Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Semasa dia sampai di hadapan premis itu tadi, hatinya sedikit hampa. Premis itu tidak seperti yang dijangkakan. Walaupun cawangan Tanjong Karang memang diketahui sebagai cawangan yang paling rendah prestasinya, namun apabila melihat sendiri premis yang menempatkan cawangan perniagaan milik Tuan Kamil itu, dia hanya mampu melepas keluhan.

Lokasi premis itu memang strategik tetapi aura persekitarannya langsung tidak membawa mood yang bagus. Seolah-olah, premis itu hanyalah satu kedai yang menunggu masa untuk ditutup sahaja.

Orang kata, jangan menilai dari segi luaran sahaja tetapi yang penting perlu juga nilai dalaman. Sentimen yang begini barulah adil. Namun, setelah beberapa minit dia mengekor langkah Cik Linda yang murah senyuman itu, senyuman yang dia sendiri pamerkan sejak dia masuk ke premis itu tadi semakin lama semakin kendur.

Sepanjang Cik Linda membawanya melihat-lihat bahagian serta staf yang menjaga setiap bahagian itu, hatinya mula rasa tidak senang. Walaupun pelanggan tidak ramai, kebanyakan staf di situ hanya berbual sesama sendiri.

Pelanggan sepatutnya dilayan dan dipenuhi permintaannya. Memang ada sesetengah pelanggan yang tidak selesa apabila setiap langkah mereka diekori oleh pekerja tetapi sekurang-kurangnya, staf perlu sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat apabila diperlukan. Bukannya pelanggan terpaksa tercari-cari staf untuk mencarikan sesuatu item.

Staf yang menjaga bahagian pakaian nampaknya tidak mengambil serius tentang bahagian mereka. Jenis-jenis pakaian yang sepatutnya dipamerkan dan digantung terutamanya di bahagian pakaian wanita tidak banyak sepertimana yang sepatutnya.

Seingat Nizar, banyak kod item di dalam senarai pakaian wanita. Sudahlah banyak pakaian yang tidak disusun mengikut kategori yang betul, malah pada besi waterfall tertentu, ada pakaian yang digantung terlalu padat dan ada yang terlalu kurang. Malah ada waterfall yang dibiarkan kosong tanpa pakaian yang diperagakan.

Penyangkut baju juga tidak diuruskan dengan baik. Apabila ada pelanggan yang melihat-lihat pakaian, pelanggan biasanya akan membuka pakaian daripada penyangkut baju. Pelanggan akan memilih lebih daripada satu dan sudah menjadi tanggungjawab staf untuk menyangkutkan semula pakaian yang tidak terpilih itu ke tempat asalnya atau kumpulkan di satu tempat dan susun kembali kemudian.

Tetapi di sini, penyangkut baju ada di merata-rata tempat. Di atas baju-baju yang berlipat atau dibiarkan tergantung di atas besi waterfall begitu sahaja.

Ini hendak berniaga baju atau berniaga penyangkut baju?

Pada baju-baju yang tergantung tetapi tidak mendapat sambutan pula, Nizar dapati habuk yang agak tebal sudah menyelimuti baju-baju tersebut. Malah ada baju yang sudah lusuh dan nampak lama. Nizar telan air liur. Agaknya sudah berapa lama baju-baju itu tergantung begitu saja tanpa dipedulikan?

Namun, berbanding itu semua, Nizar lebih peduli tentang kedudukan bahagian pakaian wanita yang tidak strategik. Entah mengapa mereka meletakkan kedudukan pakaian dalam wanita yang sensitif itu berdekatan dengan bahagian pakaian lelaki.

Kalau jenis pakaian yang lain mungkin tidak mengapa. Pelanggan wanita yang hendak membeli pakaian dalam pasti rasa tidak selesa hendak membeli-belah jika ada pelanggan lelaki yang berdekatan. Kalau Nizar sendiri jadi pelanggan, dia lebih rela tidak membeli.

Pandangan Nizar melorot pula pada beberapa guni berisi item seperti pakaian, selimut dan seragam sekolah yang terletak di setiap bahagian. Ada yang diletak di bawah bin dan ada yang diletak pada kaki bin. Nizar berasa rimas pula melihatnya.

Mengapa stok diletakkan di ruang niaga agaknya? Apa gunanya ada stor? Tiada orang yang mahu mengemaskah?

Nizar membetulkan cermin matanya yang sudah melorot di hidung.

"Cik Linda, kenapa guni-guni ni ada dekat ruang niaga? Menyesakkan laluan aje."

"Ada staf yang tak siap susun item lagi."

Tak siap? Yang aku nampak dia orang berkumpul dan berborak tadi apa?! pekiknya dalam hati.

"Kebanyakan staf tak siap susun barang lagi ke?" soalnya lagi. Cik Linda menjawab dengan senyuman sahaja.

Cik Linda kemudian menunjukkan bilik rehat dan tandas. Walaupun tandas tidaklah secantik mana tetapi lega juga hatinya kerana ia nampak bersih. Bilik rehat staf pula walaupun kecil tetapi selesa untuk solat dan duduk berehat. Namun, senyumannya kemudian hilang terus apabila tiba ke bilik stor.

"Ini stor yang menempatkan lebihan item-item untuk return dan juga semua barang-barang kedai."

Sebaik Cik Linda membuka pintu bilik stor itu, Nizar hampir pitam. Kalaulah Tuan Kamil yang nampak, agaknya orang tua itu perlu dikejarkan ke wad kecemasan kerana rebah akibat tekanan darah tingginya secara mendadak.

"Ini stor?" soalnya tidak percaya.

Cik Linda angguk dengan senyuman.

Bilik stor yang kecil itu sudah tidak nampak lantainya. Lebihan item seperti yang didakwa oleh Cik Linda itu berbungkus dengan plastik dan masih dalam keadaan pukal. Dia tidak tahu berapa banyak item yang tersimpan di situ kerana tingginya hampir mencecah siling.

Item yang dia nampak seperti pakaian seragam sekolah dan pakaian kanak-kanak masih berbungkus tetapi bungkusan plastik yang asalnya putih itu sudah bertukar hitam. Tebal dengan debu.

Sebahagiannya ada yang terkoyak plastik dan item tersimpan di dalamnya terkeluar dan terdedah dengan habuk. Sarang labah-labah juga saling bergantungan. Ini menunjukkan lebihan item tersebut sudah terlalu lama berada di stor.

Itu belum lagi dikira dengan barang-barang kedai seperti bakul belian, penyangkut baju pelbagai saiz, bin divider, serta besi waterfall penggantung pakaian yang tidak disusun dengan baik. Barang-barang kedai itu memadatkan lagi ruang stor yang kecil itu.

"Cik Linda, ini semua item untuk return?"

Cik Linda angguk.

"Item return dan reject."

Jatuh rahangnya. Senyumannya tidak dapat dikekalkan lagi. Nizar menapak selangkah ke dalam stor. Hidungnya mula terasa sesak dan gatal dimasuki habuk.

"Cik Linda, kenapa tak return semua item ni? Saya tengok macam dah lama sangat duduk dalam stor ni."

"Saya ingat nak return sekali gus tapi lama-lama banyak sangat. Tak sempat nak rekod semua item yang keluar masuk kedai."

"Cik Linda tak bolehlah buat macam tu. Kalau ada item yang lebih, Cik Linda buatlah proses return tu sekerap mungkin supaya item yang baharu boleh dibawa masuk dan disimpan dalam stor. Kalau stor dah padat, macam mana item baru nak masuk? Saya nampak banyak guni berisi item yang duduk dekat luar sebab dah tak ada ruang nak simpan dalam ni. Betul tak?"

Senyuman Cik Linda mula kendur.

"Guni-guni yang berisi item dekat luar tu bukan ada dekat setiap bahagian disebabkan staf masih belum siap susun item lagi tetapi disebabkan tak ada ruang untuk simpan stok, kan?"

Cik Linda terdiam.

"Memang patutlah stok tak boleh simpan dalam stor kalau stor penuh dengan item yang tak boleh dijual lagi dekat sini. Cik Linda nak suruh saya buat semua proses return ni ke?"

Cik Linda spontan menggeleng.

"Tak apa, Encik Nizar. Saya dah berkira-kira nak return semua item ni dekat HQ sebelum saya berhenti kerja akhir bulan ni."

Nizar hela nafas. Dia tidak pasti kalau kata-kata Cik Linda itu boleh menjadi kenyataan. Dia cuma ada tempoh tidak sampai seminggu lagi. Mana sempat hendak proses semua item itu. Nampaknya, Cik Linda memang berniat untuk melepaskan tanggungjawabnya dengan mudah tanpa memikirkan kedudukan orang yang akan menggantikannya kelak.

"Tak apalah. Tunjukkan saya bilik pejabat," kata Nizar akhirnya. Dia mengalah daripada berleter dengan Cik Linda yang asyik senyum dan angguk itu.

"Pejabat dekat tingkat atas. Silakan."

Mereka naik ke tingkat atas premis. Tingkat atas premis menempatkan barangan kelengkapan rumah seperti alatan dapur, perhiasan ringkas seperti pinggan mangkuk hiasan, alatan membersihkan rumah dan sebagainya.

Bahagian ini dikendalikan oleh dua orang staf. Bilik pejabat terletak di sebalik rak yang menggantung karpet. Kalau sekali tengok memang orang tidak akan perasan ada sebuah pintu di belakang karpet-karpet yang digantung itu. Nizar membuntuti Cik Linda di belakang dengan langkah teragak-agak bagi mengelak rak karpet dan ruang yang agak sempit.

Apabila Cik Linda membuka pejabat tersebut, sekali lagi Nizar diserang kejutan.

"Cik Linda, kenapa banyak sangat kotak lipat dekat dalam ofis ni?" soalnya terpinga-pinga.

Cik Linda tersengih.

"Ini kotak-kotak daripada item-item kita. Sayang nak buang. Kalau kita kumpul, boleh jual."

Nizar mahu tertawa dan dalam masa yang sama, dia juga mahu menangis. Kenapalah pengurus cawangan ini mengamalkan sikap 'berjimat-cermat' seperti ini? Kalau hendak simpan sekalipun, kenapa simpan di dalam pejabat? Menyesakkan ruang yang memang sedia sempit ini. Hendak tunggu berapa kilo kotak baru mahu jual agaknya?

Pejabat kecil itu menempatkan sebuah meja yang menempatkan telefon, mesin faks, fail dan alat tulis. Di belakang meja terdapat sebuah almari kecil yang menempatkan pelbagai jenis fail serta sebuah peti besi simpanan yang kecil. Ada sebuah sofa panjang yang kelihatan agak selesa untuk dijadikan tempat rehat. Satu-satunya benda yang ceria di pejabat kecil itu ialah lantainya yang dilapik dengan karpet berwarna merah terang.

"Sebenarnya, saya nak tanya sejak Encik Nizar sampai tadi lagi tapi saya rasa mungkin tak sesuai, jadi saya diamkan aje. Tapi sekarang ni, saya rasa saya kena tanya juga. Kalau tak, saya tak dapat tidur malam ni," kata Cik Linda.

Spontan Nizar mengundur setapak ke belakang.

"Nak tanya apa?"

"Saya tak pernah dengar orang dari HQ ditukar ke cawangan. Selama ini, pertukaran adalah antara sesama pengurus cawangan aje, tak melibatkan orang dari HQ."

Itu dia, soalan cepumas sudah muncul!

Nizar hela nafas panjang.

"Pertukaran saya ni atas arahan Tuan Kamil, jadi saya tak boleh nak buat apa-apa," jawabnya setenang mungkin.

"Mungkin ke pertukaran ni ada kena-mengena dengan khabar angin tentang penutupan cawangan Tanjong Karang?"

Nizar memandang Cik Linda tepat.

"Mana Cik Linda dengar khabar angin macam tu? Cawangan Tanjong Karang nak ditutup?"

Biar betul? Secepat ini khabar angin itu tersebar?

"Saya rasa majoriti pengurus cawangan tau pasal hal ni tapi dalam kalangan kami aje. Tapi staf dekat sini pun tak tahu. Saya tak nak heboh dekat dia orang."

"Sebab khabar angin ni ke Cik Linda nak berhenti?"

Cik Linda tertawa. Kali ini agak nyaring. Entah apa yang lucunya.

"Bukanlah. Saya berhenti sebab saya nak kahwin bulan depan," jawabnya sambil menghabiskan sisa ketawa.

"Oh, tahniah," ucap Nizar dengan senyum paksa.

"Nanti saya bagi kad undangannya, ya," kata Cik Linda, teruja.

Nizar senyum paksa lagi.

"Kalau ada masa saya datang."

"Datang, ya. Bawa kawan-kawan Encik Nizar sekali. Kalau boleh yang masih single. Boleh kenalkan dengan kawan-kawan saya pula nanti. Kawan-kawan saya ramai yang single lagi."

Nizar senyum paksa. Perempuan ini! Sambil menyelam minum air.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro