Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 4

KERETA yang Albert pandu bergerak perlahan memasuki arus lalu lintas. Suasana di dalam ruang berpendingin hawa itu sepi bagai diserang sang garuda. Hanya seketika sebelum Albert bersuara untuk bertanyakan soalan.

"Kau janji nak jumpa Azim dekat mana?"

"Haih! Nampak pada gaya macam tahu aje." Laju Daryan membalas hanya kerana terpaksa. Ikutkan rajuk dan rasa sakit hati, malas dia nak buka mulut.

Daryan cuma takut kereta yang Albert pandu tersalah masuk jalan. Satu hal pula nak pusing balik. Daryan juga tak mahu buatkan Azim tertunggu-tunggu untuk pertemuan mereka yang jarang-jarang berlaku itu.

"Aku mintak maaf, Yan. Aku tak suka kau marah-marah macam ni."

"Kau yang buat aku marah, Bert."

"Ya. Kau cantik, Yan. Baju yang kau pakai ni cantik. Mekap dekat muka kau tu pun sesuai. Kalau tunang kesayangan kau tengok, memang dia akan cair. Tergoda." Albert menyebut jua apa yang dia tahu Daryan mahu dengar. Ayat manis bak pujangga yang keluar dari mulutnya dan ditujukan buat gadis itu.

Mereka berkawan dah lama, bukannya setahun dua. Seminggu setelah Daryan lahir, Albert sudah meriba gadis itu kerana usia dia yang dua tahun lebih tua.

Jadi gerak-geri, senyuman, ekor mata dan bahasa tubuh Daryan, Albert sudah hafal maksud di sebaliknya.

Albert juga yakin dengan satu keadaan yang selalu Daryan sebut. Tentang takdir. Albert yakin takdir yang mengikat mereka untuk sentiasa bersama. Cuma yang tak mampu hendak diubah lagi, Daryan kini sudah bergelar tunang orang. Daryan bakal menjadi milik lelaki lain.

"Bert, kau kan, kalau aku cakap bab ikhlas, kau marah aku. Kau cakap ikhlas tu rahsia dalam rahsia ALLAH. Dari cara kau bercakap, kalah aku yang memang orang Melayu ni. Dah tu yang kau sebut 'tunang kesayangan aku' sampai dua tiga kali tu, motif apa? Tahap menganjing ayat kau tu, tahu tak? Langsung tak ikhlas!" Daryan hamburkan jua apa yang dia rasa. Sakit hati yang semakin bertambah-tambah. Semuanya gara-gara Albert.

Albert sudah berjaya rosakkan mood dia sekarang dengan kerosakan yang paling maksima. Nak saja Daryan bagi anugerah kecemerlangan buat lelaki itu.

"Kalau aku tak ikhlas, kau berani sebut, Yan. Kau marah aku. Dah tu kau sekarang macam mana pulak?" Albert tak mahu kalah untuk membalas. Hujung matanya dibawa menjeling Daryan sekilas.

"Aku apa? Apa yang aku dah buat?" Oktaf suara Daryan masih sama, tak turun-turun.

"Kau ikhlas ke dengan apa yang kau buat sekarang?"

"Aku nak pergi jumpa Azim, mestilah ikhlas. Tak ada orang paksa pun." Daryan kembali merengus sebelum kalihkan wajah ke kiri.

"Dah tu tudung dekat kepala kau tu apa maknanya?"

"Tudung?" Tangan Daryan terus naik meraba kepala sendiri.

"Iye. Tudung. Jangan kau nak bagi tahu aku yang kau dah sampai seru. Tiba-tiba! Bukan sebab kau nak jumpa Azim ke, kau pakai tudung tu semua? Aku tak rasa sebab cik kak berdua yang dah mengutuk kau malam tadi, kan? Aku pun rasa kau tak ikhlas nak buat semua benda, Yan. Sebab hari ni kau elok bertudung semata-mata nak jumpa Azim." Nah! Albert menyebut juga apa yang terbuku dalam hatinya. Punca kenapa dia berasa sakit hati yang ke tahap petala langit berlapis-lapis.

Daryan terdiam bagaikan terkunci mulut. Saat itu baru dia tahu sebab kenapa Albert macam tak sudi hendak memandang dia.

"Aku nak berubah pun salah, ke Bert?" Kendur sudah nada suara Daryan. Semakin hilang semangat dalam dirinya.

"Ikhlas tak kau nak berubah, Yan? Atau kau memang nak cakap yang kau dah dapat hidayah?"

"Kau, kalau bercakap memang boleh kalah orang Islam, Bert. Memang kalah aku yang asal Islam ni." Daryan kembali menyebut ayat itu walaupun ia langsung tak menjawab soalan. Kerana Daryan memang terasa dengan kenyataan Albert tadi.

"Kenapa? Salah apa yang aku cakap?" Albert memang tak mahu mengalah. Memang ada saja yang dia akan bantah sebab dia tak suka dengan perubahan Daryan yang mendadak.

"The Pan."

"Tiber!" tukas Albert sepatah dengan nada tinggi. Mata menjeling tajam.

"Apa yang tiber? Azim tunggu aku dekat The Pan. Tadi kau tanya dekat mana aku nak jumpa dia, kan?" Daryan turut membalas sama. Takkan ada yang nak angkat bendera putih.

Albert menjeling lagi sebelum pedal kereta ditekan rapat untuk menambah kelajuan. Didorong rasa sakit hati yang jelas menggigit-gigit.

"Tak boleh ke jumpa dekat-dekat sini aje? Kalau kau pergi dengan teksi, ingat sempat ke kau nak balik nanti? Ada plan nak ponteng kerja hari ni?" Masih tegang suara dan muka Albert. Masih menggelegak rasa di dalam jiwanya. Kali itu memang payah hendak ditenangkan.

"Azim datang sebab nak jumpa aku, bukannya dia nak holiday dekat sini. Dari jauh dia sanggup datang, jadi aku tak kisahlah dekat mana dia nak jumpa. Aku akan pergi sana. Kau pulak kalau rasa aku ni dah menyusahkan, tak payah nak teman aku, Bert. Aku dah cakap kan, aku tak paksa kau pun." Kembali bersambung pertelingkahan kecil ke antara mereka.

Kembali hangat ruang kereta sewa itu bercampur dengan hangat udara di luar sana. Aircond pun dah tak mampu nak menyejukkan suasana.

"Aku sanggup nak temankan kau, Yan. Bukan setakat The Pan. The Can, The Sand, The Hand, The Land semua aku sanggup pergi. Tak boleh ke kau berterima kasih dengan aku, bukannya marah-marah. Ke kau senggugut? Period? Monopouse?"

"Bert!" Klepek! Tangan Daryan laju singgah ke bahu lelaki di kerusi sebelah. Sudahnya bergegar ruang kereta itu dengan bunyi tawa Albert.

Daryan tarik muncung panjang sebelum dia turut ketawa bersama. Dah habis marah-marah, berganti ketawa yang cepat meredakan rasa.

"Kau tahu tak, kalau seseorang tu ikhlas nak buat apa-apa benda sekalipun, dia tak harapkan ganjaran, tau. Tak harapkan ucapan terima kasih pun," sambung Daryan, kembali masuk ke bab Ikhlas di awal pertelingkahan mereka tadi.

Albert kembali menjeling tajam. Sudahnya dia mengeluh panjang, terpaksa mengalah dalam pertengkaran itu. Albert juga tak pernah berniat hendak merosakkan mood Daryan.

"Aku mintak maaf, Yan. Sebab dah buat kau marah-marah." Mengendur sudah nada suara Albert.

"Aku maafkan kau, Bert. Dan aku nak ucapkan terima kasih sebab kau sudi nak temankan aku. Kau sanggup bersusah payah untuk aku."

"Jangan tak tahu. Sebab aku sayang kau, Yan." Albert tak pernah segan hendak mengaku. Sebuah rasa yang sentiasa subur di sudut hatinya.

Daryan pun bukan tak pernah tahu.

"Aku pun sayang kau, Bert. Kita kawan sampai mati, eh."

Kembali Albert menjeling tajam dengan muka tegang.

Sungguh dia dah tak suka nak mendengar ayat keramat itu. Dia bukan budak-budak lagi. Ayat itu umpama satu benteng yang sengaja dibina dalam hidup mereka dengan tujuan menghalang segala benda.

Ayat yang dipegang Daryan bertahun lamanya telah berjaya menghalang apa yang hatinya rasa. Sedangkan kerana rasa yang istimewa di jiwanya, Albert pernah terfikir untuk putuskan persahabatan mereka. Albert sudah tak sanggup nak berkawan dengan Daryan sampai mati!

"Kenapa kau tak pernah ajak aku berkawan sampai ke syurga, Yan?" Albert akhirnya beri soalan cepumas. Sengaja dia mahu bertanya, menduga jiwa Daryan.

"Berkawan sampai ke syurga? Boleh ke?" Laju juga Daryan menyoal.

"Kenapa tak boleh? Sebab aku takkan masuk syurga?" sebut Albert tanpa rasa ralat

"Bukanlah. Sebab syurga kau lain, syurga aku lain, Bert. Betul tak? Lagipun sebelum masuk syurga, confirm aku kena humban dalam neraka dulu."

"Kenapa?" Berkerut sudah dahi Albert tanda dia tak faham.

"Nak bakar dosa-dosa yang aku dah buat," jawab Daryan tenang walaupun ayat yang mulut sebut bermaksud sebuah penderitaan.

"Dosa kau tak bertudung selama ni ke? Jadi kau nak kata betullah hari ni kau dah dapat hidayah?"

Daryan kembali diam. Jauh pula perjalanan menuju ke tempat yang dia janjikan untuk bertemu Azim. Padahal kerana rasa di jiwa masing-masing yang tak henti berubah arus. Sekejap marah, kemudian gembira. Sekarang resah pula yang mengambil alih jiwanya.

"Hidayah tu hak milik ALLAH, Bert. Aku ni manusia, kau pun manusia. Tak boleh nak pertikai soal hidayah. Kau lagilah tak boleh nak sebut sesuka hati sebab kau bukan orang Islam."

"Jadi kalau aku orang Islam, bolehlah aku nak sebut pasal hidayah semua tu?"

"Bert, lorong kanan. Kau jangan nak cari penyakit. Jauh nak kena u-turn kalau kau tak sempat nak masuk simpang." Daryan menuding lurus ke hadapan.

Walaupun jiwanya masih bergolak, mulut hebat bertekak demi menjawab soalan luar alam daripada Albert, mata Daryan tetap fokus pada laluan menuju ke tempat yang dijanjikan dengan Azim.

"Tahulah!" balas Albert sepatah. Isyarat diberikan untuk dia menukar lorong.

"Kau tahu tak, Bert. Ada satu kisah yang cukup terkenal berzaman lamanya. Kisah seorang anak saudara dan bapa saudara yang teramat dikasihinya." Daryan sedia membuka satu kisah untuk pengetahuan teman baiknya. Albert Ng yang dia kasihi juga dari dulu, sampai sekarang dan akan selamanya.

"Kisah apa? Filem Hollywood? Drama Korea?" Albert acuh tak acuh bertanya.

"Sirah Nabi Junjungan."

Albert menjeling lagi. Kelihatan tenang wajah Daryan ketika menyebut tiga ayat itu. Kedengaran lembut juga nada suara Daryan, bukan marah-marah seperti tadi.

"I'm listening." Albert menyahut jua. Pendek dan padat ayatnya dengan maksud dia akan mendengar dan ingin tahu.

"Pada waktu Sayyidina Abu Talib hampir meninggal dunia, Nabi s.a.w menyuruh bapa saudara Baginda mengucapkan Kalimah Syahadah. Nabi s.a.w berjanji dengan berkat kalimah itu, Baginda s.a.w.akan menjadi saksi untuk membela Sayyidina Abu Talib pada hari kiamat nanti." Daryan berhenti sejenak. Dia menoleh ke arah Albert. Memandang tepat ke wajah teman baiknya itu sebelum ayat mahu disambung.

"Sayyidina Abu Talib menjawab, kalau tak kerana takut orang Quraish mengata bahawa Abu Talib mengucap kalimah kerana takutkan mati, pasti bapa saudara Nabi s.a.w itu akan mengucap supaya menjadi penyejuk mata Baginda."

Albert yang mendengar sudah terangguk-angguk. Giliran dia berkalih membalas pandangan mata Daryan.

"So?" Sepatah mulutnya bertanya.

"So dekat sini ALLAH dah jelaskan tentang hidayah. ALLAH Taala turunkan satu ayat sebab peristiwa ni. Ayat apa, aku pun tak ingat. Tapi maksud dia, "Kamu tak boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang kamu kasihi, tetapi ALLAH memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki."

"Jadi maknanya betullah kau dah dapat hidayah? Kau bertudung ni sebab ALLAH dah gerakkan hati kau supaya berubah? Bukan sebab kau nak impress tun..." Ayat Albert terhenti. Hujung lidahnya sempat digigit.

"Hidayah tu aku tak pasti. Dalila yang make over aku dari kepala sampai ke kaki. Aku hadap aje."

"Lila?" Albert lebih tak percaya. "Maknanya kau pakai semua ni sebab Lila yang suruh?"

"Mungkin betul hati aku dah berubah. Aku ikhlas nak berubah, Bert. Bukan sebab nak impress 'tunang kesayangan' aku tu ke apa." Daryan tekan nada pada dua patah perkataan itu. Biji matanya turut terjuling.

Albert sekadar jongketkan kening sekali dengan bibir tercebik. Gaya mengejek Daryan, langsung tak berlapik.

"Kau tak nak tahu sebab apa?" Daryan bertanya lagi dengan pandangan tak lepas. Wajah Albert memang menjadi tatapan matanya.

"Sebab Hidayah? Sebab Taufik? Sebab..." Albert sengaja panjangkan harakat ayat terakhir. Memang sengaja mahu mengundang marah Daryan. Apatah lagi kedua keningnya kembali bergerak terjongket. Menganjing!

"Sebab ayat cik kak berdua dekat kilang malam tadi."

"Apa?" Albert tak percaya. Dia pandang Daryan dengan bulat biji mata.

"Ya, Bert. Sebab aku tak nak jadi salah seorang manusia yang mencemarkan agama sendiri. Betul cakap cik kak berdua tu. Dorang tegur benda yang salah. Memang salah aku pun. Satu lagi, sebab aku tak nak dorang pandang serong pada kau." Ikhlas Daryan akui. Merangkumi seluruh jiwa dan raga miliknya.

"Sebab kau berkawan dengan aku." Ayat Albert berbentuk kenyataan.

Dia tak melatah. Albert sudah biasa mendengar semua itu. Sudah lali dicemuh hanya kerana dia berkawan baik dengan Daryan padahal mereka berlainan bangsa. Sejak dari kecil lagi sampai Albert dah kalis.

"Kita berkawan tak salah, Bert. Kau pun tak pernah bawak anasir buruk pada aku. Kita berkawan pun bukannya baru sehari dua."

"Kita kan dah janji nak berkawan sampai..." Jeda. Albert memang sengaja gantung ayat buat kali seterusnya. Sengaja nak menduga jiwa Daryan yang mula tergoyah.

"Sampai mati." Daryan sambung ayat.

Walaupun jiwanya berantakan, Daryan akan tetap berpegang pada janji yang telah dibuat. Dia tak mahu menjadi manusia munafik.

"Aku tak nak!" Albert bantah tiba-tiba.

Berubah riak di wajah Daryan.

"Tak nak apa?" Kerut dahi Daryan. Selama hari ni tak pernah Albert hendak membantah dalam hal perjanjian mereka bersama.

"Aku dah tak nak kawan dengan kau, Yan. Cukuplah sampai kat sini." Bagai tak berjiwa Albert menuturkannya. Seolah-olah dia tak tahu apa yang Daryan akan rasa.

"Albert."

"Dah. Kita dah sampai pun. Kau pergi jumpa Azim sekarang, aku tunggu dalam kereta." Albert menuding ke hadapan.

Kereta yang dia pandu sudah selamat diberhentikan dalam petak parkir, berhadapan bangunan restoran yang Daryan janjikan untuk bertemu dengan Azim.


VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.

_FROM_ME_WITH_LOVE_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro