Bab 14
SURAYA pandang Halimah. Halimah pandang Warda. Warda pandang Suraya. Kemudian mereka bertiga pandang Haziq pula. Dilihatnya senyuman masih tersungging di bibir lelaki itu. Jasad saja di sini namun mereka bertiga sangat yakin, fikiran Haziq menerawang ke tempat lain.
Halimah pandang Suraya pula, bercakap dalam nada biasa dengan harapan ia memadai untuk menarik Haziq semula ke alam realiti.
"Kenapa dengan kawan Su? Dari tadi asyik termenung aje? Menyengih sendiri, kuis-kuis nasi di atas pinggan tapi tak makan pun. Ada apa-apa jadi ke tadi?" tanya Halimah.
"Adik rasa dah nak sepuluh minit kita kat meja makan ni tapi orang tua tu..." Terbantut bicara Warda apabila dia menerima jelingan daripada si ibu. Warda mencemuh. Faham benar jelingan itu berpunca daripada gelaran 'orang tua' yang diberi kepada Haziq. Kata Halimah, tak elok!
"Su pun sebenarnya curious apa jadi siang tadi, Mak Imah. Sebab itulah Su menempel muka, minta tumpang makan malam kat sini. Su ingat nak korek cerita daripada dia," jawab Suraya jujur. Mata melirik pada Haziq di kirinya dan serta-merta hujung bibir Suraya menjongket sinis.
"Apa jadi siang tadi?" Warda tak menunggu lama untuk bertanya.
"Sekejap, Kak Su basuh tangan dulu," kata Suraya. Apabila Suraya berdiri, automatik Halimah dan Warda berdiri sama.
"Mak Imah pun dah habis makan. Kita basuh tangan dulu, lepas tu kita ke hall. Lauk-pauk biarkan aje dulu. Kutlah Haziq nak makan lepas dah habis melamun nanti."
"Umi, pergi bilik adiklah," saran Warda pula yang kemudiannya dijawab dengan anggukan serentak Suraya dan Halimah. Kedua-duanya bersetuju.
Beberapa detik selepas itu, tawa ketiga-tiga wanita itu terburai memikirkan tahap kekepohan mereka. Ini bukannya kali pertama mereka mengadakan mesyuarat tingkap di bilik Warda. Memandangkan Suraya sudah mengenali Haziq sejak kecil, secara tidak langsung dirinya juga sudah dianggap sebahagian daripada keluarga Haziq.
Katakanlah ada kisah-kisah terhangat, laju saja mereka kongsikan pada satu sama lain. Sebelum Wardina dan Wahida berumah tangga, mereka berdua juga tidak ketinggalan. Tetapi mereka sekadar bergosip tentang hal-hal yang membabitkan mereka sajalah. Tak adanya mereka mengumpat dan jaga tepi kain orang lain.
"ABANG..."
Panggilan Halimah menarik perhatian Haziq padanya. Jemari yang tadinya lincah menaip sesuatu di atas papan kekunci terhenti. Haziq menengadah dan semerta dua wajah memenuhi kornea matanya. Halimah dan Warda duduk sebelah-menyebelah, bertentangan dengan Haziq.
Sebelum komputer riba ditolak ke tepi, mata Haziq sempat mengerling jam digital yang terletak di bahagian bawah kanan skrin. Tertera angka '1:47am' di situ.
"Dah nak dua pagi, kenapa umi dengan adik tak tidur lagi?" tanya Haziq hairan.
"Selalunya umi yang bising, tak nak tidur lambat. Takut lambat bangun, nanti lambat buka MyMart. Tapi malam ni terlajak tidur sangat," tambah Haziq lagi.
Walaupun tidak secara formal, Halimah sememangnya punya jadual tidur sendiri. Seawal sepuluh malam dia akan belayar ke alam mimpi dan selepas solat subuh saja, matanya akan segar-bugar. Terus bersiap-siap untuk ke kedai runcit milik arwah suaminya yang diberi nama MyMart. Selalunya Haziqlah yang akan menjadi pemandu Halimah, menghantar dan menjemput Halimah tetapi baru-baru ini, tugasnya sudah diambil-alih oleh Warda.
Dilihatnya hujung bibir Halimah sudah menaik.
"Kalau takut umi terlajak tidur atau takut tak ada orang jagakan MyMart, tolonglah umi. Ini tidak. Rela ke tempat lain daripada tolong umi dia." Satu sindiran diberikan khas untuk si anak lelaki merangkap anak sulungnya. Halimah pandang Warda, memberi isyarat kepada Warda untuk menyambung bicaranya. Mengerti maksud lirikan mata si umi, Warda segera membuka mulut.
"Tahu tak apa. Konon nak dapatkan idea, nak hilangkan writer's block tapi sebenarnya ada udang di sebalik batu!" sokong Warda, siap berperibahasa.
Sesaat, Haziq terpinga-pinga. Selama dua puluh lapan tahun dia bernafas di atas muka bumi ini dan hidup bersama mereka, Haziq arif benar dengan nada masing-masing. Itu ialah nada sinis. Nada sindiran. Nada memerli. Apa lagi yang sinonim dengannya?
"Abang dah dapat idealah. Tak nampak ke tadi jari-jari ni lincah menaip draf? Tapi umi dengan adik tiba-tiba muncul, terus aje block otak abang. Apa yang udang, apa yang batu? Cuba cakap lurus, jangan selok-belok."
Lain yang dipinta, lain pula yang diterima. Warda menepuk paha Halimah sebelum jari telunjuknya tegak terarah pada Haziq. Kemudian digerak-gerakkan seperti gif animasi anak panah yang tergerak-gerak.
"Tengok! Luangkan masa dengan akak tu, terus aje dia dapat idea. Terus hilang writer's block dia!"
Mulut Haziq sudah membentuk huruf 'O'. Apabila suara Halimah kedengaran, Haziq pandang uminya pula. Yang kini sedang berpeluk tubuh dan menjeling Haziq berkali-kali lewat ekor mata.
"Patutlah sekarang dah malas tonjolkan muka kat MyMart. Abang bukannya buat novel cinta. Abang sendiri tengah lakonkan drama cinta!"
Demi mendengarkan itu, mulut Haziq terbuka luas. Faham. Ya, dia sangat faham apa yang dua beranak itu cuba sampaikan. Tak lain tak bukan...
"Ini mesti pasal Melur. Su buka mulut, eh? Dia ni suka sangat menjemah! Semua pasal abang, semua dia nak ceritakan. Tak boleh zip mulut!" bebel Haziq. Tak semena-mena Suraya dipersalahkan. Patutlah mereka bertiga menghilang ke bilik Warda tiba-tiba. Rupa-rupanya Suraya sibuk menjadi 'portal hiburan'!
Lekas-lekas Halimah menyebelahi Suraya, insan yang sudah dianggap seperti anak perempuan sulungnya itu. Padanya, Suraya tak salah sama sekali. Anak kandung pula yang diberi amaran.
"Jangan marah, Su. Kalau umi dengar daripada Su, siaplah abang umi kerjakan." Kata-kata berbaur ugutan itu diberi Halimah kepada Haziq sambil ibu jari kanannya berkali-kali dilagakan pada jari telunjuk, membawa maksud cubitan.
Tanpa memberi peluang untuk Haziq membela diri, Halimah lontarkan soalannya bertubi-tubi.
"Nama dia Aliya Jasmine, kan? Kenapa panggil dia Melur? Umi tak pernah ajar anak-anak umi kurang ajar. Kenapa abang benci sangat dengan dia? Tapi kenapa abang tiba-tiba nak berlagak jadi hero pula, selamatkan dia daripada lelaki yang ganggu dia? Tadi abang pergi mana dengan dia? Su cakap abang dan Aliya keluar lama sangat. Abang buat benda tak senonoh, eh?!" Suara Halimah menaik di hujung bicara apabila soalan itu terbit dalam minda. Mata mencerlung dan penuh berapi. Walaupun dia yakin Haziq bukanlah lelaki sebegitu, hati seorang ibu tetap rawan. Manalah tahu kalau-kalau Haziq terlalu ikutkan nafsu?!
Warda tekup mulut dengan telapak tangan sebelum dia pandang Haziq dengan rasa tidak percaya.
"Abang buat apa kat Kak Al?" Warda bertanya kepada Haziq seraya menggelar Aliya sebagai 'Kak Al'.
Detik itu juga... Haziq lafazkan istighfar. Meski tak disebut secara terang-terangan, Haziq tahu apa yang dimaksudkan.
"Astaghfirullahalazim. Abang tak buat benda bukan-bukanlah. Abang hormat perempuan. Walaupun dia tu mental..."
"Abang!"
Haziq tak endahkan nada tinggi Halimah yang pastinya terkejut dengan gelaran-gelaran itu. Dia terus berceloteh untuk membela diri.
"Tapi abang tetap hormat dia macam abang hormat umi, angah, uda, adik dan Su! Abang tak buat apa-apa!"
Halimah urut-urut dadanya. Terkumat-kamit mulut mengucapkan alhamdulillah, bersyukur si anak masih berpegang utuh pada ajaran yang disemat di dalam dirinya sedari kecil. Tetapi tak semena-mena, hati Halimah jadi berbelah bahagi.
"Apa lagi, umi? Apa lagi yang umi nak tanya?" Haziq bertanya malas. Dari ekspresi wajah Halimah, Haziq tahu ada satu perkara lagi membebani fikirannya.
"Su cakap Aliya cantik. Tapi bila abang keluar berdua dengan dia, abang tak rasa apa-apa? Atau anak umi ni 'serong'? Abang mengaku betul-betul. Abang masih lurus tak? Abang gay, eh?"
"Ya Allah, umi!" Terjerit Haziq dibuatnya. Di luar sedar, dia sudah meloncat dari duduknya. Betul-betul terkejut. Betul-betul tak sangka itu yang difikir Halimah.
Dengan polosnya, Halimah bertanya lagi.
"Tak adalah, umi musykil juga. Orang sebaya abang selalunya dah ada buah hati, ada isteri. Tapi abang... Umi tak rasa hati abang pernah terbuka hati untuk mana-mana perempuan. Peminat-peminat abang pun ramai tapi tak ada sorang pun yang abang berkenan. Abang memang tak bernafsu pada perempuan? Abang sukakan lelaki?!"
Bukan sekadar Haziq, kali ini Warda menjerit sama. Tangan menepuk bahu Halimah kuat, dengan niat mahu menegur.
"Umi! Ke situ pula dia. Kalau abang straight, bukan gay... Umi expect abang buat apa-apa dengan Kak Al ke? Tetap berdosa jugalah, umi!"
"Tak adalah macam tu..." kata Halimah dalam nada kendurnya.
"Demi Allah, umi. Anak umi masih lagi di jalan yang lurus. Abang masih sukakan perempuan. Tegarnya umi fikir abang gay!" ujar Haziq penuh emosi.
Halimah tayang sengihannya, tak ubah seperti kerang busuk. Tangan menggosok-gosok bahu yang menjadi mangsa Warda tadi. Betul juga apa yang anak sulung dan anak bongsunya katakan. Sepatutnya dia bersyukur Haziq tidak melakukan perkara tak elok pada anak dara orang.
Bukannya mempertikaikan orientasi seksual Haziq apabila dia tidak merasakan apa-apa pada Aliya. Dalam hati, Halimah titipkan kalimah istighfar berkali-kali. Mudah saja dia biarkan syaitan menghasut dirinya dan menaruh prasangka buruk pada si anak.
"Sorry. Tapi umi peliklah juga. Setiap kali umi bangkitkan hal kahwin, abang mesti mengelak dan bagi macam-macam alasan. Padahal umi suruh abang kahwin aje. Ramai perempuan kat luar sana nakkan abang tapi semuanya abang tolak. Abang... Umi dah tua. Bila-bila masa aje umi boleh 'jalan', tahu tak? Umi nak merasa juga ada menantu perempuan," kata Halimah dengan nada cuba memancing simpati. Sesekali bibirnya dicemik-cemik, berharap kali ini fikiran si anak boleh diubah.
Adakah selama ini doanya dipandang sepi oleh-Nya? Sedangkan Halimah selalu berdoa sepenuh hati agar anak bujangnya itu dipertemukan jodoh secepat mungkin dengan wanita yang paling pantas untuknya!
Haziq menggeleng perlahan sambil jarinya menggaru tengkuk. Ayat-ayat dramatik uminya itu... Dia sudah hafal. Bahkan dia boleh ulang sepatah demi sepatah di dalam hati.
"Janganlah dramatik sangat, umi. Ajal, jodoh, pertemuan, perpisahan... Semuanya kat tangan Dia. Umi bersabarlah. Jodoh abang belum sampai lagi. Manalah tahu kalau-kalau abang ditakdirkan berjodoh dengan perempuan yang muda dua puluh tahun daripada abang? Hah sekarang dia dalam proses nak membesar. Bagilah masa untuk dia jadi seorang wanita teranggun dan terayu. Tapi maksudnya, umi kena tunggu lama lagilah. Paling kurang pun, lagi dua puluh atau tiga puluh tahun aje!" jawab Haziq dengan penuh bersahaja.
Tangan yang tadinya tergawang-gawang seperti seorang ustaz memberi ceramah kini sedang menggenggam penumbuk pula, kononnya penuh bersemangat. Muka comel dipamer di depan Halimah dan Warda yang mana Haziq sangat yakin, mereka berdua sedang menghakiminya.
"Tak payah tunggu budak yang muda dua puluh tahun. Ada orang sebaya abang tapi abang tutup mata, buat endah tak endah padahal hati dah mula tercuit," sela Halimah seraya menjeling bahagian dada si anak.
Eh? Kini Haziq pamer muka bingung.
"Betul. Mulut aje konon gelar orang tu macam-macam padahal dalam hati dah berbunga-bunga. Lebih baik abang mengaku aje sekarang. Abang sukakan Kak Al, kan?" Warda menebak isi hati si abang.
"Mana ada..."
"Kalau tak ada, kenapa abang tersengih sendiri? Kalau tak ada, kenapa tiba-tiba idea abang mencurah-curah? Dialah sumber inspirasi abang, kan? Apa yang mat salih sebut? Muse? Ala-ala she is my muse." Halimah pula lepaskan peluru berpandunya. Di akhir kata, tangan kanan Halimah sudah diangkat tinggi manakala tangan kiri melekap pada dada. Menggayakan watak pelakon opera yang sedang menyanyi pada si bulan.
Untuk kesekian kalinya Haziq terpempan. Mata terkedip-kedip dengan sendirinya. Entah kenapa dirinya dirasakan begitu kerdil di hadapan Halimah dan Warda. Sepertinya tubuh Haziq sedang mengecut, mengecut dan mengecut...
"Adik tahu tak, umi fikirkan apa sekarang?" Tiba-tiba Halimah bertanya soalan pada Warda namun mata masih setia pada Haziq.
"Apa?"
"Umi nak pergi jumpa keluarga Aliya."
Sebaris ayat itu hanya mengandungi enam patah perkataan tetapi impaknya... Dapat Haziq rasakan seluruh semangatnya lebur. Cair lebur sebagaimana timah yang dibakar. Ibarat lilin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro