🌙Ambassador Ramadan | Maaf
Beraneka jenis lauk terhidang di atas meja cukup untuk menggetarkan urat nadi aku yang sudah berpuasa sejak pagi tadi.
"Mak, kawan mak dah sampai!" jerit Ucu di muka pintu.
Aku menghampiri lalu saat pintu terbuka dan mata kami bertentangan, seluruh kemeriahan Ramadan yang aku rasakan selama hampir sebulan ini, runtuh menjadi debu.
🌱
Waktu aku kecil, aku merasakan aku mendapat mama dan abah yang cukup sempurna. Tapi, hinggalah aku mula memasuki sekolah rendah saat aku belajar menimbang baik dan buruk, aku sedar mama dan abah tidak berada di atas landasan yang sama. Aku melihat perbezaan mama dan abah lima kali dalam sehari, sebulan dalam setahun. Waktu sembahyang dan sepanjang bulan Ramadan.
"Anna, Anna."
Seperti hari-hari sebelumnya, mama akan kejut kami tiga beradik dalam nada berbisik. Kami sudah terbiasa membuat segala aktiviti bangun pagi dalam keadaan perlahan dan berhati-hati agar tiada bunyi malah aku mandi dalam keadaan duduk dalam agar bunyi mandi aku tidak kedengaran.
"Mama, teringin nak makan nasi goreng waktu sahur."
Aku tengok muka mama yang tersenyum pahit mendengar permintaan abang. Roti cicah air Milo yang aku kunyah terasa tawar tiba-tiba. Aku pun nak bersahur nasi. Biar kenyang lama sikit.
Beginilah kami. Bersahurkan roti, biskut atau apa-apa yang tak perlu dimasak. Bila dengar hidangan sahur kawan-kawan, rasa cemburu pula.
Esoknya, mama kejut kami agak lewat kerana mama terlewat bangun. Aku perhati saja mama ambil masa yang agak lama memandang tempat pulas dapur gas. Mungkin memikirkan bagaimana mahu membuka api tanpa membuat bunyi.
Mama tekan-tekan bawang dengan batu lesung dan potong sayur berhati-hati. Aku dan abang memerhatikan mama dengan rasa teruja. Hanya Ucu saja yang tidur kerana kerana masih kecil. Sampai sekarang aku masih ingat bau wangi bawang ditumis pada saat itu.
"Bau apa ni? Pagi-pagi dah bau minyak. Zahra, bukak pintu depan!" Laungan ayah mengejutkan kami hingga terlepas senduk dari genggaman mama. Segera mama menolak kami masuk ke dalam bilik dan aku mendengar dari balik pintu suara ayah marah-marah. Jarang sekali ayah bangun bersahur. Kalau bangun pun, tidur semula dan terlewat Subuh.
Akhirnya kami sahur nasi berlaukkan bawang tumis tadi saja bersama garam. Sejak itu juga kalau kami bersahur nasi, nasinya panas tapi berlaukkan lauk berbuka semalam. Tak boleh panaskan nanti berbau satu rumah sebab rumah kami kecil sahaja. Hanya ada dua bilik yang dekat dengan dapur.
"Nanti kalau ayah tak ada, mama masak macam-macam tau," janji mama dalam senyuman. Aku nampak mata mama merah.
Pesan mama lagi, "Satu hari nanti kalian dah besar, berusahalah bangun bersahur walaupun hanya sebiji kurma. Sebab di situ ada keberkatannya dan kita berpeluang solat Subuh awal waktu."
Seperti malam-malam sebelumnya, mama akan mengaji di bilik kami dengan suara perlahan dan selalu diakhiri dengan esakan halus. Mama tak tahu kami dengar tangisan mama.
Aku masih ingat mama susah payah buat kuih semata-mata nak belikan telekung baru untuk aku dan baju solat serta kain pelikat budak untuk abang.
"Macam tak cukup je duit abang bagi." Ayah jelas tak senang.
"Sebulan je Zahra hantar kuih ni. Saja nak hilangkan bosan duduk rumah." Kami tahu itu alasan mama saja.
Bila mak beli telekung untuk aku dan Ucu, ayah marah lagi kata mama membazir sebab telekung lama masih boleh pakai. Mama diam tak cakap apa pun tapi aku tahu hati mama hancur.
Tapi pesanan mama aku ingat sampai sekarang, "Pakailah pakaian yang terbaik setiap kali solat. Nanti Allah akan berikan yang terbaik untuk setiap permintaan kita."
Kadangkala aku nampak ayah segan bila abang siap-siap solat berpakaian kemas siap berminyak wangi sedangkan ayah selalu solat pakai apa yang ada. Ala kadar. Kadangkala seluar meleret, baju berlengan pendek jauh sekali berwangian.
"Allahuakbar, Allahuakbar." Seperti selalu, mama ajar abang azan dan abang akan mengikut dengan suara tertahan-tahan. Ayah akan marah jika kami bising. Kata mama, ayah penat sebab kerja sampai lewat malam jadi kami kena fahami ayah.
Seperti bulan-bulan biasa, kami bersolat bersama tanpa ayah. Sesekali sahaja ayah menjadi imam kami. Selalunya waktu Maghrib. Subuh jauh sekali kerana ayah akan bangun di penghujung Subuh dan solat sendirian.
Di sudut lain, ayah sempurna buat kami. Perhatian dan kebajikan kami sentiasa dicukupkan. Cuma hal yang satu itu saja.
Waktu aku teman mama ke kedai, mama berhenti di tidak jauh dari masjid yang dipenuhi jemaah untuk bertarawikh. Lama mama termenung di situ dengan wajah suram.
"Abang, esok kita tarawikh di masjid nak?" pinta mama waktu kami baru habis solat Isyak.
"Bukannya tak boleh solat kat rumah, nak bersesak-sesak juga kat masjid tu," jawab ayah.
Wajah mama yang senyum dalam kehampaan jelas di mata.
Bila aku dewasa, aku mula faham. Mama impiannya ingin memiliki keluarga yang mengutamakan Akhirat sedang ayah jelas ingin mengejar kesenangan dunia. Di saat azan berkumandang, kami sudah siap-siap untuk solat sedang ayah masih berehat-rehat.
Pernah mama bertanya dalam nada marah padaku jika aku sudah solat Asar sebelum main di luar rumah. Ayah memberi isyarat agar aku menipu mama. Selepas mama pergi, ayah kata dia 'selamatkan' aku dari kemarahan mama namun ayah tak tahu kemarahan Allah itu lebih dahsyat. Namun, aku yang masih budak di waktu itu belajar untuk menipu solat dari ayah dan berulang-ulang kali aku menipu mama hinggalah mama menghidu perbuatanku.
"Betul dah solat?"
Aku mengangguk yakin. Berbeza dari kali pertama aku menipu dalam penuh ketakutan.
"Habis tu, kenapa telekung yang tersidai kat luar tu tak terusik. Anna solat guna apa?"
Di waktu itulah terbongkar perbuatan aku. Mama merotan aku hingga aku benci mama.
"Ayah yang kata Anna boleh tipu mama sebab ayah rimas dengar mama marah-marah pasal solat je pun!" bentakku.
Waktu itu mama tergamam sebelum terduduk dan menangis. Aku kaget dan memeluk mama.
"Andai satu hari nanti mama halang Anna dari solat menyembah Allah, waktu itu tinggalkanlah mama. Kerana Allah lebih utama dari semua orang yang kita kasihi di dunia ni, Anna. Dia yang menentukan hidup mati kita." Kata-kata mama itu membuatkan aku tersedar kedudukan Allah dalam hidupku.
Bila Hari Raya menjelang, jarang sekali balik ke kampung mama yang jauh di Pulau Pinang. Selalu pulang ke kampung ayah sahaja tapi bila balik ke kampung mama, aku faham kenapa mama begitu. Keluarga mama sangat mengutamakan ibadah. Bulan puasa mereka meriah tak kira waktu sahur atau berbuka. Tarawikh di rumah sama meriah seperti di masjid. Waktu itu jugalah kalau ada rezeki kami pergi ke masjid bersama keluarga mama. Memang nampak senyuman mama berseri-seri.
Tapi tak lama. Pagi raya mama suram kerana ayah tersinggung. Rasa diabaikan mama. Rasa mama lebihkan keluarga sendiri. Hairan aku dibuatnya. Dalam 4 tahun, sekali sahaja pulang ke kampung mama. Salah ke mama nak bahagia? Walhal mama di kampung ayah pun sama saja. Tak pilih kasih. Semua disantuni. Mama berbual atau buat kerja itu ini, tetap utamakan ayah, tanya jika ada apa-apa yang perlu dipenuhi.
Kasihan mama!
Hinggalah satu hari ketika aku sudah menginjak 15 tahun, aku terdengar perbualan mama dan ayah.
"Bersahur dan bertarawikh dengan kami selama seminggu ini, dan Zahra izinkan," kata mama di pangkin bawah pokok mempelam.
Ternyata, selepas 15 tahun, itulah Ramadan pertama kami bersahur dan bertarawikh 20 rakaat bersama ayah. Namun, hanya seminggu dan ayah tidak pulang ke rumah lagi selepas itu kerana ayah sudah berkahwin dengan isteri baharu.
Sukar aku membaca reaksi mama. Wajahnya ceria tersenyum tapi anak matanya sentiasa berkaca. Itu jugalah Ramadan pertama kami tanpa ayah untuk minggu berikutnya. Walaupun merasa kosong tanpa suara ayah, tapi dalam masa yang sama kami merasa bagai diangkat sesuatu dari pundak kami. Kami bebas masak sahur bersama mama. Bebas bergaduh dengan abang dan Ucu berebut giliran mengaji. Abang juga boleh azan gaya bilal masjid. Tak perlu nak selindung suara lagi.
Lama kelamaan ayah semakin jarang pulang ke rumah hinggalah kini selepas 7 tahun berlalu.
Ketika itu kami sedang bersahur hari pertama puasa. Mama masakkan bubur gandum. Mama langsung tak jamah bubur itu hingga abang terpaksa tegur mama. Tanpa disangka, mama teresak di meja makan.
"Mama rindu ayah."
Aku, abang dan Ucu hanya terdiam. Menelan butir nasi yang terasa berpasir, memandang bubur gandum yang berasap. Mama masakkan bubur gandum waktu kami bersahur dengan ayah pertama kali dahulu sebab mama tak nak perut ayah sakit makan hidangan berat waktu awal pagi dan ayah makan bertambah-tambah hingga mama curi-curi kesat air mata dengan hujung jari kerana terharu.
7 tahun berlalu tanpa ayah, kami sangkakan kami baik-baik sahaja rupanya rindu ini tak pernah menipu.
🌱
"Jemput masuk."
Mama melangkah melewati aku yang masih tergamam di situ. Begitu juga abang dan Ucu. Mama tak cakap pun tetamu dia adalah ayah.
Walaupun mama cuba ceriakan suasana tapi kami adik beradik merasa janggal. Hanya Ucu yang sambut gelak tawa mama sedang aku dan abang masih terluka dengan kisah lalu.
Masih aku ingat tahun pertama raya tanpa ayah, kami berempat berjalan kaki ke masjid dan balik itu kami picit kaki mama dan tertidur keletihan menunggu ayah yang berjanji untuk pulang. Abang berhenti belajar, bekerja bersusah payah untuk beli kereta terpakai. Kereta itulah yang kami gunakan ke sana dan sini tanpa mengharap ayah.
Mama tarik aku dan abang ke bilik ketika ayah mengambil wudu'.
"Mama tahu, kalian dah besar. Tapi hati kalian milik Allah. Takkan ada mama tanpa ayah. Ini impian mama jika inilah Ramadan terakhir mama. Maafkanlah ayah."
Sekali pun tak pernah kami cakap yang kami marahkan ayah tapi hati mama sangatlah tahu gelodak kami.
"Abang, pinjamkan ayah kain pelikat," arah mama.
Abang bagi kain pada ayah tanpa suara, tanpa pandang wajah ayah pun. Aku tak tahu apa perasaan abang sekarang.
Ayah nampak terkial-kial ingin memakai kain pelikatnya. Perlahan-lahan abang mendekati dan membantu ayah. Ayah renung tanpa berkelip pada wajah abang yang tertunduk-tunduk membetulkan gulungan kain ayah.
Abang menjadi imam dan seperti biasa akan mencalitkan minyak wangi pada pergelangan mama, aku dan Ucu sebelum berhenti di hadapan ayah. Baru aku perasan abang sudah sama tinggi dengan ayah.
Perlahan-lahan ayah hulurkan tangan dan aku nampak tangan abang menggigil saat mencalitkan minyak wangi pada tangan ayah.
"Solaatut Taraawiihi Min Qiyaami Syahri Ramadhona Asaa Bakumullah..." ucap abang ketika bacaan menghampiri penghujungnya.
Tiba-tiba ayah tunduk, meletakkan sebelah tangan ke dada. Suara ayah kedengaran tersekat-sekat menghentikan bacaan kami. Ayah menangis buat pertama kalinya di hadapan kami.
Abang berpusing ke belakang dengan wajah kemerahan.
"Ayah minta maaf. Ayah minta ampun kat Allah, pada anak-anak ayah, pada isteri ayah," ucap ayah dengan suara bergetar, masih menunduk dengan air mata yang menitis di atas sejadah putih.
"Ayah rindu sangat waktu kita bertarawikh sama-sama dulu. Ayah rindu..."
Tidak menunggu lama, abang bangkit dan terus merangkul ayah. Aku berpaling ke sisi, tak tertahan rasa hati ini. Mama meletakkan tangan aku di lengan ayah. Air mata aku jatuh juga saat merasai kehangatan tubuh ayah yang susut.
Baru aku sedar ayah sudah tua. Garis-garis halus pada kulit ayah semakin ketara. Ucu menangis paling kuat sekali. Baru kami sedar, dia anak bongsu yang paling terkesan kerana dia masih kecil ketika ayah tinggalkan kami. Siapa tahu sifat cerianya itu menutup luka di hati.
Malam itu kami menangis bersama-sama. Tangisan yang dipendam selama 7 tahun dan tangisan kegembiraan buat mama.
"Ayah raya dengan kami?" soal Ucu dalam esakannya.
Ayah mengangguk dan Ucu peluk ayah macam tak nak lepas.
"Abang minta maaf ya, Zahra," pinta ayah pada mama yang hanya memerhatikan kami.
Mama mengangguk, menggamit tangan ayah dan disalami.
"Nanti ajaklah Asiah dan anak dia datang beraya sekali. Jumpa adik beradik tiri," pelawa mama. Ayah hanya mengangguk dalam sedu. Ayah ada seorang anak lelaki bersama isteri keduanya yang tak pernah kami temui.
Aku tak tahu isu apa yang ayah hadapi hingga ayah pulang hari ini. Namun aku tahu, ini adalah peluang yang Allah beri yang mungkin kami takkan dapat lagi di masa lain.
Aku pandang abang, abang pandang aku.
"Eee... nangis," ejekku.
Spontan abang tarik telekung aku sampai terkeluar rambut depan.
"Mama!"
Mama hanya menggeleng.
"Ingatkan kau orang dah besar, rupanya bergaduh lagi," tingkah ayah. Abang hanya tersengih dan aku ketawa dalam sedu yang tersisa.
Hebatkan hati yang Allah beri,
dapat menanggung sedih dan gembira dalam satu masa.
Hebat lagi hati saat memaafi,
ia menyerap seluruh kesakitan dan hanya tersisa bahagia.
Alhamdulillah.
Flizwn,
30 Ramadan 1442,
12/05/2021 04.22pm
Selangor.
1999 patah perkataan
AmbassadorsMY
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro