Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Nizar menyebak rambut dan melepas keluh. Dia sudah rasa hilang sabar. Kereta Perodua Viva di hadapannya ini sejak tadi asyik brek mengejut saja. Trafik pada malam itu agak perlahan. Tidak seperti kebiasaan.

Nizar memeriksa jam pada dashboard. Sudah lewat 10 minit dari masa yang telah dijanjikan. Dia mengeluarkan telefon, berhasrat untuk menekan nombor 1 speed dial. Jemarinya tidak terhenti. Dia teragak seketika sebelum membatalkan hasrat lalu mencampakkan telefon ke tempat duduk sebelah.

Beberapa minit kemudian, barulah Nizar mengetahui punca trafik yang perlahan itu. Ada sekatan jalan raya yang sedang dilakukan oleh polis trafik. Kelihatan tiga orang penunggang motosikal ditahan di tepi jalan sambil disoal siasat oleh pegawai yang bertugas.

Dia memperlahankan kereta, mengangkat tangan dan mengangguk kepada petugas trafik sebelum meneruskan perjalanannya.

Sebaik saja Nizar terlihat bangunan restoran yang dijanjikan, dia membelok dan mula mencari parkir kosong. Kawasan parkir di situ penuh dan dia berpusing beberapa minit sebelum mendapat sebuah tempat kosong yang baru saja ditinggalkan oleh sebuah kereta Proton Persona.

Setelah mematikan enjin, Nizar membelek wajah pada cermin kereta, merapikan rambut yang kusut dan memeriksa pakaiannya. Semuanya nampak okey. Dia menarik nafas panjang. Berharap. Malam ini, strateginya adalah dengan meminta maaf dan menelan apa saja kata-kata yang keluar dari mulut Rozlyn kelak.

Dia menolak pintu restoran dan menebar pandang mencari Rozlyn. Dilihatnya Rozlyn sedang duduk di sudut paling hujung. Di atas meja sudah ada segelas jus tembikai kegemarannya. Namun, wajah Rozlyn nampak sedikit keruh dan matanya sembap. Dia benar-benar berharap yang kekeruhan pada wajah Rozlyn itu hanya disebabkan oleh kelewatannya dan bukannya sebab lain.

"Lyn, dah lama awak sampai?" Nizar menggarit senyum lebar seraya menghuni kerusi di hadapan Rozlyn.

"Taklah. Saya pun baru sampai." Rozlyn sebaliknya membalas tawar.

Ruang di dalam restoran hingar dengan gelak ketawa dan perbualan pelanggan yang datang. Pelanggan restoran itu memang ramai pada waktu sebegini. Ini adalah restoran kegemaran Rozlyn kerana makanannya menepati cita rasanya.

"Awak dah oder?"

"Belum. Saya tunggu awak."

"Okey..." Nizar melilau mencari pelayan tetapi pelayan yang ada sedang sibuk mengambil pesanan dari meja lain. Pelayan yang lain pula sedang sibuk menghantar pesanan dari meja ke meja. Dia melambai tetapi tiada seorang pelayan pun yang memandangnya kerana masing-masing sibuk dengan pesanan pelanggan.

"Nizar, betul ke awak serius dengan saya?" soal Rozlyn tanpa sebarang mukadimah.

Nizar menjatuhkan tangan. Iris coklat Rozlyn dipandang tepat dan dalam. Soalan cepumas Rozlyn yang tiba-tiba itu menjentik-jentik kuat hulu hatinya.

"Ya. Awak pun tahu, kan?"

"Betul ke?"

"Betul. Awak tak percayakan saya ke?"

Rozlyn menggigit bibir.

"Lyn, awak nak makan apa?" Sengaja Nizar mahu mengalihkan hala tuju perbualan mereka. Dia mengangkat tangan kembali sambil matanya mencari kelibat pelayan. Ada seorang pelayan yang melihatnya tetapi pelayan itu memberi isyarat memintanya menunggu kerana dia sedang melayan pelanggan yang berdekatan dengannya terlebih dahulu. Geram pula hatinya dengan pelayan tersebut sedangkan dia terlebih dahulu sampai. Dia melilau pandang cuba mencari pelayan lain.

"Nizar, bila awak nak masuk meminang?"

"Huh?"

"Awak memang tak nak kahwin dengan saya ke?"

Soalan yang tidak terjangka itu mencetuskan isyarat kecemasan di dalam otaknya. Dia dengar getar pada suara Rozlyn ketika menuturkannya. Nizar spontan menjatuhkan tangannya kembali. Sekarang bukan masanya untuk memanggil pelayan dan memesan makanan.

Ah! Pastinya keluarga Rozlyn menekannya lagi tentang hal perkahwinan mereka.

"Lyn, kan kita dah bincang hal ni. Kita akan kahwin tapi bukan dalam masa terdekat ni. Saya belum bersedia lagi. Kan awak dah setuju nak bagi saya masa setahun lagi sebelum saya hantar rombongan meminang."

"Awak lebih pentingkan kerja awak tu daripada saya, kan?" soal Rozlyn sedikit emosi.

"Lyn, kenapa dengan awak ni? Saya ingat masalah tu dah selesai."

Bukan Nizar tidak ingat. Semasa bertemu dengan keluarga Rozlyn, ibu dan ayahnya berkias-kias dengan Nizar. Dia faham maksud mereka tentang hasrat mereka mahu mengahwinkan Rozlyn dengan segera dan tentang majlis perkahwinan 'sekali seumur hidup'.

Hendak jadi suami orang bukannya mudah. Dia perlu fikirkan tentang belanja kahwin, rumah yang bakal mereka duduki dan juga kos sara hidup mereka setelah berkahwin kelak. Dia sudah menghitung kos-kos itu semua. Kewangannya masih belum kukuh.

Memanglah kahwin dengan pasangan yang dicintai itu salah satu kelebihan. Namun untuk terus menghidupkan cinta itu perlukan duit juga. Dia sedia maklum yang dia bukannya daripada keluarga kaya-raya.

Sekurang-kurangnya dia mahu Rozlyn selesa berkongsi hidup dengannya. Dan dia juga mahu ibu bapa Rozlyn reda dan percayakan dia untuk menjaga anak mereka dengan baik.

Cinta tak boleh membeli beras tapi duit boleh membeli beras dan seterusnya menyuburkan cinta itu.

Pokok pangkalnya duit.

Nizar tidak mahu memberitahu tentang kekangan kewangan yang sedang dia hadapi kepada Rozlyn. Dia tidak mahu Rozlyn susah hati.

"Selesai? Masalah ni tak pernah selesai, Nizar," kata Rozlyn.

Nizar terkedu seketika mendengar jawapan Rozlyn tetapi dia cepat menenangkan diri. Dia menolak cermin mata di pangkal hidungnya. Satu tabiat yang menunjukkan dia sedang serius.

"Lyn, apa yang dah jadi sebenarnya? Kenapa tiba-tiba awak timbulkan lagi soal kahwin ni?"

Soalan Nizar itu rupa-rupanya bagai menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marak.

Rozlyn menggigit bibir dan memandangnya tajam. Dadanya berombak. Keadaan Rozlyn itu mencetuskan isyarat bahaya di dalam otaknya. Nizar tahu dia perlu mengawal situasi itu. Dia perlu mengatakan sesuatu bagi menyejukkan api amarah Rozlyn tapi dia tidak tahu perkataan yang sesuai untuk memujuknya.

Bagai hilang semua perbendaharaan kata yang tersimpan dalam memorinya. Otaknya sudah terlalu tepu untuk melahirkan sebarang kata-kata pujukan apabila hatinya sedang terlalu cemas dengan emosi yang tertera pada wajah Rozlyn.

"Awak dah tak sayangkan saya, kan? Sebab itulah awak tak nak kahwin dengan saya."

Nizar rasa seperti darahnya disedut keluar oleh sesuatu sebaik mendengar kata-kata Rozlyn. Tapi pada masa itulah pelayan yang dipanggilnya tadi berjalan ke meja mereka untuk mengambil pesanan. Pelayan itu bagai tidak menyedari 'bom jangka' yang bakal meletup di hadapannya.

"Oder, bang?" Dengan tenang pelayan tersebut bertanya dengan nota catatan di tangannya.

Nizar mengangkat tangan sebagai isyarat menahan pelayan tersebut daripada berkata lebih lanjut.

"Lyn, saya sayangkan awak tapi tak semestinya kalau saya tangguhkan rancangan perkahwinan kita tu sebab saya tak sayangkan awak lagi. Kenapa awak fikir macam ni?"

Rozlyn tiba-tiba tertawa. Tawa sinis.

"Saya dah agak..."

Nizar memandangnya terkebil-kebil.

"Saya dah agak. Cinta kita dah mati!"

Dia terkejut mendengar kata-kata Rozlyn yang tidak disangka-sangka itu. Tapi kejutan yang paling tidak disangka-sangka ialah apabila Rozlyn tiba-tiba bangun lalu menyimbah wajah Nizar dengan jus tembikainya. Nizar tergamam.

"Kita putus!" pekik Rozlyn.

Pelayan dengan riak terkejut di sebelahnya itu ditolak oleh Rozlyn kerana menghalang laluannya. Rozlyn melangkah tanpa menoleh lagi. Yang Nizar dengar hanya bunyi derap sepatu tingginya yang semakin lama semakin tenggelam dalam kalangan suara pengunjung restoran.

Sungguh! Terasa tebal wajahnya macam pakai topeng getah yang berinci-inci tebalnya. Satu restoran melihat Nizar bermandikan jus tembikai. Ada yang tergamam, ada yang ketawakannya, malah ada yang mengambil gambarnya dengan telefon mereka.

Rupa-rupanya, babak kena simbah dengan air yang selalu ada dalam drama pun boleh berlaku dalam realiti. Segan sungguh dia. Beberapa ketika kemudian, dia keluarkan not RM50 di atas meja lalu keluar dari tempat tersebut.

Lampu isyarat di hadapannya sudah bertukar merah. Nizar memperlahankan kereta sebelum berhenti. Ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau, dia membuka cermin matanya yang terkena jus tembikai dan mengelapnya buat sekian kali dengan hujung baju T miliknya yang masih kering. Dia memeriksa pakaiannya. Baju T bahagian atas badannya masih dibasahi dengan jus tembikai. Rambutnya juga masih lembap dengan jus tembikai. Bau tembikai kuat memenuhi rongga hidungnya.

Nizar tertawa sendiri. Mula-mula perlahan tetapi kemudian menjadi kuat. Akhirnya dia ketawa berdekah-dekah. Nasib baik dia di dalam kereta. Jika orang lain melihat keadaannya sekarang ini, pastinya sudah dicap sebagai orang yang miring.

Dia teringat kata-kata Rozlyn tadi.

"Kita putus!"

Neuron-neuron di dalam otaknya mencetus isyarat ke saraf tubuh. Sekujur tubuhnya mula terasa sakit-sakit. Ritma jantungnya juga macam tidak stabil. Aneh. Bagaimana hanya dengan menggunakan dua patah perkataan itu dapat memberi impak negatif kepadanya?

Lalu segenap rasa emosi yang dia cuba halang tadi mula mengalirkan kesedarannya. Mulanya sedikit lesu tetapi lama-kelamaan kesedaran itu semakin deras dan bergulung seperti ombak besar yang menghempas pantai.

Dia hanyut.

Bagai dejavu. Dia pernah rasai semua ini sebelum ini.

Nizar jadi iri dengan zaman kanak-kanaknya. Dia ingin kembali menjadi kanak-kanak supaya dia boleh menangis sepuas hati ketika sedang bersedih, dia ingin ketawa sekuat hati jika dia sedang gembira dan dia ingin berlari jauh hingga lelah sebebasnya.

Dia hela nafas panjang. Jeritan hon kenderaan di belakang mengejutkannya. Lampu isyarat rupa-rupanya sudah bertukar hijau. Lekas-lekas dia memasukkan gear.

Mungkin betul hati orang mudah berubah. Semudah warna lampu isyarat bertukar warna. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro