BAB 3
"SAMPAI bila awak nak layan saya macam ni?"
Azim meletakkan telefon di tangan. Bangun dari sofa, dia kalih ke belakang. Seorang wanita sedang berdiri tegak di depan pintu bilik mandi sambil memandang dia yang sudah bersiap. Wanita pertama yang telah berjaya menakluki jiwanya itu hanya mengenakan jubah mandi dengan rambut yang masih basah tanda baru siap mandi.
"Kan saya dah cakap, bagi saya masa. Bukan saya nak sorok awak ke apa?"
"Masa? Sampai bila? Saya manusia, kalau awak boleh lupa tiba-tiba. Maknanya saya ada perasaan!" Wanita itu terus meluahkan apa yang dia rasa. Langsung tak peduli pada wajah Azim yang sudah berubah menyinga.
"Salah saya ke semua yang berlaku ni?" Azim mula membentak.
Bergelora rasa di dalam dadanya. Tak terlepas dari membusung dengan kebencian. Tapi, dia tak mampu untuk terus membenci wanita itu.
"Dah tu salah saya? Awak yang sanggup terima segala, kan? Awak cakap sebab..."
"Dah. Saya nak keluar. Mungkin esok baru saya balik." Azim terus buka langkah luas menuju ke ruang hadapan. Tak sanggup dia hendak bertegang leher di situ.
"Sampai bila awak nak kurung saya kat sini? Saya nak balik rumah mak saya!" Wanita itu berteriak dengan perasaan berdongkol.
"Lepas tu apa? Awak nak bagi tahu mak ayah awak yang saya tak mampu nak jaga awak? Saya sorok awak dari semua orang? Saya kurung awak dalam bilik hotel ni?"
"Awak memang tak ikhlas dengan semua benda, kan Encik Azim?"
Bergerak rahang Azim gara-gara sepatah panggilan yang wanita itu gunakan. Memang nampak sangat mahu menguji kesabaran dia.
"Awak dah tahu kan kenapa saya buat semua ni?" Masih Azim mahu membalas, apatah lagi wanita itu sudah menghampiri lalu meraih lengannya.
Mahu merentap, Azim tahu dia bukan lelaki dayus. Ya. Dia memang lelaki yang sanggup bertanggungjawab dengan salah sendiri. Sebab itulah dia ada di sini sekarang. Terperangkap di dalam situasi yang terlalu sukar hendak dibetulkan.
"Awak nak pergi jumpa Daryan?" Wanita itu sedia tahu apa yang dia akan lakukan.
"Dah tahu, tanya buat apa lagi?" soal Azim tak acuh.
Pegangan wanita itu pada lengannya dia leraikan. Azim perlu bertolak sekarang atau akan terlambat untuk menepati janji dengan Daryan.
"Saya tahu awak mampu nak kahwin lebih daripada satu. Tapi awak tak patut tipu tunang awak tu. Awak kena berterus-terang dengan Daryan."
Azim berkalih memandang dengan biji mata tercerlung.
"Tolong jangan nak sibuk dalam urusan saya. Saya tahu nak buat apa."
"Kenapa awak tak lepaskan saya aje? Kenapa nak teruskan hubungan ni?" Wanita itu masih membentak gara-gara sakit hati. Muka Azim berubah menyeringai.
"Awak memang manusia yang tak tahu bersyukur, kan? Kira eloklah saya layan awak macam ni. Nak macam mana lagi?" Semakin tinggi nada suara Azim. Kalau lama lagi dia ada di situ, tak mustahil akan tercetus perang besar.
"Tapi saya lebih berhak pada awak, Encik Azim. Saya isteri awak!"
Azim merengus kencang dengan sebaris kenyataan yang dibentangkan oleh wanita itu. Tak mahu semakin sakit hati, dia terus keluar dari ruang bilik hotel dengan pintu yang dihempas kuat.
Protes! Azim sakit hati, jiwa dan raga tapi dia akan pastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Semuanya harus dia uruskan dengan sempurna. Seperti menarik rambut di dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.
"ABANG BERT, masuklah. Kak Yan tak siap lagi."
"Tak apalah. I duduk dekat luar ni aje."
"Eleh! Malu pulak dia."
"Mana ada malu? Segan aje." Albert sengih melebar.
"Comellah bila Abang Bert segan. Makin hensem."
Albert tersenyum pula. Bukan dia tak kenal siapa Dalila. Manis mulut gadis itu macam ada tertumpah selori madu. Berbeza sangat dengan kakaknya yang suka sangat buat dia terasa hati. Sebab itulah Albert suka merajuk.
Lagi, Albert memang suka merajuk dengan Daryan. Buat-buat merajuk pun selalu sangat. Albert suka melihat kesungguhan Daryan dalam proses memujuk dia. Sweet yang amat.
"Auntie ada?"
"Ada, kat dapur tu. Tengah kemas-kemas, tunggu masa nak masak."
Albert angguk saja. Punggung dilabuh ke bangku kayu yang memang terdapat di sudut luar rumah keluarga Encik Dahlan.
"Betul Abang Bert tak nak masuk ni?" Dalila bertanya lagi. Pintu pagar grill yang memisahkan mereka masih berkunci.
"Ha'ah. I duduk kat sini aje."
"Nak minum tak?"
"No need. Kejap lagi nak keluar dah."
"Yakinnya kamu? Betul ke kejap lagi? Paling cepat pun, sejam kemudian," sebut Dalila gaya dialog dalam rancangan kartun kegemarannya, Spongebob Squarepant.
Albert sekadar tersenyum nipis.
Dalila tetap tersengih-sengih.
"Lila bagi tahu ibu kejap."
"Eh. Tak payahlah. Bagi tahu Yan aje. Cakap I tunggu dia."
"Okey," sahut Dalila riang sebelum dia masuk ke ruang dalam.
Albert di kerusi luar keluarkan telefon dari dalam poket jeans. Tekan-tekan sebelum ada suara yang mengganggu tumpuannya. Segera Albert angkat muka lalu berkalih ke kanan.
Dalila kembali tersengih-sengih di depan pagar grill yang tetap juga memisahkan mereka.
"Apa? Sengih you ni ada makna, tau. Nak I belanja rojak?" Albert sengaja bertanya. Lebih kepada mengusik gadis manis berusia 19 tahun itu.
"Orang cakap... oranglah yang cakap ya, bukan Lila."
"Apa dia?" Albert buka telinga seluasnya, sedia untuk mendengar.
"Orang cakap, hendak seribu daya. So..." Dalila sengaja menggantung ayat.
Albert kembali berkerut dahi sebelum bibir terkoyak senyum senget. Hari ni saja sudah tiga kali dia mendengar ayat serupa. Mungkinkah itu petanda supaya dia mula bertindak?
Masalahnya bukan dia tak pernah bertindak. Daryan yang selalu pertahankan kata, tentang mereka yang amat mustahil untuk bersama. Belum Daryan menyebut fasal berbeza bangsa dan agama lagi.
"Ikhlas, bang. Lila lebih suka Abang Bert jadi abang ipar Lila. Abang Azim tu..."
"Tak hensem macam I?" Albert menyampuk laju. Sengaja juga dia mahu hentikan topik yang akan menyebut sepatah nama itu.
Kadang sakit hati Albert nak mendengarnya. Lebih-lebih lagi kalau keluar dari mulut Daryan dengan wajah yang galak bercahaya. Berseri-seri gaya orang menang loteri.
"Itu dah satu. Of course Abang Bert lebih hensem." Dalila angkat ibu jari. Dia setuju dengan kenyataan lelaki berbangsa Cina itu.
"Yang keduanya... psst... Abang Azim tu selfish," bisik Dalila perlahan dengan anak mata yang bergerak melingas ke kiri dan kanan. Bimbang kalau ada yang mendengar kata-katanya.
Kalau ibu yang dengar, mahu kena tarik telinga. Kalau kakak, mahu perang saudara.
"Tak baik you cakap macam tu, tau. Kalau Yan dengar..."
"Lila bagi tahu benda yang betul, bang. Tak selfish ke biarkan kakak tertunggu-tunggu sampai tiga tahun? Abang Bert pernah ke jumpa orang lain yang bertunang sampai bertahun-tahun? Kalau dah kahwin, ada anak, anak tu dah boleh berlari, tau. Tiga tahun." Siap isyarat tiga jari Dalila tunjuk, bukti dia bersungguh dengan apa yang dikata.
Albert di luar sana hanya mendengar tanpa mampu memberi sebarang komen. Dia pun bukan tak pernah fikirkan benda yang sama.
"Yan cakap tunang dia tu nak stabilkan kewangan dulu. Nak beli rumah, kereta..."
"Alasan." Dalila menyelar sepatah dengan muka menyampah. Kemudian dia berkalih lalu terus masuk ke dalam.
Albert yang ditinggalkan hela nafas panjang. Telefon di depan mata sudah tak mampu menarik minatnya lagi. Kata-kata Dalila kembali terdengar di telinga.
Albert tak pernah nafikan betul setiap apa yang Dalila sebut. Selama dia hidup, tak pernah lagi dia jumpa pasangan kekasih yang ditunangkan selama bertahun-tahun. Paling lama pun setahun. Itu pun sudah ada yang melenting marah.
Daryan merupakan manusia pertama yang dia jumpa bertunang selama tiga tahun. Daryan begitu setia dengan cinta di jiwa dalam perhubungan jarak jauh itu.
"Ikhlas, bang. Lila lebih suka Abang Bert jadi abang ipar Lila."
Albert kembali hela nafas panjang. Dia mengingati keadaan diri. Tentang dia yang sentiasa ada di sisi Daryan. Tentang dia yang selalu berusaha dan sehabis daya memikat gadis itu. Masalahnya Daryan yang letakkan sempadan di dalam hidup mereka. Satu jurang yang disebut friendzone.
Bukan tak pernah Albert menceroboh sempadan itu. Hasilnya hati dia yang semakin tersakiti. Lalu, Albert abaikan segala asalkan dia sentiasa ada di sisi Daryan. Albert sanggup untuk terus sakit asalkan Daryan bahagia.
Melihat gadis itu tersenyum sudah cukup untuk membuatkan hatinya gembira walaupun di dasar yang jauh tersembunyi jelas tercarik luka.
"Bert!"
"Hai." Albert membalas laju. Tersenyum melebar sebelum ia terus memudar dari bibir.
Daryan yang sedia menyarung sneakers sengaja jongketkan kening. Bertanya dengan bahasa isyarat. Teringin dia nak mendengar pendapat daripada Albert, BFF sepanjang masa.
"Dah ke? Jom." Albert terus berlalu dari halaman. Sepatah ayat pun tak keluar dari mulut itu.
Daryan sudah berdecit marah.
"Bukan salah aku, Bert. Kau yang datang tak berjemput. Pagi tadi kemain cakap tak nak temankan aku. Tup-tup boleh muncul." Laju Daryan mengekori Albert, sama laju dengan mulutnya yang berbunyi.
Iyelah. Bukan salah dia pun. Kalau awak-awal lagi Albert beritahu nak teman dia pergi jumpa Azim, awal-awal juga dia akan bersiap. Kalau awal-awal juga Albert jawab bersetuju hendak menjadi peneman ketika dia bertanya di dalam van Uncle Ravi pagi tadi, tak adalah jadi macam sekarang.
Ini tidak. Boleh pula Albert muncul. Dia mandi pagi pun belum. Kan dah kena menunggu berjam-jam lamanya.
Ingat senang ke dia nak bersiap? Mahu bertemu encik tunang setelah hampir setengah tahun tak bertemu muka, memanglah Daryan akan pakai baju cantik-cantik, mekap lawa-lawa. Tak kisahlah walaupun baju Dalila.
Iyelah. Dia pinjam baju adiknya. Dia mana ada baju baru? Baju baru nak buat apa? Fokus hidup Daryan selama tiga tahun ni adalah bekerja. Setiap hari dia akan bekerja dari pukul 7.00 malam sampai pukul 7.00 pagi. Seminggu sekali bila off, Daryan hanya keluar dengan Albert. Tak perlu rasanya dia nak pakai baju lawa-lawa. Cukup sekadar jeans dan t-shirt.
"Bert!" Daryan terus memanggil.
Albert langsung tak bagi sebarang respons. Pandang pun tidak sebelum boloskan diri masuk ke dalam perut kereta sewa yang sedia terparkir.
"Bert, malaslah aku macam ni, kau merajuk lagi. Aku pergi dengan teksilah." Dayran pun dah naik muak hendak memujuk Albert.
Mood dia tengah baik. Hatinya sedang bergumbira membayangkan pertemuan dengan encik tunang. Daryan tak mahu Albert rosakkan setiap apa yang sedang dia rasa. Lagipun bukan Albert ada nak memuji penampilan dia sekarang. Cantik ke tidak baju yang dia pakai tu walaupun sekadar baju pinjam?
Daryan terus keluar dari pintu pagar rumah ayahnya lalu menuju ke sebelah kiri jalan. Lebih kurang 300 meter dari situ, dia akan bertemu sebuah hentian bas.
Lebih baik dia tunggu teksi. Sesi memujuk Albert yang suka merajuk dah tamat. Sekarang Daryan perlu fokus pada hatinya yang sedang berbunga-bunga indah dengan rasa teruja.
Pon! Albert yang mengekori sudah membunyikan hon kenderaan. Daryan terus melangkah dan tekad tak mahu peduli. Langkah diatur laju menyusuri bahu jalan yang sentiasa bertali arus dengan kenderaan seolah-olah kereta yang Albert pandu langsung tak wujud.
Albert tak punya pilihan. Pecut kereta ke depan, dia berhenti mendadak demi menyekat langkah Daryan. Kemudian, Albert keluar dari kereta dan segera mendekati Daryan yang tegak berdiri di bahu jalan. Cemberut muka itu tak payah cakap. Boleh kalah cencurut.
"Masuk. Aku hantar kau pergi sana," suruh Albert siap dengan tangan yang menunjuk.
"Tak payah. Aku boleh pergi dengan teksi. Malas nak layan kau!" Daryan tarik muncung lebih panjang. Langkah kaki kembali dibuka sebelum Albert terus menyekatnya.
"Yan, panaslah nak berdrama kat sini."
"Dah tu tepilah. Tak payah halang aku." Daryan menepis tangan Albert yang mahu memegang lengannya.
"Masuklah. Aku hantar kau pergi sana. Aku teman kau jumpa tunang kesayangan kau tu."
Daryan dongakkan muka memandang Albert dengan biji mata tercerlung. Entah kenapa dia terasa ada benda pelik pada ayat 'tunang kesayangan kau' yang Albert sebut tu.
"Kau yang salah, Bert, tapi kau nak marah aku. Pagi tadi kau cakap tak nak teman aku."
"Yan, nak bergaduh pun masuk kereta dulu." Albert terus memaksa.
Kembali dia meraih lengan Daryan lalu menarik gadis itu supaya mendekati kereta. Pintu sebelah penumpang bahagian hadapan dibuka luas sambil Albert buat isyarat supaya Daryan masuk.
"Tak nak. Aku naik teksi aje." Daryan tetap enggan. Lengannya yang Albert pegang direntap kasar.
"Yan!"
"Tak nak!"
"Masuk!"
"Masalah betullah kau ni, Bert."
"Masa berjalan, Yan. Petang karang nak masuk kerja pulak."
"Bert!"
"Masuk." Albert masih memaksa. Timbul urat lehernya tanda dia menahan rasa.
"Kau kalau tak ikhlas nak temankan aku, baik tak payah buat, Bert. Aku takde paksa pun." Daryan terus membentak. Berkali-kali juga dia menepis tangan Albert.
"Masuk dulu." Albert sudah terkacip gigi rapat. Tangannya kembali menolak bahu Daryan, mendorong tubuh gadis itu ke arah muka pintu kereta yang sedia terbuka.
Daryan tak henti merengus sebelum boloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Terpaksa! Punggung dihenyak kasar pada kerusi. Rakus tangan Daryan menarik tali pinggang keledar lalu dikenakan. Setelah Albert masuk ke sebelah pemandu, terus dia kalihkan muka ke sebelah kiri.
Daryan tak nak pandang Albert lagi. Albert betul-betul dah rosakkan mood dia sekarang!
VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.
_FROM_ME_WITH_LOVE_
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro