Ambassador | Seram - Bunyi
"Dah tinggal seorang tu, jaga diri. Mak usahakan surat kebenaran polis untuk awak balik."
Aku cuba berlagak kuat tapi air mata mengalir jua mendengar pesanan mak di sebalik telefon. Amara, teman serumahku pun sudah balik ke kampung tanpa pesan. Sampai hati dia. Ada aku terima missed call dari dia tapi bila telefon semula tidak berjawab.
"Bunyi tu ada lagi?"
"Tak ada," jawabku sambil mengesat air mata.
Sejak PKP dijalankan, aku asyik dengar bunyi yang halus namun ada waktu menjadi kuat dan mengganggu. Seakan suara orang tapi lain macam. Cuma entah sejak semalam bunyi itu tidak kedengaran lagi.
"Jangan lupa pasang saja ayat-ayat Quran biar tak sunyi rumah tu," pesan mak lagi.
"Kenapa? Mak rasa bunyi tu dari hantu ke?"
Aduh! Aku tampar mulut sendiri. Celupar betul!
"Oii, kalau bukan sebab hantu pun, mak takut anak mak hilang pedoman terkurung dalam rumah!"
Aku tersengih walaupun mak tak nampak.
Selepas panggilan dimatikan, aku pasang MP3 surah-surah Al-Quran sambil membuka peti sejuk yang memang aku sedia maklum sudah kosong tanpa makanan.
Nampaknya memang kena keluar beli barang juga. Langit gelap kemerahan tanda Maghrib bakal menjelang tapi memikirkan kedai akan ditutup selepas jam 8.00 malam, aku keluar juga. Balik nanti boleh terus solat dan makan.
Kunci dicapai dan alunan ayat-ayat Al-Quran dimatikan. Aku menuju ke arah kereta di tempat parkir yang suram hanya bertemankan lampu jalan dan sisa cahaya matahari.
Hampir seminggu aku tak hidupkan kereta ni. Penuh dedaunan kering dari pohon yang melindungi kereta dari panas mentari.
Baru sahaja aku ingin mencapai pemegang pintu, seluruh tubuh terasa meremang. Sepantas itu aku menyesali keputusanku untuk keluar di waktu senja begini.
"Khhh... khhru..."
Bunyi itu lagi!
Kaki terasa lembik apabila menyedari bunyi itu datang dari atas kepalaku.
'Lari, Aryana!' Akal memaksa diriku beredar dari situ namun hatiku berdetak laju, mendesak rasa ingin tahu bunyi apa yang selama ini mengganggu aku.
Perlahan-lahan aku mendongak ke atas dengan bibir yang tidak henti-henti berzikir memohon perlindungan dari sebaik-baik Penjaga. Serentak dengan itu, mataku bertentang dengan anak mata seseorang yang tergantung di atas kepalaku.
"Argh!" Aku menjerit ketakutan, terjelepuk jatuh di atas jalan.
Sebuah kereta polis peronda muncul entah dari mana. Seorang anggota polis yang meluru ke arahku beristighfar berulang kali memandang ke arah yang sama.
Di hadapan mata kami, tergantung tubuh seorang gadis yang tali terjerut dilehernya. Lidahnya terjelir keluar dan anak matanya terbeliak menahan sakit rentapan malaikat maut.
"Amara..." Biarpun wajah itu comot dan sudah lebam, aku masih mampu mengecam wajah yang saban hari menemani aku di rumah sewa kami.
Selepas proses soal siasat dijalankan, aku dibenarkan pulang ke rumah mak. Aku tahu mak risau kerana aku kurang bercakap. Trauma.
Polis beritahu Amara mungkin sudah mati antara 3-4 hari. Punca kejadian masih dalam siasatan. Namun missed call yang aku terima dari Amara adalah dua hari sebelumnya padahal handphone Amara ditemui dalam poket seluarnya.
Dan bunyi yang aku dengar selama ini, bila diingat kembali seperti bunyi orang dicekik, tersekat di kerongkongan.
Adakah Amara cuba meminta tolong dari aku?
SeramMY
499words, 220420
#dudukrumah #dudukrumahbersamawattpad
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro