam ni. Awak ada masalah dengan kerja awak dekat sini ke?"

"Tak..."

"Habis tu, masalah peribadi?"

"Peribadi? Saya..."

"Awak kena profesional. Masalah peribadi tak boleh bawa ke tempat kerja."

Nizar terdiam.

"Dah berapa lama awak kerja di sini?"

"Bulan depan, masuk tiga tahun."

"Tiga tahun? Tiga tahun tak lama sangat tapi cukup untuk awak tahu operasi retail syarikat kita." Tuan Kamil duduk di atas kerusinya.

"Saya rasa dah tiba masanya awak timba pengalaman di luar HQ."

Nizar terkejut.

"Apa maksud Tuan Kamil?"

"Saya akan hantar awak ke salah satu cawangan kita."

"Maksud tuan, pergi buat survey?"

"Tak. Jadi pengurus cawangan."

Nizar tersentak.

"Pengurus cawangan? Saya rasa Tuan Kamil dah salah faham dengan bidang tugas saya. Bidang tugas saya tertakluk di HQ ini sahaja, tak melibatkan kena handle cawangan."

"Sebenarnya, dah lama saya rancang nak hantar staf dari HQ ke cawangan dan buat analisis dan perubahan. Terutamanya di cawangan yang bermasalah. Saya rasa awak orang yang sangat sesuai buat masa ini."

"Saya? Tapi..."

Tuan Kamil memberi isyarat supaya Nizar senyap. Nizar terhenti. Tuan Kamil memang seorang yang cenderung memotong kata-kata sesiapa pun. Semua pekerja-pekerjanya amat maklum dengan perangai bos besar mereka ini. Sebab itulah Tuan Kamil dapat nama gelaran 'Si Lidah Capang'.

"Saya tak nak awak duduk dekat HQ lagi."

"Jadi, tuan nak pecat saya?"

"Ada saya kata nak pecat awak? Tak ada, kan? Saya cuma tukar skop tugas awak aje."

Nizar garu kepala lagi.

"Maksud Tuan Kamil?"

"Kesilapan yang awak buat memang serius tapi saya beri awak peluang sekali lagi untuk terus berkhidmat di syarikat ini. Saya nak awak handle cawangan kita di Tanjong Karang. Bukan setakat datang tengok dan kemudian balik. Tapi saya nak awak duduk sana."

"Cawangan Tanjong Karang, Tuan Kamil?" Nizar membulatkan mata.

Siapa yang tidak tahu dengan cawangan Tanjong Karang? Siapa saja yang bekerja di syarikat ini tahu tentangnya. Cawangan itu merupakan salah satu cawangan mereka yang paling rendah prestasinya. Statusnya 'hidup segan mati tak mahu'.

Sebenarnya, cawangan Tanjong Karang adalah cawangan syarikat yang pertama dibuka di Selangor. Semasa pembukaannya dahulu, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk di sekitar daerah itu.

Namun, apabila pembangunan berlaku pesat dan banyak pusat membeli-belah dibina berdekatan, cawangan tersebut sudah kurang sambutannya. Orang lebih suka membeli barang di pasar raya yang lebih besar dan lebih moden.

Sudah banyak kali cadangan supaya cawangan di Tanjong Karang itu ditutup sahaja tetapi Tuan Kamil enggan. Kedegilan Tuan Kamil itu juga tidak disenangi oleh dua orang rakan kongsinya yang lain.

"Awak pindah ke Tanjong Karang. Urus cawangan di sana dan naikkan margin keuntungan."

"Pindah terus?"

"Itu bergantung kepada prestasi awak. Secepat mana awak boleh pulihkan prestasi cawangan Tanjong Karang. Lagi cepat, lagi bagus. Guna budi bicara awak untuk buat sebarang perubahan di sana bagi tujuan tu. Saya akan pantau prestasi cawangan Tanjong Karang dari masa ke masa. Kalau prestasi cawangan Tanjong Karang memenuhi jangkaan saya, saya akan pertimbangkan untuk kembalikan awak ke HQ dan teruskan tugas lama awak. Kalau perfomance awak bagus, mana tahu, saya akan naikkan pangkat awak."

"Kenaikan pangkat? Tapi kalau saya tak boleh naikkan margin, bagaimana?"

"Awak kerja dekat sana ajelah sampai bila-bila. Tapi itu pun kalau awak setuju. Kalau awak tak setuju, awak boleh berhenti." Selamba sahaja jawapan Tuan Kamil.

Nizar telan air liur. Dalam keadaan pasaran kerja dan ekonomi sekarang, sukar untuk mencari kerja dan gaji yang bagus serta kelebihan sebagai pekerja seperti yang diperolehi di Syarikat PlusTwo ini.

"Anggap tugas ni macam fieldwork supaya awak boleh gunakan pengalaman ini untuk meningkatkan mutu tugas awak nanti," kata Tuan Kamil lagi.

"Bagaimana? Setuju?"

"Bila saya kena pergi Tanjong Karang, tuan?"

"Saya bagi awak masa seminggu."

Jatuh rahang Nizar.

"Seminggu?"

"Ya. Selesaikan apa yang patut awak selesaikan dekat sini sebelum ke sana."

Nizar terkebil-kebil. Semuanya masih surreal.

"Kalau bukan awak, siapa lagi yang saya nak hantar?" Tuan Kamil tersenyum penuh rahsia.

Entah apalah yang difikirkan oleh orang tua itu. Setahunya, tidak pernah ada pertukaran antara pekerja di HQ dengan mana-mana cawangan. Jika ada pertukaran sekali pun, itu antara pengurus cawangan dan HQ hanya menguruskan dokumen pertukaran sahaja.

Tapi tawaran luar biasa Tuan Kamil itu boleh jadi satu peluang juga. Daripada terus berhenti kerja, baiklah dia terus bekerja dengan Tuan Kamil. Tapi hatinya berat ingin menerima tawaran tersebut. Sebenarnya dia bimbangkan Rozlyn.

Sejak peristiwa disiram jus tembikai di restoran dua hari lalu, sudah banyak kali Nizar menelefon dan menghantar pesanan telefon tetapi tiada sebarang balasan daripada Rozlyn. Nizar maklum yang Rozlyn memang seorang gadis yang sensitif dan mudah merajuk.

Sebelum ini, jika mereka berselisih faham, rajuk Rozlyn kadangkala menjangkau tiga hari. Tiada yang dapat Nizar lakukan sekarang ini melainkan menunggu sehingga Rozlyn bertenang. Rozlyn mungkin tidak memaksudkan apa yang dikatakannya. Mungkin mereka belum putus lagi.

Nizar harap esok, Rozlyn akan menjawab panggilannya. Dia akan meminta maaf walaupun dia tidak tahu apa yang menyebabkan kemarahan atau kekecewaan Rozlyn. Dia harap esok akan kembali seperti sediakala. Dia sayangkan Rozlyn dan dia ikhlas mahu berkahwin dengannya. Sekarang ini, isu hati, perasaan dan kewangan melemaskan lagi fikirannya.

Nizar hela nafas panjang.

"Nizar, Tuan Kamil pecat kau ke?" soal Aina sambil bangkit dari tempatnya.

Nizar menarik kerusi dan duduk di tempatnya.

"Tak. Dia nak hantar aku ke cawangan Tanjong Karang."

Razi di sebelahnya menarik kerusi mendekatinya.

"Berapa hari kau buat survey dekat sana?"

"Bukan buat survey tapi dia suruh aku handle terus operasi dekat sana."

Dua orang rakan sekerjanya itu terkejut.

"Buang tabiat ke orang tua tu?" Aina menepuk mejanya.

"Sejak bila pula bidang kerja kau termasuk jaga cawangan juga? Habis tu, pengurus cawangan Tanjong Karang buat apa kalau kau pergi sana?"

Nizar jongket bahu.

"Entah. Kena transfer cawangan lain, mungkin?"

"Basically, kau macam kena hukum buang negerilah ni," kata Razi.

"Macam itulah kiranya. Dekat tempat jin bertendang tu." Nizar meraup wajah.

"Ni macam nak suruh kau berhenti tapi dengan cara halus," kata Aina.

"Entah. Mungkin kut."

"Jadi, kau nak pergilah ni?"

"Tapi aku dengar cawangan tu nak ditutup. Apa hal pula kau kena pergi sana?"

"Nampaknya cawangan tu tak akan ditutuplah."

"Aku peliklah dengan Tuan Kamil ni. Kalau cawangan Tanjong Karang tu dah jadi liabiliti, kenapa dia masih nak pertahankan cawangan tu?" Aina garu kepala.

"Razi, kau paling lama kerja dekat sini, takkan kau tak tahu pasal cawangan Tanjong Karang tu?"

Razi angguk.

"Aku mungkin tahu."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro