Bab 6
JEMARI yang laju berlari di atas papan kekunci, tiba-tiba jadi kaku. Haziq raup wajah dengan telapak tangan. Mulut terkumat-kamit beristighfar diselangi dengan selawat, berharap idea akan muncul. Apabila satu muk berisi coklat panas terletak elok di sebelah komputer ribanya, Haziq angkat muka.
"Minumlah dulu. Abang asyik stres aje kebelakangan ni," kata si adik bongsu, Warda.
"Baiklah, adik abang. Patutlah Zaini sayang." Dengan senyuman melebar, Haziq capai muk tersebut. Kalimah bismillah diucap lalu coklat panas disisip perlahan. Tanpa kata, Warda labuhkan duduk di atas kerusi di sebelah Haziq. Tangan menongkat dagu sambil memandang si abang.
"Abang buat manuskrip baru?"
"Tengah cuba buat draf."
"Cerita apa pula?"
"Cerita pasal seseorang yang struggle dalam kehidupan dia. Seorang heroin yang tak perlukan hero untuk jadi kuat sebab she herself is a warrior," beritahu Haziq. Jemari mengurut dahinya lembut sebelum keluhan dilepaskan.
"Cerita thriller lagi? Romance action?"
"Romance. Plus a little bit of melodrama. Berlatarbelakangkan rakyat biasa aje, tak ada orang gila, tak ada dendam atau Tan Sri dan Datin Sri. Just so you know, a strong heroine tak semestinya kuat fizikal dan boleh berlawan, bertarung. Ada orang yang kuat mentalnya. Tabah, cekal dan tak mengalah dengan apa aje yang mendatang."
Warda mengangguk-angguk perlahan, mengerti apa yang cuba disampaikan Haziq. Sebelum ini di dalam novel bergenre cinta, Haziq membayangkan watak heroinnya sebagai seorang insan lemah. Bak kata orang putih, 'a damsel in distress' di mana watak si heroin memerlukan bantuan si hero untuk terus-terusan melindungi dan memberi bantuan kepadanya. Dan sekarang Haziq mahu mencipta satu watak yang berbeza daripada sebelumnya.
"Tadi adik tengok Instagram abang. Bukan main lagi peminat-peminat abang. Request nakkan nama dia orang sebagai watak heroin, jadi bolehlah dia orang angan-angankan dia orang bercinta dengan abang. Urgh. tolonglah," tempelak Warda sambil tubuhnya sudah digerak-gerakkan kegelian. Mengenangkan puluhan komen di laman sosial si abang, dapat Warda rasakan perutnya mual.
Ya, Warda bersyukur dengan peminat-peminat abangnya. Merekalah penyumbang pada kejayaan abangnya menempa nama sebagai penulis novel dan masih lagi bertahan walaupun sudah tiga tahun berlalu. Namun ada masanya, Warda sedikit terkilan. Meminati tak salah tapi janganlah melampau hinggakan maruah seorang wanita kelihatan begitu rendah. Perasaan jelak Warda sama tinggi seperti membaca komen-komen kaum lelaki di akaun artis wanita atau instafamous.
Adakah memuji berlebih-lebihan sehingga ke tahap memuja dan fanatik sudah dianggap satu normal? Adakah Warda sudah ketinggalan zaman? Adakah Warda akan dilabel berfikiran kolot oleh mereka semua?
Soalan yang Warda ajukan pada diri sendiri, sudahnya Warda jawab dengan jongketan bahu.
Lain orang, lain perspektifnya. Lain orang, lain fikirannya.
Kali ini Warda mengangguk pula, bersetuju dengan buah fikiran sendiri.
"Baguslah. Termenung sendiri, angguk-angguk sendiri, lepas tu geleng-geleng sendiri. Kenapa? Skru kat leher dah longgar? Meh abang check," tegur Haziq. Tangan menyentuh kepala Warda. Terteleng kepala si adik ke kiri dan ke kanan. Tak cukup dengan itu, kepala Warda bergerak ke depan dan ke belakang pula.
"Abang! Apa ni?!" bentak Warda apabila dirinya tak lagi betah diperlakukan sedemikian. Bunyi tawa Haziq menampar telinganya sebaik saja kepala Warda dibebaskan. Ketawa sakan si abang. Terhibur dapat mengenakan si adik bongsu.
"Umur dah dua puluh lapan tahun tapi perangai macam budak lapan tahun. Patutlah tak kahwin-kahwin sampai sekarang. Adik berani bet, peminat-peminat abang semuanya akan lari bertempiaran bila dia orang tahu perangai sebenar abang!" sela Warda.
"Come on, abang muda lagilah. Kau orang yang menggatal, tak menyempat! Adiklah yang paling win! Baru dua puluh tahun tapi dah menggatal nak kahwin. Tup-tup aje bulan depan dah bernikah!" tukas Haziq dengan muka tak puas hatinya. Tidak mahu berhenti di situ, Haziq terus mencicih. Memetik nama Wahida, si angah yang kini berada di Jepun dan Wardina, si uda yang kini menetap di Terengganu. Kedua-duanya berpindah mengikut suami.
"Angah habis aje degree terus kahwin padahal umur baru dua puluh empat. Uda pula, umur dua puluh tiga pun dah menggatal nak kahwin. Itulah... Orang suruh belajar betul-betul, menimba ilmu tapi kau orang menggatal cari suami! Abang ni fokus pada study. Bersungguh-sungguh jaga amanah dan tanggungjawab yang diberi, tak langsung pesongkan niat walaupun ramai perempuan nakkan abang! Apa hasilnya? Abang grad dengan first class, bukan calang-calang. Duit pinjaman dapat banyak potongan, jadi abang bayar sikit aje," kata Haziq, bermegah sedikit di hujung kata.
"Itu namanya jodohlah. Jodoh!"
"Balik-balik, itulah alasan kau orang!"
Dan-dan Warda mencebir. Bergaduh dengan si abang... Tak tahulah siapa yang tak matang!
"Cakap dengan abang menyakitkan hati aje," gumam Warda sekali gus meletak noktah pada perbalahan mereka. Kaki sudah diatur untuk meninggalkan Haziq namun kata-kata Haziq yang seterusnya memasung langkah Warda.
"Merajuklah dengan abang. Bulan depan abang tak nak nikahkan adik dengan Zaini. Padan muka!"
Berdesup Warda berlari ke arah abangnya dan melutut di tepi kerusi. Lengan Haziq ditarik lalu dipeluk. Kemudian Warda sandarkan kepala pada bahu Haziq untuk memujuk. Dibodeknya si abang untuk meminta maaf.
"Ala adik gurau aje. Adik janji adik tak ejek abang lagi," katanya. Kali ini lengan Haziq diurut-urut pula, masih dengan harapan Haziq takkan kotakan ugutannya.
"Ayah dah lama meninggal dunia. Kalau abang pun merajuk dengan adik, siapa nak nikahkan adik nanti? Tak nak orang lain. Jealouslah dengan kak ngah dan kak uda. Abang nikahkan dia orang tapi tak nak nikahkan adik. Adik minta maaf, eh? Eh? Abang..." Nada Warda meleret di hujung bicaranya.
Haziq menyengih.
Tahu takut!
"Hah lain kali..." Tak sempat Haziq mahu habiskan bicaranya, deringan iPhone mematikan niatnya. Laju saja tangannya mencapai telefon pintar itu.
Warda panjangkan lehernya dek panasaran. Lihat saja nama Suraya di skrin, dia pandang Haziq dengan sengihan. Rasa ingin bertikam lidah dengan si abang masih bersisa maka...
"Abang kahwin ajelah dengan Kak Su. Dia pun dah tua tapi masih membujang!" Sehabis ayatnya, Warda berlari naik ke tingkat atas. Sebelum telinganya dipulas Haziq seperti yang dilakukan setiap kali dikenakan bersama Suraya, lebih baik dia selamatkan diri!
AYAM goreng yang terhidang di depan mata, Suraya makan dengan penuh berselera. Sudah lama dia mengidam ayam Texas Chicken. Sementara orang lain gilakan ayam goreng McDonald's ataupun KFC, Suraya hanya gilakan ayam daripada francais ini. Kepala Haziq menggeleng perlahan melihatkan gaya Suraya yang agak gelojoh. Perasan ada sos cili terpalit di pipi Suraya, Haziq hulurkan sehelai tisu.
"Gelojoh macam dah sepuluh tahun tak makan ayam. Lap pipi tu," omelnya yang disambut dengan sengihan Suraya.
"Aku dah lama mengidam. Dah dapat duit gaji, barulah boleh makan!" kata Suraya yang sudah pun menjilat jemarinya. Sunnah Nabi...
"Kalau kau nak, cakap ajelah. Aku boleh belanja. Tak payahlah ikat perut, tahan nafsu makan. Kang mati kempunan, sia-sia aje!"
Suraya tunjuk buku limanya pada Haziq. Baru saja hati hendak terharu mendengarkan ayat terawal namun hujung bicara Haziq buatkan rasa sebal mengepung diri. Suraya bangun dan menuju ke singki untuk mencuci tangan. Tak sampai seminit, Suraya sudah kembali ke tempat duduknya. Huluran tisu daripada Haziq dicapai dengan ucapan terima kasih.
"Kau memang free ke malam ni? Kau tak ada buat apa-apa?" tanya Suraya sekadar berbasa-basi. Walhal dia sudah sedia maklum akan jawapannya. Kalaulah Haziq sibuk dengan urusan sendiri atau mengurung diri demi menyiapkan manuskripnya, tak ada maknanya lelaki itu akan tercongok di depan mata melayani selera makan Suraya. Apabila Haziq menggeleng, ringan pula mulut Suraya bertanya lagi satu soalan. Kali ini membabitkan nama Aliya.
"Kenapa hari tu kau terkejut sangat bila dapat tahu Al owner Mikro?"
Terus bulat mata Haziq. Kedua-dua tangan diletak di atas meja. Tubuh didepankan. Benar-benar teruja mahu tahu tentang stalkernya itu.
"Bila masa dia buka Mikro? Banyak pula duit dia? Mesti dia buat pinjaman, kan? Atau dia pinjam duit along?" tebak Haziq.
Kali terakhir dia bersua muka dengan Aliya ialah di majlis konvokesyen. Kebetulan, majlis untuk kursus mereka berdua jatuh pada hari yang sama. Sementara Farizul dan Suraya sibuk bergambar berdua, Aliya dan Haziq sama-sama membeku. Sekadar berbalas jelingan demi jelingan. Sewaktu Farizul dan Suraya mengucapkan selamat tinggal dan selamat maju jaya pada satu sama lain pun, Aliya dan Haziq masih membisu.
Heh, tak payah susah-susah berdramatik sangat. Bukannya Haziq tak tahu, Suraya rajin keluar dengan mereka berdua selama dia berada di Leeds. Dan ternyata hubungan mereka bertiga masih baik hingga ke hari ini, ditambah pula tempat kerja bersebelahan!
"Baru setahun lepas. Mana ada dia pinjam duit along. Bahayalah involved dengan lintah darat." Suraya memulakan ceritanya tentang Aliya. Dilihatnya Haziq mendengar dengan penuh minat.
"Dulu habis aje diploma, dia terus kerja dengan satu syarikat. Bertahun jugalah dia kerja kat situ. Sempatlah kumpul duit sikit-sikit."
"Dah elok-elok ada kerja, kenapa nak buka kafe pula? Terpengaruh dengan lambakan kafe hipster?" sinis Haziq.
Suraya tayang muka cemberut namun tak ada pula niat untuk menafikan. Sememangnya, sejak kebelakangan ini kafe hipster tumbuh bagaikan cendawan. Pelbagai tema dan menu baru diperkenalkan bersama promosi yang adakalanya melebih-lebih. Tambahan pula remaja dan golongan belia masa kini perlukan latar belakang yang cantik untuk Instagram feed mereka.
Sedar fikirannya sudah memesong sedikit, cepat-cepat Suraya gelengkan kepala. Pandangan ditala pada Haziq sebelum dia sambung bercerita. Kali ini dalam nada berbisik pula.
"Dia dah bertunang dengan bos dia tapi lepas tu bos dia curang," beritahu Suraya.
Melopong Haziq mendengarkan itu.
Aliya pernah bertunang? Bukan dengan calang-calang orang sebaliknya dengan majikan sendiri?
"Dahlah curang, lepas tu dia nak ambil kesempatan kat Al pula. Kesian Al. Waktu tu hidup dia miserable gila. Bapak dengan abang dia pun down, tak tahu macam mana nak tarik Al keluar daripada kesedihan dia. Sudahnya, bapak dia cadangkan kat Al untuk buka kafe sebab Al memang belajar perniagaan dan reti memasak, jadi bolehlah Al sibukkan diri. Kau tahu tak keluarga Al sebenarnya ada dua rumah? Long story short, Uncle Johan jual rumah lagi satu tu. Uncle Johan dengan Abang Ali hulur duit, Al sendiri pun ada duit simpanan lagi. Dah campur semuanya, cukuplah untuk dia buka Mikro. Renovate Mikro, beli barang-barang untuk Mikro... Semuanya bersih tanpa sebarang hutang."
Di hujung bicara, ada keluhan berat dilepaskan Suraya. Peristiwa yang baru berlaku kira-kira setahun setengah lalu masih hijau dalam fikirannya. Bukan hanya Johan dan Ali selaku bapa dan abang Aliya, bahkan Farizul dan Suraya juga dapat rasakan betapa terumbang-ambingnya hidup Aliya tika itu. Mujurlah Aliya cekal orangnya. Tak menjadikan kisah hitamnya sebagai pelemah semangat sebaliknya dia terus maju ke hadapan tanpa menoleh lagi ke belakang.
"Ambil kesempatan? Maksud kau..." Tak dapat Haziq sambung bicaranya apabila Suraya mengangguk lemah. Semerta air muka Haziq berubah. Di luar sedar, jemarinya sudah mengepal penumbuk.
Haziq... Paling benci pada lelaki yang mengambil kesempatan ke atas perempuan. Lelaki sepatutnya menjadi pelindung wanita, bukannya menyakiti mereka!
"Tapi alhamdulillah tak ada apa-apa jadi. Allah lindung Al," kata Suraya perlahan. Beg tangan yang ada di sisi, Suraya capai lalu tali beg disilang ke badan. Suraya berdiri tegak dan melangkah setapak tetapi dilihatnya Haziq masih statik di tempatnya. Anak mata memandang kosong meja.
"Jomlah balik," ajak Suraya.
"Kau termenung apa? Cepatlah. Aku dah kenyang, nak balik. Nak tidur."
Haziq yang tersentak daripada lamunannya jadi gelabah sendiri. Kepala mengangguk laju bagaikan burung belatuk. Berkali-kali berdehem untuk mengusir sesuatu yang menghuni kotak fikirannya. Baru saja punggung diangkat dan tubuh dipaling, tiba-tiba Suraya bertanya sesuatu.
"Aku ada beritahu tak? Aku dah berhenti kerja kat UO?"
Gelengan diterima sebagai jawapan sebelum mulut Haziq membebel.
"Aku dah lama suruh kau berhenti. Sia-sia ada diploma kalau tak nak cari kerja yang sesuai dengan kelayakan kau. Dah dapat kerja kat tempat tuisyen, kau bising gaji tak setimpal. Dapat jadi cikgu kat international school tapi kau berhenti sebab penat dan banyak kerja. Cubalah jangan memilih sangat! Ingat sikit, kau perlukan duit untuk bayar hutang belajar dulu! Jangan nak lupa diri pula, tak nak bayar hutang. Kalau tak disebabkan duit pinjaman tu, kau takkan dapat diploma. Kau takkan dapat ilmu!" bebel Haziq yang sedikit kesal dengan sikap Suraya. Ada saja tak kena di mata Suraya. Ini pun dah tak terhitung dek jari berapa kali Suraya bertukar kerja. Dan seandainya Suraya benar-benar mempunyai hasrat untuk mengabaikan hutang belajarnya dahulu, sungguh Haziq kecewa.
Terpaksalah Suraya tadahkan telinganya. Ini bukannya kali pertama maka dia sudah lali. Sewaktu Haziq berada jauh nun di Leeds pun, dia membebel panjang ketika mereka berhubung melalui Skype.
"Kau ni membebel ajelah. Aku kesiankan bakal isteri kau nanti. Lagi kesian kat anak-anak kau sebab dapat dua mak! Jangan risaulah. Aku sedarlah dosa sengaja tak nak bayar hutang! Kau fikir aku cetek ilmu agama sangat ke?"
Sindiran Suraya tak diambil pusing. Haziq lebih panasaran akan sesuatu.
"Dapat kerja kat mana?"
Tiba-tiba mata Suraya bersinar, tanda hatinya teruja mahu berkongsi cerita dengan Haziq.
"Kali ni... Insya-Allah aku dah tak tukar kerja," ujar Suraya sambil tangan diangkat gaya berikrar. Haziq cerlungkan mata. Sedikit prejudis.
"Serius! Sebab lepas ni, aku kerja dengan Al dan Fariz. Aku kerja kat Mikro!"
Tak dapat Haziq tahan mulutnya daripada ternganga!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro