Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2

"SORRY," pinta Daryan.

Tangan menghulurkan satu plastik berwarna hijau. Sengaja dia membeli kuih kegemaran Albert demi hendak memujuk lelaki itu.

Daryan tahu Albert sudah merajuk dengan dia. Waktu rehat pada pukul 10.00 malam tadi jenuh dia tunggu Albert di kantin, langsung temannya itu tak datang. Puas Daryan mencari, tetap tak ditemui, tak tahulah dekat ceruk mana Albert dah menyorok.

Nampak sangat kawan baik dia tu merajuk yang bersungguh-sungguh.

"Bert, aku cakap sorry. Nah! Aku belanja breakfast tapi kuih ajelah. Gaji lambat lagi." Daryan tetap menghulur siap goyang-goyang plastik kuih di depan muka Albert.

Tapi, Albert sikit pun tak peduli. Temannya itu tetap dengan tingkah berpeluk tubuh sambil belakang badan tersandar pada van kilang.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Ruang di luar pagar bangunan kilang sesak dengan kumpulan manusia yang baru tamat syif kerja malam.

Berduyun-duyun mereka meninggalkan pekarangan kilang untuk balik ke tempat tinggal masing-masing. Ada yang menaiki motosikal, ada yang berkereta. Bagi yang kurang berkemampuan macam Daryan dan Albert, naik van kilang saja.

Ruang dalam van Uncle Ravi masih belum penuh. Masih ada penumpang yang belum sampai ke situ. Ada juga yang mengambil kesempatan membeli kuih-muih untuk dibuat sarapan pagi dekat gerai-gerai yang sedang berjualan.

Banyak gerai-gerai kecil yang terletak bersusun-susun pada bahu jalan berhadapan dengan bangunan kilang.

"Bert!" Daryan memanggil lagi.

Tangannya sudah lenguh menghulur tapi tak bersambut juga. Albert pula makin buat tak peduli, siap liarkan pandangan pada ruang sekeliling yang memang sesak dan sibuk itu.

"Fine! Malaslah aku nak pujuk." Daryan sudah putus asa.

Dia berpusing dengan niat mahu masuk ke dalam perut van. Terhenti langkah kaki Daryan setelah beg sandang yang sedia tergalas di belakang badan tiba-tiba ditarik seseorang.

"Tak boleh ke kalau kau pujuk aku ikhlas sikit?" Albert bersuara juga.

Daryan sudah terjuling biji mata.

"Tak ikhlas lagi ke aku pujuk ni? Siap bagi kuih semua."

"Nanti off, belanja aku tengok wayang." Albert demand lebih. Daryan juga yang terasa nak demam.

"Deal. Kau belanja lunch." Tapi, dia juga tahu cara 'situasi menang-menang'.

Giliran Albert pula yang julingkan biji mata.

"Dahlah merajuk tu, Bert. Macam perempuan."

"Aku merajuk dengan kau aje, Yan. Kau yang lebih untung sebenarnya. Perempuan lain boleh tengok aje, tapi tak ada peluang."

"Poodah! Perasan." Daryan angkat tangan kanan gaya Uncle Ravi.

Senyuman di bibirnya kembali terkuntum. Daryan senang hati kerana rajuk Albert sudah terpujuk. Daryan juga akui, memang betul apa yang Albert sebut. Memang ramai perempuan yang cemburu melihat hubungan mereka. Lebih-lebih lagi 'minah-minah' kilang yang memang ada hati dengan Albert.

Jujur Daryan kata Albert memang hensem dengan mata sepet dan kulit putih melepak yang dimiliki oleh lelaki itu. Memang kalah kulit dia walaupun dia orang perempuan.

Maklumlah Albert berbangsa Cina. Hensem Albert pula tak adalah sampai ke tahap retis yang Daryan boleh sebut nama siapa-siapa yang mungkin seiras. Albert hensem kerana mendiang babanya berasal dari Thailand. Albert juga tak lokek dengan senyuman. Wajah kacak lelaki itu memang sejuk mata memandang.

"Mana kuih tadi?" Albert hulurkan tangan meminta.

Daryan geleng kepala. "Offer dah tamat," balas dia bersahaja.

"Yan..." Albert menarik tali beg sandang Daryan. Terdorong tubuh gadis itu ke belakang, hampir jatuh terlentang.

"Bert!" Suara Daryan naik bertakuk-takuk dek kerana terkejut.

Albert juga yang ketawa senang hati sambil dia merampas plastik kuih dari tangan Daryan. Tapi, tak lama setelah telefon milik Daryan tiba-tiba berbunyi.

"Azim," sebut Daryan sepatah dengan wajah yang berseri-seri.

Laju dia menepuk lengan Albert kerana lelaki itu masih tak melepaskan pegangan pada beg di belakang badannya. Albert juga yang terpaksa mengalah sambil tarik muka masam menggantikan wajah ceria sesaat tadi.



MENDENGAR sepatah nama yang Daryan sebut, hati Albert semakin terkoyak luka. Apatah lagi melihat senyum manis yang terukir melebar pada ulas bibir gadis itu. Terasa luka di hati Albert semakin parah dan berkali ganda membuakkan darah merah.

Albert buka langkah besar mahu berlalu. Tak kuasa dia hendak menjadi pendengar tak berbayar. Tapi, tingkah Albert pula yang terbantut setelah lengan tiba-tiba ditarik Daryan.

Daryan menggeleng tanda melarang dia pergi sambil gadis itu menjawab panggilan telefon.

Albert sudah membatukan diri. Dia terpaksa biarkan mata semakin senak kerana melihat wajah ceria Daryan. Tak cukup dengan itu, lengan kemejanya turut menjadi mangsa. Ditarik-tarik dan digentel Daryan gaya orang yang sedang mengurat.

Albert semakin sakit hati. Mahu diluahkan, sudah tak terkira berapa kali dia luahkan. Lagipun, bukan Daryan tak pernah tahu apa yang dia rasa melainkan Daryan sengaja butakan mata dan pekakkan telinga.

Daryan memang pakar dengan tingkah buat tak peduli!

"Sayang, Uncle Ravi dah panggil. Nak balik," panggil Albert sengaja dengan mulut yang didekatkan pada telefon di tepi telinga Daryan. Memang dia berniat supaya manusia di seberang sana mendengarnya.

"Hah? Okey." Daryan angguk saja. Dia langsung tak kisah pada panggilan tersayang yang keluar dari mulut Albert.

Bukan tak pernah Daryan marah tapi Albert memang suka panggil dia macam tu. Sudahnya Daryan jadi kalis dan tak kisah mahu menyahut. Ada kalanya juga Daryan rasa istimewa apabila ada perempuan yang menjeling kerana cemburu.

Paling penting, Azim tak tersalah sangka atau menuduh dia berlaku curang dalam hubungan mereka.

"Yan!" Albert memanggil lagi. Telunjuk dituding kepada Uncle Ravi yang sudah bercekak pinggang di depan pintu van. Uncle Ravi siap menggentel misai lentik.

Daryan angguk laju-laju sambil sebelah tangan diangkat kepada Uncle Ravi. Ucapkan selamat tinggal, dia tamatkan panggilan daripada Azim. Dengan wajah yang cukup ceria, Daryan melangkah masuk ke dalam perut van yang sudah penuh dengan penumpang.

"Bert, Azim nak jumpa aku tengah hari nanti. Dia dah on the way nak datang sini," beritahu Daryan teruja setelah punggung dilabuh pada kerusi van.

Seperti biasa juga mereka duduk sebelah menyebelah. Albert tak pernah menjauh. Daryan juga takkan bagi peluang untuk orang lain duduk di sebelah Albert. Ruang di tepi tingkap itu memang menjadi port mereka ketika pergi dan balik dari kilang macam dah ditanda.

"Kau tak penat ke, Yan? Tak mengantuk? Bukannya esok hari minggu. Malam nanti nak masuk kerja pulak." Albert menjawab dengan suara datar. Langsung dia tak berminat dengan janji temu Daryan.

"Bukan senang Azim nak datang sini jumpa aku, tau. Dia pun free hari ni aje." Daryan tetap berasa teruja. Berbunga-bunga wajahnya sambil di ruang mata, terbayangkan wajah kacak encik tunang.

Sudah tiga tahun Daryan dan Azim mengikat tali pertunangan. Tujuh tahun tempoh perkenalan yang bermula sejak dari Universiti lagi. Detik pertemuan mereka berlaku setelah Azim menjadi penyelamat Daryan yang tersesat di dalam hutan ketika minggu orientasi.

Daripada berkawan biasa, Azim telah menjadi pengganti Albert yang jauh dari mata. Semakin lama perasaan mereka mula bercambah sebelum berubah menjadi cinta.

Suatu hari, Azim dengan beraninya meluahkan apa yang ada dalam hatinya. Daryan yang tak pernah menyangka terus menerima cinta Azim tanpa sebarang alasan. Lagipun dia memang crush dengan Azim.

Dilamar lelaki itu untuk menjadi kekasih hati, Daryan rasakan dunia ni hanya dia yang punya.

Selama berada di Universiti, mereka menjadi pasangan bercinta dan semua orang tahu. Tamat Universiti, Azim terus masuk meminang Daryan.

Kini setelah tiga tahun menjadi tunangan, mereka masih berpegang pada janji yang buat. Tempoh masa yang berlalu walaupun cukup lama, ia tak pernah menjadi alasan untuk hubungan mereka terlerai. Azim sudah berjanji mahu menstabilkan keadaan kewangan terlebih dahulu sebelum mereka bernikah. Azim mahu menyediakan tempat tinggal yang selesa buat Daryan.

Peluang yang ada, Daryan ambil keputusan untuk turut bekerja demi mengumpulkan wang dalam merealisasikan majlis mereka nanti. Daryan rela bekerja kilang walaupun dia ada kelulusan yang bukan calang-calang.

Kerana Daryan tahu kerja kilang tak banyak syarat untuk proses pengambilan pekerja. Paling penting kerja kilang memang 'masyuk'. Daryan tahu dia mampu mengumpul wang yang banyak dalam masa yang singkat.

Daryan tak pernah ambil peduli pada stigma masyarakat sekeliling yang menganggap pekerja kilang tak ada masa depan. Itu semua pandangan orang luar. Apa yang penting, kerja kilang bukan sembarangan untuk manusia sekeliling pandang sebelah mata.

Buktinya, dalam sesebuah kilang bukan hanya ada operator yang bertanggungjawab menggerakkan jentera. Turut ada jawatan leader, supervisor, manager, technician, engineer dan jawatan-jawatan lain yang lebih hebat lagi.

"Bert! Kau dengar tak apa yang aku cakap?" Daryan siku lengan Albert merasakan tak ada respons yang dia harapkan. Mata Albert sudah dilihat tertutup bersama kepala yang tersandar pada tingkap van.

"Dengar..." Albert sahut mendatar. Bertentangan dengan rasa teruja di jiwa Daryan. Bagaimana Albert mahu teruja kalau di hatinya menanah dengan cemburu?

"Aku nak pakai baju apa, Bert? Ada cadangan?" Daryan masih teruja. Hilang terus rasa mengantuk.

Hari ini Daryan berasa teruja gaya sudah terbang di awan nan biru setelah mendapat panggilan daripada encik tunang tercinta.

"Bert, cakaplah aku nak pakai baju apa?" Daryan kembali menyenggol lengan Albert. Perlahan nada suaranya kerana tak mahu mengganggu penumpang-penumpang lain yang turut mengambil peluang untuk lelapkan mata biarpun seketika.

"Pakai baju yang sopan." Skema jawapan Albert. Matanya langsung tak dibuka.

"Aku mana ada baju baru?" Daryan tiba-tiba berdecit kecewa sebelum mengeluh halus.

Hilang sudah rasa teruja di jiwanya. Daryan kemudian meletakkan sisi wajah pada bahu Albert yang memang ada di sebelah kiri dan sama tinggi dengan paras kepalanya.

Albert berkalih ke kanan. Mata memandang wajah Daryan yang cukup dekat. Dia boleh nampak alis mata gadis itu yang elok melentik sebelum turun pada hidung mancung Daryan.

"Nak aku teman kau pergi jumpa Azim?" Albert tak sampai hati hendak membiarkan Daryan teruja tanpa teman. Albert juga tahu itu yang selalu Daryan harapkan walaupun mulut gadis itu jarang mahu menyebut.

"Aku nak pakai baju apa?" Masih Daryan bertanyakan soalan serupa, bukan dia memberi jawapan buat Albert.

"Kan aku dah cakap, pakai baju yang mana ada. Janji sopan. Bukannya dia ajak kau pergi lunch dekat hotel, nak kena dresscode bagai. Paling kurang, foodcourt dekat mall aje."

"Aku pinjam baju Lila." Daryan mendapat satu idea.

"Macam tak biasa," tempelak Albert dengan cebik.

Bukan tak pernah Daryan keluar pada hari mereka off dengan pakai baju Dalila. Pinjam kemudian gayakan.

"Kau nak teman aku, Bert?" Kembali ceria suara Daryan. Wajah dikalih pantas ke arah Albert.

Nyaris dahi mereka berlaga.

"Tak naklah. Baik aku tidur." Albert menjawab tanpa perasaan. Palingkan muka ke kiri, dahinya kembali disandar pada cermin van Uncle Ravi.

Jantung dalam dada Albert hampir melompat keluar!

"Ish! Benci betul. Tadi kau tanya sangat." Daryan berasa sakit hati. Lengan beralas kemeja petak-petak milik Albert dia cubit halus.

"Malas aku nak jadi pak pacak. Kau yang dating, aku yang sakit hati." Albert tak pernah berkias ayat. Memang dia tak pernah malu untuk berterus-terang.

Selama hari ini pun, setiap apa yang Albert buat semata-mata kerana Daryan walaupun hatinya tersakiti. Kalau dia ada niat jahat, boleh saja Albert menjadi orang ketiga dalam hubungan Daryan dan Azim.

Lagipun Albert yakin dia lebih berhak kepada Daryan. Cuma setelah dia fikirkan semua itu benda salah, Albert abaikan niat yang memang tak betul tu.

"Kau sepatutnya jadi supporter aku, Bert. Kita kan BFF." Macam tahu apa yang sedang berdetak-detuk dalam hati Albert, Daryan menyebut kembali ayat itu.

Harapan yang dia sandar pada Albert selama hari ini pun tak pernah berubah. Demi hubungan mereka juga.

Sungguh, Daryan tak sanggup kehilangan Albert. Daryan mahu Albert menjadi kawan baik dia sampai bila-bila. Perasaan yang tak sepatutnya, Daryan tahu semua itu boleh menjadi punca hubungan di antara mereka berantakan dan terlerai. Mereka kan dah berjanji akan berkawan sampai mati.

"Iye. Aku BFF kau, Yan. Aku akan support kau asalkan kau bahagia. Hati aku, ada kau kisah?"

"Aku pun tak kisah kalau kau tak nak teman aku. Tak pasal Azim jealous." Daryan tarik muncung panjang.

Ayat yang keluar dari mulutnya sekadar penyedap hati yang lara. Ayat yang menggumam di bibir Albert tadi bukannya Daryan tak dengar. Saja dia buat tak peduli.

Daryan seorang gadis. Lebih penting lagi, dia tunang orang. Daryan perlu sedar tentang hakikat itu. Dia juga sayangkan Albert. Sejak dari dulu lagi. Dia lebih sayangkan persahabatan di antara mereka lebih daripada segalanya.

Seketika Daryan turut pejamkan mata sambil kedua tangan naik berpeluk tubuh. Belakang badan disandar tegak pada ruang kerusi. Dia sudah tak menumpang pada bahu Albert macam tadi.

Dalam hati, Daryan tertanya-tanya apa sebenarnya yang terpendam di lubuk jiwa yang paling dalam?

Dia sekarang memang bahagia menjadi tunang Azim. Dia juga teruja menunggu detik majlis mereka yang bakal tiba seperti yang telah janjikan. Mustahil untuk hati dia berubah curang walaupun Daryan akui memang separuh dari jiwanya sudah diambil Albert.

Separuh dari jiwa Daryan memang milik Albert sejak dari dulu lagi walaupun dia cuba untuk buat tak peduli. Albert tak pernah pulangkan walaupun Daryan ada meminta. Bukan saja Albert tak nak pulangkan, tapi semakin mencuri sedikit demi sedikit daripada separuh lagi yang masih bersisa itu.

Tak mustahil juga satu hari nanti Albert akan ambil seluruh hati dia sedangkan Daryan telah memagarinya sebaik mungkin. Meletakkan sempadan yang kukuh.

Daryan risau. Kalau betul Albert ambil seluruh hati dan jiwa dia, apa yang bakal berlaku nanti? Bukankah dia akan dianggap curang dalam hubungan mereka? Hubungan Daryan dan Azim yang sekian lama bergelar tunang.

VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.

_FROM_ME_WITH_LOVE_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro