Bab 2
"Sufi, jomlah aku hantar kau balik." Midi mempelawa. Hari ini, dia orang terakhir yang mengunci pintu dan menutup shutter kedai.
"Tak apalah, aku tunggu abang aku."
"Selalu abang kau awal. Hari ni tak nampak batang hidung lagi."
"Entahlah. Hari ni dia lambat pula."
"Takkan kau nak tunggu seorang diri dekat sini?"
"Tak apalah. Aku dah biasa. Lagipun takkan aku nak naik motor dengan kau malam-malam macam ni? Agak-agaklah, weh."
Midi tersenyum nakal.
"Nak aku temankan ke?"
"Baliklah, weh. Rumah kau dahlah jauh. Kejap lagi abang aku sampailah tu."
Midi tersenyum lagi.
"Kalau ada apa-apa, kau telefon aku, ya? Berdesup aku datang tau." Midi mengenakan topi keledarnya.
"Baliklah." Enggan melayan kerenah Midi lagi, Sufi lekas mengangkat tangan melambai.
"Yalah. Aku nak baliklah ni." Midi menutup visor topi keledar dan menekan gear motor.
Malam ini langit gelap benar. Memang gelap. Tiada kelibat awan. Kalau dongak ke langit utara, dia boleh nampak Biduk terhampar megah memeta dada langit.
Sufi menjeling jam tangannya. Terasa lambat benar jarum minit bergerak. Nasib baik bangunan itu diterangi lampu jalan yang memang terpasang sepanjang laluan kawasan perniagaan itu. Dia lihat satu demi satu premis kedai ditutup. Orang sudah mula menamatkan aktiviti perniagaan masing-masing.
Tidak lama kemudian, Sufi nampak sebuah motosikal menghampiri bangunan tempatnya menunggu. Dia cam benar susuk penunggang dan bunyi deruman motosikal tersebut.
"Along, apa pasal lambat?" Sufi tarik muka.
"Tak pasal-pasal acik jadi penunggu dekat bawah tiang lampu ni."
Ojie menghulur topi keledar sebaik sahaja dia menghentikan motosikal di hadapan Sufi.
"Lambat 10 minit aje pun."
"Lamalah tu." Sufi mengambil topi keledar yang dihulur. Muka masih masam.
"Hesy, sebab itulah awek along semua lari. Along ni langsung tak prihatin."
Sejak Ojie tidak ada sebarang kerja akhir-akhir ini, dia selalu menjadi 'pak supir'. Tukang jemput dan hantar Sufi pergi kerja. Bukannya Sufi tidak boleh bawa motosikal sendiri, tetapi sejak peristiwa Sufi hampir berlanggar dengan sebuah kereta kerana kecuaiannya bulan lepas, kebebasannya menggunakan motosikal menjadi terbatas.
"Dahlah. Lambat sikit pun nak membebel. Cepat naik." Ojie menggesa kurang sabar.
Sufi memakai topi keledar tersebut. Namun seketika kemudian, dia terjerit.
"Along!"
"Apa lagi?"
"Apa ni?" Sufi cepat-cepat membuka semula topi keledar tadi dan menyerahkannya kembali kepada Ojie.
"Apa halnya?"
"Eee, gelilah along ni. Topi ni basahlah. Dahlah berbau."
Ojie memeriksa topi tersebut sebelum tersengih.
"Alamak, sorry. Along salah ambil helmet. Helmet ni kena hujan semalam. Tak kering lagi kat dalamnya."
"Eee, entah apa-apalah along ni. Dah tu nak balik macam mana ni?"
"Balik ajelah. Cepat naik motor."
"Habis tu, tak payah pakai helmet ke? Busuklah topi ni."
"Pakai ajelah helmet tu. Rumah kita bukannya jauh mana pun. Pakai sekejap, tak adanya kepala awak tu kena kudis."
Kata-kata Ojie membangkitkan kemarahan Sufi. Spontan tangannya menampar bahu Ojie.
"Aduh!" Ojie lekas mengusap bahunya.
"Pukul along ni kenapa?"
"Sebab along memang patut kena pukul," jawabnya sambil menampar-nampar lagi bahu Ojie. Geram betul hatinya dengan perangai Ojie yang tidak peduli itu.
"Oi, dahlah. Along bukan punch bag! Along tinggal karang, baru tau." Ojie memberi amaran.
Sufi menghentikan pukulannya.
"Nak balik tak?"
Sufi memandang Ojie sambil mengetap bibir menahan geram.
"Dah, pakai topi tu." Ojie berkalih memandang ke hadapan.
"Along minta maaf. Along tak sengaja," ucapnya mendatar. Langsung tidak kedengaran kesal.
"Busuk..." Sufi merengek.
"Nak pakai, pakailah. Tak nak pakai, sudah."
Sufi tiada pilihan lain. Dia pakai juga topi tersebut lalu membonceng di belakang abang sulungnya itu. Dia memicit hidung dan bernafas melalui mulutnya.
Sampai di rumah, Sufi segera menanggalkan topi keledar tersebut dan berlari ke bilik air dan mandi. Kepalanya dicuci dengan syampu berulang kali. Bimbang kalau bau busuk topi keledar Ojie masih melekat pada rambutnya dan akan mengganggu tidurnya nanti.
Sebaik keluar dari bilik air dengan tuala membunjut di atas kepala, dia terlanggar seseorang.
"Uish, angah?!" Sufi kehairanan. Entah sejak bila Ajid ada di rumah.
"Kenapa angah ada dekat sini?"
Ajid tidak menjawab apa-apa lalu terus masuk ke dalam bilik air dan menutup pintunya kasar.
"Apa hal angah ni?"
Setelah menukar pakaian, Sufi ke dapur. Ibunya sedang mengacau seteko kopi.
"Ibu, kenapa angah tiba-tiba balik sini? Bini dia halau dia lagi ke?"
"Hesy, acik ni. Tak baik cakap Kak Zah buat macam tu. Dengar dek angah nanti."
Sufi mencebir bibir. Dia menarik kerusi dan duduk sebelum membuka penutup makanan di atas meja.
"Ibu, hari ni kari ayam lagi?"
"Makan aje. Jangan banyak cakap."
"Semalam kari ayam."
"Semalam ayah yang teringin nak makan. Hari ni sebab angah ada. Ibu memang masak untuk angah."
"Ibu ni, layankan sangat angah tu. Kali ni Kak Zah buat apa pula?"
Ibu tidak menjawab tetapi sebaliknya menyendukkan nasi ke atas pinggan Sufi. Sufi tahu ibu malas hendak membuka mulut. Kalau tidak, panjang Sufi membebel tentang perangai abang keduanya itu.
Setiap kali kalau Ajid dengan Kak Zah berselisih faham, selalunya abangnya itu akan balik ke rumah mereka. Hampir setiap 3-4 bulan, rutin itu sentiasa berulang.
Ibu dengan ayah memang sengaja tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga mereka. Sejak mereka kenal dan kemudian berkahwin dahulu pun, Sufi sudah mengagak yang personaliti Kak Zah itu lebih dominan daripada Ajid. Abangnya lebih suka mengalah dan merajuk membawa diri ke rumah orang tuanya berbanding Kak Zah yang tegas itu.
Dan setiap kali itulah Sufi akan memuntahkan bebelannya. Macam machine gun. Berdas-das tanpa henti. Selalunya, Ajid buat pekak badak saja. Paling menyakitkan hati kalau moodnya bertukar menjadi seperti robot. Tanya sepatah jawab sepatah. Makan tak lalu dan selalu termenung. Pendek kata, tidur tak lena, mandi tak basah.
Ajid itu memang pelik sedikit daripada mereka adik-beradik. Sejak kecil, sikap simpati dan empatinya lebih menyerlah. Tapi sikap sentimental romantisnya itulah yang paling Sufi tidak tahan. Ikut perangai Cik Som, ibu mereka.
"Berapa hari angah balik?"
"Entahlah. Ibu tak tanya. Nanti kalau angah nampak dah okey, ibu tanya. Sekarang ni mood dia tak berapa elok."
"Tak apalah angah balik sini. Meriah sikit adik-beradik berkumpul ramai-ramai." Ojie menarik kerusi dan duduk. Tangannya mencapai secawan kopi yang dituangkan oleh ibu.
Pandangan Sufi melorot ke arah Ojie.
"Kalau angah balik dengan mood robot dia tu, mana pernah meriah pun rumah kita ni. Macam berhantu adalah."
"Hei, pelik sangat perbandingan Acik tu. Along tak pernah rasa rumah kita macam rumah hantu."
Sufi menggeleng. Malas berhujah dengan Ojie. Dia memandang ibu.
"Ibu tak nak tegur ke perangai Kak Zah tu?"
"Dahlah. Tak payah sibuklah hal rumah tangga orang," kata ibu.
"Hurm, angah tu lembut sangat dengan bini dia tu. Cubalah dia tegas sikit dengan Kak Zah tu. Ni, nampak sangat Kak Zah tu queen control."
Sebaik menuturkannya, Sufi terpandang Ajid yang sedang berdiri tercegat di dapur memandang mereka berdua. Ibu menyenggolnya dengan pandangan 'ibu-dah-kata-dah'. Sufi tayang sengih.
"Angah, acik bukan tak suka angah balik sini. Acik nak cakap satu aje, angah tu lelaki, suami dan ketua keluarga. Angah jangan jadikan rumah ni macam tempat pelarian pula." Selamba Sufi menegur tanpa rasa sedikit pun rasa bersalah namun tegurannya membawa padah kepadanya semula.
"Kalau angah ada masalah dengan Kak Zah, angah kena..." Sufi tidak sempat melancarkan serangan kali kedua apabila Ojie bangkit secara tiba-tiba dan menyumbat mulut Sufi dengan telur dadar yang berada di hadapannya. Sufi yang terkejut itu hanya mampu memandang Ojie dengan pandangan marah dan berusaha menolak tangan Ojie.
"Angah, tadi angah kata nak pakai laptop along, kan? Angah pakailah, along dah tak guna lagi. Ada dekat bilik along," kata Ojie. Atau sebenarnya lebih kepada arahan menyuruh Ajid pergi dari situ.
"Oh..." Ajid angguk faham dan terus berlalu.
Sebaik Ajid menghilang dari pandangan, barulah Ojie melepaskan tangannya. Sufi terkial-kial mengunyah telur dadar yang memenuhi mulutnya itu. Hendak diluah, ibu ada di depan mata. Ibu pantang kalau anak-anaknya membazir makanan, lalu dia kunyah juga dengan susah payah.
"Kejilah along ni," kata Sufi dengan mulut penuh.
"Along ni selalu nak menangkan angah."
Ojie berdehem. Dia menghabiskan kopinya lalu bangkit dari tempat duduknya tergesa-gesa.
"Along nak pergi mana tu? Acik tak habis cakap lagi ni."
Ojie tidak mengendahkannya, malah menjelir lidah sebelum menghilangkan diri ke bilik. Hilang peluang Sufi untuk mengarahkan serangannya kepada Ojie pula. Sufi memandang ibunya meminta simpati.
"Ibu..."
"Makanlah. Tak baik bergaduh depan rezeki," kata ibu. Dia mengemas cawan yang ditinggalkan oleh Ojie tadi dan membawanya ke singki. Sebentar kemudian, terdengar air paip mencurah ke dalam singki dan pinggan mangkuk saling berlaga.
Sufi menghela nafas panjang. Jengkel dengan respons ahli keluarganya. Dia membetulkan bunjutan tuala di atas kepalanya lalu meneruskan suapannya.
Usai makan, Sufi merehatkan diri di dalam biliknya sambil membaca komik Detective Conan. Sufi pengumpul tegar komik Jepun. Ada sebuah rak khas yang memuatkan komik sahaja. Dia berbangga kerana dia dapat melengkapkan siri Penyiasat Remaja, Slamdunk, Detective Conan serta beberapa siri komik yang lain. Komik-komik itu semua dia kumpulkan sejak dia bersekolah rendah sehinggalah sekarang.
Sebahagiannya dia warisi daripada Ojie. Abang sulungnya itu juga suka membaca komik sejak zaman sekolah menengah dan minatnya itu dikongsi bersama Sufi.
Namun, Ojie tidak pandai menyimpan komik-komiknya dengan betul. Sebab itulah Sufi yang mengambil alih untuk menyimpan dan menyambung siri yang tertangguh. Bila-bila masa Ojie mahu membaca, dia hanya perlu mengambilnya di bilik Sufi.
Habis sahaja muka surat terakhir komik, Sufi meletaknya di atas katil. Dia membuka bunjutan tuala di atas kepalanya. Bahagian yang masih basah dikeringkan beberapa kali. Sambil mengeringkan rambutnya, pandangannya jatuh ke atas sehelai kertas yang terletak di atas meja solek. Dicapainya kertas tersebut dan ditatap lama-lama teks yang tercetak di atas permukaannya.
RIMBUN BAKERY
Rimbun Bakery akan mengadakan kelas bakeri setiap hari Ahad mulai bulan hadapan. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila hubungi 019-223xxxx
Ingatannya terbang melewati kembali kenangan zaman sekolah. Sufi meletakkan semula iklan itu di atas meja dan bangkit membuka almari pakaian. Di bahagian bawah almari, dia mencapai sebuah kotak lama. Kotak tersebut menyimpan barang-barang kenangan ketika di sekolah menengah.
Dia membuka penutup kotak. Selain barang rencam, ada banyak sampul surat berisi surat-surat lama yang ditulisnya untuk diberi kepada Haris. Surat-surat tersebut ada yang sampulnya dia lukis dan warnakan, ada juga yang bercorak comel dan ada juga yang kosong.
Namun, surat-surat yang ditulisnya itu tidak pernah sampai ke tangan Haris. Dia hanya mampu menulis tetapi dia tiada keberanian untuk benar-benar menyampaikan sendiri surat-surat tersebut kepada Haris.
Dia terlalu gugup jika bertemu dengan budak lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu. Kalau kebetulan mereka bertembung di kawasan sekolah, Sufi akan melarikan diri bersembunyi. Sufi rasa diri kerdil sekali kerana pada waktu itu kulitnya gelap sebab berbasikal pergi dan balik sekolah setiap hari, selalu dapat nombor tercorot di dalam kelas, tiada sebarang bakat seni dan tiada kekuatan fizikal untuk menang dalam sukan sekolah.
Dengan kata lain, dia bukan sesiapa kerana dia sudah serupa orang halimunan. Haris terkenal dan ramai kawan. Haris tidak mungkin sedar yang Sufi wujud di sekolah yang sama. Dengan keluhan panjang, Sufi memasukkan semula surat-surat tersebut ke dalam kotak asalnya dan menyimpannya semula.
Setelah menutup suis lampu, dia merebahkan tubuh ke atas katil. Ingatan zaman sekolah menengahnya menjengah kembali satu per satu. Dia memejamkan mata, cuba membuang ingatan masa lalu. Sejak dia mengambil kertas iklan itu, dia sudah memasang nekad. Dia tidak mahu jadi halimunan lagi. Dia mahu Haris benar-benar melihat dan mengenalinya.
Tiga bulan lalu ketika dia kebetulan lalu di hadapan Rimbun Bakery, dia terpandang Haris. Lelaki itu sedang menyusun potongan pelbagai jenis kek pada rak jualan. Sufi berasa takjub melihat Haris tiba-tiba ada di hadapan matanya sedangkan dia sudah tidak pernah berjumpa dengan Haris lagi sejak tamat sekolah menengah setelah mengikut haluan masing-masing.
Bagai disampuk sesuatu, Sufi terus saja masuk ke kedai bakeri itu dan berdiri berdekatan dengan Haris. Pandangannya tidak pada Haris tetapi jatuh ke atas potongan-potongan kek di hadapannya. Dia takut kalau dia memandang Haris, entah reaksi apa yang akan dia pamerkan.
"Nak beli kek?" Haris menegur.
Dia angguk. Mata masih terpaku pada potongan kek.
"Nak yang mana satu? Saya boleh ambilkan."
Suara yang dirindui menyapa gegendang telinga tapi dia masih enggan angkat wajah.
"Yang paling popular dekat sini Black Forest." Haris menuding potongan kek putih-coklat dengan hiasan ceri merah.
"Tapi saya tak berapa suka yang terlalu manis."
"Tak suka yang terlalu manis? Hurm, saya cadangkan cheese cake. Kebetulan hari ni ada menu istimewa, mango cheese cake."
"Kalau macam tu, saya nak sepotong cheese cake yang biasa dan juga sepotong mango cheese cake." Cepat sahaja Sufi bersetuju dengan cadangan Haris itu.
"Okey. Sekejap ya, saya bungkuskan."
Dia dengar Haris di sebelahnya membuka kotak pembungkusan dan meletakkan dua potong kek pilihannya ke dalam kotak, namun dia tetap pegun meneliti deretan potongan kek yang pelbagai di rak jualan itu. Seolah-olah potongan-potongan kek itu sedang menari riang dalam persembahan konsert warna-warni dan lebih mengujakannya daripada memandang Haris.
"Ini keknya. Boleh buat bayaran dekat kaunter." Haris menghulurkan kotak itu kepadanya. Sufi mengambilnya tanpa sedikit pun memandang ke arah Haris dan terus menuju ke kaunter bayaran.
Usai mengambil baki duit, Sufi terus meluru keluar tanpa menoleh lagi. Ketika itu barulah dia dapat menarik nafas lega. Tangannya masih terasa dingin. Dia masih keliru mengapa dia bertindak sedemikian tanpa berfikir panjang.
Bila difikirkan kembali, itulah titik tolak bagi Sufi yang asalnya kurang gemar makanan seperti kek dan biskut yang manis, mula menyukainya. Kini, sesekali dia akan datang ke Rimbun Bakery dan belajar menguatkan diri untuk bertentang mata dengan Haris.
Sufi! Kuatkan semangat!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro