Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

AARIZ memberhentikan keretanya di parkir rumah banglo mewah tiga tingkat milik Dato' Sani. Perjalanan dari Darul Hikmah hanya mengambil masa dua jam untuk tiba di rumah majikannya itu.

Dia sekilas mengerling jam tangan Casio G-Shock GBD100-1 di pergelangan tangannya sebelum mencapai pistol Glock MOS 19 yang tersimpan di bawah kerusi pemandu. Senjata itu disisipkan ke dalam gun holster di pinggang dengan gerakan pantas.

Aariz mencapai jaket hitam yang tergantung di kerusi penumpang hadapan, lalu menyarungkannya ke tubuh dengan gerakan cekap. Cermin mata hitam dipakai, diikuti dengan topi sudu hitam yang diletakkan kemas di kepala. Akhir sekali, dia menyarungkan muka hitam khas yang direka untuk menapis habuk dan asap berbahaya.

Dia memang alah pada dua perkara itu akibat penyakit COPD yang dihidapinya. Penyakit yang tidak sengaja dihidapi berpunca daripada tindakan nekadnya menyelamatkan rakan setugas yang terperangkap di dalam stor lama di sebuah kilang pengisian dan pembotolan gas ammonia.

Sekali pandang, penampilannya hari ini tidak ubah seperti seorang selebriti yang cuba mengelak daripada serbuan peminat. Buat seketika, bibirnya mengukir senyuman nipis.

"Dark, akhirnya muncul pun kau," tegur satu suara.

Seorang lelaki yang berpakaian serupa dengannya mendekat. Namun, bezanya lelaki itu tidak memakai pelitup muka. Itu satu-satunya pembeza antara mereka berdua sebagai pengawal peribadi bersenjata Dato' Sani.

"Light," sahut Aariz lantas melagakan penumbuknya dengan buku lima lelaki itu.

"Dato' dah siap ke?" tanyanya pula.

"Macam biasalah, orang tua tu kalau bersiap kalah bini dia," jawab Light. Ada nada selaran dalam jawapannya.

"Kau ni tak baiklah." Aariz tergelak kecil. Tak sampai hati mahu ketawa terbahak-bahak mengenangkan perangai siput sedut tambah miang majikannya itu.

"Betul apa aku cakap? Dasar orang tua. Cuba kau tengok Fify tu, rasanya boleh berjanggut kucing tu tunggu tuan dia bersiap," cemuh Light lagi, merujuk kepada kucing putih kesayangan Dato' Sani.

"Sabar itu separuh daripada iman, Light," tegur Aariz. Kawannya yang seorang ini tidak boleh dibiarkan hanyut dalam kegeraman, jika tidak semakin parah jadinya sindrom "mak nenek" yang dihidapinya.

"Yalah, ustaz," balas Light dengan nada malas, memilih untuk mendiamkan diri selepas itu.

Sejujurnya, tidak kuasa dia mahu berhujah dengan Dark, si jejaka berkulit cerah setinggi 180 cm itu. Kalau berdebat, lebih baik dia angkat bendera putih awal-awal. Mulut si Dark ini boleh tahan pedas, lidahnya tajam dan petah pula berhujah.

"Tu, si bunga dah keluar," kata Aariz lalu ketawa kecil. Pantas tangannya membukakan pintu kereta Mercedes-Benz hitam metalik milik usahawan itu lalu mempersilakannya masuk dengan penuh hormat.

"Good morning my sunshine berdua," tegur Dato' Sani sambil melangkah penuh ayu ke arah Aariz dan Light, atau nama sebenarnya Taqi.

"Morning, dato'," balas Aariz dan Light serentak. Meremang bulu roma mereka berdua mendengar suara lembut si majikan. Seram sungguh!

Namun, Dato' Sani langsung tidak mempedulikan reaksi mereka. Seperti biasa, dia terus memboloskan diri ke dalam kereta. Alasannya mudah, penat berjalan dari pintu utama rumah ke garaj.

Dia kan si bunga dengan berbaju sut pink, kasut putih, dan rambut disikat rapi ke belakang. Sekali pandang, macam pondan pun ada. Tetapi itulah, lembut jangan disangka lemah. Sekali menjerit habis terkeluar suara jantan!

"Dato' ada nak singgah di mana-mana tak sebelum jumpa Cik Amra?" tanya Aariz dengan tenang dari tempat duduk pemandu. Masih berbaki setengah jam sebelum perjumpaan dengan pegawai pemasaran syarikat pengiklanan itu.

"Ya, singgah di kedai bunga dan belikan aku bunga ros merah untuk cik adik cantik tu," jawab Dato' Sani dengan matanya masih terfokus pada cermin kecilnya di tangan. Sejak tadi, tangannya ligat membetulkan rambut, seolah-olah masih belum puas dengan penampilannya.

"Baik, dato'," jawab Aariz lalu menghidupkan enjin kereta.

Keberadaan Light yang statik tercatuk di atas motor sambil menunggu masa untuk superbike berjenama Ducati itu ditunggang dikerling sekilas melalui cermin sisi. Wah, cemberutnya wajah lelaki tinggi lampai berkulit sawo matang itu!

Aariz hanya mampu menggeleng melihatkan ulah rakan setugasnya dalam badan perisikan yang dikenali sebagai BRIN (Biro Risikan Intelektual Negara), Unit Risikan Jenayah Dalam Negara itu. Nasiblah Light kena menjadi partner dia, si Dark.

Kata ketuanya Tuan Walid, Light dan Dark adalah pasangan sekerja yang paling sesuai untuk misi mengumpulkan maklumat berprofil tinggi kali ini. Entah, telan sajalah suruhan ketuanya.

*****

"AKU dah cakap, mesti si pondan tu akan lambat punya," omel Khayra sambil meramas-ramas kertas dokumen perjanjian. Nasib saja kertas itu dibuat dalam lima salinan sebagai spare barannya. Dikeronyok empat, ada lagi baki satu salinan. Jika disediakan satu salinan saja, memang buang karan sajalah dia kena mencetak semula surat perjanjian tersebut.

"Maaf, cik mahu oder apa?" tanya seorang pelayan.

"Air kosong. Letakkan ais banyak-banyak, thanks," jawab Khayra dengan malas.

Dia perasan saja wajah pelayan yang melihatnya dengan riak tidak percaya. Air kosong saja?

Sebenarnya, bukanlah dia tidak mampu untuk berbelanja di restoran mewah ini tetapi apakan daya marahnya sangat membara sekarang. Sesekali jam tangan Casio SHEEN pink cair yang bertatahkan kristal Swarovski itu ditenung dalam.

Cis, Dato' Sani sudah terlewat setengah jam!

Kertas surat perjanjian hanya ada satu saja lagi. Sedaya mungkin dia menahan diri agar tidak mengeronyok salinan terakhir itu. Setiap kali berurusan dengan lelaki itu, ada saja yang menaikkan darahnya. Kalau bukan kerana arahan bos, memang dia takkan jejakkan kaki di sini. Nama Dato' Sani sebagai klien sudah cukup untuk merosakkan mood dia berhari-hari.

'Siap kau orang tua. Kalau aku bilang tiga kau tak muncul juga, memang kertas ni aku bakar sekali dengan restoran mewah milik kau ni!' Hatinya mendongkol geram.

"Satu... dua..." bilang Khayra perlahan.

"Ti..." Dia berkira mahu menekan perkataan "ga" tetapi belum sempat perkataan itu dilafaz, tiba-tiba sejambak bunga ros merah muncul di depan matanya.

"Hi, sweety," bisik satu suara lunak penuh lemah gemalai di tepinya telinganya. Geli geleman, automatik tangannya tanpa dapat dikawal terus membenamkan buku limanya ke hidung si pembisik.

"Adoi!" Terkeluar suara jantan si pemilik suara lembut tadi.

"Kau lambat dato'!" sembur Khayra. Figura Dato' Sani yang memegang hidungnya dek dihinggapi penumbuk sulungnya tidak dihiraukan. Apa yang penting, si pondan buaya daratan ini perlu diajar!

"Alah, sorry tau sweety. Garang betul. Ini yang buatkan aku semakin suka kat kau, Cik... Amra... Khayra. Hihihi," gelak Dato' Sani sambil menekup mulut.

'Sewel!' sumpah Khayra dalam hati.

Ya Allah, apalah dosanya dipertemukan dengan manusia dua alam tak kenang dek untung ini? Fizikal lelaki tetapi dalaman perempuan, katanya. Tapi yang hairannya, boleh pula si orang tua ini berkahwin dan beranak pinak. Tidak takut kepada Allah ke manusia ini? Lelaki tetapi sengaja berlagak sebagai wanita!

"Cepat sign kontrak tu. Aku nak balik," kata Khayra dengan kasar. Jika tidak kerana bosnya yang memaksa agar menerima klien seperti Dato' Sani, memang sampai kiamat dia tidak akan bekerjasama dengan si lelaki lembut itu. Kecelaruan mental betul dibuatnya!

"Okeylah, alah garangnya Sweety abang. Hehehe," gelak Dato' Sani lagi lalu menarik lembut kertas kontrak. Laju saja tangannya menandatangani surat perjanjian kerjasama antara syarikatnya dengan syarikat pengiklanan Khayra.

'Abang? Memang minta kaki si jantan keparat ni!' bisik hati Khayra keras.

Kemudian, matanya menangkap kehadiran figura seorang lelaki tegap yang baru masuk ke dalam restoran lalu menunduk hormat kepada Dato' Sani.

"Dato', semuanya dah sedia," kata lelaki itu dengan tenang.

"Okey, ikut seperti pelan kita ya Handsome," balas Dato' Sani tanpa berpaling kepada lelaki itu. Tangannya lebih ligat menandatangani berhelai-helai kertas yang perlu diturunkan tandatangan.

"Baik, dato'," akur si lelaki lalu berundur dua langkah ke belakang lalu memusingkan badannya untuk keluar dari restoran. Namun, sempat matanya melirik kepada muka cemberut Khayra.

'Nice, girl. Kau memang lain daripada yang lain,' bisik hatinya lalu senyuman nipis diukir di sebalik pelitup muka.

Matanya dilirik lagi kepada si gadis, tetapi kali ini mata mereka berdua bertembung. Namun, masing-masing segera melarikan pandangan ke arah lain dek arus elektrik terasa terlebih dahulu merenjat perasaan. Tajam, tetapi tajam lagi isyarat yang ditunjukkan oleh hati masing-masing.

Seakan pernah bertemu... tapi bila? Di mana?


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro