Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

PINGGAN beralih daripada dulang ke atas meja. Gelas turut dialihkan. Semuanya dilakukan dengan penuh tertib.

"Bon appetit," kata Aliya bersama senyuman tak ikhlasnya. Sebaik saja dia palingkan tubuh, senyuman Aliya lesap. Mulut dicebik-cebikkan berkali-kali, tanda dirinya sendiri tak betah dengan watak yang dilakonkannya sebentar tadi.

"Semalam marah-marah aku kat kedai kebab, hari ni dia layan aku baik pula. Confirm mental," bebel Haziq. Sesekali kepalanya menggeleng. Sesekali kepalanya mengangguk. Tangan ditadah untuk membaca doa makan kemudian air kosong di dalam gelas diteguk. Baru saja tangannya menyentuh sudu, bahu dipukul dengan dulang. Mencerlang mata Haziq memandang si pelaku.

"Aku baru nak makan, Su. Kau tak boleh muncul dengan sopan, eh?" Haziq menyelar tanpa menunggu lama. Melihatkan Suraya sudah labuhkan duduk di atas kerusi bertentangan, mata Haziq meliar ke dalam kafe. Hari ini Mikro agak lengang dan seperti kebiasaannya, Suraya akan menemaninya.

"Melurlah. Mentallah. Miringlah. Kau tahu tak, tak elok gelar orang dengan nama-nama macam tu?"

Haziq pekakkan telinga. Sengaja buat endah tak endah dengan teguran Suraya.

Buku nota Haziq dijeling sekilas. Fokus Suraya tertumpu pada Haziq semula. Panasaran juga apakah hasil selama Haziq menayang muka di sini? Sudah dapat ideakah? Gelagat pelanggan-pelanggan Mikro mampu memberi inspirasi atau tidak?

"Kau masih writer's block ke? Atau dah ada mentol keluar daripada kepala kau?"

"Kenapa?"

"Kalau kepala kau dah bermentol-mentol, aku nak tendang kau keluar dari sini," tutur Suraya bersama wajah tak berperasaannya. Sekali lagi Haziq tulikan telinga, buat-buat tak dengar bicara Suraya.

"Hari ni Melur tak nak tutup kedai awal ke?" Haziq mengalih topik perbualan mereka.

Gelengan diterima sebagai jawapan. Suraya menoleh ke kanan dan ke kiri sebelum tubuh didepankan untuk mendekati Haziq. Mahu berkongsi satu lagi cerita yang baru dia dengar pagi tadi.

"Ziq, kau tahu tak? Rupa-rupanya, adik Dekna masuk hospital tapi Dekna langsung tak beritahu kita orang. Tapi sebab Al dah terdengar, Al sengaja tutup kafe awal, jadi Dekna boleh balik. Baik kan Al? Kalau macam ni, aku rela kerja dengan Al sampai bila-bila. Susah nak dapat bos yang baik dan peduli pasal pekerja! Gaji pun cun. Lepaslah nak bayar duit pinjaman dan duit belanja," kata Suraya dalam nada berbisik. Bertambah-tambah rasa hormat dan kagumnya pada Aliya selepas Farizul ceritakan perihal Dekna padanya. Usai bercerita pendek, Suraya sandarkan semula belakangnya pada kerusi.

Haziq tergamam. Seluruh tubuh jadi statik. Walaupun cerita itu ringkas, tetap juga ia memberi kesan padanya. Mata Haziq melilau, mahu mencari insan yang dia gelar 'Melur'. Sebaik matanya terpandangkan susuk tubuh Aliya di luar kafe, pencarian Haziq terhenti. Dilihatnya Aliya sedang berpeluk tubuh menghadap seorang lelaki. Haziq cerlungkan matanya untuk mengenal pasti siapa gerangan lelaki itu dan tahu-tahu saja...

"Ziq, kau nak ke mana?" Suraya menegur hairan apabila Haziq tiba-tiba berdiri dan jalan lurus keluar kafe.

LELAKI yang bersandar di keretanya direnung tajam Aliya. Terik matahari yang memancar di atas kepala cuba ditahan daripada menembusi kulit mukanya dengan meletakkan tangan di dahi.

"Awak nak apa lagi, Naim?" Aliya bertanya kepada Naim. Sebentar tadi Naim muncul di muka pintu kafe dan mengetuk pintu berkali-kali. Tangan dilambai pada Aliya sebagai isyarat memanggilnya.

"Baguslah kalau awak faham saya tak izinkan awak masuk Mikro lagi. And just so you know, saya masih marahkan awak. Saya tak boleh lupakan apa yang awak dah buat," kata Aliya. Naim dilihatnya menganggukkan kepala berkali-kali. Ketara di wajahnya, lelaki itu menyesali ketelanjuran sikapnya tempoh hari.

"Saya minta maaf, Al. Saya tak dapat kawal diri saya hari tu," beritahu Naim bersama sebaris senyuman tipis.

"Awak baliklah. Saya nak mas..."

"Al..." Panggilan Naim membantutkan langkah dan bicara Aliya.

"Awak betul-betul dah bertunang dengan dia ke? Lelaki yang ada phone number awak tu."

Jawapan dituntut daripada Aliya tetapi diterima daripada insan lain pula.

"Memang betul kita orang dah bertunang. Kenapa?" jawab Haziq yang sudah pun berdiri tepat di sebelah Aliya. Satu senyuman dihadiahkan pada Aliya sebelum wajah berubah riak apabila dia pandang Naim. Menjadi garang.

"Berhenti kacau tunang aku. Aku tak suka mana-mana lelaki approach dia, terutamanya kau," kata Haziq bernada keras. Amaran dihantar bukan saja secara lisan, bahkan melalui pandangan tajam juga.

Naim mara mendekati Haziq dan berdiri tepat di depannya. Dipandangnya Haziq dari atas ke bawah dan tak semena-mena hujung bibirnya jadi senget.

"Kalau kau memang tunang Al, kenapa aku rasa kau lebih rapat dengan pekerja Al? Kau curang dengan dia? Kalau kau ada niat nak curang dengan Al, lebih baik kau lepaskan aje dia. Al berhak dapat lelaki yang betul-betul sayangkan dia."

"Kau nak cakap, kaulah orangnya?"

"Aku betul-betul sayangkan Al. Dan aku takkan sia-siakan dia," jawab Naim penuh keyakinan. Sejak seminggu yang lalu, Naim perhatikan Aliya dan Haziq dari jauh. Dari pemerhatian Naim, Haziq lebih mesra dan banyak meluangkan masa bersama Suraya berbanding Aliya. Lantas Naim membuat rumusan bahawa Haziq bermain kayu tiga.

Haziq pecah tawa, lebih kepada dibuat-buat di hadapan Naim.

"Kau fikir aku curang? Come on, bro. Orang curang kat belakang-belakang. Tapi aku terang-terangan rapat dengan Su di depan mata dia. Jangan risau, aku takkan sia-siakan dia."

Tidak betah menjadi pemerhati, akhirnya Aliya masuk campur. Ini bukan cerita Hindustan di mana dua lelaki bertelagah semata-mata kerana seorang perempuan. Sementelah, kedua-duanya tak ada kaitan dengan Aliya sama sekali! Baju yang dipakai Haziq ditarik sekali gus buatkan lelaki itu berundur beberapa tapak ke belakang dan menjauhi Naim. Aliya berdiri di tengah-tengah sambil tangannya digerak-gerakkan di depan mereka.

"Hai. Helo. Kutlah kau orang tak perasan, I'm still here. Saya wujud lagi kat sini. Okey?"

Haziq dan Naim berbalas jelingan sebelum perhatian mereka tertumpu pada Aliya. Kelihatan Aliya menghembus nafasnya. Lega kerana berjaya meletakkan noktah pada drama swasta tak berbayar ini.

"Naim, apa kata awak balik aje? Jangan kacau saya lagi sebab saya memang tak ada apa-apa perasaan kat awak. Saya masih layan awak baik sebab saya tetap hormatkan awak. Sekurang-kurangnya awak menyesal dengan perbuatan awak," kata Aliya kepada Naim. Masih berlembut kepada lelaki itu namun ada tegasnya. Aliya berpaling pada Haziq pula.

"Dan ka..."

"Jomlah, sayang. Jangan buang masa cakap dengan dia." Haziq cantas bicara Aliya, masih menghayati wataknya sebagai tunang Aliya. Ringan saja mulutnya memanggil Aliya 'sayang', sama seperti tempoh hari.

Mulalah Aliya rasa nak mengamuk! Namun tak sempat Aliya lepaskan amuknya, tahu-tahu saja lengannya sudah digenggam kemas oleh Haziq sebelum dia ditarik mendekati kereta lelaki itu. Sebaik pintu kereta dibuka, Haziq arahkan Aliya masuk ke dalam.

"Masuk."

"Hesy, apa ni?" marah Aliya sambil menepis tangan Haziq. Geram benar dengan tindakannya. Tak faham bahasa agaknya, itu adalah perkara yang paling dibenci Aliya.

"Sama ada kau ikut aku atau kau ikut dia. Your choice. Aku memang tak peduli pasal kau, jadi aku takkan apa-apakan kau. Tapi kalau Naim..." Haziq memberi pilihan kepada Aliya. Sengaja pula dia biarkan bicaranya tergantung di situ untuk Aliya tafsir sendiri apa yang dia maksudkan.

Semerta Aliya mencemuh. Heh. Siapa kata dia cuma punya dua pilihan itu?

"Aku boleh masuk dalam Mikro, jadi aku tak payah ikut kau atau Naim," bidas Aliya bersahaja. Senyuman sinis tersungging di bibir apabila dia rasakan kemenangan memihak padanya. Bagaikan cermin, Haziq turut menayang senyuman sinisnya.

"Sure, boleh juga. Tapi tak mustahil kalau tiba-tiba Naim grab tangan kau dan tarik kau masuk kereta dia, as I did just now. Jadi... It's your choice. Kalau kau ikut aku, aku jamin aku takkan buat apa-apa sebab aku memang tak berperasaan pun tengok kau. Tapi kalau kau rela diri kau ditarik Naim, lelaki yang pandang kau macam..."

Tak sempat Haziq habiskan ayatnya, tahu-tahu saja Aliya sudah boloskan diri ke dalam kereta.

"Tepilah. Orang nak tutup pintu!" Aliya mengomel sambil tangan dipanjangkan untuk menolak badan Haziq ke belakang. Apabila Haziq berundur, sepantas kilat Aliya tarik pintu kereta hingga ia menghasilkan bunyi yang agak kuat apabila terkatup.

"Mulut tak ada insurans. Mulut puaka!" Aliya terus-terusan lepaskan rasa geramnya dengan membebel seorang diri. Dapat dia rasakan wajahnya membahang. Ya, dia faham apa yang Haziq cuba sampaikan. Sangat faham! Lelaki itu memberi amaran kepadanya bahawa Naim boleh bertindak di luar kawalan sekali lagi!

Aliya mencuri jeling Naim yang masih berdiri di tempatnya. Dari dalam kereta, dapat Aliya lihat dengan jelas wajah lelaki itu tegang menahan rasa. Cepat-cepat Aliya membuang pandang ke kanannya. Dalam keberaniannya melawan Naim, terselit juga rasa takut apabila membayangkan yang bukan-bukan.

Tak kiralah seberapa pantas akal, tangan dan kakinya bekerja untuk melindungi diri, Aliya juga sedar dia hanyalah seorang wanita. Dan apabila seorang lelaki bertindak gila, kuatkah kudrat wanitanya untuk menentang? Tidak.

Ingin mengusir wajah Naim dari ingatan tetapi wajah Haziq pula yang memenuhi kornea mata Aliya secara literal. Di tempat duduk pemandu, Haziq pandang Aliya dengan senyuman nakalnya sementara tangan menarik tali pinggang keselamatan.

"Pandailah Melur buat keputusan," kata Haziq bersahaja sambil mata kanan dikenyit.

Berjaya membakar sekeping hati Aliya Jasmine. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro