Bab 8
AIDAN memberikan senyum lebar kepada wanita kecil molek yang baru sampai di sisi keretanya. Dibukakan pintu untuk si dia masuk. Berseri wajah masing-masing dapat berjumpa juga hari ini walaupun terpaksa mencuri masa rehat di waktu malam.
"How was your day?" Lembut suara Aidan bertanya bila kereta mula bergerak.
"Okey... Walaupun terpaksa tercungap-cungap sana sini dari pagi sampai malam." Lembut juga jawapan Humaira sambil ketawa-ketawa.
Mata saling bertentangan dalam samar-samar cahaya lampu jalan.
"Hurm... Kalaulah abang ada di rumah tu, boleh kongsi beban Maira sama-sama. Taklah Maira terkejar-kejar sorang nak buat semua benda."
"Yalah tu. Maira dah lama ready nak share-share... Abang la, jadi ke tidak? Dia izinkan ke?"
"Perlu ke dapat izin dia? Abang mampu, kan? Boleh aje jalan tanpa persetujuan dia."
"Isy... Jangan! Maira nak bina masjid dengan abang, bukan nak cari gaduh. Nak kongsi abang cara baik-baik, bukan main rembat aje. Nanti lagilah orang keliling cap babi sondol tak sedar dirilah, perampaslah, dasar janda tak tahu malulah, langau busuklah..."
"Shhh... Cukuplah tu. Maira tak rampas hak siapa-siapa. Maira kan cinta pertama abang dan tetap akan jadi insan yang abang cinta sampai bila-bila. Tak pernah berubah. Abang ikhlas nak jaga Maira dan anak-anak."
"Maira tahu... Tapi masalahnya, abang tu suami orang, bukan bujang, bukan duda. Hak perempuan lain."
"Siapa kata hak orang?"
"Dah memang itu hakikatnya, kan? Maira tak nak nikah dengan abang selagi dia tak setuju. Sebab Maira tak nak rumah tangga kita kucar-kacir nanti. Maira nak abang hidup tenang dengan Maira dan dengan dia."
Aidan senyum senang.
"Sifat Maira ni yang buat abang bertambah sayang. Hati Maira luhur. Untung abang."
"Habis dia tak baik ke? Hati dia busuk ke?"
"Siapa tu?"
Pap! Lengan Aidan kena cepuk manja. Aidan kerling nakal. Hati bertambah ceria.
"Bakal madu Maira la. Saja tau, buat-buat tanya." Humaira buat suara merajuk.
Kereta dah pun sampai ke hadapan restoran yang dituju. Aidan parkir di petak kosong betul-betul di hadapan restoran.
"Abang belum jawab lagi soalan Maira," ungkit Humaira lagi sebaik saja duduk di kerusi restoran.
"Yang mana satu?"
Humaira bagi jelingan manja.
"Pasal bakal madu Maira la... Hati dia tak tulus ke?"
"Sangaaat..."
"Sangat apa? Baik ke tak baik?" Humaira masih tak puas hati jika tak dapat jawapan yang dia nak.
"Bukan abang selalu cerita pada Maira ke, macam mana sikap Dhiya?"
"Tapi abang cerita semua yang best-best, yang elok-elok belaka. Maira naklah tahu yang true story, bukan yang cover-cover. Naklah juga tahu kelemahan dia, supaya Maira lebih mengenali dan berhati-hati nanti."
"Abang tak pernah cover Dhiya. Memang dia seorang isteri yang sangat baik, Maira. Abang tak pernah tipu. Apa yang abang cerita selama ini, itulah Dhiya yang sebenar. Sebaik-baik insan di mata abang."
"Habis, Maira kurang baik ke berbanding dia? Sampai sanggup nak rampas dia dari abang." Ada sedikit nada cemburu pada suara Humaira, tapi dia cuba mengawalnya.
"Tak ada istilah rampas-merampas di sini. Maira lebih dahulu datang dalam hidup abang. Susah untuk abang lepaskan Maira. Dan Maira pun seorang wanita yang baik. Sama tulus macam hati Dhiya. Sebab itu abang kata abang ni untung. Dapat memiliki dua wanita yang sangat baik dan memahami."
"Abang tamak!"
"La, kenapa kata macam tu?"
"Yalah, kalau dia baik... Kenapa abang kejar-kejar Maira?"
Aidan pandang Humaira lama.
"Maira lupa ke yang abang cinta sangat dengan Maira?"
"Tak lupa... Tapi kenapa ambil masa lama untuk dapat keizinan dia? Kalau dia isteri yang baik, tentu dia faham kenapa abang nak kahwin dengan Maira, kan?"
"Dia faham, Maira. Dia tak pernah bantah pun. Sikit pun dia tak merungut, sikit tak kompelin pasal abang dengan Maira. Walaupun abang dapat rasakan hatinya terluka. Dia memang seorang isteri yang mulia."
"Ya ke? Dia dah setuju benarkan kita nikah?" Bersinar mata Humaira. Mukanya dah jadi semakin berseri-seri.
Aidan angguk. Senyum.
Humaira menarik nafas lega.
"Ya Allah, happynya Maira dengar. Lemas dah jadi mak janda ni. Asyik kena kecam aje. Kiri kanan, depan belakang, atas bawah, ada saja mak cik, pak cik bawang yang memerhati dan mengata. Serba tak kena orang tengok Maira ni. Suami-suami orang pula suka nak try, padahal semua tak ikhlas mana. Saja nak test dan main-mainkan Maira ni aje. Nafsu yang lebih."
"Eh, abang masuk kuota tu ke?"
"Tak la... Abang lain, cinta pertama Maira, mana nak sama dengan lelaki-lelaki hidung belang tu." Meleret suara manja Humaira.
"Kasihannya Maira abang..."
"Itu la. Tapi nak buat macam mana dah takdir Maira macam ni."
"Sabar ya... Sikit hari aje lagi. Abang nak bincang dengan mem besar kat kampung dulu. Emak ayah setuju dan beri restu, terus abang pinang Maira. Tak berlengah."
Humaira sua senyum ceria. Aidan pandang. Cantik. Naluri lelakinya mula tak tentu arah. Tak sabar untuk miliki sebentuk bibir yang telah lama diidamkan. Sejak usianya belasan tahun lagi. Dah satu dekad lebih. Akhirnya hampir tercapai impian itu. Sikit masa aje lagi.
"Tapi Maira tak kesah ke jadi isteri kedua?" Dah banyak kali Aidan tanya soalan ni. Ulang dan ulang lagi bila hal hubungan mereka dibincangkan secara serius.
"Tak kesah sebab Maira tahu Maira tetap yang pertama dalam hati abang. Maira tak tamak." Berkali-kali juga Humaira memberikan jawapan yang sama. Tak pernah berubah jawapannya.
"Maira jangan minta abang ceraikan Dhiya nanti, ya? Abang tak sanggup. Dia sebahagian daripada hidup abang juga."
"Faham. Maira janji tak kacau Dhiya. Abang jangan risau, Maira akan selalu ingat yang abang bukan hak Maira seorang. Lagipun dia dah jaga abang semasa Maira tak ada selama ini. Maira pun terhutang budi dengan dia."
"Betul tu... Kita memang banyak hutang budi pada dia. Dhiya seorang yang cukup memahami. Tak pernah marah, tak pernah meroyan bila abang keluar jumpa Maira. Cool sentiasa. Rasanya kalau perempuan lain, dah melayang pinggan mangkuk, periuk belanga bagai." Aidan ketawa di hujung katanya.
"Untung abang dapat isteri pertama macam tu. Nak tambah cawangan pun tak susah."
"Sangaaat. Syukur, alhamdulillah. Maira pun untung juga. Gerenti tak ada tarik-tarik rambut, guling-guling kat laman rumah nanti." Aidan berhenti sekejap untuk ketawa.
"Insya-Allah keluarga kita akan hidup dengan aman damai nanti."
Humaira angguk mengeyakan. Dalam hati risau juga. Susah untuk dia lawan bakal madunya. Semua pasal Dhiya yang elok-elok saja dari bibir Aidan. Tak ada satu pun yang buruk. Jadi dia kena pandai sesuaikan diri untuk mencelah di antara mereka. Salah dia juga sebab pernah melepaskan Aidan dahulu. Jika tidak, dah tentu tak ada perempuan lain di antara mereka. Hanya hak mutlak dia seorang. Nak menyesal pun tak berguna lagi.
DZIKRI HAFIY tak lepas-lepas dari memandang pasangan yang nampak mesra selang beberapa meja darinya. Kenal sangat dengan lelaki tu. Cuma yang jadi tanda tanya siapa pula si perempuannya? Sah-sah bukan Dhiya.
Daripada cara sembang, gaya makan-makan bersama, tak nampak seperti kenalan biasa. Ada selingan renung-merenung gitu. Macam ada yang luar biasa sedang berlaku.
Haih... Apa yang sedang berlaku ni? Takkan Aidan yang baik bak malaikat tu dah mula buat perangai? Atau dia saja yang tak tahu? Maklumlah Dhiya dan Aidan ni tinggal jauh dari dia dan keluarga. Ini pun secara kebetulan dia ada mesyuarat di Johor Bahru, makan malam kat restoran yang sama. Rancangnya, esok nak pergi rumah Dhiya. Buat kejutan. Tapi dia pula yang terkejut terlebih dahulu.
Mungkinkah Tuhan nak tunjuk sesuatu?
Entah-entah ada sesuatu yang berlaku dalam rumah tangga Dhiya. Dia, ibu dan ayah tak tahu. Maklum Dhiya sorang-sorang kat Johor Bahru ni. Harapkan pada Aidan sajalah supaya jaga Dhiya baik-baik.
Jika ada yang tak kena, kasihan Dhiya. Dia tak bahagia ke, tengah bersedih ke... Si Dhiya ni bukan reti mengadu domba. Orangnya jenis suka diamkan saja. Jenis pendam sendiri. Dzikri tahu sangat perangai Dhiya. Dari kecil, dialah yang selalu ambil berat pasal Dhiya. Jika Dhiya ada masalah, dia yang akan tahu dulu. Dan dialah yang akan cungkil segala isi hati Dhiya. Namun, untuk Dhiya saja-saja cerita masalah dia dulu, memang tak la.
Isy... Apa merepek ni?
Kenapa nak buruk sangka? Kenapa nak fikir yang tak elok? Sepatutnya dia mendoakan yang baik-baik saja. Dhiya tu bukankah adik kesayangan dia? Kesayangan satu keluarga. Maklum, dia sahaja anak perempuan ibu dan abah. Cik bunga nan sekuntum penyeri semua orang dalam keluarga.
Dzikri keluarkan telefon bimbit dari kocek baju. Nama Dhiya digesel.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Abang Dzik! Dhiya rindu abang. Tak teringin ke jenguk Dhiya di JB ni?"
Dzikri senyum sendiri mendengar suara Dhiya. Dia tak tahu yang Dzikri dah pun ada di Johor Bahru.
"Kenapa Dhiya nak sangat jumpa abang? Dhiya ada masalah ke?"
"Taklah. Dhiya okey aje. Cuma Dhiya rindu abang, rindu ibu dan abah sangat."
"Betul Dhiya okey?"
"Okey aje, abang. Kenapa abang asyik tanya macam tu?"
"Hati Abang Dzik rasa tak sedap. Asyik teringat-ingat Dhiya aje, macam ada benda yang tak kena. Dhiya ada masalah, kan?"
"Itu maknanya abang pun rindukan Dhiya, bukan Dhiya yang bermasalah, tapi Abang Dzik. Abang yang berzaman tak nak jenguk Dhiya"
"Ya ke? Kalau macam tu esok abang datang tempat Dhiya ya, boleh?"
"Serius, Abang Dzik?"
Baru ceria suara Dhiya di telinga Dzikri. Dengan dia... Dhiya tak dapat sorok apa yang dipendam. Lenggok cakap pun Dzikri dah boleh agak Dhiya ni tengah susah hati ke tidak. Tak usah la nak selindung-selindung bagai, tak menjadi. Dzikri lagi tahu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro