Bab 11
KHUSYUK. Berselera. Menikmati.
Apa lagi kosa kata yang sesuai untuk menggambarkan Aliya saat ini?
"Mikro dah laku sangat? Dah kaut untung berjuta-juta sampaikan kau boleh tutup awal lagi hari ni?" sindir Farizul, secara tak langsung mengganggu Aliya yang sedang leka menikmati kebabnya. Aliya jegilkan mata walaupun mulut tidak membalas apa-apa.
"Seminggu lepas kau tutup Mikro awal sebab Naim. Hari ni kau tutup awal untuk seret aku ke Wangsa Walk Mall? Semata-mata untuk makan kebab?"
"Daripada kau membebel, lebih baik kau bersyukur. Mana ada bos lain yang relaks, cool gila bagi pekerja balik awal? Atau kau takut aku potong gaji kau?" sela Aliya bersama nada tak puas hati. Manalah tahu kalau-kalau Farizul bersangka buruk padanya, menganggap dia sengaja memendekkan waktu kerja agar gaji juga boleh dikurangkan. Pada saat Farizul mengangguk bagai burung belatuk, mata Aliya membulat.
"Haah, aku memang taaakut sangat kau potong gaji aku. Tapi more than that, aku lebih risau kau dah mula buat kerja sambil lewa. Macam mana kalau kau dah jadi manja, asyik nak balik awal? Lepas tu mulalah buat perangai, tak nak pergi kerja, malas buka Mikro. Al, kita ni punyalah beria-ia nak cipta menu baru untuk Mikro tapi sampai sekarang, habuk pun tak ada!" ujar Farizul. Ada teguran di situ yang disampaikan secara terang-terangan.
Hujung bibir Aliya naik dengan sendirinya. Telinga tajamnya dapat mengesan perkataan 'takut' disebut lebih lama berbanding perkataan-perkataan lain. Berapa harakat agaknya, ya?
"Aku sanggup berhenti kerja kat tempat lama untuk sama-sama susah dengan kau, tahu tak? Bertungkus-lumus dengan famili kau sebelum Mikro dibuka lagi. Su pun dah berhenti kerja kat UO, kerja dengan kau pula sebab dia percayakan kau. Aku bukan nak mengungkit, Al. Aku cuma tak nak kau..."
"Ya, aku faham. Aku minta maaf, okey?" cantas Aliya sekali gus menjeda bicara Farizul.
Sejujurnya, Aliya sedar sampai bila-bila pun jasa Farizul tidak akan dapat dibalas. Begitu besarnya pengorbanan seorang sahabat apabila Farizul sanggup melepaskan kerja pejabatnya semata-mata untuk Aliya. Sungguh, Aliya sangat bersyukur kerana dianugerahi seorang sahabat seperti Farizul!
"Tapi kau janganlah risau. Aku bukannya buat kerja sambil lewa. Aku memang teringin nak makan kebablah. Dan lagi satu, aku bukannya saja-saja. Kau tak perasan ke muka Dekna tadi?" Aliya bertanya semula. Kebab yang berbaki separuh diletakkan sebelum tangan mencapai tisu untuk mengesat jemari dan hujung bibirnya.
Berlapis dahi Farizul. Laju saja kotak memorinya mengulang-tayang babak di Mikro. Muka Dekna cuba diingati bersama ekspresi wajahnya.
"Aku terdengar dia on the phone. Adik dia masuk hospital sebab accident. Mak dia nak pergi tapi tak ada sesiapa boleh bawakan. Dekna nak call Grab untuk mak dia tapi mak dia tak nak sebab dia takut pergi sorang."
Aliya sekadar menyampaikan apa yang dia tahu. Waktu itu Dekna sedang bercakap di telefon bimbitnya di belakang kafe. Walau dengan volume yang sangat minimum, tetap juga Aliya berjaya dengar dari sebalik pintu. Sengaja Aliya diamkan diri, menanti Dekna suarakan apa-apa tetapi mulut Dekna terkatup rapat. Hanya wajah resahnya kelihatan dan rasa itu terbukti melalui kekalutannya menjalankan kerja.
"Kenapa Dekna tak beritahu kita? Kenapa dia tak minta balik awal?" Farizul bertanya polos.
Aliya jongket bahu. Sejujurnya, soalan yang sama dilontarkan pada diri sendiri. Dan selepas difikir sedalam-dalamnya, Aliya membuat satu kesimpulan.
"She is the breadwinner of the family. Mungkin dia takut aku akan potong gaji dia kalau dia minta balik awal? Siapalah tahu kan, kot-kot dia fikir sama macam kau," sinis Aliya di hujung bicaranya.
"Kenapa kau tak tanya aje Dekna? Kalau dia nak balik awal, biarlah dia balik sorang. Tak payahlah tutup Mikro!" Farizul pertikaikan keputusan Aliya pula. Sungguh, sel-sel otaknya belum cukup berhubung untuk dia rumuskan sebab di sebalik keputusan Aliya.
"Dekna tak buka mulut, takkanlah aku nak pandai-pandai bertanya? That... We call it 'respect'. Kau hormat orang tu dan rahsia dia. Kau tak paksa dia untuk beritahu kau dan kau tunggu aje sampai dia sendiri buka mulut," jawab Aliya.
Lantaran itulah waktu operasi Mikro sengaja dipendekkan. Agar Dekna berpeluang untuk menjemput ibunya dan terus ke hospital untuk melawat si adik. Teringatkan wajah Dekna yang berubah menjadi cerah, semerta bibir Aliya membentuk senyum. Lega. Puas hati. Kebab diangkat semula dan digigit sekali.
Terasa dirinya menjadi tumpuan seseorang, Aliya pandang Farizul. Dahi berkerut seribu dengan sendirinya.
"Kenapa tengok aku macam tu?" tegurnya apabila Farizul tayang muka comelnya.
"Aku banggalah ada kawan yang baik dan memahami macam kau. Tak sangkalah pula kau berperikemanusiaan."
"Mesti kau bersyukur sekarang, kan? Dapat kawan yang berperikemanusiaan. Baik. Memahami. Cantik. Pandai memasak. Ada business sendiri. Memang satu pakej yang lengkap!" kata Aliya seraya menghadiahkan pujian demi pujian untuk dirinya sendiri.
"Pantang dipujilah," balas Farizul dengan bibir dijuihkan.
Aliya membalas dengan cemikan. Seketika kemudian dia kembali larut dalam dunia Turkinya, menghayati keenakan si kebab.
Farizul membuang pandang ke luar. Rasa bosan sedikit sebanyak menerjah diri memandangkan dia hanya duduk di situ menemani Aliya. Makan kebab? Tekak Farizul tak mampu terima kebab Turki itu. Tekak Melayunya hanya mampu menelan kebab daging yang kebiasaannya dijual di bazar Ramadan dan di pasar malam.
Anak mata Farizul melingas dan sebaik saja matanya tertancap pada dua insan, Farizul melongo.
LELAKI di depan mata, Aliya renung tajam. Tak semena-mena imej stapler melintas dalam fikiran. Saat ini... Mahu saja dia staple mata lelaki itu!
Haziq yang sedang berpeluk tubuh, tidak mahu mengalah. Dibalasnya renungan tajam Aliya.
Manakala Suraya dan Farizul hanya mampu berbalas pandang.
"Dah sepuluh minit kau orang dok renung muka satu sama lain. Tak penat ke?" Akhirnya Farizul bersuara.
Suraya turut menyampuk, mengeyakan kata-kata Farizul dengan niat untuk redakan sedikit suasana. Arus elektrik yang menghubungkan anak mata Aliya dan Haziq harus dilemahkan dan disurutkan.
"Aku yang sekadar tengok kau orang pun, dah sakit mata."
Serentak, perhatian Aliya dan Haziq beralih. Sementara Aliya jegilkan matanya pada Farizul, Haziq pula cerlungkan matanya pada Suraya. Dua aksi yang berbeza namun kedua-duanya membawa maksud yang sama. Diam.
Kebab yang hanya tinggal suku itu, Aliya tolak ke depan dengan keluhan.
"Kau memang sengaja datang sini untuk ganggu keamanan hidup aku, eh? Kau stalk aku ke sekarang?" Aliya mulai menuduh, secara tidak langsung memulakan perang mulut di antara dia dan Haziq. Cepat-cepat Haziq membetah, sekali dengan pakej memulangkan paku buah keras.
"Aku datang sini sebab Su yang tiba-tiba mengidam kebab. Tak ada maknanya aku nak stalk kau. Itu rutin kau, bukan rutin aku!"
Lengan Suraya disiku Haziq perlahan sebagai isyarat untuk Suraya membela dirinya. Mengerti isyarat non-verbal itu, Suraya segera buka mulut.
"Haah aku yang teringin nak makan kebab. Tak sangkalah pula terserempak kat sini," kata Suraya.
"Al, kau macam tak biasa aje jumpa dia. Tiap-tiap hari Haziq datang makan kat Mikro. Kau okey aje. Siap ambil oder dia pun. Tapi kenapa tiba-tiba kau jadi bengang pula? Biarlah kalau dia orang nak makan kat sini pun," ujar Farizul sekali gus suarakan rasa hairannya.
Aliya mencebik.
"Kat Mikro... Aku layan dia as a customer. Memanglah kena layan baik. Tapi ini bukannya Mikro maknanya dia bukan customer aku lagi. Automatically dia dah berubah status, jadi musuh aku. Tak ada maknanya aku nak layan dia elok-elok!"
Sungguh, memang itulah yang difikirkan Aliya. Di Mikro, Haziq hanyalah pelanggannya maka segala urusan peribadi ditolak ke tepi. Di luar, Haziq hanyalah Alif Haziq. Seorang lelaki yang sedari dulu buatkan hati Aliya panas membara.
Terpinga-pinga Farizul dan Suraya mendengarkan alasan Aliya. Ingin ditepis, alasan itu ada logiknya juga. Ingin menerima, rasanya alasan itu seperti tidak logik pula. Ah, bingung jadinya!
"Otak kau memang ada masalah. Confirm ada suis terbakar," komen Haziq ikhlas. Dia berdiri, berura-ura mahu angkat kaki dari sini.
"Jomlah, Su. Kita makan kat tempat lain. Biar aku belanja kau. Takut pula otak kau pun jadi tak betul lepas makan kebab kat sini."
Orang lain yang diseru, orang lain yang memberi respons. Laju Aliya mengangguk, bersetuju seratus peratus dengan idea Haziq.
"For the first time ever, aku bersetuju dengan idea bernas kau. Fariz, dapatlah aku sambung makan kebab aku dengan penuh nikmat. Dah tertulis dalam suratan takdir agaknya, aku makan kat sini. Tapi tiba-tiba aje ada orang tu muncul, mencemarkan takdir yang tertulis untuk aku."
"Wah, Melur pandai bercakap pasal takdir rupa-rupanya? Heh, apalah pula nasib aku ditakdirkan berjumpa dengan perempuan mental macam kau? Ada split personality, eh? Hah, betullah. Kat kafe kau jadi Melur. Kat luar kau jadi miring!" balas Haziq. Sehabis bicaranya, Haziq terus buka langkah seribu.
Terkial-kial Suraya dibuatnya tetapi sempat lagi dia tinggalkan pesanan kepada Aliya dan Farizul.
"Al, abaikan Haziq. Dia pun sama aje tak betul. Aku gerak dulu. Jumpa kat Mikro esok. Bye!" Usai tuturkan itu, terkedek-kedek Suraya berlari untuk menyaingi Haziq. Entah apa yang dikatakan Haziq, tahu-tahu saja lelaki itu dipukul oleh Suraya menggunakan beg tangannya.
Aliya yang sedari tadi memerhati dari jauh, kulum senyuman sinis.
"Kau memang dah tak boleh berbaik dengan Haziq, eh?" tanya Farizul namun soalannya dibiarkan tidak berjawab.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro