Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

HUJUNG minggu berikutnya, Dhiya balik ke kampung Aidan. Kampung Humaira juga. Aidan dah beritahu Dhiya tentang rancangannya. Balik kali ini, dengan tujuan besar. Nak minta emaknya pergi merisik dan meminang Humaira semula.

Dhiya ikut saja. Nak marah, meroyan, menangis air mata darah sekalipun, apa yang dia dapat? Keputusan Aidan dah muktamad. Jika bantah sekalipun, hanya akan mengeruhkan hubungan mereka suami isteri. Aidan mampu. Nafkah zahir tak ada masalah. Batin pun rasanya tip top aje. Tentang adil pun Dhiya rasa Aidan mampu. Tengah mabuk bercinta pun, dia tetap beri perhatian pada Dhiya, tak pernah luak.

Jadi, apa alasan Dhiya?

Poligami itu tak haram. Berdosa kalau menafikannya. Jika suami mampu dari segala aspek, seorang isteri kena reda sama ada hatinya suka atau tidak.

"Haih... Termenung aje menantu mak? Memikir masa depan ke?"

Puan Rahmah, emak mentua Dhiya duduk sebelah Dhiya di atas kerusi kayu di halaman rumah. Dua muk air kopi diletakkan di atas meja hadapan.

Dhiya hulur senyum nipis.

Kasihan juga Puan Rahmah melihat menantunya. Walaupun wajah Dhiya tenang-tenang saja, macam tak ada apa-apa yang berlaku, tapi hati di dalam siapa yang tahu. Dia juga perempuan, dia turut memahami.

"Sebenarnya mak kagum dengan Dhiya."

Dhiya pandang emak mentuanya. Kurang faham.Apa yang nak dikagumkan pada Dhiya yang hatinya tengah berduka lara ini? Menantu yang banyak kurangnya. Malah tak dapat bahagiakan anak Puan Rahmah dengan sempurna pun... Sebab tu dia terpaksa reda dimadukan.

"Kenapa pula, mak? Dhiya tak buat apa-apa pun untuk emak bangga."

"Dhiya baik. Tak marah-marah, mengamuk, meraung-raung sedih bila suami minta kahwin lain. Tak macam sesetengah perempuan, bergegar dunia bertempik, maki sana sini. Dhiya pula tenang-tenang saja terima. Aman dunia kalau semua isteri macam menantu mak ni."

Dhiya senyum pahit. Tak semudah itu, mak. Dhiya pun ada hati dan perasaan, sama seperti perempuan lain. Tapi Dhiya tak boleh bertindak ikut emosi. Dhiya sayang Aidan. Dia tak mahu bina kebencian antara mereka berdua.

"Dhiya bukan malaikat, mak. Tapi Dhiya sedar Dhiya banyak kekurangan, mungkin tak boleh jadi isteri sempurna untuk Aidan. Kalau Humaira boleh lengkapkan rumah tangga kami, kenalah Dhiya reda. Dhiya tak boleh tamak, nak bolot Aidan sorang-sorang sedangkan Dhiya tak boleh beri yang terbaik untuk suami Dhiya."

Perlahan jawapan tanpa perasaan sebenar. Dhiya berusaha bersungguh-sungguh supaya segala isi hatinya yang kecewa tak termuntah keluar. Biarlah dia pendam sorang-sorang. Tak perlu orang lain tahu, walaupun Aidan.

Puan Rahmah mengangguk. Faham. Muk air kopi diambil dan dihulur kepada menantu.

"Terima kasih, mak..." ucap Dhiya.

Air kopi dihirup seteguk. Pahit. Sepahit kenyataan takdir untuknya yang terpaksa diharungi dalam diam.

"Betul kata Dhiya tu. Mulanya, mak pun tak setuju dengan hasrat Aidan. Kasihan Dhiya, mak pun perempuan, seorang isteri... Jadi mak pun faham perasaan Dhiya. Perempuan mana yang sanggup berkongsi suami dengan perempuan lain? Lagipun Humaira dan keluarganya pernah lukakan hati dan malukan Aidan dan kami sekeluarga. Lama mak dan ayah tak bertegur sapa dengan keluarga Humaira tu..." Puan Rahmah berhenti seketika untuk ambil nafas, sebelum menyambung kata.

Dhiya sabar dan tenang menunggu apa yang akan diluahkan oleh emak mentuanya.

"Tapi... Bila mak fikir balik alasan Aidan, terpaksalah mak mengalah. Dari sekolah lagi, memang Humaira itulah gadis yang Aidan suka. Tak toleh pada perempuan lain dah. Kasihan juga mak tengok. Dia orang memang rapat dari kecil lagi. Lagipun dah lama sangat dah dia menunggu untuk timang cahaya mata..."

Hah... Terkebil-kebil mata Dhiya pandang Puan Rahmah bila pasal cahaya mata diungkit. Selama ini, Aidan tak pernah kompelin apa-apa pun. Dia orang berdua bukan tak berusaha, malah dah pergi buat pemeriksaan doktor. Tak ada sebarang masalah. Mungkin belum ada rezeki lagi.

"Aidan kata apa mak pasal anak?"

"Katanya, manalah tahu kalau-kalau mak boleh cepat timang cucu lepas ni..."

Ooo... Itulah modal Aidan untuk pujuk emak ayahnya pinang Humaira. Dhiya dengar juga yang pada mula Puan Rahmah berat untuk pergi jumpa keluarga Humaira. Yalah, luka lama masih berdarah kut.

"Dia salahkan Dhiya ke sebab kami belum dapat zuriat lagi?"

Aduhai... Dhiya dah mula sentap. Salah dia ke kalau belum ada rezeki?

"Taklah macam tu. Tapi mungkin Aidan dan Dhiya tak serasi kut untuk dapat zuriat. Ada juga kes macam ni berlaku, susah sangat nak dapat anak tapi bila dengan orang lain cepat pula menjadi.

Aidan tu dah tiga puluh lebih umur dia, kalau asyik duk menunggu dan terus menunggu, takut nanti gigi dah tak ada, baru hantar anak ke tadika. Macam tok wan pula yang uruskan cucu."

Puan Rahmah ketawa dengan jenaka sendiri. Pada Dhiya, sikit pun tak lawak. Dia nak senyum pun tak mampu. Berkali-kali Dhiya telan liur pahit. Remuk redam rasa dalam dada. Salah dia ke bila mereka belum menimang cahaya mata? Kuasa memberi anak pada dirinyakah?

"Mak dan ayah pun sama. Kalau boleh, sebelum pejam mata buat selamanya, kami berdua nak juga tengok rupa waris kami seterusnya. Dhiya pun tau kan, hanya Aidan saja satu-satunya anak kami, jadi pada siapa lagi kami nak mengharap? Lain la kalau Aidan ada adik-beradik lain. Boleh kami timang cucu dari anak yang lain.

Jadi, bila Humaira tu dah ada anak dengan suami sebelum ni, dah terbukti yang dia tu subur. Harapnya mudah la juga dia mengandung bila berkahwin dengan Aidan nanti. Entah-entah bunting pelamin terus. Belum sempat apa-apa lagi, terus on. Mak okey aje... Seronok la timang cucu."

Puan Rahmah ketawa sendiri lagi dengan lawak menikam hatinya. Sedikit pun tak perasan yang menantu di sebelah sudah hancur retak seribu hatinya. Nak menitis air mata Dhiya saat tu. Puas memujuk dan menyabarkan diri sendiri. Allah sahaja yang tahu betapa hancur perasaannya.

Namun Dhiya pelakon hebat. Wajahnya masih setenang air di tasik. Masih mampu menghulur secebis senyuman bagi meraikan ketawa ibu mentua. Walaupun senyuman itu senyuman yang mungkin pahit pada pandangan mata Puan Rahmah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro