
BAB 1
MALAM itu, hujan renyai-renyai membasahi bumi. Angin dingin menyusup hingga ke tulang, menggigit setiap inci kulit yang terkena air wuduk. Aariz menarik nafas dalam, cuba menghalau sejuk yang mencengkam.
"Aariz, cepat naik. Kamu tu bukannya sihat sangat nak main air," panggil Ibu Hamidah. Nada suaranya sarat dengan prihatin berbaur bimbang.
Aariz tersenyum kecil sambil menggeleng. Hailah ibu. Kalau dia tak kena bebel setiap kali ke rumah anak yatim ini, memang bukan Ibu Hamidah namanya. Sungguh dia sudah lali dengan bebelan penuh kasih sayang itu.
"Sekejap, ibu," balasnya dengan tenang.
"Ish, malaslah cakap dengan kamu ni. Ada-ada sajalah menjawabnya." Ibu Hamidah memuncungkan bibir, pura-pura merajuk.
"Yalah, Ayiz naiklah ni." Aariz akhirnya mengalah.
Saat kakinya melangkah ke pelantaian, fikirannya tiba-tiba berlayar ke tragedi lima tahun lalu. Dia masih hidup, tetapi harga yang dibayar terlalu mahal. Kerana kejadian itu, dia terpaksa hidup dengan COPD (Chronic Obstructive Pulmonary Disease).
'Kau kena terus kuat, Ayiz. Demi orang yang kau sayang.' Aariz meraup wajah lalu berlalu naik ke dalam rumah untuk menyahut seruan Ilahi agar menyembah-Nya, Tuhan yang Maha Esa.
Usai menunaikan solat isyak, Aariz menapak perlahan ke arah Ibu Hamidah yang sedang tersenyum simpul melayan keletah seorang kanak-kanak riang di ruang tamu. Rumah jagaan anak-anak yatim itu sederhana besar sahaja, letaknya pula di kawasan perkampungan berdekatan dengan hutan.
"Dani, seronok duduk dekat sini?" tegur Aariz, menyapa si kecil yang baru berusia tujuh tahun, usia sebaya dirinya ketika mula-mula tinggal di sini.
"Seronok! Ibu baik, semua kat sini baik. Abang pun baik," jawab kanak-kanak itu dengan jujur. Gembira benar dia dilayan seperti putera raja di rumah itu memandangkan dia digelar adik bongsu.
"Sukanya hati abang. Mari sini kejap, abang ada hadiah untuk Dani." Aariz meraih kanak-kanak itu lalu meletakkannya di riba.
Rambut Dani dielus lembut dan saat itu, ingatan lama menjelma. Teringat dia akan adiknya yang sudah kembali ke rahmatullah bersama ibu bapanya pada 23 tahun lalu. Terus hatinya berasa perit. Namun apakan daya, semuanya takdir Allah SWT.
"Ayiz," tegur Ibu Hamidah dengan lembut. Dia memahami rentak perasaan anak jagaannya itu.
Aariz diam. Walaupun sudah lama kemalangan maut itu berlalu, namun sukar untuk dia melupakan kenangan pahit tersebut. Apatah lagi, satu-satunya ahli keluarga yang terselamat dalam kemalangan ngeri itu hanyalah dirinya.
"Ayiz teringatkan Ahmad," lirih Aariz perlahan.
"Kalau macam tu, hadirkan ajelah Ahmad dalam hidup Ayiz," balas Ibu Hamidah sambil tersenyum simpul.
"Apa maksud ibu?" soal Aariz. Mukanya berkerut, tidak faham dengan maksud wanita itu.
"Kahwinlah nak oi... itu pun perlu diajar ke? Usia kamu tu sudah 30 tahun, tahu?" jawab Ibu Hamidah lalu menepuk perlahan paha Aariz.
"Tak naklah." Aariz mencebik. Dia kembali mengelus perlahan rambut Dani.
"Ayiz bahagia dengan hidup Ayiz sekarang," sambungnya pula.
"Setidak-tidaknya, jika kamu sakit akan ada yang menjaga kamu Muhammad Aariz Iktizar," keluh Ibu Hamidah.
Dia sebenarnya sudah pening bagaimana lagi mahu dibuat agar Aariznya ini berkahwin. Hati tuanya risau jugalah melihatkan gaya hidup Aariz yang tidak menentu di kota raya. Sudahlah berbahaya, kurang rehat pula. Aariz ini jika tidak kerana kesihatannya yang perlu dijaga, tidaklah dia risau sangat.
Aariz tidak membalas. Perbualan itu terlalu biasa baginya.
"Abang nak bagi Dani apa tadi?" Suara polos Dani menyelamatkannya daripada soalan berat.
Aariz tersenyum kecil. Dari poket bajunya, dia mengeluarkan beberapa batang lolipop lalu menyerahkannya kepada Dani.
"Kongsi dengan kawan-kawan," suruh Aariz.
"Yeay... Dani sayang abang!" Kanak-kanak itu melompat kegembiraan sebelum mengucup pipi Aariz dan berlari ke dalam bilik.
Melihat gelagat itu, Ibu Hamidah menghela nafas panjang.
"Ayiz, tengoklah tu. Seronok kan kalau ada anak sendiri?" Dia mencuba lagi.
"Ayiz laparlah, bu," jawab Aariz seraya bangun lalu menghala ke dapur.
"Nak mengelaklah tu!" Ibu Hamidah segera mengekori Aariz ke dapur, bersedia untuk menyambung "ceramah" yang dia tahu anak jagaannya itu pasti tidak akan suka.
*****
"LA ILAHA ILLALLAH, Muhammadurrasulullah." Sehabis baik, seorang gadis bertudung litup berzikir dan berselawat, cuba meredakan amarah yang membuak.
Dia perlu tenang. Dia mesti menenangkan diri. Kalau tidak, ada juga dia patahkan tengkuk dua ekor manusia di dalam rumah itu. Kurang ajar punya housemate!
Cuba bayangkan sebaik sahaja pulang dari kampung selepas cutinya tamat, dia disambut dengan rumah yang bagai tongkang karam. Baju berlonggok tak berlipat. Pinggan mangkuk berkulat tak bercuci. Bilik air berlumut seperti longkang tersumbat. Sampah bersepah seolah-olah rumah ini tapak pelupusan sampah!
"Kau dua buat apa ni?" Suaranya terkawal, tapi ketegasan tidak dapat disembunyikan.
"Eh, Kak Khayra dah balik. Maaflah akak, kami sibuk sangat kebelakangan ni. Kami kena keluar untuk discussion," jawab Tina dengan sengihan plastik.
"Ya, akak. Bukan sengaja tak kemas, memang minggu ni full dengan kerja," sampuk Bella sambil menyapu gincu di bibir. Sempat matanya mengerling kepada raut wajah Khayra yang gelap cerah bagai hujan tak jadi. Serius seram!
Mendengar alasan itu, Khayra memandang sekeliling seraya menyedut nafas panjang. Sabar...
"Akak tak kira. Esok, jam tujuh pagi akak turun. Kalau rumah ni masih macam ni..." Khayra menunjuk ke arah semua barang yang berselerak di ruang tamu, dapur, dan bilik.
"Sila angkat kaki dari rumah akak. Akak tak perlukan housemate pengotor!" sambungnya lalu bergegas naik ke biliknya di tingkat atas.
Kalau dia terus berdiri di situ, mungkin kepala dua manusia itu sudah dihentaknya ke dinding. Jadi sebelum dia naik hantu dan menibai lunyai budak berdua itu, lebih baik dia angkat kaki. Parah budak itu kena kalau dia tidak dapat mengawal baran!
Barang-barangnya yang dibawa pulang dari kampung dihempas kasar ke atas sofa di ruangan atas. Dirinya juga dihenyak kasar di atas katil sekadar melepaskan geram yang terbuku di hati. Mujur saja tingkat atas rumah itu hanya eksklusif buatnya seorang memandangkan dialah tuan rumah. Tina dan Bella hanyalah penumpang percuma yang diberikan tempat berteduh disebabkan ibu bapa masing-masing risau anak dara mereka tinggal sendirian di kota metropolitan.
Tit. Tit.
Mesej dari aplikasi WhatsApp. Dia malas buka. Marahnya belum hilang. Namun, saat telefon bergetar dengan panggilan masuk, kesabarannya teruji lagi.
'Psiko ke apa? Tak faham ke mana ada orang bincang hal kerja malam-malam?' Hatinya membentak hebat.
"Helo, kau nak apa?" soalnya dingin.
"Maaf ganggu, Cik Amra. Kita ada klien baru esok. Tapi saya ambil cuti emergency, takut tak sempat nak inform esok," balas si pemanggil di talian.
"Kenapa kau cuti?" Nada Khayra masih tajam.
"Ibu saya baru meninggal, cik." Sejurus itu, terdengar esakan. Mula-mula perlahan tetapi kemudian melebat sehingga kedengaran hingus ditarik.
Khayra terkedu.
"Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Takziah, Yani. Baiklah, saya noted pasal klien esok," kata Khayra dengan suara mengendur lalu memutuskan talian.
Jam yang tergantung di dinding dikerling perlahan. 10 malam. Hailah, besar pula bebannya esok. Jika Yani tidak ada di pejabat, ini bermakna dia akan keseorangan melayan klien. Harapnya klien esok orang baik-baiklah. Kalau tidak, silap hari bulan ada juga yang kena penumbuknya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro