Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"SELAMAT datang, Abang Naim!" Ceria suara Dekna menyapa salah seorang pelanggan tetap Mikro.

Demi mendengarkan nama itu, Aliya mendongak dengan sendirinya. Automatik pandangannya berlaga dengan Farizul. Jelas kebingungan di wajah masing-masing. Bunyi kerusi ditarik kedengaran lalu mereka berpaling memandang meja sebelah.

"Hai Al," ucap Naim bersama senyuman manis.

"Dekna, bagi saya macam biasalah. Saya dah rindu makanan Mikro," kata Naim pada Dekna pula. Kepala Dekna mengangguk laju apabila frasa 'macam biasa' disebut Naim. Dia tahu, Naim memaksudkan teh jasmin dan juga burger daging yang dinamakan Magic Mushroom.

"Jasmine dah ada depan mata, bang. Takkanlah nak minum teh jasmin lagi untuk lepaskan rindu?" usik Dekna bersama kenyitan mata. Bukan sengaja mereka cerita tetapi itulah hakikatnya. Naim sendiri mengaku, dia gilakan teh jasmin hanya kerana nama itu sama dengan nama Aliya. Agaknya kalau ada teh bernama atau berperisa 'Aliya' pun, Naim akan jadi hantu!

Naim ketawa kecil sambil kepala digeleng perlahan. Sebaik saja Dekna hilang dari pandangannya, perhatian Naim kembali tertumpu pada Aliya.

"Al, sinilah sekejap," panggilnya sambil tangan menarik kerusi sebelah lalu ditepuk perlahan.

"Saya ada kerjalah. Tengah bincang dengan Fariz pasal menu baru," dalih Aliya bersama senyuman tipis. Farizul di sisinya mengambil watak si pemerhati.

"Kalau awak tak nak ke sini, saya pergi sana. Tapi lecehlah sebab meja awak penuh dengan buku-buku. Macam mana saya nak makan nanti? Sinilah, Al. Kita pun dah lama tak berborak." Naim masih lagi berusaha untuk memujuk Aliya, si pujaan hati. Dua minggu lamanya tidak bersua muka dengan Aliya buatkan Naim angau sendiri. Jasadnya ada jauh nun di Kuching, Sarawak tetapi fikirannya asyik teringatkan Aliya. Kalau tak salah kiraannya, sudah hampir tujuh bulan juga mereka berkenalan. Kehadirannya ke kafe Mikro bersama beberapa orang rakannya membuka ruang untuk Naim mengenali Aliya.

Cinta pandang pertama. Ya, Aliya ialah cinta pandang pertamanya.

Kerusi yang diduduki, Aliya tolak perlahan. Kemudian dia labuhkan semula punggung di atas kerusi yang telah ditarik Naim untuknya. Muka dimaniskan di depan si pelanggan, bertanya soalan sekadar untuk berbasa-basi.

"Macam mana kerja kat Kuching? Okey?"

Naim mengeyakan dengan anggukan. Sekali lagi dia terima satu soalan daripada Aliya.

"Bila awak balik dari Kuching?"

"Baru aje tadi. Lepas tu saya terus ke sini. Nak jumpa awaklah," kata Naim dengan senyuman meleret. Langsung tak berselindung tentang perasaannya. Tidak mahu berhenti di situ, Naim luahkan pula rasa rindunya pada Aliya.

"Saya rindu awaklah. Kan bagus kalau awak bagi nombor telefon kat saya. Bolehlah saya call awak untuk lepaskan rindu. Tapi balik-balik, awak bagi nombor Fariz. Saya tak nak Fariz, saya nak awak!"

Sebal rasanya setiap kali mengenangkan Aliya enggan berikan nombor telefonnya. Dah dihujani dengan pelbagai alasan dan janji Aliya takkan diganggu setiap hari, tetap juga gadis itu berkeras menolak. Bukan Aliya saja, bahkan orang-orang sekelilingnya. Merayu pada Farizul, Dekna dan Wan untuk berikan nombor telefon Aliya tapi mereka semua sama kerasnya seperti si pemilik kafe itu.

Farizul yang setia memasang telinga, segera juihkan bibir. Tak pasal-pasal namanya pula dipetik Naim. Selaku seorang lelaki, Farizul juga keliru Naim termasuk dalam kategori mana. Lelaki yang gigih berusaha mengejar cintanya dan pantang menyerah? Ataupun lelaki yang kuat mendesak walaupun sudah ditolak Aliya berkali-kali? Sudahnya Farizul membuang pandang ke tempat lain dan waktu itulah matanya tertancap pada Suraya dan Haziq.

Dilihatnya mereka sama-sama 'menonton' drama swasta itu.

Aliya pula... Pamer muka seposen. Sejujurnya, dia cuma melayan Naim dengan rasa hormat sebagai si pelanggan. Prinsip yang sama itulah yang dipegang kejap hinggakan Haziq, si musuh utama tetap dilayan dengan baik.

"Tapi saya tak nak awak. Bon appetit, Naim. Saya nak buat kerja," kata Aliya seraya meminta diri. Kalau Naim tak segan-segan luahkan perasaannya, Aliya juga tak ragu-ragu untuk menolak. Sungguh, tak ada walau sesaat pun nama Naim melintas dalam fikirannya! Tak ada walau sekali pun hatinya terbuai-buai dengan ayat-ayat manis Naim!

Aliya bangun dari duduk. Senyuman masih menempel di bibir tatkala tubuh dipaling membelakangi Naim. Kaki mula melangkah setapak tapi tahu-tahu saja jemarinya diraih dan digenggam. Automatik kepala Aliya menoleh. Darah serasa mendidih melihatkan jemarinya yang bertaut erat dengan jemari Naim.

"Awak buat apa ni? Lepaslah!" marah Aliya. Sekejap saja, senyuman lesap dari bibirnya. Kini wajah Aliya jadi merah. Dada semakin berombak kencang apabila genggaman semakin dieratkan. Cuba ditarik namun Naim enggan melepaskan.

"Naim! Lepaslah!"

Naim masih enggan. Sebaliknya senyuman manis menghiasi bibirnya.

"Melampau!" Farizul sudah berdiri tegak. Jangankan Aliya yang disentuh tanpa rela. Dia juga dapat rasakan amarahnya meledak apabila Naim bertindak sedemikian.

Belum sempat Farizul mara menghampiri, Aliya sudah beraksi terlebih dahulu. Seluruh tenaga dikerahkan pada tangannya lalu direntap kuat hinggakan genggaman terlepas. Kerusi diduduki Naim pula ditendang sekuat hati hinggakan ia beranjak sedikit menjauhinya. Tidak mahu berhenti di situ, Aliya capai buku resipi yang paling tebal lalu diayun tepat ke muka Naim.

"Aduh!" Naim menyeringai kesakitan sambil kedua-dua tangan menutup mukanya.

Jemari yang tadinya digenggam Naim, Aliya kesat ke apron. Mimik muka sudah berubah. Perkataan 'jijik' bagaikan tertulis di setiap inci wajah.

"Jangan kurang ajar dengan saya, Naim. Selama ni saya respect awak sebagai pelanggan Mikro tapi mulai sekarang, saya tak izinkan awak datang sini lagi. Trylah jejakkan kaki. Setapak aje and I tell you, awak takkan keluar daripada sini dengan selamat," kata Aliya, melemparkan amaran dan ugutan kepada lelaki itu.

Terkocoh-kocoh Farizul hampiri rakannya lalu berdiri di hadapan gadis itu untuk menjadi 'tembok' di antara Naim dan Aliya.

"Saya cuma pegang tangan awak. Salah ke?" Naim bertanya semula seraya cuba membela diri. Telapak tangan masih menggosok mukanya perlahan. Dapat dia rasakan mukanya leper!

Naim berdiri. Dipandangnya Aliya dengan dahi berkerut.

"Awak pun tahu, kan? Saya betul-betul sukakan awak!"

Bulat mata Aliya serta-merta. Suka?! Berani Naim berikan alasan itu?!

Baru saja Aliya hendak menukas kata-kata Naim, deringan Oppo F1 bantutkan niatnya. Laju tangannya menarik keluar telefon pintar itu daripada poket apron. Satu nombor yang tidak dikenalinya tertera di skrin.

Sementara Aliya pamerkan riak bingung, mata Farizul tajam memerhatikan Naim. Tak larikan walau sesaat. Bimbang kalau dia alpa, Naim akan mengambil kesempatan sekali lagi. Takkan Farizul benarkan ia terjadi!

Lambat-lambat Oppo F1 dilekap ke telinga Aliya. Kedengaran satu suara yang cukup dikenalinya di hujung talian. Salah. Bukan sekadar di hujung talian. Bahkan suara itu didengarinya dengan sangat jelas.

"Sayang, saya ada kat belakang awak," kata Haziq dengan nada manjanya. Tangan yang memegang iPhone ditayang sambil bibirnya tersenyum simpul.

Aliya tercengang. Farizul ternganga. Suraya terkebil-kebil. Manakala Dekna yang baru muncul menatang dulang pula berdiri kejung di tempatnya.

Sepertinya ada malaikat yang lalu hinggakan semuanya keras membeku. Langsung tak keluarkan sebarang patah perkataan. Keheningan menyelubungi kafe untuk beberapa detik.

"Saya rindu tunang sayalah, sayang..." Haziq berkata lagi. Tak lepas matanya dari sepasang mata Aliya.

Demi mendengarkan itu, semangat Aliya berguguran menyembah bumi!

PEMERGIAN Naim berwajah merah dihantar dengan sorotan empat pasang mata. Sempat pula tangan Suraya melambai-lambai padanya walaupun lambaian itu tidak akan berbalas. Pintu ditutup. Plak metal diterbalikkan pada perkataan 'closed', bererti Mikro berhenti beroperasi untuk hari ini.

Hilang saja bayang Naim, Suraya pandang Haziq dan Aliya bersilih ganti.

"Let's applaud our hero and heroine of the day! Cik Aliya Jasmine dan Encik Alif Haziq!" kata Suraya sambil menepuk tangannya. Gamat kafe Mikro dek bunyi tepukan tangannya dan Farizul bergabung.

"Overlah kau orang." Aliya garu telinganya. Nasib baiklah Dekna dan Wan sudah pun pulang. Jika tidak, makin riuh jadinya.

"Entah. Relakslah. Aku bukannya buat apa pun," kata Haziq pula.

"Mana kau dapat idea? Terkejut aku bila kau tiba-tiba minta nombor telefon Al. Lagi terkejut bila kau call dan pergi kat Al!" ujar Suraya, separa teruja.

"Tahu tak apa! Kau siap panggil Al 'sayang', mengaku dah bertunang. Aku pun terkejut! Tak pernah terfikir pula nak mengaku aku boyfriend atau tunang Al." Farizul turut menambah.

"Tak adalah... Sebab aku dengar tadi, Melur tak nak bagi nombor handphone kat dia jadi aku sengajalah call Melur. Secara tak langsung bagi hint yang aku ni orang istimewa pada Melur, sebab itulah aku ada nombor dia. Nakkan lagi gempak, aku tayanglah muka aku pula! Lelaki kacak macam aku, memang sah-sahlah Naim tak berani nak berlawan. Tengok luaran aje pun, dah confirm Melur akan tolak Naim!" jelas Haziq, sempat masuk bakul angkat sendiri.

Suraya dan Farizul sama-sama mengangguk. Bukannya mengeyakan pujian Haziq untuk diri sendiri tetapi memikirkan ada kebaikannya juga Haziq di sini. Idea spontan Haziq berjaya buatkan Naim berlalu pergi.

"Kau memang tak suka dia ke, Melur? Selamba aje kau tolak dia. Eh, kau ada belajar silat ke, taekwando ke? Pandai kau defend diri sendiri, sama macam hari tu waktu kita kat..." Bicara Haziq mati dengan sendirinya. Mengingati peristiwa di dalam tandas itu buatkan rasa takut kembali menjengah. Tubuh yang tadinya tegak, lambat-lambat bersandar pada kepala kerusi. Bimbang tersalah tutur kata, dia akan menjadi mangsa sekali lagi.

"Mana ada Al belajar apa-apa. Spontan aje tu." Farizul menjawab bagi pihak Aliya.

Lambat-lambat Haziq teguk liurnya. Tak ada ilmu pertahanan diri pun, Aliya mampu beraksi sebegitu. Apa yang akan terjadi sekiranya Aliya ada ilmu tersebut? Tak sanggup Haziq membayangkannya!

"Jackie Chan kata, kita kena bijak jadikan apa-apa yang ada depan mata sebagai alat pertahanan diri," kata Aliya, memetik nama pelakon aksi yang begitu diminatinya. Jawapan diberi dalam bentuk syarahan.

"Ini bukan Jackie Chanlah yang cakap. Ini contoh yang aku fikirkan sendiri. Kalau kau tengah jalan kaki sorang diri dan rasa tak sedap hati, kau selitkan kunci kat celah-celah jari. Tak kiralah kunci rumah, kereta, laci... Semuanya boleh guna. Jadi kalau ada orang jahat, scratch aje muka atau badan dia. Kalau kau cuma ada handphone kat tangan, genggam kuat-kuat. Kumpul semua tenaga kau kat situ dan pappp! Confirm orang jahat tu sakit!"

Suraya mengangguk laju, bersetuju dengan kata-kata Aliya. Bernas juga idea tersebut. Bolehlah dia amalkan selepas ini. Malang tak berbau, jadi tak salah kalau dia sediakan payung sebelum hujan!

"Sebab tu kau tepek menu kat muka Naim? Sebab itu aje yang paling dekat dengan kau?" soal Farizul yang dijawab dengan anggukan Aliya.

"Naim memang cinta mati kat kaulah, Al. Dah berapa lama dia terhegeh-hegeh nakkan kau, bagi pick-up line segala. Tapi kenapa tadi kau mengamuk tiba-tiba?" Suraya pula bertanya.

"Itu bukan cinta matilah, itu namanya nafsu. Pegang anak dara orang suka-suka hati. Aku dah minta dia lepaskan tangan aku pun, dia tak nak. Kurang ajar!" sela Aliya sekali gus meletakkan satu garisan di antara cinta dan nafsu. Walaupun dia kelihatan senang bergaul dengan orang ramai, tak pernah sekali pun Aliya biarkan garisan itu jadi kabur. Sementelah, Aliya berpegang pada satu prinsip.

"I don't romanticise sexual harassment," ujar Aliya. Tegas.

Sementara Suraya dan Farizul mengangguk bersetuju, Haziq pula terpaku sendiri. Lidah jadi kelu untuk bertanya dengan lebih lanjut tetapi anak mata bagaikan diglu pada Aliya.

Aliya Jasmine tidak melihat gangguan seksual dalam cara romantik. Titik. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro