
BAB 4
SIAPA mamat galah yang dipanggil Handsome oleh si gatal itu? Persoalan itu benar-benar mengganggu ketenteraman Khayra hari ini. Jantungnya berdegup kencang lain macam sebaik saja matanya bertembung dengan lelaki tinggi tersebut. Mata lelaki di sebalik kaca mata hitam itu... bagai ada sesuatu di sebalik matanya.
"Kau dah kenapa Rara?" Khayra mengetuk kepalanya dengan pen.
Serius, dia sudah tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada kerjanya pada petang itu. Fail-fail klien yang baru sampai ke meja kerjanya dipandang sepi. Jiwanya kosong, hatinya resah. Lagi haru, lengannya kirinya sejak dari tadi berasa pedih padahal tidak ada sebarang luka. Sakit sangat seperti terkena api!
Dalam keadaan seperti itu, kotak memorinya melayang pada kejadian kebakaran rumahnya pada 15 tahun lepas. Kerana dia yang terlalu nakal ketika itu, habis sebuah rumahnya rentung tidak bersisa. Sesalnya menggunung, tetapi apakan daya semuanya telah terjadi.
Pada hari kejadian kebakaran, cikgu di sekolahnya ada mengajar peribahasa "marahkan nyamuk kelambu dibakar". Cikgu mata pelajaran Sains pula mengatakan nyamuk sukakan kegelapan. Menarik. Khayra yang suka mencuba sesuatu yang baru mulai berfikir, apa yang akan terjadi kalau dia menguji sendiri teori itu?
Dan itulah titik permulaan sebuah tragedi.
Malam itu, ketika ibu dan ayah keluar ke rumah jiran untuk kenduri tahlil, dia mengambil keputusan melakukan eksperimen. Semua lampu dalam rumah dimatikan. Pintu dan tingkap dikunci kecuali tingkap biliknya yang dibiarkan sedikit terbuka. Suasana gelap gelita, hanya diterangi cahaya sebatang lilin.
Tujuannya? Untuk menguji teori cikgu Sains iaitu betulkah nyamuk sukakan kegelapan. Jika ya, dia akan bertapa di dalam kelambu sambil menunggu ibu dan ayahnya pulang. Namun, andai teori itu salah, dia akan terus menyalakan lampu semula.
Seperti yang dijangka, tidak lama selepas itu bunyi nyamuk mula berdengung di telinganya. Si nyamuk tanpa malu-malu datang menyerbu, terbang keriangan mencari mangsa. Khayra tersenyum puas. Ternyata omongan cikgunya memang benar. Namun, kegembiraan itu hanya bertahan seketika.
Lilin di tangannya masih menyala ketika dia melangkah masuk ke dalam kelambu. Hayunan nyalaannya meliuk-lintuk mengikut rentak gerakannya. Malangnya, dia tersadung bantal golek. Lilin terlepas dari genggaman dan jatuh ke hujung kelambu.
Sekelip mata, api menyambar kain nilon itu. Pada awalnya, hanya sambaran kecil. Tetapi panik yang menguasai dirinya membuatkan dia kaku. Lidahnya kelu, hanya jeritan hati meminta tolong bergema.
Dalam sekelip mata, api merebak rakus, melahap langsir, menjilat siling rumah papan yang rapuh. Asap tebal memenuhi ruang. Nafasnya sesak. Meraung dia memanggil ibu dan ayah, namun tiada siapa menyahut. Dia keseorangan.
"Rara, Rara!" Satu suara kuat berserta goncangan pada bahu menyedarkannya daripada memori silam.
Matanya terasa basah. Entah bila dia menangis, dia tidak pasti. Tetapi satu hal yang dia sedar, lengannya semakin perit. Tempat yang sama api menyambar lengannya lalu sehingga menyebabkan tahap kelecuran 50%. Rasa terbakar itu menggila, seolah-olah kulitnya sedang disiat hidup-hidup.
"Kau okey tak ni?" panggil lagi si empunya suara dengan nada bimbang.
"Cin... Cindy... sakit..." Akhirnya, Khayra membuka mulut dengan tangisan semakin melebat. Tangannya memegang kejap lengannya.
"Jom, aku bawa ke hospital," ajak Cindy lalu memapah Khayra yang kelihatan lemah seperti kain buruk.
Khayra... seperti biasa dia membenci keadaan ini. Phantom pain benar-benar membuatkan dia menjadi seorang yang lemah!
*****
"DARK, kau okey tak ni?" tanya Light prihatin.
Wajah Aariz pucat, hampir tiada darah. Nafasnya pendek-pendek dan terputus-putus seperti orang yang sedang bertarung dengan serangan asma. Mereka kini berehat di kerusi batu berhampiran garaj kereta, iaitu tempat biasa mereka melepaskan lelah sebelum pulang ke kediaman masing-masing selepas seharian di pejabat Dato' Sani.
"Aku okey," jawab Aariz sambil mengurut dada. Suaranya kedengaran serak. Tangannya ditelangkupkan lalu dibawa ke hidung, sedaya upaya mengawal pernafasannya seperti yang diajar oleh doktor.
"Kau nampak tak okey langsung, Dark!" tekan Light. Matanya tajam menilai keadaan rakannya itu.
"Aku okey, Light. Jangan risau." Aariz cuba meyakinkan, tetapi riak wajahnya gagal menipu Light.
Sudah lama dia tidak berasa kesakitan seperti ini. Dadanya sesak, nafasnya semput. Oksigen pula keluar masuk ke dalam paru-parunya seperti paksa rela saja. Dia positif dirinya menjadi begini kerana tindakan Dato' Sani yang memaksanya membersihkan stor lama di belakang rumah tadi.
Sejenis majikan tak guna, suka mengambil kesempatan! Aariz perlu akur dan patuh disebabkan operasi penyamarannya. Dia tidak dapat mengelak kerana ketika itu, Light tidak bersamanya. Ada tugasan lain di luar yang lebih penting menuntut kehadiran Light di sana. Jadi, dialah yang kena bersihkan stor walaupun tahu dirinya bakal kesakitan dek habuk tebal di dalam bilik itu.
Uhuk! Uhuk!
Aariz terbatuk-batuk, dadanya semakin ketat.
"Allah..." rintihnya perlahan. Sakit. Sesak. Seperti paru-parunya sedang terbakar!
"Dark!" panggil Light, gusar.
"Aku bawa kau ke hospital," putus Light lalu tanpa menghiraukan tegahan Aariz, dia memapah tubuh rakannya itu lalu menyandarkannya di kerusi hadapan.
'Aariz, kau kena kuat!' bisik hati Light.
Kerana pertolongan Aariz, dia terselamat daripada insiden hitam di kilang pengisian dan pembotolan gas ammonia pada lima tahun lepas. Jadi, dia takkan biarkan sesuatu yang buruk terjadi kepada lelaki itu. Terus dia menghidupkan enjin kereta lalu tanpa berfikir panjang, dia menekan pedal minyak sehabis rapat.
Masa menghambat, jiwa tertambat. Apa yang pasti, Aariz mesti selamat!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro